Hukum Melawat al-Masjid al-Aqsa

Artikel ini ditulis bagi memberikan penjelasan fiqh terhadap pandangan saya yang disiarkan oleh Berita Harian pada 4 Ogos, ketika ditanya oleh wartawan terhadap hukum menziarahi al-Masjid al-Aqsa sekarang.

Al-Masjid al-Aqsa merupakan rumah ibadah yang kedua dibina di bumi, selepas Ka’bah di al-Masjid al-Haram. Ulamak berselisih pendapat terhadap siapakah yang membinanya, antara nabi Adam dan nabi Ibrahim. Zahir hadith yang menyatakan jarak pembinaan antara kedua-dua masjid ialah selama empat puluh tahun sahaja, tanpa menyatakan siapakah pembinanya.

Tapak sekitar Al-Masjid al-Aqsa mempunyai keistimewaan yang tersendiri, bukan sahaja bagi umat Islam, tetapi bagi penganut Judaisme dan Kristian. Ramai para nabi, khasnya daripada Bani Israel mempunyai kaitan yang amat rapat dengan tanah yang penuh barakah ini. Keberkatan kawasan tersebut terserlah sehingga dijadikan qiblat pertama bagi umat nabi Muhammad, selain destinasi transit baginda di dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj sebelum mengadap Allah Jalla wa ‘Ala.

Atas dasar inilah, nabi Muhammad sentiasa memberikan galakan kepada para sahabat, untuk membebaskan Al-Aqsa, serta memberikan galakan kepada umat baginda untuk bersungguh-sungguh menziarahi masjid tersebut. Antaranya:

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, “Bersungguh-sungguhlah untuk melakukan perjalanan ketiga destinasi, iaitu Masjidku (Al-Masjid Al-Nabawi), Al-Masjid al-Haram dan al-Masjid al-Aqsa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada Abu Darda’, Rasulullah SAW bersabda, “Solat di al-Masjid al-Haram menyamai 100,000 solat, solat di masjidku (Al-Masjid al-Nabawi) menyamai 1000 kali solat, sementara solat di al-Aqsa menyamai 500 kali solat berbanding masjid-masjid lain.” (Riwayat al-Tabrani dan al-Bazzar).

Kedua-dua nas di atas, adalah merupakah hujjah yang kuat mengapa umat Islam perlu bercita-cita untuk menziarahi al-Aqsa.

Walaupun demikian, keadaan al-Masjid al-Aqsa sekarang yang letaknya di Tebing Barat (West Bank) Palestin, ada turut dikenali dengan Jerusalem Timur (East Jerusalem), adalah berbeza sekali, khasnya selepas tahun 1917. Sekarang, Tebing Barat iaitu lokasi al-Aqsa berada di bawah pemerintahan Kerajaan Haram Zionist. Antara kronologi sejarah yang perlu diketahui untuk membahaskan isu lawatan ke al-Aqsa, ialah seperti berikut:

Sebelum 1897 – Bangsa Yahudi merupakan bangsa yang merempat, duduk berselarakan di segenap pelusuk dunia, termasuklah di Eropah. Mereka tidak dihormati oleh ramai manusia, kerana akhlak bobrok yang dipamerkan.

1897 – Gerakan Zionisme ditubuhkan untuk merancang plan politik membawa bangsa Yahudi seluruh dunia untuk tinggal di negara mereka sendiri. Sebelum memilih Palestin, mereka pernah merancang untuk ‘merampas’ beberapa negara di Afrika dan Amerika Selatan. Awalnya mereka bimbang untuk memilih Palestin kerana kitab mereka melarang mereka masuk ke sana semula, tetapi dengan semangat sekularisme dan rasisme, mereka memilih Palestin.

1908 – Minyak sebagai emas hitam mula ditemui di beberapa kawasan di Timur Tengah. Maka bermulalah perancangan kuasa kolonial untuk menjajah Timur Tengah bagi menguasai sumber minyak.

1914-1916 – Peperangan Dunia Pertama. Palestin sebelum peperangan ini ditadbir dengan kemas oleh Kerajaan Othmaniyah. Akan tetapi akibat persekongkolan Gerakan Zionisme dengan British, serta pengkhianatan yang dilakukan oleh beberapa kabilah Arab atas nama kebangsaan Arab, akhirnya Kerajaan Othmaniyah di Palestin berjaya dikalahkan oleh penjajah British.

