Minggu lepas, semasa bekerja di Queen Mother Library, satu insiden telah berlaku, di mana seorang Muslim dari Asia Selatan (sama ada India, Pakistan atau Bangladesh) mengamuk di kaunter perpustakaan. Nama beliau ialah Mr. Islam (ini bukan rekaan atau imaginasi). Agak malang, saya tidak dapat melihat kejadian itu kerana kerana sedang berada di dalam bilik rehat staf.
Kejadian berlaku apabila rakan setugas saya menerima aduan daripada pengunjung perpustakaan mengenai tindakan Mr Islam yang memasang speaker kuat ketika menonton siaran langsung bolasepak Champions League. Supervisor saya menegur beliau supaya menggunakan earphone, akan tetapi dibalas dengan jeritan dan tuduhan kononnya supervisor saya itu seorang racist. Dalam keadaan yang marah, beliau menutup laptopnya, dan terus ke kaunter utama perpustakaan. Di situ, beliau sekali lagi menjerit sehingga boleh didengari oleh ramai orang. Dengan sewenang-wenangnya beliau mengatakan yang universiti mengamalkan racism, kerana kononnya staf hanya menegur pelajar berketerunan Asia sahaja, sebaliknya tidak akan berani menegur pelajar berkulit putih.
Selepas waktu rehat, barulah supervisor menceritakan insiden ini kepada saya. Sebagai seorang Muslim dan staf universiti, saya rasa malu dan tertekan apabila rakan sekerja saya, seorang Scotissh tua yang amat lembut dihina oleh seorang Muslim lain. Lebih teruk lagi, nama yang membuat perangai itu ialah Mr Islam, membawa nama agama kita.
Kesalahan beliau amat jelas. Pertamanya, membuat bising di perpustakaan. Undang-undang ini budak tadika pun tahu. Keduanya, menonton siaran langsung bolasepak secara haram menggunakan network universiti. Ketiganya, menjerit tak tentu fasal dan membuat tuduhan racism kepada penduduk tempatan yang hanya menjalankan tugasnya sebagai staf awam.
Saya agak, mungkin faktor tambahan mengapa dia mengamok ecstassy pada malam tersebut ialah kerana pasukan bolasepaknya kalah 😉
Sebelum ini, saya pernah menulis mengenai racism. Artikel tersebut lebih menyentuh kepada mangsa racism, yang mana saya berpandangan bahawa racism itu ialah amalan bodoh atau jahiliyyah yang berlaku dahulu, kini dan selama-lamanya. Apa yang berlaku di beberapa negara Afrika semasa zaman pemerintahan apertheid, di Palestin ketika era Zionisasi, dan terkini di Switzerland dalam bantahan terkini mereka terhadap pembinaan menara masjid, adalah lambang kepada kebodohan mereka sendiri. Racism berlaku di mana-mana, sama ada di negara Muslim atau di negara non-Muslim selagi mana kebodohan tidak diatasi.
Akan tetapi, di sana ada juga senario kedua berkaitan dengan racism ini, iaitulah kepada penduduk asal atau tetap sesebuah negara yang mempunyai pemerintahan yang adil, akan tetapi kerap dilabelkan racist oleh penduduk minoriti.
Inilah yang saya lihat banyak berlaku di UK. Saya berani menyatakan pujian terhadap kebanyakan dasar pemerintahan British yang terbuka, telus dan adil, serta sikap penduduk tempatan yang baik dalam melayan penduduk minoriti dan pendatang seperti saya, selagi mana kemasukan kami ke sini melalui cara yang sah. Tidak pula saya nafikan, ada juga sebahagian penduduk tempatan yang masih jahil mengamalkan racism, antaranya seperti yang dijuarai oleh British National Party (BNp).
