tantawiMendengar berita Syeikhul Azhar Muhammad Sayyid Tantawi mengharamkan pemakaian niqab (purdah yang menutup muka) di dalam kelas di Universiti al-Azhar, menyebabkan saya rasa terpanggil untuk memberikan sedikit pandangan. Pengharaman itu hanyalah berkuatkuasa di dalam asrama penginapan, institusi pendidikan dan kelas yang mana tidak membabitkan percampuran lelaki dan wanita. Adapun di premis yang menyaksikan percampuran lelaki dan wanita, pemakaian niqab masih dibenarkan. Tantawi dilaporkan mengeluarkan arahan tersebut setelah melawat sebuah sekolah dan melihat beberapa orang pelajar perempuan yang memakai niqab. Beliau meminta niqab tersebut dibuka, dan berkata bahawa niqab itu hanyalah tradisi Arab sahaja dan tiada kaitan dengan agama.

Al-Azhar merupakan institusi pengajian tinggi Islam yang tertua di dunia. Ianya ditubuhkan pada tahun 971 M, mendahului universiti ulung di Barat. Sekarang, sistem pendidikannya meliputi pengajian di peringkat sekolah hinggalah ke universiti. Bangunan kampusnya tidak langsung mencampurkan pelajar atau pensyarah lelaki dan wanita, justeru tidak pernah berlaku sebarang percampuran di dalam kelas atau suasana pembelajaran.

niqabPemakaian purdah adalah termasuk di dalam perkara cabang (furu’) di dalam fiqh. Majoriti ulamak menyatakan yang aurat wanita tidak mencakupi wajah dan tapak tangan. Antara ulamak yang berpegang pada pendapat ini ialah Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, Syekh Nasiruddin al-Albani, majoriti ulamak al-Azhar, majoriti ulamak Universiti Zaytunah di Tunisia, majoriti ulamak al-Qarawiyeen Maghribi dan ramai lagi. Perlulah diingatkan bahawa, walaupun ianya pendapat majoriti, tetapi ianya tetap bukan pandangan ijma’ (konsensus).

Ada juga ulamak yang menyatakan kewajiban menutup muka bagi perempuan ialah Dr Sa’id Ramadhan al-Buti, al-Marhum Syeikh Ben Baz, al-Marhum Abu al-A’la al-Maududi, serta majoriti ulamak daripada Saudi, negara Teluk dan Asia Selatan.

Khilaf ini bertitik tolak daripada tafsiran yang pelbagai terhadap ayat ke-31 daripada surah al-Nur, yang saya tidak mahu ulas secara lanjut di sini.

Arahan terkini Tantawi tersebut telah mendapat pelbagai respon dalam masyarakat Islam. Hamdi Hassan, ahli Parlimen Mesir yang mewakili kumpulan Ikhwan Muslimun telah menyatakan bantahan keras kumpulan fundamentalis tersebut terhadap arahan Tantawi. Ujar beliau, Tantawi perlu meninggalkan pos beliau kerana sudah beberapa kali menyinggung perasaan institusi agama terunggul tersebut, dengan merujuk kepada beberapa fatwa kontroversi sebelum ini seperti mengharuskan transaksi riba di dalam perbankan atas nama faedah yang dibenarkan. Hamdi Hassan walaupun berpegang kepada pendapat niqab itu bukanlah wajib, membantah arahan Tantawi tersebut kerana al-Azhar bagi beliau ialah institusi agama yang perlu meraikan pandangan semua mazhab muktabar.

Pendapat beliau turut disokong oleh tokoh ulamak terkemuka Mesir yang merupakan bekas Ketua Majlis Fatwa dan Kajian Universiti al-Azhar, Syeikh Ali Abu al-Hasan. Menurut beliau, pihak berkuasa tidak mempunyai hak untuk melarang mana-mana Muslimah daripada memakai niqab, melainkan untuk sebab-sebab sekuriti. Ujar beliau lagi, pemakaian niqab tidak bercanggah dengan syariat Islam serta undang-undang Mesir, justeru pengharamannya tidak dapat diterima sama sekali.