1917 – Perjanjian Balfour. British sebagai penjajah Palestin memberikan status kawasan tersebut sebagai national home / tanah air kepada bangsa Yahudi. Bermula daripada perjanjian ini, gerakan Zionisme telah merancang strategi politik dan ketenteraan untuk menyusun semula demografi Palestin, mengusir keluar orang Arab tempatan, merampas tanah, rumah dan kebun mereka, dan mendirikan petempatan haram di tanah milik orang Arab Palestin.

1947 – Resolusi Perjanjian Pemecahan kawasan oleh PBB, antara kawasan dengan mandat Zionist dengan kawasan Arab Palestin. Resolusi ini ditolak oleh orang tempatan.

1948 – Tentera British menyerahkan urusan pentadbiran Palestin kepada pembesar-pembesar Zionist. Peperangan berlaku, akan tetapi orang Arab Palestin hanya mampu mempertahankan Tebing Barat di sempadan Jordan, dan Genting Gaza di sempadan Mesir sahaja. Warga Palestin terpaksa menjadi pelarian di Jordan, Syria, Lubnan, dan ramai yang duduk beramai-ramai di Genting Gaza dan Tebing Barat.

1949 – Israel diiktiraf sebagai sebuah negara oleh PBB, walaupun mereka enggan untuk membenarkan pelarian Palestin masuk semula ke dalam Palestin. Orang-orang Arab Palestin dihalau keluar daripada tanah mereka sendiri.

Peta Kronologi Penjajahan Israel ke Atas Palestin
Peta Kronologi Penjajahan Israel ke Atas Palestin

 

Kronologi di atas adalah asas kepada sejarah moden yang menyebabkan konflik dan ketegangan berterusan di rantau ini. Sejak daripada itu, orang Arab Palestin semakin menderita kerana tanah warisan mereka dirampas begitu sahaja. Bagi yang bernasib baik dapat menumpang di saki baki tanah milik Arab Palestin di Tebing Barat, hanya warga emas berusia lebih 50 tahun sahaja dibenarkan masuk ke al-Masjid al-Aqsa. Perlu difahami, al-Aqsa sekarang berada di bawah penguasaan dan pentadbiran Zionist. Untuk masuk ke dalamnya, seseorang perlu meminta izin daripada kerajaan haram Israel dan mendapatkan pas lawatan sempadan, dengan membayar yuran tertentu.

Visa atau Pas Lawatan Sempadan Untuk Masuk ke Al-Aqsa
Visa atau Pas Lawatan Sempadan Untuk Masuk ke Al-Aqsa

Malaysia merupakan antara negara yang tegas dalam pendirian mengenai isu ini. Sejak daripada dahulu lagi, tertera dengan jelas di dalam passport Malaysia yang negara kita tidak pernah mengiktiraf kewujudan negara haram Israel, apatah lagi untuk membuat hubungan diplomatik dengannya.

Atas premis dan fakta di atas, ramai ulamak-ulamak moden, seperti Syeikh Jad al-Haq Ali, Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Hamid al-Baitawi (Khatib al-Masjid al-Aqsa), Dr Ikrimah Sobri (bekas mufti kerajaan Palestin), Syeikh Abdul Halim Mahmud (bekas Syeikh al-Azhar), Syeikh Nasr Farid Wasil (bekas Mufti kerajaan Mesir) dan ramai lagi ulamak ternama berpendapat, adalah haram bagi orang Islam dari luar Palestin untuk melakukan lawatan dan menziarahi al-Masjid al-Aqsa di Tebing Barat sekarang ini.

Antara hujjah yang digunakan oleh mereka ialah:

1. Haram kita bekerjasama dengan pihak musuh yang jelas memerangi Islam. Kerjasama yang dilakukan sekiranya menziarahi al-Aqsa sekarang ialah keperluan untuk mengiktiraf kedaulatan Israel, dengan bersetuju menerima kebenaran masuk ke dalam tanah jajahan mereka, taat dengan undang-undang haram mereka, selepas membayar wang yang tertentu bagi mendapatkan pas lawatan sempadan.

2. Kerjasama juga terbentuk apabila kita terlibat memberikan imej yang agak positif kepada kerajaan haram Israel, kononnya mereka sebuah kerajaan yang baik, terbuka dan membenarkan pelancong melawat ke al-Aqsa, sedangkan penduduk asal Palestin sendiri dilarang masuk ke situ, walaupun untuk solat sunat Hari Raya.

