حمدا لله دبر الخلق في كل وقت و ساعة، و صلاة و سلاما على محمد، قطب الدين و مركز الدائرية، كمدين درڤد،

ساڽ تتكل لڤس الفقير ماسوق كدالم تامن٢ شرݢ د باݢن لڠ، دان لڤس الفقير منونتوت علوم درڤد الاستاذ المشارك الدكتور بحرالدين، سڤرتمن بلياو مندڠر درڤد ݢورو٢ڽ، موݢا كيتا مڠمبيل منفعت درڤدڽ د دنيا دان د اخرة، مك دتوليس اكن مكاله ريڠكس اين،

Aduhai, terasa lama sungguh menaip dalam jawi dan sedikit bahasa Melayu kitab kuning.

Saya amat tertarik dengan sosok peribadi Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin, setelah 2 hari bersama dengan PM Dr Baharrudin Zainal, moga Allah kurniakan kesihatan, lapang masa, dan keberkatan dalam hidup guruku ini. Walaupun perguruan saya kali ini lebih bertujuan bagi mengenali kitab-kitab turath Melayu yang menceritakan perihal ilmu falak moden, tetapi yang ingin saya kongsikan dalam ruang ini ialah AKHLAK DAN KEMAHIRAN INSANIAH Sheikh Tahir Jalaluddin (m. 1956) dalam kembara ilmiahnya. Saya ringkaskan seperti berikut:

Sheikhtahir
Gambar Sheikh Tahir di usia muda

 

1. Sabar, istiqamah dan maju ke hadapan. Dengan membawa aliran pembaharuan, beliau sering dituduh sebagai “wahabi” di zamannya. Sheikh Tahir pernah menjadi Mufti Negeri Perak selama 3 tahun selepas menjadi Hakim Besar Mahkamah Syariah di Taiping, tetapi fatwanya banyak ditolak oleh Kaum Tua. Akan tetapi beliau tidak pernah undur ke belakang, sebaliknya terus memberikan sumbangan kepada masyarakat. Tak perlu melayan orang yang suka menyerang pendekatan kita, sebaliknya fokuskan kepada manfaat yang ingin kita berikan hari ini kepada orang lain.

2. Mempermudahkan penyampaian ilmu kepada golongan penuntut dan kepada orang awam. Ketika mana hitungan ilmu falak di zamannya masih menggunakan hisab munajjimin yang banyak bergantung kepada zodiak, Sheikh Tahir mempermudahkannya dengan sifir logaritma. Dalam muqaddimah, berkata Sheikh Tahir, “…mengira waktu yang lima dan hala qiblat itu ialah perkara yang amat penting dalam agama ….. akan tetapi segala kaedah2 yang telah dapat diaturkan oleh mereka itu sentiasa jua berkehendak kepada dihalusi …..hingga kerapkali menjadikan JEMU dan MANTUL hati kebanyakan penuntut daripada yang demikian itu.

3. Amat menghormati guru-gurunya. Antara gurunya ialah Sheikh Ahmad bin Abdul Latif al-Khatib al-Minangkabawi, Sheikh Muhammad Abi Fadhal, Sheikh Muhammad bin Yusuf al-Khayyat, semua dipuji serta didoakan di dalam kitabnya. Beliau juga berguru dengan sarjana matematik dan astronomi di London.

4. Memartabatkan bahasa ibunda sebagai bahasa penyampaian ilmu. Kitab ‘Pati Kiraan’ merupakan terjemahan kepada kitab bahasa Arab tulisan beliau ‘Nukhbah al-Taqrirat’. Pendeta Za’ba merupakan editor Pati Kiraan, maka tidak hairanlah kualiti bahasa Melayu tingginya. Beliau memartabatkan bahasa ibunda sendiri, maka digunakan banyak istilah bahasa seperti ‘lanjut’ dan ‘lintang’ bumi sebagai ganti kepada latitud dan longitud bumi, paku bumi merujuk kepada paksi/axis, ‘pedoman saku’ sebagai ganti kepada ‘compas’ dan lain-lain. Sayang sekali, usaha beliau dan Pendeta Za’ba untuk memartabatkan bahasa ibunda di dalam Sains dan Matematik, dipandang sepi oleh pemimpin politik moden.

DSC00878
Gambar Sheikh Tahir di lewat usianya

5. Pandai berniaga demi waqaf ilmu. Hasil keuntungan perniagaan digunakan untuk rehlah menyampaikan ilmu serta belanja cetakan kitab. Menurut PM Dr Bahar, seorang lagi tok guru yang pandai berniaga ialah Sheikh Abdul Latif Tambi al-Malakawi al-Tengkerawi, yang mana buku beliau dicetak dan diedar secara percuma dengan menggunakan keuntungan perniagaan.

 

13913836_10154562715636037_4612127231349163019_o

+ Buku PM Dr Baharrudin Zainal ini boleh diperolehi daripada Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Selangor.