
لَا تُسَافِرْ الْمَرْأَةُ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ وَلَا يَدْخُلُ عَلَيْهَا رَجُلٌ إِلَّا وَمَعَهَا مَحْرَمٌ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أَخْرُجَ فِي جَيْشِ كَذَا وَكَذَا وَامْرَأَتِي تُرِيدُ الْحَجَّ فَقَالَ اخْرُجْ مَعَهَا
Jangan seorang wanita bermusafir melainkan bersama dengan mahram. Dan jangan bersendirian seorang lelaki dengan seorang wanita melainkan bersama wanita itu mahramnya.” Tiba-tiba seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku akan keluar untuk berperang, dan isteri-ku pula hendak pergi menunaikan haji.” Lalu Rasulullah S.A.W. menjawab: “Pergilah kamu bersama isteri-mu (menunaikan haji).” (Muttafaqun alaihi).
Dalam sepotong hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang lain, nabi Muhammad SAW dilaporkan bersabda:
“لا يحل لامرأة تؤمن بالله واليوم الآخر أن تسافر سفرًا يكون ثلاثة أيام فصاعدًا إلا ومعها أبوها أو أخوها أو زوجها أو ابنها أو ذو محرم منه
Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk keluar tiga hari ke atas melainkan bersama-samanya bapanya atau saudara kandung lelakinya atau suaminya atau anak lelakinya atau mana-mana mahramnya. (di dalam riwayat lain, ada dinyatakan satu hari satu malam, dan dua hari dua malam)
Kedua-dua hadith di atas ialah sebahagian daripada beberapa hadith yang melarang wanita daripada keluar berjalan tanpa mahram. Ulamak menyatakan pengharaman itu adalah mutlaq tanpa penentuan berjalan jauh atau pendek, sekejap atau panjang, berseorangan atau secara berkumpulan dengan wanita tanpa mahram yang lain. Sepanjang bacaan saya terhadap kitab-kitab fiqh muktabar lama, jumhur ulamak menyatakan hukum ini. Inilah dilema yang dialami oleh mahasiswi al-Azhar semasa saya di Mesir dahulu apabila ada sebahagian ustaz melarang mereka keluar langsung dari rumah. Sebahagiannya ditulis oleh Ustaz Nuruddin al-Banjari di dalam bukunya Hukum Wanita Bermusafir yang boleh dibaca review di sini.
Walaupun hadith ini lebih merujuk kepada hadith ramalan akhir zaman, akan tetapi sebahagian ulamak mengeluarkan hukum yang menyatakan kebenaran kepada wanita untuk bermusafir tanpa mahram. Syaratnya ialah, ada keperluan yang hampir sama hukumnya seperti haji, atau sekurang-kurangnya keperluan mendesak untuk berjalan tanpa mahram, dan terjamin keselamatan semasa di dalam perjalanan dan di destinasi permusafirannya.
Di akhir zaman ini, realiti hidup memang memerlukan wanita kerap keluar rumah atau berjalan tanpa mahramnya. Sebagai contoh, ada sesetengah isteri yang menjadi surirumah, di mana suaminya pergi bekerja selama beberapa hari. Sudah tentu si isteri perlu keluar tanpa mahram bagi mendapatkan bahan makanan dan seumpamanya, dengan syarat ada kebenaran suami, perjalanan yang terjamin selamat dan perjalanan itu tidak melencong ke tujuan lain.
Begitu juga dengan golongan pelajar wanita. Kebiasaannya institut pengajian sama ada di peringkat sekolah atau universiti letaknya jauh dari rumah. Kadang-kadang memerlukan pelajar wanita keluar bermusafir tanpa mahram untuk pergi ke kelas, tempat pengajian, kursus-kursus dan seumpamanya. Sekiranya pelajar wanita itu menaiki pengangkutan awam, maka ianya dibenarkan sekiranya diketahui umum syarikat pengangkutan awam itu mempunyai kredibiliti terhadap jaminan keselamatan penumpangnya. Sekiranya perlu menaiki kenderaan atau berjalan kaki, maka dibenarkan juga dengan syarat memang diketahui umum bahawa perjalanan ke destinasinya itu adalah selamat daripada kekacauan dan fitnah, dan pelajar wanita itu juga bersungguh-sungguh mematuhi undang-undang keselamatan ketika dalam perjalanan, dan memaklumkan perjalanan mereka kepada mahram mereka.
Begitu juga pekerja-pekerja wanita, maka dibenarkan untuk keluar tanpa mahram dengan syarat-syarat yang sama seperti di atas.
