Bersempena dengan fenomena meteor perseids pada malam ini (12-13 Ogos 2016), saya telah terdorong untuk menulis mengenai pencemaran cahaya.
Umum mengetahui bahawa meteor boleh dilihat dengan mudah di langit tanpa menggunakan teleskop. Dan umum juga mengetahui bahawa awan dan hujan merupakan bete noire bagi pencerap langit. Tetapi ada satu lagi fenomena yang amat tidak disenangi oleh ahli astronomi dan juga pencinta langit, iaitu pencemaran cahaya.
Bagaimana pula wujudnya pencemaran cahaya? Biasanya pencemaran hanya merujuk kepada pencemaran alam sekitar. Paling kuat pun yang pernah saya dengar, ialah pencemaran bunyi?
Pencemaran cahaya adalah merupakan satu ancaman yang serius kepada kelestarian alam. Zaman dahulu, manusia menjadikan langit serta jasad-jasad samawi sebagai hiburan dan panduan untuk menghitung arah dan masa. Dengan langit yang gelap, semua jasad samawi dapat dilihat dengan jelas.


Tetapi sekarang, ianya semakin dilupakan, menyebabkan manusia tidak serius memikirkan mengenai pencemaran cahaya. Lalu dibinalah tiang-tiang lampu dan spot light, yang sepatutnya menjadi cahaya panduan kepada makhluk di bumi, tetapi demi gaya hidup yang glamorous dan popular, dihalakan lampu itu ke langit, tanpa sebarang tujuan.
Pencemaran cahaya menyebabkan jasad-jasad samawi tidak dapat dilihat dengan jelas, termasuklah meteor perseids. Maka lahirlah generasi yang tidak mengenali langit sendiri. Semuanya mengharapkan gajet semata-mata.
Ada pencemaran cahaya yang tidak dapat dielakkan, tetapi masih memberikan keindahan langit sebagai tanda kebesaran Allah. Antaranya ialah cahaya bulan. Tetapi yang menyedihkan ialah pencemaran cahaya yang boleh dielak, hasil perbuatan tangan-tangan manusia sendiri.

Saya rasa amat bersyukur kerana dapat melawat ke Siding Spring Observatory, Coonabarabran dalam trip yang dianjurkan oleh pengasas Falak Online, Shahrin Ahmad. Langit di kawasan itu memang amat cantik, kerana kurang pencemaran cahaya. Di balai cerap Siding Spring, mereka turut memaparkan beberapa kempen kesedaran mengenai bahaya pencemaran cahaya.

Usaha bagi mengurangkan pencemaran cahaya adalah usaha bersama. Individu pemilik bangunan dan kediaman, elakkan daripada memasang lampu spot light berlebihan bahkan dihala ke atas langit. Pemilik fun fair serta penganjur konsert hiburan pun perlu dilarang daripada menggunakan spot light.
Pihak berkuasa tempatan dan JKR juga perlu memikirkan design yang terbaik untuk lampu-lampu jalan. Banyakkan penggunaan lampu Full Cut-off Luminaires (FCO) dan dipakaikan atap supaya hanya cahaya hanya menerangi ke bawah sahaja, tanpa mencemari langit.
Dengan ini, barulah manusia akan kembali tertarik untuk menikmati keindahan ayatullah menerusi jasad-jasad di langit.







Semoga masa depan langit kita semakin gelap, demi melahirkan jiwa-jiwa yang terang!