Akan tetapi, dasar dan sikap terbuka dan adil ini kadang-kadang dimanipulasi oleh segelintir kecil pendatang yang seolah-olah tidak mengenang budi. Sebagai pendatang atau penduduk minoriti, sepatutnya mereka ini bersyukur dengan layanan baik pemerintah dan penduduk tempatan. Undang-undang yang ada, selagi adil dan telah digazetkan, maka hendaklah dipatuhi. Apatah lagi kalau ianya membabitkan undang-undang mudah seperti perlu diam di dalam perpustakaan, apalah susah sangat untuk mematuhinya.
Akan tetapi agak malang, Mr Islam yang mungkin dilihat mewakili Islam sesuka-hatinya sahaja membantah untuk patuh kepada undang-undang mudah seumpama itu, bahkan melemparkan tuduhan racism kepada rakan sejawat saya yang merupakan penduduk tempatan.
Saya melihat insiden ini daripada aspek, betapa inilah antara nasib yang perlu dijangka oleh penduduk asal/tetap/majoriti walaupun mereka mempunyai dasar pemerintahan serta sikap positif terhadap penduduk atau pendatang bangsa lain. Saya tertanya-tanya adakah bangsa Melayu di tanah air telah berhadapan dengan situasi ini, dilemparkan tuduhan racism oleh penduduk atau pendatang minoriti? Untuk menjawab persoalan ini, terlebih dahulu perlu kita lihat sejauh manakah keterbukaan dan keadilan dasar negara terhadap mereka. Selain itu, perlu dilihat juga jurang perbezaan dan polarisasi antara kaum, serta sikap bumiputera terhadap bangsa lain. Ini saya tinggalkan jawapannya kepada pembaca.
Aspek kedua pula, ialah persoalan yang agak penting yang mungkin lebih relevan dalam perbincangan religionism, iaitu adakah non-Muslim di negara Muslim dapat menikmati apa yang dirasai oleh penduduk Muslim di negara non-Muslim?
Di UK, pemerintah dan penduduk asal amat menitikberatkan kesamarataan antara kaum dan penganut agama selain Kristian. Bagi yang pertama kali ke UK, saya yakin mereka akan terkejut melihat betapa banyaknya masjid serta rumah ibadat lain yang dibina di seluruh UK. Pasti juga mereka akan terkejut melihat Edgeware Road di London, atau beberapa kawasan di Birmingham atau Leicester yang suasananya seperti di negara Muslim dengan kumandangan azan, bazar makanan halal dan juga pakaian penduduknya yang jauh daripada identiti British. Untungnya menjadi Muslim di sini. Nasib yang sama turut dirasai oleh bangsa atau penganut agama lain, seperti Cina dengan Chinese city mereka.
Di Aberdeen, Muslim turut diberikan layanan yang sama. Di setiap hospital, akan ada disediakan prayer room khusus untuk Muslim atau sekurang-kurangnya multi-faith room. Di kampus universiti, sebagai contohnya di Old Aberdeen, disediakan musolla khusus dengan kemudahan yang mencukupi untuk pelajar dan staf Muslim menunaikan ibadah. Jadual bekerja dan belajar juga boleh diatur bagi kemudahan Muslim menunaikan solat.
Suasana ini tidak dirasai suatu masa dahulu, ketika racism menebal di UK. Itu berlaku semasa zaman jahiliyyah mereka, ketika mereka mengagungkan white supremacy. Akan tetapi sekarang, mereka telah berubah menjadi masyarakat pintar dan terbuka, sekaligus menghakis amalan racism itu di dalam masyarakat mereka.
Untungnya saya sebagai Muslim minoriti, tinggal di bumi UK.
Bagaimana pula nasib non-Muslim di negara Muslim? Adakah penduduk Muslim tempatan akan bersikap positif terhadap kewujudan non-Muslim di sekitar mereka? Adakah penduduk Muslim akan terbuka menyediakan rumah ibadat untuk mereka? Adakah segala tuntutan mereka selagi mana sejajar dengan undang-undang dan syariat, bersedia didengari oleh pemerintah Muslim?
