FALAK ALAM MELAYU DAN KOSMOLOGI MODEN: ULASAN RINGKAS SYARAHAN DAN BUKU TERBARU DR MAT ROFA

Pertama kali saya menyelami pemikiran Dr Mat Rofa (pesara Prof Madya Matematik UPM) adalah ketika mula menjinakkan diri di dalam wacana falsafah sains dalam Islam. Bersesuaian dengan cabaran di tempat kerja, pada tahun 2010 saya telah membeli buku Falsafah Sains: Pendekatan Kualitatif bagi memahami subjek yang baru bagi saya.

IMG_7489

IMG_7475
Bersama Dr Mat Rofa dan Shahrin Falak Online, dalam majlis syarahan wacana Ilmiah di Perpustakaan Negara Malaysia pada 9 Mac 2017
Pembacaan buku ini telah menitipkan minat beransur-ansur untuk mempelajari falak. Alhamdulillah saya berada di negeri yang agak aktif dalam penganjuran kursus-kursus falak tradisional dan moden, melalui Jabatan Mufti Negeri Pahang. Di sinilah saya mula menuntut ilmu dengan malim-malim kosmos bermula dengan Ustaz Hanafiah dan Sifu Shahrin. Kemudian kembara berikutnya membawa saya mengenali tokoh lain seperti PM Dr Baharrudin, Us Md Nor Husain, Prof Dato’ Zamberi dan ramai lagi.
FullSizeRender 24
Dua orang malim kosmos yang amat berjasa kepada saya, Shahrin Falak Online dan PM Dr Baharrudin Zainal (selepas sesi wawancara untuk kajian saya)
Dr Mat Rofa adalah sarjana yang agak berani mencabar status kuo kepercayaan dan pengamalan akademik, bukan sahaja dalam bidang sains dan matematik, tetapi di dalam bidang sejarah dan agama. Walaupun saya percaya ramai yang tidak bersetuju dengan beberapa pegangan beliau, menariknya tidak pernah ditutup pintu untuk berbincang secara harmoni untuk mendengar pandangan berbeza. Ketika ada sekolah pengajian lain yang membicarakan falsafah sains Islam menerusi kacamata pasca modernis atau pasca tradisionalis, Dr Mat Rofa berada di dalam kelas yang tersendiri.
Dalam wacana beliau di PNM semalam, slide pertama pembentangan sahaja telah mula mengocak sel otak saya, melalui istilah ‘Falak Islam’. Cantik aturan Allah, baru sahaja semalam membincangkan peristilahan akademik seputar astronomi dengan Cikgu Bahar dan Shahrin di Putrajaya. Pemurnian dan penapisan korpus astronomi, barangkali. Alhamdulillah, ada modal baru diskusi lanjutan untuk kajian saya.
Beliau juga berjaya mewacanakan topik berat berkaitan astronomi daripada sudut sejarah perkembangan, pengamalan dan perkembangan di Tanah Melayu khususnya menerusi karya Sheikh Ahmad al-Khatib al-Minangkabawi, menyanggah pendekatan sains barat dan lain-lain, dengan laras bahasa rakyat yang mudah difahami. Menerobos minda setiap peringkat audien, adalah satu skil yang jarang dimiliki oleh sarjana. Baik pelajar sekolah, orang yang baru mengenali ilmu falak, ahli sejarah, bahkan pengkaji lanjutan astronomi dan kuantum fizik, ada bahagian masing-masing di dalam wacana beliau.
Dapatkanlah buku terbaru Dr Mat Rofa bertajuk Biografi Sheikh Ahmad al-Khatib al-Minangkabawi. Walau pun tajuk buku ini mencadangkan genre biografi, tetapi hakikatnya, merentasi bidang. Di dalamnya, ada:
1. Biografi Sheikh Ahmad al-Khatib
2. Biografi dan sejarah ulamak Melayu terawal.
3. Sejarah gerakan Islam dan mata rantainya di alam Melayu.
4. Politik Islam.
5. Diari dan pengalaman penulis di dalam politik kampus dan pejabat.
6. Sejarah Falak
7. Perkembangan falak.
8. Rahsia sarjana dahulu yang mahir dalam agama dan sains, menerusi pendekatan ulul albab; zikir dan fikir.
9. Contoh aplikasi matematik al-Khatib yang dikembangkan untuk tujuan falak.
Untuk menulis buku ini, beliau telah berkunjung sendiri ke rumah dan peninggalan Sheikh Ahmad al-Khatib di kampung halamannya. Semuanya, dari sumber primer..
Belilah buku ini, sama ada anda seorang sarjana matematik, peminat manuskrip lama, pengamal astronomi dan falak, seoang ahli gerakan Islam, politikus, ada bahagian masing-masing di dalam buku ini.
Kenyang….
Catatan 10 Mac 2017…

