Apa erti saya merantau ke luar negara?

Dalam sepotong syair, Imam al-Shafie r.a. pernah bermadah:

ما في المقامِ لذي عقلٍ وذي أدبِ مِنْ رَاحَة فَدعِ الأَوْطَانَ واغْتَرِبِ

سافر تجد عوضاً عمَّن تفارقهُ وَانْصِبْ فَإنَّ لَذِيذَ الْعَيْشِ فِي النَّصَبِ

إني رأيتُ وقوفَ الماء يفسدهُ إِنْ سَاحَ طَابَ وَإنْ لَمْ يَجْرِ لَمْ يَطِبِ

والأسدُ لولا فراقُ الأرض ما افترست والسَّهمُ لولا فراقُ القوسِ لم يصب

والشمس لو وقفت في الفلكِ دائمة لَمَلَّهَا النَّاسُ مِنْ عُجْمٍ وَمِنَ عَرَبِ

والتَّبْرَ كالتُّرْبَ مُلْقَى في أَمَاكِنِهِ والعودُ في أرضه نوعً من الحطب

فإن تغرَّب هذا عزَّ مطلبهُ وإنْ تَغَرَّبَ ذَاكَ عَزَّ كالذَّهَبِ

Dan tiadalah duduk setempat bagi orang cerdik dan beradab itu dianggap sebagai rehat # Tinggalkanlah tanah air dan mengembaralah,

Berkelanalah, engkau akan dapat pengganti orang yang kamu tinggalkan # Berusahalah, kerana keindahan hidup itu ada pada berpenat-penatan.

Aku melihat air yang tenang bertakung, mencemar kandungannya sendiri # Sekiranya ialah mengalir, ia akan baik, sekiranya ia tidak mengalir, tercemar.

Singa sekiranya tidak keluar daripada kepompong dunianya, nescaya tidak akan dijinakkan # Anak panah, kalau tidak berpisah dengan busurnya, nescaya tidak akan mengena sasaran.

Matahari sekiranya tidak bergerak daripada orbit selama-lamanya # nescaya akan bosanlah manusia, Arab dan ‘Ajam

Emas hitam (di dalam tanah lombong lagi) adalah sama seperti tanah biasa sekiranya tidak dikeluarkan # Dan kayu ‘aud (dibuat minyak wangi/gaharu-sic) sekiranya kekal di tanah, maka samalah seperti kayu biasa.

Jika (kayu ‘aud) itu dikeluarkan, maka hebat dan tinggilah permintaannya # dan jika (emas tanah hitam) itu dikeluarkan, maka hebatlah ia seperti (menjadi) emas.

ibn haithamSyair ini mengingatkan saya kepada beberapa perkara. Pertamanya, ialah Al-Marhum Tuan Guru dan bapa angkat saya semasa di KISAS, Ustaz Harun. Beliau mengajar subjek balaghah dan adab. Semasa di asrama, saya amat rapat dengan beliau, dan semasa di kelas, subjek beliaulah yang saya tak pernah ponteng. Syair ini diperkenalkan beliau kepada saya, dihafal kemas, dan dijadikan alunan sebelum saya merantau ke luar negara.

Keduanya, syair ini mengingatkan saya kepada kehebatan Imam al-Shafie r.a.. Sekiranya anda boleh memahami bahasa tulisan saya, saya yakin majoriti anda mengikut mazhabnya. Imam al-Shafie adalah imam yang kreatif dalam menyampaikan dakwah, antara menggunakan syair sebagai platform penyampaian. Dan Imam al-Shafie juga terkenal dengan kecekalannya merantau semata-mata untuk menggandakan ilmu pengetahuannya.

Ketiga, syair ini mengingatkan saya kepada bulan September di UK, di mana manusia dari seluruh dunia akan berpusu-pusu masuk ke negara ini, meninggalkan kampung halaman, untuk menimba ilmu pengetahuan. Saya dan komuniti Melayu Aberdeen sejak minggu lepas agak sibuk melayan pelajar-pelajar baru. Pada hari raya pertama sahaja, kami terpaksa pergi 2 kali ke lapangan terbang untuk menjemput mereka.

