Ramai yang tertanya-tanya, apakah hukum seorang Muslim memakai pakaian, yang tertera padanya tanda salib.

Sebelum menjawab persoalan ini, perkara asas yang perlu difahami ialah agama Islam merupakan agama yang melarang daripada melakukan syirik/penyekutuan di dalam penyembahan kepada Allah SWT. Islam mementingkan kesetiaan dan memisahkan diri daripada sembahan lain.

Ini tidak pula bermakna yang Islam itu menindas, serta melarang daripada kebebasan beragama kepada mana-mana manusia di muka bumi ini. Analoginya mudah, seorang yang lahir di Malaysia, menjadi warganegara Malaysia, akan berbangga dengan benderanya. Dia akan kelihatan agak jengkel sekiranya menggantung bendera negara lain di halaman rumahnya. Tetapi, tidak mengibarkan bendera luar di halaman rumah, tidak bermakna yang dia menghina negara luar berkenaan.

Begitulah juga dalam persoalan tatacara berpakaian. Nabi pernah melarang para sahabat memakai pakaian berwarna kuning-jingga kerana ianya menyamai pakaian agama syirik pada zaman tersebut. Nabi juga beberapa kali mengubah fesyen dandanan rambut kerana mengelakkan persamaan dengan gaya orang Musyrikin Makkah dan Yahudi di Madinah. Ini perkara asas yang perlu difahami, bagi yang mengaji kitab Al-Shama’il, akan mengetahuinya dengan lebih mendalam. Terdapat athar sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

صحيح مسلم ٣٨٥٧: … عَنْ أَبِي عُثْمَانَ قَالَ كَتَبَ إِلَيْنَا عُمَرُ وَنَحْنُ بِأَذْرَبِيجَانَ يَا عُتْبَةُ بْنَ فَرْقَدٍ …. وَإِيَّاكُمْ وَالتَّنَعُّمَ وَزِيَّ أَهْلِ الشِّرْكِ وَلَبُوسَ الْحَرِيرَ…

Sahih Muslim 3857: …Dari Abu ‘Utsman ia berkata; ” Umar bin Khattab pernah menulis surat kepada kami yang sedang berada di Azerbeijan sebagai berikut; ‘Hai Uthbah bin Farqad, … Hindarilah dirimu dari kemewahan, pakaian lambang orang musyrik, dan pakaian sutera! …

Pada zaman sekarang, terdapat beberapa syarikat (seperti Swiss Army, Victorinox, Cross, Chevrolet), kelab bolasepak (Barcelona etc) dan bendera negara (UK, England, Scotland, Ireland, Australia etc) yang menggunakan lambang salib dalam logo dan bendera mereka. Ada sebahagian Muslim memakai merchandise seperti baju, topi, keychain, cadar, tuala, lapik kaki dan seumpamanya dengan logo dan bendera berkenaan.

Terdapat sepotong hadith nabi Muhammad SAW, yang sahih, diriwayatkan oleh Abu Daud, seperti berikut:

سنن أبي داوود ٣٦٢١: حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَعِيلَ حَدَّثَنَا أَبَانُ حَدَّثَنَا يَحْيَى حَدَّثَنَا عِمْرَانُ بْنُ حِطَّانَ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَتْرُكُ فِي بَيْتِهِ شَيْئًا فِيهِ تَصْلِيبٌ إِلَّا قَضَبَهُ

Sunan Abu Daud 3621: Telah menceritakan kepada kami Musa bin Isma’il berkata, telah menceritakan kepada kami Aban berkata, telah menceritakan kepada kami Yahya telah menceritakan kepada kami Imran bin Hithan dari ‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata, “Tidaklah Rasulullah SAW meninggalkan sesuatu yang berbentuk salib di rumahnya kecuali beliau pasti memotongnya.”

Berdasarkan hadith di atas, jumhur ulama’ menyatakan bahawa hukum memakai sesuatu yang mempunyai lambang salib, adalah makruh. Sementara satu riwayat dalam Mazhab Hanbali, seperti yang ditarjihkan oleh Imam al-Mardawi, menyatakan ianya adalah haram.

