HUKUM TIDUR SELEPAS SUBUH

Secara asasnya, tidak terdapat sebarang nas yang jelas melarang kita tidur selepas Subuh dan Asar. Akan tetapi terdapat beberapa petunjuk hadith yang memberikan galakan supaya kita tidak tidur selepas Subuh. 

Antaranya, ialah Nabi Muhammad SAW mendoakan secara umum keberkatan kepada umatnya yang bekerja di awal pagi. Itu mengundang kaya! Dalam Sunan Abu Daud, diriwayatkan:

عَنْ صَخْرٍ الْغَامِدِيِّ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ اللَّهُمَّ بَارِكْ لأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا ‏”‏ ‏.‏ وَكَانَ إِذَا بَعَثَ سَرِيَّةً أَوْ جَيْشًا بَعَثَهُمْ فِي أَوَّلِ النَّهَارِ ‏.‏ وَكَانَ صَخْرٌ رَجُلاً تَاجِرًا وَكَانَ يَبْعَثُ تِجَارَتَهُ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ فَأَثْرَى وَكَثُرَ مَالُهُ ‏.‏ قَالَ أَبُو دَاوُدَ وَهُوَ صَخْرُ بْنُ وَدَاعَةَ 

Yang bermaksud: Daripada Sakhr al-Ghamidi daripada nabi Muhammad SAW: Nabi berkata, “Ya Allah, Engkau berkatilah umatku pada awal pagi mereka.”. Nabi juga apabila menghantar skuad atau bala tentera, baginda akan melepaskan mereka pada awal pagi. Sakhr (perawi hadith ini) adalah seorang peniaga. Beliau akan menghantar barang perniagaannya pada awal pagi, lalu jadi kaya dan mewah. 

Nabi juga akan berwirid panjang selepas solat Subuh, hingga terbit matahari. Berwirid panjang membuktikan nabi tidak tidur. Diriwayatkan dalam Sahih Muslim:

عَنْ سِمَاكِ بْنِ حَرْبٍ، قَالَ قُلْتُ لِجَابِرِ بْنِ سَمُرَةَ أَكُنْتَ تُجَالِسُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ نَعَمْ كَثِيرًا كَانَ لاَ يَقُومُ مِنْ مُصَلاَّهُ الَّذِي يُصَلِّي فِيهِ الصُّبْحَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتْ قَامَ وَكَانُوا يَتَحَدَّثُونَ فَيَأْخُذُونَ فِي أَمْرِ الْجَاهِلِيَّةِ فَيَضْحَكُونَ وَيَتَبَسَّمُ صلى الله عليه وسلم

Yang bermaksud: Daripada Simak bin Harb, katanya, aku berkata kepada Jabir bin Samurah, “Apakah engkau sentiasa melazimi nabi Muhammad SAW?”. Jawab Jabir, “Ya, kerap, antaranya, baginda tidak akan berdiri daripada tempat solatnya selepas solat Subuh, hingga matahari terbit. Apabila matahari terbit, barulah baginda akan berdiri. Ketika itu para sahabat bersembang-sembang dan dan berbual mengenai satu perkara yang mereka lakukan semasa zaman Jahiliyah lantas mereka tertawa. Maka Rasulullah SAW pun tersenyum sahaja (melihat kelakuan mereka). 

Perbuatan tidur selepas subuh juga ditegah oleh ramai salafussoleh. Antaranya, dalam al-Musonnaf karya Ibn Abi Shaibah, diriwayatkan yang Zubair menegah perbuatah al-Tasobbuh (التصبح), iaitu tidur selepas subuh.

Oleh yang demikian, umat Islam perlulah bersungguh-sungguh untuk bekerja di awal pagi, dan elakkan daripada bermalas-malasan. Pun demikian, dengan meraikan gaya hidup moden yang menyaksikan ramai yang bekerja membabitkan shif malam, maka tiada larangan untuk mereka tidur selepas subuh. Bahkan hakikatnya, tiada zahir nas yang melarang perbuatan tersebut secara langsung. 

HUKUM TIDUR SELEPAS ASAR

Ada pun tidur selepas Asar, tiada nas yang melarang manusia untuk tidur selepas Asar. Mungkin ada yang menyatakan terdapat hadith yang melarang, antaranya hadith: 

مَنْ نَامَ بَعْدَ الْعَصْرِ ، فَاخْتُلِسَ عَقْلُهُ، فَلَا يَلُومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ

Yang bermaksud: Barangsiapa yang tidur selepas Asar, maka akan dirampaslah akan akalnya maka tidak dipersalahkan melainkan dirinya sendiri. 

Hadith ini adalah batil, terlalu lemah mengikut pandangan muhaddithin seperti Ibn Hibban, Ibn al-Jauzi, al-Zahabi, al-Shaukani dan lain-lain. 

HUKUM TIDUR SELEPAS MAGHRIB 

Terdapat sepotong hadith dalam Sahih Bukhari yang melarang kita tidur antara waktu Maghrib dan Isha’:

عَنْ أَبِي بَرْزَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَكْرَهُ النَّوْمَ قَبْلَ الْعِشَاءِ وَالْحَدِيثَ بَعْدَهَا‏

Yang bermaksud: Daripada Abu Barzah, sesungguhnya Rasulullah SAW menegah tidur sebelum Isha’ dan berbual kosong selepasnya. 

Ada sebahagian ulamak menyatakan tegahan ini adalah disebabkan faktor waktu antara Maghrib dan Isha’. Haram kerana waktu. 

Sementara sebahagian ulama’ menyatakan ia dimakruhkan sekiranya dikhuatiri terlajak hingga meninggalkan solat pada waktunya. 

Dalam Nihayah al-Muhtaj, Imam al-Ramli menyatakan:

ويكره النوم قبلها أي صلاة العشاء لما فيه من خوف استمراره إلى خروج الوقت

Yang bermaksud: Dan dimakruhkan tidur sebelum solat Isha’ kerana dikhuatiri tidur akan terlajak hingga tamatnya waktu solat. 

Ibn Solah berkata:

إن هذه الكراهة تعم سائر الصلوات

Yang bermaksud: Sesungguhnya tegahan makruh ini adalah umum meliputi semua waktu Solat. 

Pandangan yang kuat dalam mazhab Maliki dan Hanbali menyatakan tegahan makruh itu adalah merujuk kepada waktunya yang khusus, iaitu tegahan tidur antara waktu Maghrib dan Isha’. 

Allahua’lam, saya cenderung kepada pandangan yang menyatakan dimakruhkan tidur antara waktu Maghrib dan Isha’ kerana amalan ini lebih selamat dan bertepatan dengan nas hadith yang sahih. Apatah lagi, waktu itu adalah waktu kritikal, waktu solatnya pendek. Waktu itulah waktu terbaik dalam konteks di negara kita untuk mendalami ilmu agama, mengajar anak-anak membaca al-Quran, menyantuni keluarga dan lain-lain lagi. 

Pada waktu malam, tidurlah selepas Isha’. Nabi sendiri akan tidur awal kerana ingin bangkit awal untuk tahajjud.