SERBAN
Secara umum, ramai berpandangan bahawa serban adalah pakaian orang agama. Serban, merupakan perhiasan kepala lelaki. Banyak bangsa di dunia ini, secara tradisinya, mempunyai perhiasan kepala sendiri. Contohnya, orang Melayu terkenal dengan destar, tengkolok atau tanjak.

Serban merupakan antara pakaian nabi. Selain serban, nabi juga dilaporkan dalam hadith, memakai jubah, izar (kain sarung belah bawah pusat), rida’ (kain/pakaian belah atas pusat) dan pelbagai istilah lain. Dalam Sahih Muslim (2420), Amru meriwayatkan:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطَبَ النَّاسَ وَعَلَيْهِ عِمَامَةٌ سَوْدَاءُ
Yang bermaksud: Sesungguhnya Rasulullah SAW berkhutbah di hadapan manusia dengan memakai serban hitam.
Dengan meneliti riwayat yang lain, hadith ini dilaporkan selepas Rasulullah berjaya membuka Kota Makkah. Banyak lagi riwayat lain yang menceritakan nabi memakai serban, seperti ketika berwudu’ untuk solat, seperti yang akan dibincangkan nanti.
SERBAN; ANTARA SUNNAH ADAT DAN SUNNAH IBADAT
Tidak dinafikan, serban adalah adalah antara pakaian sebahagian orang Arab, termasuklah juga semasa zaman nabi Muhammad SAW. Oleh kerana baginda lahir dalam kalangan Arab Quraish yang memakai serban, maka nabi juga memakai serban.
Perbahasan sama ada pemakaian serban adalah sunnah adat orang Arab, atau sunnah ibadah yang disyariatkan atau digalakkan, adalah perbahasan khilaf klasik dalam kalangan ulama’. Apa yang pasti, tiada riwayat sahih yang benar-benar menceritakan secara langsung, mengenai galakan memakai serban. Kalau ada pun, hanyalah dalil yang bersifat umum. Riwayat sahih yang ada hanya melaporkan nabi dan para sahabat, memakai serban.
Memadai dengan kita merujuk pandangan Sheikh Muqbil al-Wadi dalam kitab Tuhfah al-Mujib:
تحفة المجيب على أسئلة الحاضر والغريب (1: 138)
العمامة تعتبر من عادات العرب التي أقرها الإسلام، أما أنّها تصل إلى حد السّنيّة فلا تصل إلى حد السنية، فهي تعتبر عادة، لكن إذا نويت الاقتداء برسول الله صلى الله عليه وعلى آله وسلم تثاب على الاقتداء برسول الله صلى الله عليه وعلى آله وسلم
Serban merupakan adat orang Arab yang Islam akui pemakaiannya. Adapun isu adakah ianya termasuk dalam perkara sunnah (sunnah ibadat), maka secara asasnya tidak. Kerana ia adalah adat. Akan tetapi sekiranya pemakainya berniat untuk mengikuti cara pemakaian nabi Muhammad (iqtida’), maka dia akan mendapat pahala iqtida’ nabi.
Ini berdasarkan umum firman Allah:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (Al-Ahzab:21)
ISTILAH DAN ANATOMI SERBAN
Dalam Bahasa Arab, serban dipanggil ‘imamah (عِمَامَة).
Antara nama lain untuk serban dalam bahasa arab, ialah al-Mukawwarah (المكورة), al-‘Isobah (العِصَابة), al-Mi’jar (المِعْجَر), al-‘Amar (العَمَار), al-Mishwaz (المِْشَوذ), al-Muqotto’ah (المُقَعَّطة), al-Talthimah (التَّلْثيمة). Nama-nama ini berdasarkan sifat cara ikatannya, dan sifat ekornya.
Ekor serban pula, dikenali sebagai al-‘azabah (العَذَبة), al-zu’abah (الذُّؤَابَة) atau al-zauqalah (الزَّوْقَلَة).
Ada sebahagian yang menyatkan ekor pertama bawah serban itu al-azabah sementara ekor kedua di bahagian atas serban sebagai al-zu’abah.

Antara istilah lain untuk serban, ialah
al-Mila’ (المَيْلاء) untuk serban yang ekornya jatuh di bahagian tepi kepala.
al-Qafda’ (القَفْدَاء) untuk serban yang tiada ekor, seperti serban hafiz.
al-‘Ajra’ (العَجراء) untuk serban tebal.
WARNA SERBAN
Secara umum, nabi suka memakai pakaian berwarna putih, termasuklah serban. Ini berdasarkan umum hadith nabi dalam Sunan Ibn Majah:
الْبَسُوا ثِيَابَ الْبَيَاضِ، فَإِنَّهَا أَطْهَرُ وَأَطْيَبُ
Yang bermaksud: Pakailah pakaian putih, kerana ia lebih suci dan baik.
Nabi juga pernah diriwayatkan memakain serban hitam semasa dan selepas Fath seperti hadith pertama di atas. Sebahagian ulama’ berpandangan, kerana ada riwayat yang menggunakan lafaz dasma’, bukannya sauda’, iaitu yang dimaksudkan dalam Fath Makkah itu ialah tidak terlalu hitam, atau mungkin asalnya putih tetapi sedikit kotor kerana lama dipakai dalam musafir dan peperangan.
Secara umumnya, selagi mana tidak bercanggah dengan syara’ dan tidak sombong, maka tiada masalah dengan warna serban.
