Q- Benarkah Imam al-Shafie khatam al-Quran sebanyak 60 kali sepanjang Ramadhan? Tak masuk logik aqal langsung.
A- Allahu a’lam. Benar atau tidak, kisah Imam Shafie tidak sama dengan kisah Nabi Muhammad, yang terpelihara daripada sudut keabsahannya. Adapun riwayat kehebatan Imam Shafie mengkhatamkan al-Quran itu, bukannya sedikit, dan bukannya calang-calang manusia. Antara yang melaporkan kisah ini ialah:
1. Abu Nu’aim dalam kitab al-Huliyyah
2. Al-Khatib al-Baghdadi dalam kitab Tarikh Baghdad, dilaporkan daripada al-Rabi’ bin Sulaiman, kata beliau:
كان محمد بن إدريس الشافعي يختم في شهر رمضان ستين ختمة ما منها شيء إلا في صلاة
“Adapun Muhammad bin Idris al-Shafie mengkhatamkan 60 kali al-Quran dalam sebulan Ramadan di dalam solatnya.”
3. Berkata Imam al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’:
قال الربيع بن سليمان من طريقين عنه، بل أكثر كان الشافعي يختم القرآن في شهر رمضان ستين ختمة
“Telah berkata al-Rabi’ bin Sulaiman daripada jalan kedua-duanya, bahkan lebih jalan periwayatan, bahawa Imam al-Shafi’e mengkhatamkan al-Quran dalam bulan Ramadan sebanyak 60 kali”.
4. Imam al-Maziy dalam Tahzib al-Kamal, melaporkan daripada Ibn Abi Hatim akan kisah di atas, dengan penambahan ianya dilakukan semasa solat.
5. Imam al-Nawawi dalam Al-Majmu’ melaporkan daripada al-Humaidi:
كان الشافعي يختم في كل شهر ستين ختمة
Adapun Imam al-Shafie mengkhatamkan al-Quran setiap bulan sebanyak 60 kali.
Sama ada benar atau tidak kisah tersebut, andai diperhatikan riwayat di atas, saya secara peribadi cenderung untuk mempercayai kisah ini. Apatah lagi bagi seorang Imam Mazhab bertaraf mujtahid yang hidupnya penuh dengan karamah dan keberkatan, ianya mungkin boleh berlaku dengan izin Allah. Janganlah sempitkan hitungan masa dengan jarum jam semata-mata, sedangkan Allah itu berkuasa untuk memberkati masa orang yang soleh dengan meluaskan waktu bagi mereka. Allahua’lam