MEMAHAMI KEPENTINGAN TAYABAYYUN DARIPADA RESPON AWAM TERHADAP KRITIKAN RORA KE ATAS TGHAHA

Di dalam al-Quran, surah al-Hujurat merupakan surah wajib baca bagi orang Islam, kerana ianya memperkenalkan etika sosial dalam hidup bermasyarakat. Antaranya, ialah kepentingan sikap tabayyun apabila mendapat sesuatu berita yang tidak pasti. Firman Allah

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan (49:6). 

PERMASALAHAN AYAT : Sekiranya datang berita yang tidak pasti (fisq – sinonim dengan ketidakpastian)

PENYELESAIAN – Perlu tabayyun – selidik kebenaran berita tersebut. Bukan tolak terus. Bukan terima terus. Verifikasi.

Sekiranya gagal membuat tabayyun, maka:

IMPLIKASI 1 – tersebarlah kejahilan atau kebodohan bukan sahaja kepada kamu, tetapi kepada manusia seluruhnya di sekeliling kamu.

IMPLIKASI 2 – yang gagal tabayyun akan menyesal.

SEBAB NUZUL

Menurut riwayat Ibn ‘Abbas, ayat ini diturunkan merujuk kepada peristiwa al-Walid bin ‘Uqbah bin Abi Mu’yth, yang menjadi utusan Rasul untuk memungut zakat dari Bani Musthaliq. Ketika Bani Musthaliq mendengar kedatangan wakil Rasul ini, mereka menyambutnya secara berduyun-duyun dengan sukacita. Mendengar hal itu, al-Walid, menduga bahawa mereka akan menyerangnya, mengingat pada zaman Jahiliah mereka saling bermusuhan. Di tengah perjalanan, al-Walid kemudian kembali dan melapor kepada Nabi, bahwa Bani Musthaliq tidak bersedia membayar zakat, malah akan menyerangnya. Rasul. marah, dan mengirim pasukan kepada Bani Musthaliq. Tiba-tiba, datanglah utusan mereka seraya menjelaskan duduk persoalan yang sesungguhnya. Lalu, Allah menurunkan ayat keenam dalam surat al-Hujurat ini.

IMAM AL-SHAFIE DAN TUDUHAN MENYERANG SHI’AH

Di dalam sejarah, Imam al-Shafi’i pernah juga menjadi mangsa tuduhan tanpa tabayyun apabila berurusan dengan kumpulan shi’ah. Cuma ceritanya mungkin sedikit berbeza dengan TGHAHA. Yang perlu dilihat, ialah sensiviti sunni ke atas shi’ah, dan juga kepentingan tabayyun sebelum membuat sebarang tindakan.

Di dalam Manaqib al-Imam al-Shafi’i karya al-Imam al-Baihaqi, disebut bahawa khalifah Harun al-Rashid mendengar khabar tentang al-Shafi’i yang dituduh mengusir seorang ‘alawi (penyokong Saidina Ali – Shi’ah) dari Yaman. Sebenarnya, berita itu tidak benar.

Akan tetapi, Harun al-Rashid percaya dengan berita tersebut, tidak tabayyun, lalu marah, dan menghantar satu pasukan untuk menangkap Imam Shafi’i untuk diambil tindakan. Selain Imam Syafi’i ada 17 orang yang juga ditangkap. Sembilan orang telah dibunuh oleh al-Rashid. Muhammad bin Hasan cuba campur tangan namun tidak berjaya. Imam Shafi’i akhirya dibawa masuk menghadap.

Imam Syafi’i berkata kepada Sultan Harun al-Rashid, “Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan (49:6). 

Ar-Rashid kemudian berkata, “Bukankah berita tentangmu itu benar?”

“Wahai Amirul Mukminin, bukankan setiap orang di muka bumi ini yang mengaku pengikut Ali pasti beranggapan bahawa semua orang adalah hambanya ? Bagaimana mungkin aku akan mengusir seseorang yang akan menjadikanku sebagai hambanya ? Bagaimana mungkin aku dengki dengan keutamaan Bani Abdi Manaf sedang aku sebahagian dari mereka dan mereka sebahagian dariku : “ jelas Imam Shafi’i. Mendengar akan penjelasan langsung daripada Imam al-Shafi’i, kemarahan Sultan Harun al-Rashid pun reda.

