MATAHARI MENGELILINGI BUMI, ATAU BUMI MENGELILINGI MATAHARI? 

Adakah matahari mengelilingi bumi? Atau bumi yang mengelilingi matahari?

Sejak pulang ke Malaysia, beberapa kali saya diajukan soalan ini. Ditambah lagi, ada beberapa ustaz yang menyampaikan kuliah di masjid, menyatakan bahawa gugur shahādah bagi sesiapa yang menyatakan bahawa bumi mengelilingi matahari. Apa yang diajar di sekolah adalah sekular dan bercanggah dengan al-Qur’ān. Semuanya bertitik tolak dari kefahaman tekstual mereka terhadap ayat al-Qur’ān:

وَالشَّمْسُ تَجْرِي لِمُسْتَقَرٍّ لَهَا ذَلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ

Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui (Yāsīn, 36:38)

Allahu Akbar! Agak mudah juga sebahagian penceramah melemparkan tuduhan gugur shahādah kepada ahlul qiblah..

Persoalan ini merupakan salah satu persoalan klasik dalam astronomi. Sekiranya dirujuk pada sejarah, teori matahari mengelilingi bumi (geocentric – geo(bumi) berada di tengah) adalah satu teori yang telah lama dipakai dalam tamadun manusia. Dengan ilmu dan teknologi yang ada zaman dahulu, manusia yang mencerap matahari dari permukaan bumi, melihat sendiri pergerakan matahari yang terbit dari timur dan tenggelam di arah barat bumi.

b734b2d1-0716-49bb-ae50-6dfacd85275e
Geocentric & Heliocentric

Di dalam gereja Kristian lama, teori geocentric ini dipegang kemas oleh mereka. Bahkan pihak gereja akan mengenakan hukuman yang keras kepada sesiapa yang mencabar teori ini, seperti sekatan penjara dalam rumah yang dikenakan oleh Vatican ke atas Galileo Galilei (m. 1642) yang cuma mempromosi teori heliocentric (helio (matahari) di tengah – sistem solar). Galileo, seorang saintis yang amat dihormati, diaibkan oleh gereja. Akan tetapi, hanya 350 tahun selepas itu, pada tahun 1992, gereja Vatican mengaku mereka membuat kesalahan menghukum Galileo, dan memohon maaf kepada keluarga mereka, selain mengiktiraf kebenaran teori heliocentric.

galileo-inquisition_large
Vatican menjatuhkan hukuman ke atas Galileo kerana mempopularkan teori heliocentric

Di dalam sejarah tamadun Islām, ahli falak yang awal seperti  Naṣīr al-Dīn al-Ṭūsī (m.1274) dan Ibn al-Shāṭir (m.1375), telah mengembangkan teori geocentric, tetapi di dalam kerangka yang membawa kepada lahirnya teori heliocentric. Salah seorang pencerap termasyhur di dalam balai cerap al-Maragha, Najm al-Dīn al-Qazwīnī al-Kātibī (m.1277) turut menulis di dalam Hikmat al-‘Ayn, teori asas kepada heliocentric, walaupun dilaporkan beliau kemudian menolaknya. Dapatan mereka adalah terlalu terhad dengan perkembangan ilmu matematik, sains serta teknologi cerapan yang ada pada zaman tersebut. Perlu diperingatkan, teori geocentric mereka bukanlah semudah yang kita faham sekarang, sebaliknya adalah kompleks yang akhirnya membawa kepada penemuan teori heliocentric.

Tokoh yang mendapat kredit di dalam memperkenalkan teori heliocentric ialah Nicolaus Copernicus (m.1543). Berasal dari Poland, Copernicus dianggap tokoh sarjana matematik dan astronomi zaman Renaissance terulung. Pun demikian, sekiranya dibaca sejarah, dapatan heliocentric beliau amat terpengaruh dengan dapatan-dapatan awal daripada al-Ṭūsī, Ibn al-Shāṭir dan al-Qazwīnī. George Saliba (1994) sendiri menyatakan bahawa rapatnya hubungan kajian antara Copernicus dengan sarjana Muslim terawal, sehingga Copernicus dianggap sebagai warisan kepada balai cerap al-Maragha dan astronomi Islām. Teori Copernicus ini disambut dengan baik oleh sarjana falak Arab terkemudian, sehingga ke zaman sekarang.

nikolaus_kopernikus
Copernicus yang mendapat kredit memperkenalkan teori heliocentric. Akan tetapi, semua teorinya adalah perkembangan daripada dapatan sarjana falak Muslim terdahulu

Persoalannya, adakah teori heliocentric ini bercanggah dengan al-Qur’ān seperti yang didakwa sebahagian agamawan? Tidak dinafikan, ada beberapa sarjana Islām terkemuka berpandangan bahawa matahari mengelilingi bumi. Sebagai contoh, Sheikh Ibn al-‘Uthaimin.

