Terdapat manifesto sebuah parti di UK yang agak menarik dan seolah-olah menguntungkan dunia Muslim. Berikut merupakan sedikit petikan daripada manifesto mereka:
- Pledge not to “interfere with the sovereignty” of any other nation, and those in the Middle East in particular
- Would not allow British forces to become involved in a war against Iran.
- Withdraw British troops from Afghanistan
Nampak menarik bukan? Menarik daripada aspek polisi luar negara yang berkaitan dengan pertahanan membabitkan dunia umat Islam. Akan tetapi sebagai pengundi bijak, sudah tentu kita tidak boleh membaca manifesto sesebuah parti pada muka surat atau bab tertentu sahaja.
Sebenarnya, petikan janji-janji di atas adalah sebahagian daripada manifesto parti pelampau berhaluan kanan di UK, iaitu British National Party. BNp merupakan parti rasis yang berusaha mengeluarkan seramai mungkin imigran di dalam UK. Mereka memperjuangkan ketuanan orang putih, dan membantah segala keistimewaan yang diberikan kepada orang bukan putih, serta tidak bersetuju dengan semangat pelbagai budaya yang telah kian lama diamalkan di sini. Ketika polisi luar negara berkaitan dengan umat Islam BNp ini nampak cantik, akan tetapi sanggupkah anda mengundi mereka berdasarkan polisi imigran mereka?
Sengaja saya tulis entri ini, kerana terdapat beberapa orang yang bertanya kepada saya mengapa saya pangkah Buruh, sedangkan parti Buruhlah yang bertanggungjawab mengeluarkan dasar berperang dengan beberapa negara umat Islam. Sedang anak-anak kecil di Iraq dan Afghanistan masih menderita, mengapa sanggup saya memangkah parti yang meluluskan dasar zalim tersebut. Di sana, terdapat parti lain yang berjanji untuk mengeluarkan tentera dari Iraq dan Afghanistan, serta mendesak Mesir serta Israel menghentikan sekatan ke atas Gaza, seperti yang dijanjikan oleh Lib-Dem. Mengapa saya masih memangkah Buruh?
Jawapan saya mudah sahaja. Pertamanya, bukannya saya bersungguh sangat pun untuk mengundi parti tertentu. Pilihanraya di UK bukannya sampai tahap memberikan kemenangan langsung kepada Islam dan Muslim. Saya mengundi atas dasar strategi, untuk memastikan suara untuk sedikit kebajikan Muslim tempatan di dalam negara ini terjamin.
Maksudnya, saya mengundi lebih kepada kepentingan strategik imigran dan penduduk Muslim British. Kerana itu keutamaannya buat masa ini, apatah lagi dengan kebangkitan beberapa parti berhaluan kanan yang berusaha mengurangkan bilangan Muslim dan imigran lain di UK. Ada yang ingin menghalau terus (BNp, UKIP), dan ada pula yang ingin mengurangkan jumlahnya seperti sebelum tahun 1990 (Torry). Sedangkan semasa zaman Buruhlah ramai imigran terdiri daripada pemimpin gerakan Islam berjaya menetap di UK, sama ada sebagai penduduk tetap atau mendapat suaka politik. Dan mereka inilah yang meniup obor semangat perjuangan di kalangan anak muda Muslim di negara ini.
Sebab kedua, ialah kerana saya mengundi hanya sekadar memilih, dan tidak langsung bermaksud saya bersetuju keseluruhan dengan dasar Buruh. Dalam isu Iraq dan Afghanistan, adalah tidak wajar kita meletakkan harapan dan masa hadapan kepada pemimpin politik UK, baik dari mana-mana parti sekali pun, dengan retorik janji mereka yang pelbagai? Saya juga mengkaji calon parti Buruh tempatan di tempat saya membuang undi. Beliau mempunyai hubungan yang amat baik dengan pihak masjid, serta rekod yang sederhana baik di dalam isu-isu umat Islam ketika undian dan perbahasan di Westminster. Sekiranya orang lain yang bertanding atas tiket Buruh di tempat saya, belum tentu saya memberikan undi saya kepadanya. Dan sekiranya saya mengundi di tempat lain, ada juga kemungkinan besar saya akan mengundi selain buruh, mungkin Lib-Dem atau SNP. Mungkin juga parti lain, yang pasti bukannya berhaluan kanan.
Justeru, segalanya adalah semata-mata atas dasar kepentingan strategik Muslim tempatan sahaja, serta melihat masa hadapan peluang rakyat Malaysia untuk berkunjung sama ada belajar, bekerja, bisnes atau melancong ke dalam UK. Maklumlah, saya sudah serik kerana telah hampir 6 bulan passport saya dipegang oleh UKBA. Ini ketika zaman Buruh, yang berkebetulan atas tekanan politik mula memperketatkan undang-undang imigran berasaskan sistem mata. Bayangkan kalau pihak kanan yang memerintah Westminster?
Bagi saya juga, prioriti utama sekarang ialah perlunya umat Islam di UK mempunyai satu suara. Selepas berjaya untuk bersatu, saya yakin mereka boleh memobilisasi kecenderungan pengundi Muslim di peringkat kebangsaan, dan bukannya di peringkat lokaliti seperti yang mampu dilakukan setakat ini. Ketika itu, mungkin undian saya berubah. Itu pun, kalau saya masih berada di sini lagi.
Terlalu berangan-angan? Allahua’lam… ini semua kuasa Tuhan. Optimis dengan kemenangan adalah sifat pejuang. Mengapa perlu mengenepikan angan-angan optimis ini?
Ini hanya pandangan saya sebagai Muslim yang tiada niat langsung untuk tinggal lama di sini. Bagi mereka yang ingin menjadi penduduk tetap di sini, mungkin perspektif pandangan mereka berbeza. Dan saya juga mungkin melakukan kesilapan dalam melontar pandangan saya.
Ada 2 jam lagi kepada para pengundi sekalian untuk keluar mengundi. Waktu tutup untuk membuang undi ialah tepat jam 10 malam. Selamat mengundi mana-mana parti, asalkan bukan yang kanan 😉