Sekiranya tiada keperluan, maka wanita perlu mengelakkan diri daripada berjalan tanpa mahram supaya tidak terjebak dengan larangan di atas. Pandangan Majlis Fatwa al-Azhar ini turut disokong oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dan ditulis di dalam Ensiklopedia Feqh Islam. Sebahagian mereka meletakkan syarat, iaitu perlu wanita tadi bergerak keluar bersama-sama dengan kumpulan wanita yang lain yang mana secara adatnya akan terjamin daripada kekacauan dan fitnah.
Hukum ini perlu dilihat sebagai memberikan perlindungan dan penghormatan kepada wanita, dan bukannya satu diskriminasi gender atau meletakkan wanita di taraf yang rendah. Kesan fitnah ke atas wanita adalah berbeza dengan kesan fitnah ke atas lelaki, justeru banyak undang-undang perlindungan dikenakan ke atas wanita berbanding lelaki.
Allahua’lam.
Salam ustaz Irfan yg dirahmati Allah….
Mohon bertanya bagaimana pula jika muslimat yg belajar di perantauan pergi melancong ke negara2 lain ditemani oleh muslimin yg bukan mahram?
salam. imho, kalau ada keperluan mendesak untuk melancong, dipersilakan. kalau tiada keperluan, lebih baik simpan duit untuk menyediakan ‘kemampuan’ kita pergi ke Makkah untuk buat haji. ada yang guna alasan tiket murah, tapi kos runcit utk melancong akan jadi mahal juga. sebaik-baiknya tidak pergi, bagi mengelak diri terjebak dalam larangan dalam nas sahih di atas. kalau nak terima pendapat yang kata boleh, pastikan ada hujjah kenapa perlu pergi dan terjamin keselamatan sepanjang perjalanan dan di destinasi nanti, terutamanya penginapan.
assalamualaikum, ana nak tanya bagaimana pula dengan sekumpulan muslimat bermusafir mengerjakan umrah atau haji. Termasuk dalam diskusi ini atau ada pendapat yang berbeza?
w’salam. diskusi ini termasuk kepada wanita yang nak buat haji. sepengetahuan saya, dulu kerajaan arab saudi tidak akan memberikan visa haji kepada wanita tanpa mahram. sekarang Allahua’lam. akan tetapi sekiranya ada al-rifqah al-ma’munah, ie bersama kumpulan lain yang secara adatnya boleh mengelakkan fitnah, maka bolehlah berpegang kepada pendapat sebahagian kecil mazhab Maliki dan Shafie seperti diterangkan di atas.
salam ustaz..
sy nk tanye, sy belajar bidang marin. jadi sekali sekala kne kaluar ke laut untuk buat kajian. disebabkan kerja di bidang marin ni agak berat, jd biasanya staf-staf lelaki akan ikut sama utk buat kerja & lecturer saya juga lelaki. biasanya klu ke pulau, kami akan tidur dalam bot sahaja. dalam bot terdapat katil yg cukup untuk krew2 kapal. tapi cuma dlm satu ruangan shj kerana kapal yg kami gunakan hanyalah kapal kecil. bagaimana klu perempuan tidur bersama lelaki dalam kapal tersebut untuk keselamatan,kerana hanya seorang perempuan ketika itu. tapi aurat masih dijaga.
saya ingin tahu bagaimana hukumnya dalam keadaan ini?
terima kasih,
azie
salam. masyaallah tabarakallah moga ramai wanita muslim memenuhi tuntutan fardhu kifayah seumpama saudari. islam meletakkan sadd al-zarai’e (menutup pintu yang boleh membuka zina, spt pandangan mata, bercakap lemah lembut antara lelaki n wanita tanpa sebab etc) untuk memberikan protection kepada wanita. saya tidak berani untuk memberi pandangan kerana tidak melihat dan berada dalam situasi saudari, akan tetapi saudari perlu berbincang dengan course coordinator/lecturer mengenai hak saudari untuk mempunyai privasi, atas nama agama dan juga gender. sedangkan di barat, toilet dan kebanyakan penginapan pun diasingkan antara lelaki dan wanita. cadangkan supaya ada satu bilik khusus di dalam bot yang sama utk pelajar wanita. sekiranya tidak dilayan, maka ikhtiarkanlah supaya dihijab tempat tidur saudari tersebut daripada pandangan lelaki. yang penting, saudari kena berusaha. pintu zina ini mudah terbuka bagi orang lelaki, tidak kira sama ada muda atau tua, seorang atau ramai2, ustaz atau non-ustaz.
Assalamu’alaikum Ustadz,
Bagaimana hukumnya maid wanita yang bekerja dan tinggal di rumah majikannya?