Apa pun, pokok pangkalnya ialah Islam itu amat sinonim dengan ilmu. Wahyu pertama turun kepada nabi Muhammad adalah dengan anjuran bacaan, iaitu wasilah ilmu. Dan ilmu itu dalam mengejarnya, tidak dapat lari daripada meninggalkan kampung halaman. Walaupun kata-kata ‘Tuntutlah ilmu hingga ke negara China’ itu adalah hadith palsu, akan tetapi tuntutannya itu adalah benar. Nabi sendiri meminta para sahabat meninggalkan tanah air dan belajar ilmu serta bahasa asing. Imam Bukhari pernah merantau lebih 8,000 kilometer semata-mata untuk mendengar dan menilai sepotong hadith sahaja. Imam Shafie merantau ke seluruh bumi Hijaz dan Sham sebelum layak menjadi Imam Mujtahid, sama seperti Imam Mazhab yang lain.

Dunia antara 700 hingga ke 1500 M menyaksikan perkembangan ilmu sains dan sastera. Atas tuntutan Islam, para ilmuan Muslim telah merantau dan menggali khazanah ilmu di setiap wilayah yang mereka terokai untuk pasaran dakwah. Mereka menimba ilmu daripada peradaban Mesir, Iraq, Greek, Parsi, India dan Asia Jauh, lalu meletakkan roh Islam di dalam ilmu tersebut. Menurut Dilnawaz A. Siddiqui, perkembangan ini telah mencetuskan fenomena letusan ilmu pengetahuan di negara Islam terutamanya pada penghujung era Ummayah dan di zaman kemuncaknya pada zaman Abbasiyyah. Lahirnya cendiakawan seperti Jabir Ibn Hayyan (pengasas ilmu kimia moden), Abu Yusuf al-Kindi (falsafah sains Arab), Al-Khwarizmi (algebra), Al-Razi (pakar perubatan, kajian terhadap campak), Abu Ali Ibn Sinna (bapa perubatan moden) dan Abu Rayhan Al-Bairuni (pakar matematik dan geografi) merancakkan lagi letusan tersebut. Semua itu adalah kesungguhan mereka merantau dan menimba ilmu pengetahuan.

Kadang-kadang, seorang ilmuan Islam akan menguasai lebih daripada satu bidang. Contohnya, Abdul Wahid Ibn Rushd, beliau ialah pakar di dalam perubatan, syari’ah dan juga perbandingan undang-undang. Tidak dilupakan juga Abu al-Hasan Al-Mas’udi, pakar di dalam sains, sejarah, antropologi, geografi dan geologi. Menurut M. Basheer Ahmed, ketika itu ramai orang-orang Eropah yang hidup dalam era kegelapan, datang dan menimba ilmu pengetahuan daripada pusat pengajian Islam. Mereka mempelajari bahasa Arab, dan membawa buku-buku teks Arab ke Eropah untuk rujukan di perpustakaan mereka. Dengan sebab itulah kita dapat banyak melihat banyak buku-buku lama Arab di dalam simpanan kutubkhanah Eropah. Di UK, anda boleh melihat di British Library, betapa banyaknya koleksi kitab-kitab lama Arab di dalam simpanan mereka. Bagi yang berada di Scotland, boleh melihat sendiri khazanah kitab lama di Perpustakaan University of St Andrews (masih disimpan walaupun tiada lagi kursus pengajian Islam di universiti tersebut). Sementara di Ireland pula, anda boleh pergi ke Chester Beatty Library di tengah bandar Dublin untuk melihat betapa banyak dan pelbagainya khazanah ilmuan Islam yang dipamerkan.