Aishah turut dilaporkan berkata:

مسند أحمد ٢٣٩٣٩: حَدَّثَنَا يَزِيدُ قَالَ أَخْبَرَنَا هِشَامٌ عَنْ مُحَمَّدٍ قَالَ حَدَّثَتْنِي دِقْرَةُ أُمُّ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أُذَيْنَةَ قَالَتْ

كُنَّا نَطُوفُ بِالْبَيْتِ مَعَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ فَرَأَتْ عَلَى امْرَأَةٍ بُرْدًا فِيهِ تَصْلِيبٌ فَقَالَتْ أُمُّ الْمُؤْمِنِينَ اطْرَحِيهِ اطْرَحِيهِ فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَأَى نَحْوَ هَذَا قَضَبَهُ

Musnad Ahmad 23939: Telah menceritakan kepada kami Yazid, dia berkata; telah mengabarkan kepada kami Hisyam dari Muhammad berkata; telah menceritakan kepadaku Diqrah, Ummu Abdurrahman bin Udzainah berkata; “Kami bertawaf di Ka’bah bersama ummul mukminin, dan dia melihat seorang wanita mengenakan kain yang ada salibnya. Maka Ummul mukminin berkata; “Buanglah salib itu, buanglah salib itu, karena Rasulullah SAW apabila melihat yang serupa dengan hal ini beliau langsung memotongnya.”

Kesimpulannya, hukum pemakaiannya adalah ditegah, cuma pakej tegahannya adalah khilaf dalam kalangan ulama’. Jumhur menyatakan ianya tegahan berpakej makruh, sementara Mazhab Hanbali menyatakan ianya adalah haram.

Selain itu, timbul pula persoalan apakah hukum solat dengan memakai logo tersebut. Jumhur menyatakan solatnya adalah sah, tetapi sekiranya dia mempunyai pakaian lain tetapi tidak memakainya, maka perbuatan tersebut adalah berdosa (walaupun sah solatnya). Secara umum, solat dengan pakaian yang bergambar lahw adalah makruh. Sabda nabi dalam Sahih Bukhari:

صحيح البخاري ٣٦٠: حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ يُونُسَ قَالَ حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ سَعْدٍ قَالَ حَدَّثَنَا ابْنُ شِهَابٍ عَنْ عُرْوَةَ عَنْ عَائِشَةَ

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى فِي خَمِيصَةٍ لَهَا أَعْلَامٌ فَنَظَرَ إِلَى أَعْلَامِهَا نَظْرَةً فَلَمَّا انْصَرَفَ قَالَ اذْهَبُوا بِخَمِيصَتِي هَذِهِ إِلَى أَبِي جَهْمٍ وَأْتُونِي بِأَنْبِجَانِيَّةِ أَبِي جَهْمٍ فَإِنَّهَا أَلْهَتْنِي آنِفًا عَنْ صَلَاتِي

وَقَالَ هِشَامُ بْنُ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُنْتُ أَنْظُرُ إِلَى عَلَمِهَا وَأَنَا فِي الصَّلَاةِ فَأَخَافُ أَنْ تَفْتِنَنِي

Sahih Bukhari 360: Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Yunus berkata, telah menceritakan kepada kami Ibrahim bin Sa’d berkata, telah menceritakan kepada kami Ibnu Syihab dari ‘Urwah dari ‘Aisyah bahwa Nabi SAW solat di atas kain yang bergambar. Lalu beliau melihat kepada gambar tersebut. Selesai solat beliau berkata: “Pergilah dengan membawa kain ini kepada Abu Jahm dan gantilah dengan pakaian dari Abu Jahm. Sungguh kain ini tadi telah mengganggu solatku.” Hisyam bin ‘Urwah berkata dari bapanya dari ‘Aisyah berkata, “Nabi SAW bersabda: “Aku melihat pada gambarnya dan aku khawatir gambar itu menggangguku.”

Imam al-Nawawi pula telah berkata di dalam kitab al-Majmu’:

وأما الثوب الذي فيه صور، أو صليب، أو ما يلهي، فتكره الصلاة فيه، وإليه وعليه للحديث

Adapun (hukum) memakai pakaian yang bergambar, atau lambang salib, atau yang melalaikan, maka dimakruhkan solat dengan memakainya, berdasarkan hadith di atas.

Justeru, elakkanlah diri daripada memakai lambang menyamai salib, dengan kekuatan dan kemampuan yang kita miliki. Orang yang wara’ akan terus berusaha meninggalkannya. Orang yang kurang wara’, mungkin akan memilih untuk menconteng sedikit lambang tersebut supaya tidak kelihatan terlalu salibiy. Ada juga yang mungkin menukar font huruf ’t’ yang bengkok di bawah supaya tidak menyamai salibiy. Kalau ada yang berbuat demikian, mudah-mudahan pahala bagi mereka kerana wara’ yang mereka miliki. Elakkan daripada memandang rendah orang lain yang mungkin tiada pilihan dalam memakainya, seperti kesempitan wang, tiada ilmu pengetahuan dan lain-lain.

Advertisement