3. Mendapatkan pas lawatan sempadan atau visa, adalah tanda kita mengiktiraf kerajaan haram Israel. Hukumnya adalah jelas haram. Ianya juga bercanggah dengan dasar kerajaan negara Malaysia yang tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel.

4. Pakej melawat al-Aqsa, adalah satu pengkhianatan kepada warga Arab Palestin tempatan. Ketika mereka terpaksa mengorbankan jiwa dan raga untuk masuk ke tanah air mereka sendiri, kita pula hanya bersenang-lenang dan bermewah-mewah masuk ke Tebing Barat. Bayangkan kalau rumah kita dirampas oleh penjajah, dan tiba-tiba penjajah membenarkan semua orang, kecuali kita sebagai pemilik sebenar rumah tersebut, untuk masuk ke dalam rumah kita. Tidak sakitkah hati kita?

Maka dengan sebab itu, ramai ulamak yang melarang penganjuran pakej lawatan ke al-Aqsa. Pun demikian, kebenaran harus diberikan kepada kumpulan-kumpulan yang ingin melakukan kerja-kerja kemanusiaan, bagi tujuan pendidikan awam supaya umat Islam mengenali tapak suci agama kita di Palestin seperti rakaman dokumentari, dan juga sekiranya ada keperluan kerjasama dan usaha membebaskan al-Aqsa daripada cengkaman penjajah.

Saya juga tidak menafikan, terdapat segelintir ugamawan, yang tidak boleh menerima pendapat ini. Kebanyakan mereka, adalah buta politik dan realiti sebenar di Palestin. Ada yang berkeras menganjurkan pakej tersebut, sama ada untuk tujuan melawat, atau untuk tujuan keuntungan. Antara hujjah mereka ialah:

1. Nas yang kuat menganjurkan kita melawat al-Aqsa.

2. Qiyas, dengan menyatakan senario Nabi sendiri kembali ke Mekkah untuk cubaan menunaikan umrah dari Madinah, walaupun Makkah pada waktu itu dikuasai oleh pembesar kafir Quraish.

3. Ziarah kononnya boleh memberikan sokongan moral kepada penduduk Palestin.

Semua hujjah di atas adalah lemah sekali. Khasnya hujjah kedua, qiyas itu adalah salah sama sekali. Keadaan Makkah sebelum peristiwa Fathu Makkah, adalah berbeza dengan keadaan Tebing Barat Palestin sekarang ini. Makkah pada waktu itu, dikuasai oleh kafir Quraish, yang merupakan penduduk asal. Maka tiada masalah bagi orang Islam untuk masuk ke Makkah, khasnya nabi sendiri, kerana baginda juga adalah orang asal Makkah. Tetapi di Palestin sekarang ini, yang menguasai dan memerintah Palestin adalah kerajaan haram Zionist. Mereka adalah perampas dan penjajah. Tidak sama dengan senario musyrikin Makkah.

Justeru, hujjah ulamak yang mengharamkan usaha menziarahi Al-Aqsa di Tebing Barat adalah lebih kuat. Perlu diperjelaskan juga, pengharaman ini adalah merupakan ijtihad bersifat sementara, sehinggalah Tebing Barat dibebaskan sepenuhnya daripada cengkaman Zionist. Dan pengharaman ini juga tidak membabitkan usaha melawat ke Genting Gaza daripada sempadan Mesir, kerana tiada elemen pengiktirafan kerajaan haram Zionis daripada lawatan ke Gaza.

Tahukah anda, sekiranya ditanya kepada pejuang-pejuang HAMAS, apakah cita-cita utama mereka? Semua mereka akan tegas menjawab, cita-cita utama mereka ialah dapat solat di dalam al-Masjid al-Aqsa. Itulah harapan utama mereka, yang telah berdekad lamanya dilarang daripada memasuki Tebing Barat dan Al-Aqsa. Maka kita di sini, hormatilah mereka. Marilah teruskan ikhtiar, dengan doa, boikot produk yang membantu Zionisme, serta infaq ke dalam tabung perjuangan rakyat Palestin. Moga raya tahun hadapan, kita raikan di al-Aqsa!

Advertisements

Terima kasih atas komen dan pandangan balas anda

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s