EKOR SERBAN
Dalam hadith, adalah jelas bahawa nabi mengikat serban dan menyimpan ekor yang dipanjangkan antara dua bahu baginda. Dalam hadith Amru riwayat Abu Daud, beliau berkata:
رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمِنْبَرِ وَعَلَيْهِ عِمَامَةٌ سَوْدَاءُ قَدْ أَرْخَى طَرَفَهَا بَيْنَ كَتِفَيْهِ
Yang bermaksud: Aku melihat nabi SAW atas minbar, memakai serban hitam, hujungnya (ekor serban) terjuntai antara kedua bahunya.
ISBAL DAN BERBANGGA DENGAN MEMAKAI SERBAN
Secara umum, semua pakaian shahirah (untuk tujuan berbangga) adalah diharamkan. Ini termasuklah serban. Sekiranya memakai serban untuk tujuan berbangga, maka elakkanlah. Pakailah serban kerana ia pakaian nabi, para sahabat dan orang yang soleh.
Dalam Sunan Abu Daud (3571), dinyatakan bahawa isbal dan berbangga melalui cara berpakaian, bukan sahaja boelh berlaku dengan melabuhkan jubah atau seluar, tetapi juga dengan memakai serban. Sabda nabi:
الْإِسْبَالُ فِي الْإِزَارِ وَالْقَمِيصِ وَالْعِمَامَةِ مَنْ جَرَّ مِنْهَا شَيْئًا خُيَلَاءَ لَمْ يَنْظُرْ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Yang bermaksud: Isbal (menjulurkan kain) itu ada pada sarung, baju dan serban. Siapa yang memanjangkan salah satu darinya kerana sombong, maka Allah tidak akan melihatnya kelak pada hari kiamat.
SERBAN DAN WUDU’
Dalam Sunan Abi Daud (126), ada riwayat mengenai nabi memakai serban ketika berwudu’, dengan dilihat nabi mengusap (al-mashu) serban baginda.
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ
رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَوَضَّأُ وَعَلَيْهِ عِمَامَةٌ قِطْرِيَّةٌ فَأَدْخَلَ يَدَهُ مِنْ تَحْتِ الْعِمَامَةِ فَمَسَحَ مُقَدَّمَ رَأْسِهِ وَلَمْ يَنْقُضْ الْعِمَامَةَ
Daripada Anas bin Malik dia berkata; Saya pernah melihat Rasulullah SAW berwudu’ dalam keadaan memakai serban qithriyah, beliau memasukkan tangannya dari bawah serbannya kemudian mengusap bahagian depan kepalanya tanpa menanggalkan serban.
Dalam Mazhab Shafi’i, yang diwajibkan untuk diusap semasa berwudu’ hanyalah sebahagian daripada kepala. Dalam isu ini, Imam al-Nawawi berkata dalam kitab Majmu’:
قال النووي في “المجموع” (1/440) :
“قال أصحابنا : إذا كان عليه عمامة ولم يُرِدْ نزعها لعذر ولغير عذر مسح الناصية كلها , ويستحب أن يتم المسح على العمامة ، سواء لبسها على طهارة أو حدث , ولو كان على رأسه قلنسوة ولم يرد نزعها فهي كالعمامة فيمسح بناصيته , ويستحب أن يتم المسح عليها
Yang bermaksud:Telah berkata ulama’ Mazhab kami: Sekiranya seseorang memakai serban, dan dia tidak mahu menanggalkannya sama ada dengan keuzuran atau tanpa keuzuran, maka dia perlu mengusap nasiah (hujung kepalanya) keseluruhannya. Dan digalakan untuk menyempurnakan usapan tersebut ke atas serbannya, sama ada dia ketika mula dia memakai serban itu dalam keadaan bersuci atau berhadath. Sekiranya seseorang itu memakai kopiah atau songkok, dan tidak mahu menanggalkanya semasa berwudu’, maka hukumnya sama seperti serban, perlu diusap nasiah (hujung kepalanya) dan disempurnakan usapan tersebut ke atas kopiah atau songkoknya.
DOA MEMAKAI SERBAN
Doa memakai serban, adalah sama dengan doa memakai pakaian lain, seperti yang diajar nabi. Dalam Sunan al-Tirmidhi (1689), Abu Said melaporkan:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اسْتَجَدَّ ثَوْبًا سَمَّاهُ بِاسْمِهِ عِمَامَةً أَوْ قَمِيصًا أَوْ رِدَاءً ثُمَّ يَقُولُ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ كَسَوْتَنِيهِ أَسْأَلُكَ خَيْرَهُ وَخَيْرَ مَا صُنِعَ لَهُ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ وَشَرِّ مَا صُنِعَ لَهُ
“Jika Rasulullah SAW mengenakan pakaian baru beliau selalu menyebut namanya / memberi namanya, sama ada serban, gamis ataupun rida’. Setelah itu baginda berdoa:
( اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ كَسَوْتَنِيهِ أَسْأَلُكَ خَيْرَهُ وَخَيْرَ مَا صُنِعَ لَهُ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ وَشَرِّ مَا صُنِعَ لَهُ)
(Ya Allah, segala puji hanya milik-Mu, Engkau telah mengenakan pakaian itu kepadaku. Maka aku meminta kebaikannya dan kebaikan apa yang dibuat untuknya. Dan aku berlindung kepadamu keburukannya dan keburukkan apa yang dibuat untuknya).
Allahua’lam.