Selain itu, banyak juga istilah-istilah sains dalam bahasa Arab, telah di’English’kan. Antara yang masyhur ialah kimia, fizik, kornea dan macam-macam lagi. Bahkan istilah ‘medicine’ sendiri sebenarnya berasal daripada perkataan bahasa Arab midad Ibn Sina (dakwat pena Ibnu Sina).  Semua kecemerlangan ini adalah kesan daripada kesungguhan cendiakawan-cendiakawan Muslim yang sanggup berkorban apa sahaja, merantau dan berkelana, demi menimba khazanah ilmu pengetahuan dari seluruh pelusuk dunia.

Kini zaman telah berubah. Kegilangan ilmu pengetahuan kini dipegang oleh masyarakat Eropah atau barat secara umumnya. Ini adalah realiti semasa yang tidak dapat ditolak lagi, kalau tidak, masakan ramai sungguh manusia berbondong-bondong datang ke sini untuk menimba ilmu. Rujukan-rujukan utama dan laporan kajian terkini daripada pengkaji yang berkredibiliti juga banyaknya hanya boleh diperolehi daripada dunia akademik barat. Rakyat Malaysia juga tidak terkecuali daripada fenomena ini. Tidak kiralah, sama ada kos belanja yang agak tinggi, atau kesukaran mencari penaja, atau krisis ekonomi yang meruncing, setiap tahun akan ada pelajar Malaysia yang datang ke sini.

Apa yang berlaku sekarang di Eropah, itulah yang berlaku di dunia Islam suatu masa dahulu. Pusat ilmu telah beralih daripada dunia Islam ke dunia barat. Kalau dahulu, dunia barat mengharapkan bantuan daripada dunia Islam untuk memajukan bangsa mereka, akan tetapi yang berlaku kini sebaliknya. Mungkin ini adalah jawapan ringkas kepada persoalan saya, apa erti saya merantau ke luar negara, iaitu saya ingin belajar untuk memajukan bangsa saya. Kalau begitulah jawapannya, maka samalah kita dengan John, Edward, Samantha, Marry atau Glen yang mungkin suatu masa dahulu pernah belajar di dunia Islam. Akan tetapi, sebagai Muslim, persoalan ini perlu dilihat daripada perspektif yang lebih halus. Atau dengan ayat lain, kita perlu menghalusi peranan kita sebagai pelajar apabila merantau ke luar negara. Antaranya:

1. Kelayakan belajar di luar negara menunjukkan yang anda mempunyai sedikit kelebihan berbanding rakan-rakan yang lain. Kelebihan itu boleh jadi dalam bentuk kecerdikan, kemampuan kewangan dan nasib baik. Justeru sewajarnya kelebihan itu diterjemahkan dengan kesungguhan di dalam kelas, kajian, peperiksaan, penulisan dan seumpamanya di dalam kehidupan akademik, bagi memastikan kita menjadi pelajar yang cemerlang.

2. Kecemerlangan bukannya perlu dilihat dari sudut keputusan peperiksaan semata-mata, tetapi ianya perlu diterjemahkan sebagai kita mempunyai kepakaran tahap tinggi terhadap bidang yang kita pelajari. Sekiranya anda belajar dalam bidang perubatan, bukannya semata-mata mendapat gred yang tinggi di dalam peperiksaan, tetapi perlu mencari peluang untuk terus menjadi pakar dalam pengkhususan yang dicari. Begitu juga dengan bidang kejuruteraan, senibina, geologi, perbankan dan lain-lain.

3. Ramai yang beranggapan belajar di luar negara di dalam bidang selain daripada pengajian agama, bermaksud kita belajar dalam sistem sekular. Saya tidak nafikan perkara itu. Akan tetapi menjadi satu kesilapan besar kalau pelajar yang berada di dalam sistem sekular, akan menghasilkan produk yang sekular juga. Yang pentingnya ialah bukannya persekitaran sistem pembelajaran, akan tetapi bagaimana kita meletakkan roh Islam di dalam bidang yang kita pelajari. Sebagai contoh, bagi pelajar kejuruteraan, banyak ayat di dalam al-Quran sebenarnya memberikan garis panduan terhadap bidang tersebut, seperti yang boleh dilihat di sini. Lantas sekiranya bertemu dengan ayat dan ilmu kejuruteraan yang saling berkait, hati mereka akan teringat Allah, lalu terpancarlah ruh Islam di dalam ilmu yang mereka pelajari. Begitu juga dengan ilmu perubatan, betapa banyak ayat al-Quran yang diturunkan 14 kurun yang lepas mengenai bidang tersebut, hanya terbukti kebenarannya dengan kajian moden.