Jazakallah.
w’salam.
diharuskan selagi ianya tidak membawa kepada sebarang faktor pendorong zina, spt penjagaan aurat, tiada percampuran lelaki dan wanita bukan mahram, etc. jangan samakan dengan kebenaran menggauli hamba seperti dalam al-quran, kerana konsep hamba dalam al-quran itu ialah sekiranya kita membeli hamba tersebut. sedangkan dalam zaman moden, org gaji itu ialah satu profesion. allahua’lam
Assalamualaikum ustaz,
Saya seorang penulis tepatnya baru terjun dalam bidang ini. Buat masa sekarang saya sedang fokus kepada penulisan mengenai isu Selatan Thailand. antara lainnya dlm buku saya itu kelak saya mahu masukkan tentang kes-kes terkini yang berlaku di selatan thai untuk tatapan umum. jadi saya akan turun ke kampung-kampung yang terlibat untuk mendapatkan maklumat. saya akan ditemani oleh muslimat dan muslimin (bukan mahram) dari sana.
jadi bagaimana dengan situasi ini dari segi hukumnya? saya dengan rendah hati mohon ustaz jelaskan. terima kasih.
w’salam.
tahniah kerana sudah menjadi penulis. saya tidak melihat tindakan saudari bermusafir bersama sekelompok muslimat dan muslimin yang berintegiriti untuk tujuan kerja dan dakwah sebagai suatu kesalahan mutlak di dalam fiqh. ianya selari dengan fatwa yang dikeluarkan oleh al-Azhar itu sendiri. yang penting, ada jaminan bahawa diri saudari dan muslimat yang lain terselamat daripada fitnah.
Allahua’lam.
Asslamualaiku.w.r.b.t
Baru2 nei saya pergi trip ke terengganu bersama rakan2 kelas dan lecturer saya..
Kami menginap dalam rumah yg sama ( aurat tetap dijaga )
apakah hukumnya??
saya duduk dirumah sewa bersama2 rakan2 saya, tetapi rakan2 saya sering kali membawa lelaki masuk atas tujuan study dan melepak..
apakah hukumnya?? dan cara nak menghalang??
Terima kasih..
w’salam. maaf sangat, tak sempat update/respon blog lately.
sekiranya menginap di rumah yang sama, diharuskan sekiranya bilik berbeza, ada penyelia, bebas daripada fitnah dan mematuhi prinsip pergaulan lelaki perempuan di dalam Islam.
melepak dan percampuran antara lelaki dan perempuan adalah dilarang di dalam Islam, kerana membawa kepada fitnah yang menjurus kepada zina.
cara nak menghalang, gunakan kebijaksanaan saudari di dalam berdakwah dan nahi munkar. berbincanglah secara berhikmah dengan your housemate terlebih dahulu. saudari sebagai penghuni rumah ada hak untuk bersuara.
Salam.
Saya ada sedikit kemusykilan. Isteri saya sedang belajar di luar negara. Beliau duduk serumah dengan rakan wanita dan berlainan bilik. Apabila saya datang melawat, adakah menjadi kesalahan saya tidur bersama isteri saya di rumah yang sama?
Kerana pada pandangan teman serumah isteri saya, itu akan menimbulkan ketidakselesaan kepada beliau. Tambahan pula jika rakan-rakannya turut tumpang tidur di situ. Beliau turut menyatakan itu adalah rumah wanita/akhawat yang mempunyai peraturan.
Kami terpaksa beralah demi menjaga hati dan tidur di hotel yang berhampiran. Adakah ini pandangan dari sudut hukum yang sempit dan sikap tidak bertolak ansur ditunjukkan oleh teman serumah isteri saya? Minta maaf sekiranya tidak berkaitan dengan topik.
Terima kasih saudara.
assalamualaikum ustaz..ingin bertanya..bagi wanita yang melancong tanpa mahram sekadar makan angin tu keperluan yg mendesak atopn tidak? boleh x ustaz bagi contoh keperluan yg mendesak yg mengharuskan wanita bermusafir tanpa mahram…t.ksh..:-)
salam.jika saya mahu blaja di riyadh dan ibu saya mempunyai sahabat yang menetap di sana.,adakah dikira sahabat ibu saya itu boleh dijadikan mahram utk saya blaja di sana??
assalamuaalaikum ustaz , sya skrg bru melanjutkn pgjian d sebuah ipt ,n kluarga sya jauh dri sya , sbb mereka tggal d sabah n saya smbg study kat smenanjung , adkh berdosa ?sbb sya bljr d sini hnya d temani seorg shbt wanita juga , soalan kedua sya , apakah hukum jika prgi luar ngra utk menuntut ilmu tanpa mahram ? syukran jazilan ustaz ..