Terdahulu pada tahun 2001, seorang pengkaji telah dilarang memasuki perpustakaan American University di Kaherah kerana enggan membuka niqab. Beliau telah membawa kes ini ke mahkamah dan mahkamah mendapati larangan itu tidak sah. Wanita tersebut menang dalam kes berkenaan.

Minggu lepas pula, lebih 20 orang pelajar berdemonstrasi secara aman di Cairo University setelah diharamkan daripada memasuki asrama kerana memakai niqab. Arahan keluar asrama tersebut dikeluarkan hanya dua minggu sebelum mereka menjalani peperiksaan. Salah seorang pendemonstrasi mempersoalkan, sekiranya alat kosmetik dibenarkan atas prinsip kebebasan individu, mengapa niqab diharamkan sedangkan ianya sebahagian daripada kebebasan individu juga.

Di negara sekular, isu pemakaian hijab dan niqab turut menarik perhatian. Di UK, pelajar sekolah dibenarkan untuk memakai hijab, tetap dilarang memakai niqab. Pada tahun 2007, seorang pelajar di Buckinghamshire telah kalah kes mahkamah ketika menyaman pihak pengurusan sekolah yang melarang beliau memakai niqab, sedangkan kakaknya sebelum ini dibenarkan berbuat demikian. Walaupun peguam pelajar berkenaan berhujjah yang larangan pihak sekolah tersebut bercanggah dengan Artikel 9 Konvensyen Hak Asasi Eropah, akan tetapi keputusan hakim tidak menyebelahi beliau.

Ada juga cendiakawan Islam di UK, seperti Dr Zaki Badawi yang mengeluarkan fatwa meminta wanita Muslim tidak memakai hijab sekiranya menimbulkan permusuhan di kalangan penduduk tempatan. Pendapat beliau ini menimbulkan perdebatan, tetapi bagaimana pun tidaklah popular dan kurang diterima oleh Muslim tempatan. Akan tetapi sekurang-kurangnya di UK, pelajar Islam masih dibenarkan memakai tudung atau hijab. Berbeza dengan pelajar Islam di Perancis atau Turki, sekadar dua contoh negara Eropah, yang mengeluarkan larangan secara mutlak kepada para pelajar memakai tudung di sekolah dan universiti. Turki, walaupun negara umat Islam, akan tetapi wanita berhijab, termasuklah pelancong, dilarang daripada memasuki kawasan universiti. Kasihan juga melihat nasib muslimah di sana, sehingga terpaksa memakai rambut palsu di atas tudung tipis semata-mata untuk membolehkan mereka masuk universiti.

Pengharaman pemakaian niqab di dalam kelas dan asrama wanita al-Azhar, walau bagaimanapun agak unik. Ini kerana pengharaman itu dikeluarkan di dalam sebuah institusi agama terunggul di dunia. Saya mempunyai pandangan yang berbelah bagi di dalam hal ini.

Saya menyokong pengharaman tersebut sekiranya:

1. Ianya dibuat atas dasar keselamatan dan sekuriti. Berdasarkan laporan media, tidak pula dinyatakan sebab utama pengharaman tersebut atas dasar keselamatan. Cuma sekiranya kajian mendapati yang pemakaian niqab di dalam kawasan tertutup wanita boleh menjejaskan keselamatan, maka saya amat menyokong supaya pemakaiannya diharamkan. Saya percaya, sekiranya saya mempunyai anak perempuan atau isteri (berniqab) yang belajar di al-Azhar, saya akan meminta mereka untuk membuka niqab di dalam kelas dan di dalam asrama. Pemakaian niqab di dalam kawasan tertutup wanita boleh mengundang penyamaran orang jahat bahkan penjenayah lelaki itu sendiri. Ada berita yang kita dengar kanak-kanak perempuan masuk ke tandas di Arab Saudi, dan hilang di dalamnya, lalu diandaikan penjenayah menggunakan niqab untuk menculik budak perempuan berkenaan. Mesir juga, yang mempunyai ramai penjenayah, perlu memandang serius perkara ini. Penjenayah mudah masuk ke dalam bangunan sekiranya mereka berniqab, lalu membuat perbuatan jahat seperti mencuri dan merogol. Sekiranya semua wanita mempamerkan wajahnya di dalam kawasan tertutup milik mereka, nescaya perbuatan jenayah seumpama ini boleh dielakkan.