KEPENTINGAN TABAYYUN

Atas pengalaman itu, Imam al-Shafi’i menjelaskan ayat di atas dengan menyatakan, “Allah memerintahkan kepada seseorang yang ingin membuat pendirian, agar tabayyun, klarifikasi dan verifikasi terlebih dahulu”.

Ada satu riwayat bacaan Al-Kisa’i dan Hamzah yang membaca ayat itu dengan ‘fatathabbatu’ (فتثبتوا). Kata al-Shaukani, ‘tabayyun’ bermaksud memeriksa dengan teliti setelah mendengar langsung daripada pihak yang terlibat. Sementara ‘tathabbut’ pula bermaksud tidak terburu-buru membuat keputusan selepas mendengar sesuatu berita.

Ada sepotong hadith mursal daripada al-Hasan al-Basri:

التبين من الله ، والعجلة من الشيطان فتبينوا

Tabayyun dari Allah, gelojoh dari syaitan. Maka hendaklah kamu tabayyun. (Sebahagian menyatakan hadith ini do’if, tetapi maknanya hasan & betul). 

IMPLIKASI TIDAK TABAYYUN DI SEBALIK ISU KEHADIRAN TGHAHA KE TEHRAN

Pada pemerhatian saya, kritikan yang menggunakan bahasa yang agak keras mula dilemparkan oleh seorang tokoh akademik, bekas ikhwan tetapi kini anti ikhwan serta hidup dalam dunia sendiri, di luar negara. Kemudian disahut oleh beberapa individu lain. Amat ketara sekali, tidak tabayyun.

Apabila dikritik tidak tabayyun, maka mereka merujuk kepada beberapa kenyataan termasuklah daripada web rasmi KUIS Malaysia dan Ketua Penerangan PAS PUSAT.

Malang sekali, kenyataan dari web rasmi KUIS Malaysia dan YB Temerloh berkenaan, juga tidak cermat, TIDAK TABAYYUN daripada sumber yang sepatutnya dekat dengan mereka, sosok tubuh TGHAHA sendiri, dengan menyatakan antara lain, TGHAHA dihantar sebagai wakil KUIS. Akhirnya, ianya dinafikan oleh KUIS sendiri.

Hasilnya, tersebarlah kejahilan dalam kalangan penyokong kedua-dua pihak serta orang awam. Maka seolah-olah harus hukumnya mencela sewenang-wenangnya orang berilmu dalam kalangan masyarakat Islam dengan sebab TIADA TABAYYUN ANTARA KEDUA-DUA PIHAK.

Kejahilan mula tersebar. 

Yang tidak tabayyun pun, mula menyesal. 

Tepat sungguh peringatan Allah….

HORMATILAH ORANG BERILMU WALAUPUN TIDAK SAMA PENDEKATAN. DAGING ULAMA’ BERACUN

Bagi orang awam seperti saya, boleh sahaja kita tidak bersetuju dengan pendapat mana-mana sarjana Muslim. Tetapi untuk mencela mereka, jauh sekali daripada adab dan akhlak. Apatah lagi untuk memanaskan suasana dan keadaan. Ingatkan pesanan Ibn Asakir:

أن لحوم العلماء مسمومة، وعادة الله في هتك أستار منتقصيهم معلومة، فإن من أطلق لسانه في العلماء بالثلب، ابتلاه الله تعالى قبل موته بموت القلب

“Sesungguhnya daging ulama’ itu adalah beracun. Kebiasannya, Allah akan menyingkap tirai (buka aib) pencela ulama’. Sesiapa yang ringan lidahnya dalam mengejek ulama’, Allah akan ujinya sebelum mati, dengan mati hati (kering hati)”. 

ULANGKAJI PAKEJ NASIHAT AL-HUJURAT

Nasihat saya untuk diri saya dan juga penyokong kedua-dua pihak, bacalah kembali surah Al-Hujurat sebagai pakej nasihat etika sosial dalam kehidupan orang beriman.

Lihat juga peringatan Allah:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. (Al-Isra’, 17:36)

Dan juga peringatan nabi,

كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع

Memadai seseorang itu dianggap berbohong, apabila dia hanya bercakap, membahaskan, apa yang dia dengar (tanpa tabayyun, kemudian buat pendirian, dan disebarkan) (Sahih Muslim).