MENGENALI TAFSIR ‘RARE’: TAFSIR SHEIKH TANTAWI JAUHARI

Kali ini, saya ingin berkongsi antara koleksi tafsir yang agak ‘rare’ bertajuk: Al-Jawāhīr Fī Tafsīr Al-Qur’ān Al-Karīm Al-Mushtamil ‘alā ‘Ajā’ib Badā’i’ Al-Mukawwināt Wa Gharā’ib Al-Āyāt Al-Bāhirāt. Diterbitkan di Beirut oleh Dar Ihya’ al-Turath al-’Arabiy, cetakan terkini ialah pada tahun 1991. Kitab tafsir ini saya kategorikan sebagai ‘rare’, kerana ianya tidak popular dalam kalangan pembaca. Bahkan ramai yang tersalah anggap menyatakan ianya karya Sheikh Sayyid Tantawi (bekas Sheikhul Azhar). Kitab ini juga ‘rare’ kerana ketika sarjana sezamannya sibuk dengan ilmu tradisional, beliau membawa tafsir kepada satu ‘level’ berikutnya, iaitu tafsir i’jaz al-‘ilmiy.

upload_2

Siapakah pengarang kitab tafsir ini? Beliau ialah al-Marhum al-Sheikh Ṭantāwī Jauharī. Beliau dilahirkan berhampiran Zaqaziq, Mesir pada tahun 1870M dan meninggal pada 1940M. Berasal daripada keluarga petani, Sheikh Ṭantāwī adalah merupakan seorang pelajar yang amat cemerlang di dalam pengajian agama di peringkat sekolah al-Azhar dan juga sekolah Inggeris awam, sebelum menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar. Pun demikian, memandangkan beliau diuji dengan pelbagai penyakit, beliau terpaksa menghentikan pengajiannya. Apabila pulang ke kampung halamannya, didapati yang bapanya turut sakit. Di situlah, Sheikh Ṭantāwī mempelajari perubatan tradisional dengan penjelasan sainfitik, lantas berjaya merawat dirinya dan juga bapanya, sehingga timbul kesedaran betapa pentingnya mempelajari sains sebagai salah satu cara mengenal Tuhan. Beliau juga sering memerhatikan fenomena alam sekitar. Selepas kembali sihat, beliau menyambung kembali pengajiannya di al-Azhar.

Antara gurunya yang terkenal ialah Sheikh Ali al-Bulaqi, yang mahir berpidato, bahkan sering bermuzakarah ilmiah dengan Sheikh Tantawi. Ilmu astronomi yang dikuasai oleh Sheikh Tantawi dipelajari daripada Sheikh Ali al-Bulaqi. Beliau turut belajar di Darul ‘Ulum Universiti Kaherah lalu meluaskan ilmu pengetahuannya kepada ilmu sains, teknologi dan matematik yang lebih mencabar.

Selepas tamat pengajian, Sheikh Ṭantāwī pernah bekerja sebagai guru di sekolah di Damanhur dan juga di Giza. Ṭantāwī, yang juga amat fasih berbahasa Inggeris, akhirnya dijemput untuk menjadi pensyarah di Darul Ulum, sehingga akhirnya pada tahun 1911, Ahmad Pasha meminta Ṭantāwī untuk mengajar ilmu tafsir dan hadith di Darul Ulum secara khusus.

img_6731
Antara cetakan terkini. Cetakan Halabi, versi e-book boleh dimuat turun di internet. Bagi warga Kuantan, boleh dapati kitab ini di IIUM Library. Ya, pastinya, pemberian ISTAC yang telah ditutup. 