Semasa tinggal di Mesir, saya pernah melihat dengan mata sendiri bagaimana beberapa orang pelancong Eropah diejek dan dimarahi oleh penduduk tempatan. Oh lupa pula, saya sendiri dan juga rakan-rakan pelajar Malaysia, terutamanya yang tinggal di ceruk Mesir, biasanya akan menjadi mangsa ejekan mereka. Oleh kerana itulah pihak keselamatan Mesir begitu menjaga pelancong asing terutamanya yang berkulit putih daripada menjadi mangsa racism penduduk tempatan. Anda akan dapati di Mesir, banyak kawasan pelancongan dikhususkan untuk warga Barat sahaja. Bas mereka akan dikonvoi seperti VIP oleh polis.
Saya sendiri pernah berjalan seorang melihat dengan dekat memorial perkuburan Anwar Sadat, dengan pantas 2 orang polis berlari ke arah saya. Mulanya saya terkejut, kerana ingatkan mereka ingin menahan saya. Tapi rupanya mereka ingin mengiringi saya sahaja untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Kasihan sebenarnya saya melihat nasih bukan Islam di negara Muslim.
Janganlah melihat saya terlalu memuji barat. Tidak sama sekali. Banyak juga tindakan mereka yang zalim dan sekaligus menatijahkan Islamophobia penduduk tempatan. Akan tetapi tindakan yang zalim seumpama ini, tidak boleh dibalas dengan kezaliman yang serupa. Selagi mana seorang pendatang itu mendapat status kemasukan ke sesebuah negara secara sah, sama ada menerima visa, atau mendapat status penduduk tetap dan seumpamanya, maka hak pendatang itu perlu dihormati dan diraikan. Perkara ini perlu dijuarai oleh pemerintah di negara Muslim, kerana Islamlah merupakan agama pertama yang menghapuskan racism di dalam sejarah dunia.
Begitu juga dengan Muslim yang masuk ke negara non-Muslim, pertamanya, masuklah dengan cara yang sah. Dapatkan visa dan kebenaran. Sedangkan nak masuk ke rumah orang pun perlu minta izin, apatah lagi nak masuk ke negara orang. Setelah mendapat visa, maka perlu difahami yang kita tertakluk kepada undang-undang mereka. Maka janganlah pergunakan visa itu untuk tujuan yang salah. Sekiranya anda mendapat visa untuk tujuan X, tetapi tinggal di UK untuk tujuan Y, maka muhasabahlah kembali keberkatan rezeki anda sepanjang di sini. Dalam masa yang sama, patuhilah undang-undang mereka. Ini adalah kontrak yang kita tandatangani ketika masuk ke UK ini. Sampai bilakah kita ingin menyalahgunakan istilah maslahah untuk melanggar undang-undang mereka. Sebelum lidah asik berhujjah dengan perkataan maslahah, kajilah terlebih dahulu pembahagian maslahah itu yang dikategorikan ulamak sebagai maslahah syar’iyyah, maslahah mulghoh dan maslahah mursalah.
Sama-samalah kita mengimpi dan mendoakan agar dunia akan menjadi semakin baik, dengan hak setiap penduduk baik yang majoriti dan minoriti, atau penduduk asal dan juga pendatang, dihormati dan diraikan, selari dengan keadilan Islam. Ingatlah, antara faktor kejatuhan Al-Quds di tangan tentera Salib ialah kerana pemerintah ketika itu, al-Hakim bi amrillah melaksanakan dasar yang racist terhadap bangsa dan penganut agama lain. Kesannya, sekejap sahaja Allah tarik kembali penguasaan Muslim di al-Quds.
Pemerintah dan rakyat di negara Muslim, berusahalah agar non-Muslim berasa seronok dan selamat ketika berkunjung ke negara kita.
Alhamdulillah, seronok dgr cerita ustaz dr UK.
Alhamdulillah, suasana di Kanada pn mungkin lebih kurang sama, iaitu kebebasan beragama.
Yang kurangnya, mungkin disini azan tidak kedengaran secara terbuka walaupun jumlah Muslim semakin.
Salam ukhuwah dr Hamilton, Ontario.