(حديث مرفوع) حَدَّثَنَا الْحَسَنُ بْنُ عَلِيٍّ ، ثنا الْحَسَنُ بْنُ شَوْكَرٍ ، ثنا إِسْمَاعِيلُ بْنُ جَعْفَرٍ ، ثنا مُبَارَكُ بْنُ فَضَالَةَ ، عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ ، عَنْ نَافِعٍ ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ ، أَنَّ عُمَرَ ، قَالَ : ” تَعَلَّمُوا مِنَ النُّجُومِ مَا تَهْتَدُوا بِهِ فِي ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ ، ثُمَّ انْتَهُوا ، وَتَعَلَّمُوا مِنَ الأَنْسَابِ قَدْرَ مَا تَصِلُوا بِهِ أَرْحَامَكُمْ ، ثُمَّ انْتَهُوا ، وَتَعَلَّمُوا الَّذِي يَحِلُّ مِنَ النِّسَاءِ وَمَا يَحْرُمُ عَلَيْكُمْ ثُمَّ انْتَهُوا “
Daripada al-Hasan bin Ali, daripada al-Hasan bin Shaukar, daripada Isma’il bin Ja’far, daripada Mubarak bin Fadhalah, daripada Ubaidullah bin Umar, daripada Nafi’, daripada Abdullah bin Umar, sesungguhnya Umar berkata:
Pelajarilah daripada ilmu bintang, perkara-perkara yang menjadi panduan kepada kami melalui kegelapan darat dan lautan, kemudian (apabilah tahap sampai satu ketika), berhentilah.
Pelajarilah maklumat keturunan (atau keluarga jauh) kamu, apa-apa yang boleh menyambung tali silaturrahmi, kemudian (apabila sampai satu tahap), berhentilah.
Pelajarilah apa-apa yang dihalal dan diharamkan ke atas kamu (wahai lelaki) terhadap orang perempuan, kemudian (sampai satu tahap), berhentilah.
Pengajaran Athar Umar:
1. Terdapat sebahagian yang menganggap athar di atas ialah hadith nabi, tetapi sebenarnya ianya bukan kata-kata nabi, sebaliknya ialah kata-kata Saidina Umar. Kekeliruan ini barangkali disebabkan istilah penggunaan perkataan “hadith” yang kadang-kadang turut digunakan merujuk kepada kata-kata sahabat.
2. Athar ini direkodkan dalam beberapa kitab, antaranya:
- – Musnad Umar al-Khattab yang dikarang oleh Abu Bakar Ahmad bin Sulaiman al-Najad (m 348)
- – Musonnaf Ibn Abi Shaibah yang dikarang oleh Ibn Abi Shaibah (m 235)
- – Jami’ Bayan al-‘Ilmi wa Fadhlihi yang dikarang oleh Ibn Abd al-Birr al-Qurtubiy (m 465).
3. Hadith Umar ini menunjukkan penekanan yang diberikan oleh Saidina Umar sebagai Khalifah, di dalam bidang pendidikan, khususnya disiplin ilmu yang tertentu.
4. Disiplin ilmu yang digalakkan oleh Umar untuk dipelajari ialah ilmu falak, ilmu keturunan (maklumat silsilah keluarga) dan ilmu fiqh wanita.
5. Sebahagian kitab meletakkan hadith ini di dalam bab kelebihan ilmu orang salaf (terdahulu) terhadap ilmu orang khalaf (terkemudian). Ini dapat dibuktikan, contohnya, di dalam bab falak, yang mana orang-orang terdahulu amat mementingkan ilmu ini sebagai panduan perjalanan mereka merentas lautan dan benua, sedangkan orang zaman sekarang hanya bergantung kepada GPS dan gajet yang lain, sehingga mereka tidak mengenali jasad-jasad samawi yang lain.
6. Saidina Umar juga menyatakan, pelajarilah bersungguh-sungguh akan ilmu tersebut, tetapi perlu berhenti apabila mencapai satu tahap. Ulama’ membincangkan bilakah ‘tahap’ yang perlu menyebabkan kita berhenti belajar ilmu tersebut. Antaranya sebagai contoh, dalam ilmu mengkaji bintang, sekiranya terlalu mendalam mempelajari ilmu bintang, dikhuatiri akan membawa pengkajinya kepada ilmu tanjim (astrologi), atau ilmu ramalan berasaskan bintang 12 seperti ramalan zodiak. Maka sebelum sampai ke tahap yang boleh mengundang kepada syirik tersebut, berhentilah.
7. Di negara membangun, ilmu ketiga-tiga disiplin ini dipandang serius oleh mereka. Ilmu astronomi, telah membawa mereka sehingga menguasai sains angkasa lepas. Ilmu menjejak silsilah keluarga, turut diberikan penekanan, sehinggakan banyak perkhidmatan komersial yang ditawarkan untuk menjejak silsilah keluarga. Begitu juga dengan ilmu mengenai wanita.