Semasa Perang Dunia Pertama, beliau terpaksa dihentikan daripada perkhidmatan kerana keperluan untuk mencari tentera negara. Walaupun terlibat dalam peperangan, tetapi Ṭantāwī masih kekal dalam lingkaran ilmu. Beliau turut belajar daripada tokoh reformis seperti Sheikh Muhammad Abduh.

Magnum Opus Sheikh Ṭantāwī ialah kitab tafsirnya yang lebih dikenali dengan Al-Jawāhīr Fī Tafsīr Al-Qur’ān Al-Karīm. Menurut Muhammad Husain al-Dhahabi di dalam kitabnya al-Tafsir wa al-Mufassirun, kitab tafsir beliau dikarang semasa mengajar di Madrasah Darul Ulum.

Beliau amat berbangga dengan karyanya sendiri. Pelbagai kritikan diberikan kepada sarjana fiqh, kerana saban tahun hanya menulis dan membincangkan wacana fiqh berjela-jela, dan memperbodoh umat dengan perkara furu’, sedangkan di dalam al-Quran ayat yang membicarakan persoalan hukum yang tidak sarih adalah kurang daripada 150 ayat, sementara ayat yang membincangkan persoalan alam kauniyyah adalah melebihi 750 ayat.

Kritikan turut dilemparkan kepada sarjana teologi atau ahli kalam. Mereka dikritik kerana kerap berdebat dengan ilmu ketuhanan dengan menjadikan al-Quran sebagai sandaran, sedangkan wacana mereka tidak berjaya langsung mengeluarkan rakyat daripada kebodohan.

Tujuan utama Sheikh Ṭantāwī menulis kitab tafsirnya, ialah supaya umat Islam sedar kepentingan menuntut pelbagai jenis ilmu pengetahuan seluas-luasnya, termasukla ilmu fizik, pertanian, ilmu ukur, ilmu moden dan lain-lain. Kata Ṭantāwī:

“Saya diciptakan untuk menyaksikan dan mengagumi serta merindui akan keindahan-keindahan alam dan yang ada di langit, kesempurnaan dan kebaikan yang ada di muka  bumi, kemudian barulah setelah itu saya memikirkan umat Islam dan pendidikan keagamaannya, pengembangannya serta penolakan para ulama terhadap makna keajaiban alam sehingga saya mula menyusun beberapa kitab”.

Kelebihan kitab tafsir Sheikh Ṭantāwī ialah kerana beliau mempersembahkan penulisan dengan begitu sistematik dan analitikal. Tafsirnya juga langsung tidak menyentuh sebarang riwayat Israiliyyat. Terdapat banyak ilustrasi dan gambaran seperti rajah tumbuhan, binatang, alam sekitar, planet, dan lain-lain agar pembaca tafsir memahami bahawa objek sekitar mereka adalah tanda kebesaran Allah.

Akan tetapi, al-Dhahabi mengkritik antara kelemahan tafsir Ṭantāwī ialah di dalamnya, terdapat segala perkara, kecuali tafsir sendiri (fihi kulli shai’ illa al-tafsir), kritikan yang sama dilontarkan ke atas tafsir Mafatih al-Ghaib karya al-Razi.

Beliau hidup di saat menyaksikan umat Islam lemah, terjajah, dan berpecah selepas jatuhnya khilafah. Hidup sezaman dengan Hasan al-Banna, beliau amat mengkagumi tokoh reformis ummah tersebut, dengan menyatakan bahawa Hasan al-Banna sebenarnya lebih hebat daripada al-Afghani dan Muhammad Abduh.

Mudah-mudahan tafsir beliau ini kembali dibaca dan diwacana oleh pelajar-pelajar dan sarjana Muslim pada zaman moden ini.