4. Sekiranya berjaya meletakkan roh Islam di dalam sistem sekular, maka apabila masuk di dalam pasaran pekerjaan nanti, produk yang dihasilkan juga akan menjadi Islamik. Bagi penuntut senibina arkitek sebagai contoh, perlu dikaitkan bidang mereka dengan syariat Islam, agar segala hasil senibina mereka sejajar dengan piawaian fiqh Islam, dari sudut taharah, percampuran lelaki dan perempuan, kemudahan solat dan sumpamanya. Selain itu, saya juga berpandangan yang secara asasnya, tidak ada ilmu yang dinamakan ilmu sekular. Seperti di dalam artikel saya Islam tanpa Muslim, nabi Muhammad sendiri telah mengiktiraf bahawa apa sahaja kebijaksanaan yang ada, maka itu adalah barang cicir yang perlu direbut kembali oleh Mukmin. Ilmu itu bukan sekular, tapi ianya adalah Islamik. Yang mensekularkannya ialah pemegang amanah ilmu tersebut ketika ianya dipraktikkan di medan sebenar tetapi lari daripada tautan agama.

5. Hidup anda di perantauan tidak akan sempurna tanpa anda berkawan dengan Muslim tempatan dan dari negara lain. Inilah masanya anda melihat keluasan dan kepelbagaian pandangan di dalam fiqh Islam, lantas sepatutnya anda terdorong untuk meningkatkan lagi perbendaharaan ilmu agama anda bagi mencari hujjah terhadap amalan yang menjadi kebiasaan di kampung halaman. Di sinilah anda akan melihat kepelbagaian cara solat, khilaf di sebalik menyapu stokin ketika berwudu’, kebenaran menjamakkan solat di tempat permukiman dan seumpamanya, sesuatu yang mungkin di tanah air menjadi stigma untuk diperbincang apatah lagi untuk diamalkan.

6. Percaya atau tidak, ramai pelajar yang datang ke UK, menjadi insan yang lebih wara’ berbanding kehidupan mereka sebelum datang ke sini. Masakan tidak, sekiranya kita boleh mengelak diri daripada tarikan duniawi di sini, maka hati yang kosong akan diisi untuk mengingati Allah. Bagi sesetengah pelajar Malaysia, mereka lebih senang dengan suasana di sini. Contohnya, daripada aspek komitmen yang semakin berkurangan apabila berjauhan dengan keluarga, jumlah rakan yang sedikit, tiadanya kedai makan atau pusat membeli-belah yang buka hingga ke tengah malam (apatah lagi yang 24 jam), kos pengangkutan yang tinggi lantas mengehadkan pergerakan, dan seumpamanya.

7. Di UK, anda akan dapati di kebanyakan tempat, wujudnya pertubuhan pelajar atau masyarakat Melayu berasaskan Islam. Mereka meletakkan roh Islam di dalam program kemasyarakatan dan kebajikan masing-masing. Selain itu, di Jabatan Penuntut Malaysia London, ada sekumpulan ustaz dan ustazah yang bernaung di bawah Attache Pendidikan Ustaz Erfino melalui Council of Religious Leaders yang boleh dijadikan rujukan di dalam bab agama. Mereka sering diundang untuk memberikan pengisian. Dengan sebab itulah, saban tahun akan ada program himpunan berasaskan Islam, seperti di Ireland, Perhimpunan Ukhuwah Islamiyah Seluruh Ireland (PUISI), dan di UK adanya program FUIYO. Itu hanya sebahagian kecil contoh, banyak lagi penganjur dan program lain yang boleh diikuti, termasuklah kuliah online, usrah mingguan anjuran komuniti Malaysia, serta wacana Ilmiyyah. Sebagai pelajar yang beramanah meletakkan roh Islam di dalam diri mereka, sewajarnya program-program sebegini perlu dijadikan kelaziman.

