Dalam sebulan ini, cuaca di negara kita terlalu panas. Rasanya, sudah lama hujan tidak turun membasahi bumi. Pihak kerajaan juga sudah berkira-kira untuk melakukan pembenihan awan. Saua masih menunggu-nunggu pihak yang mempunyai autoriti dalam urusan agama, sama ada peringkat kerajaan, parti politik, NGO, masjid, pertubuhan mahu pun individu, untuk menganjurkan solat sunat istisqa’ secara beramai-ramai, kerana ianya adalah sunnah nabi yang amat dituntut, bahkan diperincikan kaifiatnya menerusi hadith nabi. Malangnya, hanya sedikit sahaja, berdasarkan pemerhatian saya, yang melakukannya.

Selain solat sunat istisqa’, cara lain yang dianjurkan di dalam agama sebagai ikhtiar untuk mendapat limpahan hujan, ialah dengan memperbanyakkan istighfar. Nampak macam mudah, tetapi di sinilah Allah uji keimanan kita, adakah kita percaya? Firman Allah:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا

 يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا

Maka aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, (Nuh: 10-11)

Istighfar bermaksud pohon keampunan daripada Allah. Dengan pohon keampunan, mudah-mudahan dosa yang menjadi penyebab terhentinya rezeki dan turunnya bala itu diangkat oleh Allah. Pohon ampun kepada Allah boleh dilakukan mengikut citarasa kita sendiri. Tidak kiralah lafaz istighfar yang bagaimana, atau bahasa apa yang digunakan, selagi mana citranya membawa kepada permohonan keampunan Allah, maka mudah-mudahan Allah perkenan.

ISTIGHFAR YANG MA’THUR

Akan tetapi, ramai juga yang berusaha ke arah kesempurnaan istighfar. Ada yang sering bertanya kepada saya apakah lafaz istighfar cara nabi. Ma’thur, membawa kesempurnaan. Apatah lagi baru-baru ini telah banyak disebarkan di YouTube video klip seorang penceramah yang menyatakan nabi hanya istighfar selepas solat dengan lafaz pendek ASTAGHFIRULLAH sahaja, dengan menyatakan seolah-olah istighfar panjang yang kita baca dalam wirid di Malaysia adalah bukan datang dari nabi.

Jawapan saya, mudah sahaja. Rujuklah Ma’thurat dan kitab hadith, maka di situ, ada terkandung lafaz istighfar yang dianjur nabi. Antaranya ialah sayyidul istighfar. Cukup bertenaga dan mendalam lafaz sayyidul istighfar ini sekiranya kita hayati. Sementara lafaz istighfar yang sering kita ungkapkan di Malaysia selepas solat fardhu, ianya juga adalah ma’thur, disebut dalam hadith nabi, seperti hadith yang diriwayatkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas di dalam Sohih Bukhari. Lafaz yang sama kita temui di dalam Ma’thurat:

استغفر الله الذي لا اله الا هو الحي القيوم واتوب اليه

Transliterasi: Astaghfirullaha allazi la ilaha illa huwa al-hayy al-qayyum wa atubu ilaihi

Maksud: Aku memohon ampun kepada Allah, yang tiada Tuhan selain daripada-Nya, yang bersifat Maha Hidup dan Maha Memelihara, dan aku bertaubat kepada-Nya. 

BARIS BACAAN ISTIGHFAR YANG TEPAT PADA AL-HAYY DAN AL-QAYYUM

Tidak cukup dengan itu, masih ada lagi yang bertanya, baris sebenar lafaz istighfar itu, sama ada al-hayyul-qayyumu atau al-hayyal-qayyama (baris atas atau baris bawah). Saya sempat menyemak di dalam kitab Al-Azkar (al-Muntakhabah min Kalam Sayyid al-Abrar) karangan Al-Imam Al-Nawawi. Saya akui yang cetakan kitab ini juga terdedah kepada salah dan silap. Akan tetapi, saya dapati kedua-dua lafaz, sama ada baris atas atau baris bawah pada al-Hayy dan al-Qayyum itu, ada termaktub di dalam kitab berkenaan di dua bab yang berbeza. Seperti gambar di bawah:

IMG_7078
Al-Azkar: Bab Apa Yang Dibaca (Nabi) Selepas Sunat Rakaat Sebelum Subuh. Baris Atas
IMG_7077
Al-Azkar: Bab Apa Yang Dibaca (Nabi) Pada Awal Pagi Jumaat. Baris depan.

Setelah berbincang dengan rakan-rakan, kedua-dua bacaan di atas adalah betul. Yang penting ialah konsistensi antara al-Hayy dan al-Qayyum. Penjelasannya:

1. Bagi yang membaca dengan baris depan, iaitu al-Hayyul-Qayyumu, sifat Allah yang Maha Hidup, dan Maha Memelihara, ianya adalah sifat yang kembali kepada هو (hu) yang juga, secara linguistik, hukumnya berbaris hadapan.

2. Bagi yang membaca dengan baris atas, iaitu al-Hayyal-Qayyuma, ianya merujuk kepada lafaz Allaha pada استغفر الله yang hukumnya adalah baris atas juga.

3. Bahkan, saya juga mendapat ilham yang boleh juga membaca pada baris bawah, iaitu al-Hayyil-Qayyumi, yang mana ianya merujuk kepada ha pada اليه (selepas ila, ha itu hukumnya baris bawah).

IMG_7201
Kesalahan baris pada lafaz istighfar dalam salah sebuah Ma’thurat. Tertulis al-Hayyu al-Qayyuma. Yang tepat, ialah konsisten sama ada baris atas atau baris depan, ie al-Hayyu al-Qayyumu atau al-Hayya al-Qayyuma. Rujuk nahu Bahasa Arab.

KAITAN PENGUASAAN BAHASA ARAB DENGAN TAZKIYATUNNAFS- MENJIWAI BACAAN WIRID

Di sinilah cantiknya dan kaitan memahami bahasa Arab dengan menjiwai bacaan wirid. Bagi yang membaca baris hadapan, sifat itu diselami dengan rujukan kepada tiada Tuhan yang disembah melainkan-NYA. NYA-Allah itu yang difikirkan di dalam jiwanya ketika beristighfar, sebagai Tuhan yang Esa – لا اله الا هو.

Bagi yang membaca baris atas, di dalam benak pemikirannya akan khusyu’ bertafakkur terhadap Allah, sebagai tempat ampuh untuk pohon keampunan – استغفر الله.

Bagi yang membaca baris di bawah, hatinya akan fokus kepada Allah sebagai tempat dia bertaubat – واتوب اليه.

PERBANYAKKAN ISTIGHFAR: MOGA DIMUDAHKAN REZEKI, DITURUNKAN HUJAN

Setelah mengetahui asas istighfar, apa yang lebih penting ialah menjadikannya sebagai amalan kelaziman. Andai nabi sendiri, insan yang ma’sum, sentiasa beristighfar ratusan bahkan ribuan kali sehari semalam, apatah lagi kita sebagai manusia akhir zaman yang hidup dalam suasana penuh fitnah. Jadikanlah istighfar sebagai kalimah pertama sekali terkeluar daripada lidah kita ketika kita diuji dengan kesusahan, kesempitan dan kepayahan, bukannya kalimah mengeluh dan mencela. Mudah-mudahan hidup kita penuh dengan rahmat Allah.

Advertisement