Ada orang apabila ingin memahami al-Quran, akan mendengar kuliah atau membaca kitab tafsir. Tapi tahukah anda, ada seorang ‘alim qari, yang mana bacaannya sendiri dianggap pentafsir kepada makna al-Quran? Pernah dengar seorang yang mempunyai kemahiran tilawah tafsiriyyah?
Sempena hangat isu sengketa Zionisme dan sekutunya Trump di Baitul Maqdis, mari kita mengenali seorang tokoh al-Aqsa, dikenali sebagai Sheikh Muhammad Rashad al-Sharif (Al-Marhum, meninggal 2016). Beliau merupakan muqri’ dan qari al-Quran unggul di Palestin.
Dengan keberkatan keturunan nabi menerusi jalur al-Husain bin Abi Talib dalam keluarganya, Sheikh Rashad dikesan mempunyai kemahiran mengalunkan al-Quran sejak dari kecil. Lantunan bacaan al-Quran beliau menerobos ke jiwa Mukmin yang tahu kepentingan ayat suci itu sebagai kalam Allah.
Semasa zaman beliau ‘baru nak UP’, beliau telah meniru gaya bacaan Sheikh Rif’at, qari unggul dari al-Azhar, Mesir. Bacaan beliau itu diudarakan oleh Radio Palestin, telah didengari sendiri oleh Sheikh Rif’at. Sheikh Rif’at mengutus surat mengucapkan tahniah kerana berbangga ada ‘klon’ dan pengganti beliau.
Hidupnya diabdikan untuk al-Quran. Anak-anaknya semua menjadi qari yang hebat. Salah seorang anaknya, yang diberikan nama sebagai ‘Imam al-Sharif’, telah mati syahid akibat ditembak oleh tentera Zionis sejurus selepas Solat Jumaat di bandar Khalil al-Rahman di Palestin, pada tahun 2001. Anak lelaki yang lain diberikan nama Muhammad Rif’at, Sayyid Qutb, Imam Ma’ruf (Imam Masjid Raja Abdullah 1 di Amman) dan Yusuf.
Hebatnya bacaan al-Quran Sheikh Rashad adalah lantunannya yang secara tidak langsung mentafsirkan makna al-Quran supaya sampai ke lubuk jiwa. Sehingga berbongkok tiga, beliau masih lagi diminta untuk menjadi imam (https://www.youtube.com/watch?v=_x8hMSSMdhA) dan mengajar teknik bacaan al-Quran berkesan (https://www.youtube.com/watch?v=Lne20oxV6ic).
Oh satu lagi, beliau juga mempunyai kemahiran melaungkan azan. Antara lagu azan kegemaran beliau yang banyak ditiru oleh orang Melayu di Malaysia dan Indonesia, ialah lagu rast. Dengarlah rakaman azan anak beliau Imam Ma’ruf yang meniru laungan azan ayahnya (https://www.youtube.com/watch?v=fCz6TOfl0-k&feature=youtu.be), atau di sini (https://www.youtube.com/watch?v=MjJUNcPiGJM) atau dengan wajah beliau sendiri di sini (https://www.youtube.com/watch?v=NsaiwT4hMro). Menerobos jiwa…
Inilah antara hero moden al-Aqsa.. Kenanglah mereka, ambil tahulah hal ehwal mereka.