2. Saya juga menyokong pengharaman tersebut sekiranya ada kajian lapangan yang berkredibiliti membuktikan niqab menjejaskan komunikasi dan kualiti pengajian di dalam kelas wanita. Berdasarkan sembang-tinjau saya dengan beberapa orang rakan wanita Muslim dan non-muslim, mereka mempunyai pandangan yang berbeza dalam hal ini. Ada yang tiada masalah berkomunikasi dengan wanita berniqab di dalam kawasan tertutup wanita, tetapi tidak kurang juga yang rasa tidak selesa bergaul dengan wanita berniqab di dalam kawasan tertutup. Sedangkan eye-contact itu menurut kajian pakar pendidikan adalah amat penting di dalam kelas, saya tidak nampak mengapa perlu diutamakan pemakaian niqab berbanding membukanya untuk efisiensi pengajian, apatah lagi di dalam kelas tertutup wanita.

Perlu dinyatakan yang sokongan saya ini hanya terhad dalam konteks pengharaman pemakaian niqab di dalam tempat tertutup wanita sahaja. Adapun di tempat terbuka yang membabitkan percampuran dengan lelaki ajnabi serta wanita non-Muslim, saya tidak setuju langsung ianya diharamkan di negara umat Islam.

Sekiranya kedua-dua faktor di atas tidak diambil kira di dalam arahan Tantawi tersebut, maka saya membantah pengharaman pemakaian niqab itu atas beberapa faktor:

1. Pengharaman itu menolak konsep keluasan fiqh di dalam Islam, sedangkan al-Azhar amat dikenali sebagai institusi pengajian yang amat terbuka dengan mengajar semua pendapat dan pandangan di dalam fiqh. Mengharamkannya bermaksud Syeikhul Azhar tidak menghormati sistem pendidikannya sendiri.

2. Berdasarkan laporan media, Syeikhul Azhar hanya menyatakan sebab pengharaman tersebut kerana ianya adalah pakain tradisi Arab serta tiada kaitan dengan agama. Saya tidak menerima hujjah beliau ini kerana Islam adalah agama yang amat meraikan resam budaya termasuklah pemakaian tradisi setiap bangsa dan keturunan. Justeru, pengharaman mana-mana pemakaian tradisi (yang menepati syariat, termasuklah niqab sekiranya benar ianya pakaian tradisi Arab) adalah satu penghinaan kepada budaya sesebuah kaum dan seterusnya mencemarkan falsafah Islam terhadap konsep kepelbagaian budaya.

3. Pengharaman itu boleh dimanipulasi oleh negara sekular, pertubuhan-pertubuhan yang memusuhi Islam serta pertubuhan musuh dalam selimut Islam. Ianya bakal dijadikan prima-facie di dalam negara Eropah untuk mengharamkan secara total pemakaian niqab oleh wanita Muslim. Dan tidak mustahil juga, suatu hari nanti mereka akan menggunakan hujjah pandangan syaz oleh segelintir ‘cendiakawan’ Islam yang menyatakan tidak wajib memakai tudung, lalu pemakaian hijab, skarf dan tudung pun bakal diharamkan. Dan tidaklah mustahil juga, suatu hari nanti lelaki Muslim pun turut dilarang daripada memakai kopiah, songkok atau serban kerana ianya juga boleh dikatakan tiada kaitan dengan nas agama. Ketika itu, kita akan perhatikan yang Syeikhul Azhar terpaksa membuka serban al-Azharnya sekiranya ingin melawat negara Eropah.

4. Pengharaman ini juga dilihat bercanggah dengan hak asasi manusia yang sepatutnya perlu meraikan kebebasan mana-mana individu untuk memakai pakaian yang menjadi simbol agama atau pun budaya bangsanya.

Wassalam

Advertisement