Walaupun demikian, tanpa sedikit pun menjejaskan rasa hormat terhadap kesarjanaan mereka, persoalan ini adalah persoalan di luar kerangka ilmu sharī’ah. Sebaliknya, ia merupakan persoalan sains, yang juga salah satu daripada sunnatullah dan ayatullah di muka bumi ini. Justeru, pihak yang terbaik untuk memberikan ulasan terhadap perkara berkaitan sains, ialah mereka yang mendalami ilmu sains itu sendiri, dengan bersendikan iman yang kuat kepada Allah.

Sekiranya diteliti, tiada walau satu ayat pun di dalam al-Qur’ān yang Allah menegaskan bahawa matahari mengelilingi bumi (al-shamsu tadūru haula al-arḍ). Akan tetapi, Allah menceritakan salah satu daripada sifat matahari itu sendiri, iaitu bergerak (tajrī) seperti di dalam Yāsīn, 36:38.

Di dalam sains, terdapat satu perbincangan mengenai perjalanan matahari. Ianya dikenali sebagai solar apex. Matahari merupakan salah satu daripada jutaan bintang yang terdapat di langit. Bintang mempunyai pelbagai warna. Ada yang kelihatan biru, biasanya bintang yang baru dilahirkan. Ada juga yang berwarna perang jingga, yang merujuk kepada usianya yang agak tua dan akan mati. Matahari kita berwarna perang jingga. Ianya bergerak di dalam solar apex, menuju ke satu destinasi (mustaqar), dan ia akan mati di situ. Kematian matahari sering dikaitkan dengan teori hari qiamat.

Pangkalnya, matahari bergerak di dalam satu perjalanan di galaksi bima sakti. Pergerakan matahari itu, diikuti oleh planet-planet lain di dalam sistem solar, termasuk planet bumi, berdasarkan kepada graviti dan tenaga yang terhasil. Mereka semua tunduk pada perintah Allah, bergerak mengikut orbit tersendiri, tidak pernah engkar lantas berlanggar dengan planet lain. Benarlah firman Allah:

لَا  الشَّمْسُ يَنْبَغِي لَهَا أَنْ تُدْرِكَ الْقَمَرَ وَلَا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ

(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing (Yāsīn, 36:40).

Ayat ini secara jelas membuktikan bahawa SEMUA (kullun) jasad samawi, seperti matahari, planet dan bitnang-bintang yang lain, bergerak di dalam orbit (falak) mereka yang tersendiri, dalam keadaan terapung-apung (seperti seseorang yang sedang berenang – yasbahun).

Berdasarkan kefahaman saya, antara heliocentric dengan geocentric, yang paling tepat ialah apa yang Allah firmankan di dalam al-Qur’ān. Sebagai penduduk bumi yang melihat langit, kita memang melihat dengan jelas betapa matahari itu terbit dan tenggelam, seolah-olah mengelilingi bumi. Tetapi cerapan pada skala yang luas dan kiraan astronomi juga membenarkan bahawa semua planet-planet sekitar matahari, mengelilingi matahari kesan daripada graviti dan tenaga yang terhasil. Kita sebagai hamba Allah, perlu insaf bahawa bumi ini hanyalah sebahagian kecil daripada alam ciptaan Allah yang terbentang luas. Hanya sebahagian mampu dicapai, bahkan dilihat oleh mata kita. Tidak perlulah kita berasa hebat, sehingga sanggup mengkafirkan orang lain yang bersetuju dengan teori heliocentric yang selari dengan sunnatullah, seolah-olah alam ciptaan Allah ini kecil sahaja saiznya.

Selain itu, Allah juga menyatakan bahawa salah satu sifat bumi itu ialah kifātā. Firman Allah:

أَلَمْ نَجْعَلِ الْأَرْضَ كِفَاتًا

Bukankah Kami telah menjadikan bumi (sebagai tempat) penampung dan penghimpun (penduduknya)?  (Al-Mursalāt, 77:25)

Sebahagian ‘ulamā’ tafsīr menyatakan maksud kifātā itu ialah seperti pergerakan terbang burung, yang begitu laju dan cepat berubah. Sekiranya kita membaca mengenai solar apex dan melihat sendiri pergerakan sistem solar berbanding solar apex, kita akan memahami mengapa Allah menyatakan bumi itu seperti kifātā, kerana ianya bergerak, mengikut dan mengelilingi matahari, di dalam keadaan seolah-olah cara burung terbang.

Maha Besar Engkau Ya Allah! Saksikankanlah, aku telah menyampaikan.

Allahua’lam.

Advertisement