Puja puji bagi Allah, Tuhan yang menjadikan bumi ini sfera hingga memudahkan kami membuat hitungan sebagai panduan masa dan arah tujuan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muḥammad SAW, sungguh keindahanmu semisal bulan purnama yang menjadi titik tengah hitungan perkiraan taqwim kami, sepanjang zaman.

Telah memperkenalkan guru falak saya PM Dr Baharrudin Zainal, seperti mana yang telah diperkenalkan oleh tuan-tuan gurunya, akan beberapa orang tokoh falak di alam Melayu terbilang, antaranya seperti yang kukongsikan secebis hikayat keinsanannya di dalam makalah ringkas ini, moga ada manfaatnya di dunia dan akhirat:

Muhammad_Arsyad_Albanjari_Museum_Lambung_Mangkurat
Sheikh Muhammad Arshad al-Banjari, fiqhnya Shafie, aliran tauhidnya Ash’ariy.

Sheikh Muḥammad Arshad bin ‘Abdullāh al-Banjarī (1710 – 1812 M) adalah merupakan antara tokoh ‘ulamā’ Mazhab Shāfi’iy  unggul di alam Melayu. Mendapat gelaran Datu Kelampaian, beliau merupakan keturunan nabi Muḥammad daripada jalur ‘Alawiyyīn. Selain mendapat pendidikan awal di persekitaran Istana sehingga berumur 30 tahun, beliau turut menyambung pengajian ke Makkah, sehingga dapat berguru dengan Syekh ‘Athaillah bin Ahmad al-Mishry, al-Faqih Syekh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi dan al-‘Arif Billah Syekh Muhammad bin Abdul Karim al-Samman al-Hasani al-Madani.

 

Antara magnum opus Sheikh Arshad ialah kitāb lengkap fiqh  Shāfi’iy berbahasa Melayu yang bertajuk Sabīl al-Muhtadīn li al-Tafaqquh fī Amr al-Dīn. Banyak kajian telah dilakukan mengenai metodologi perbahasan serta istinbat hukum yang digunakan oleh Sheikh Arshad di dalam kitāb ini. Cuma yang amat menarik, ialah kitāb ini turut membuktikan kefaqihan Sheikh Arshad di dalam ilmu falak.

Antara beberapa sudut kemanusiaan yang wajar dicontohi daripada peribadi Sheikh Arshad, ialah seperti berikut:

1. Beliau sejak kecil suka merenung, mencerap dan mentafsir alam sekitar. Dengan kehidupan beliau yang dikelilingi flora dan fauna menghijau, beliau menterjemah pemandangan beliau ke atas kertas, menerusi bakat lukisan yang dimiliki. Sungguh, dengan bakat yang dimiliki itu, membantu Sheikh Arshad untuk memahami ilmu falak dengan lebih baik, bahkan mampu membahaskan persoalan falak dengan lebih praktikal kerana kemahiran visualisasi yang diasuh sejak kecil.

Pengajaran yang wajar dicontohi oleh kita, terutamanya ibu bapa, ialah biarlah anak kita dilatih untuk mencerap dan merenung alam ciptaan Allah, agar hadir perasaan haibah terhadap Tuhan yang Menciptakan, serta minat untuk menyelami ilmu dan rahsia alam sekitar.

2. Sheikh Muḥammad Arshad al-Banjarī bukan sahaja memiliki ilmu yang tinggi di dalam bidang falak, tetapi beliau mahir dalam menghuraikan ‘definisi operasi’ ilmu falak bersesuaian dengan teknologi yang ada sekitar kurun ke-18. Berdasarkan kepada beberapa bab di dalam kitāb Sabīl al-Muhtadīn, khasnya bāb Auqāt al-Ṣalah, bab arah qiblat dan juga bab solat gerhana, Sheikh Arshad berjaya memberikan huraian yang bukan sahaja bersifat teoritikal, tetapi mendapat suluhan praktikal dan aplikasi, berdasarkan ilmu astronomi.

a
Perbahasan awal dan tamat waktu Zohor. Begitu teknikal. Perhatikan istilah yang digunakan oleh Sheikh Arshad, seperti Khat Nisf al-Nahar. Ini ialah jargon mereka yang mempunyai kemahiran hitungan rubu’ mujayyab. Istilah lain yang turut digunakan, ialah mail a’zam (maximum solar declination). Beliau turut mahir mengenai kalender zodiak sebagai asas penting hisab munajjimin dalam penentuan solat, seperti bintang sartan (cancer) dan bintang jadiy (capricorn).
b
Lanjutan perbincangan waktu zohor. Perhatikan istilah seperti khat al-istiwa’ (khatulistiwa), hari tanpa bayang-bayang, bulan hamal (aries) dan mizan (libra).
c
Dalam membincangkan arah qiblat, beliau turut mengulas mengenai bintang Qutbi (north star – bintang polaris di Ursa Minor).
d
Lanjutan perbahasan arah qiblat. Perhatikan istilah seperti wasitah bait al-Ibrah (kompas), serta perbahasan lain seperti maximum solar declination dan lain-lain. Hebat!

3. Sama dengan pengamal falak yang lain, Sheikh Arshad amat menghormati guru-gurunya. Beliau juga bersahabat dengan rangkaian sahabat yang baik-baik. Di alam Melayu, terdapat empat orang tokoh ‘ulamā’ yang amat disegani, dan mempunyai liga dan kelas tersendiri. Mereka ini belajar sekali, dan mengembangkan ilmu sekali di alam Melayu. Dikenali sebagai Empat Serangkai ‘Ulamā’ Tanah Jawi, mereka ialah:

1. Sheikh Muḥammad Arshad al-Banjarī

2. Syekh Abdussamad al-Falimbani

3. Syekh Abdurrahman Misri al-Jawi

4. Syekh Abdul Wahab Bugis

 

Advertisement