8. Kemuncaknya, peranan seorang perantau yang menimba ilmu pengetahuan, sebenarnya telah disebut di dalam al-Quran:

وَمَا كَانَ ٱلْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةً فَلَوْلاَ نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَآئِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوۤاْ إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mu’min itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari sebahagian kumpulan antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.

(Al-Taubah:122)

Saya berpandangan yang para pelajar yang merantau ke luar negara, adalah termasuk di dalam kategori yang disebut di dalam ayat di atas. Kita mendapat keistimewaan, lapang masa daripada terlibat dengan kesibukan di tanah air, perlu memanfaatkan pilihan yang Allah berikan kepada kita untuk menjadi pakar dalam bidang pengajian masing-masing, perlu juga usaha untuk mendalami ilmu agama dan seni berdakwah. Tujuannya ialah, apabila pulang nanti, kitalah yang menjadi agen perubahan, memberikan inzar atau peringatan kepada masyarakat. Di sini adalah tempat yang amat subur untuk mempelajari seni berdakwah. Pastikan anda terlibat dengan aktiviti dakwah kepada penduduk tempatan, libatkan diri dalam dialog pelbagai agama, baca buku karangan orientalis dan sarjana barat bagi memahami Islam daripada perspektif mereka, dan bina pemikiran kritis untuk menjawabnya. InsyaAllah apabila anda pulang nanti, anda akan menjadi teknokrat dan du’at yang terkemuka, mampu menterjemah Islam itu sebagai rahmat untuk semua Muslim dan non-Muslim.

Akhirnya, saya yakin cadangan-cadangan saya di atas boleh dijadikan jawapan kepada persoalan terhadap apa erti saya merantau ke luar negara bagi seorang pelajar. Dan sebahagian contoh lagi mungkin menjawab persoalan, bagaimana caranya untuk mencapai erti tujuan tersebut. Kreatifkan diri anda untuk memenuhi tuntutan kita berhijrah meninggalkan kaum halaman.

13 thoughts on “Apa erti saya merantau ke luar negara?

  1. salaam,

    Artikel yang amat bagus, boleh juga di apply di Australia ni walaupun suasana sedikit berbeza.
    Akhi, mintak izin ana nak ‘cut & paste’ kat facebook yer, sebar2kan ilmu.
    sila2 tafaddhal

  2. Ada sahabat pergi ke conference complementary medicine. Seorg prof dari New Zealand bentang kajian pasal madu lebah, siap quote ayat2 Quran pasal madu. Patutnya umat Islam yang mendahului kajian2 sebegini. Ada peluang, balik Kuantan esok kita start…
    AF:menarik tu. boleh buat joint research

  3. Tidak salah juga berkawan dengan locals yang baik hati.
    Anda akan rasakan mereka lebih mesra dari orang malaysia sendiri.🙂
    Juga betapa perbezaan antara kita (muslim, christian dan yahudi) seperti satu garisan lurus yang nipis.

    AF: Amat setuju. tulah saya tulis juga artikel Islam tanpa Muslim. Cuma perbezaan kita dengan mereka daripada aspek aqidah, adalah perbezaan yang besar🙂

  4. Syukran atas pencerahan ini…
    moga dapat menguatkan semangatku menimba ilmu dan syiar Islam di benua ini..
    Barakallah..

  5. Pingback: Sesak « my museum
  6. entri yang meletakkan masa lalu pada derap langkah masa kini – benarlah syair juga umpama buku yg merupakan bicara bisu ilmuwan terdahulu. bilalah saya boleh mengembara lagi?

Terima kasih atas komen dan pandangan balas anda

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s