Antara fenomena yang ketara bagi Muslim yang tinggal di negara barat ialah ramai penduduk tempatan memelihara anjing. Anjing-anjing di kebanyakan negara barat biasanya terlatih dan amat jinak. Ada undang-undang yang memberikan perlindungan kepada anjing, pembela anjing dan juga orang awam. Dengan sebab itulah ramai yang memelihara anjing, terutamanya bagi yang hidup kesunyian tanpa teman. Apatah lagi budaya orang barat ialah anak-anak jarang tinggal dengan ibu bapa yang telah tua, lalu dipeliharalah anjing sebagai teman hidup. Bahkan ada yang telah mati beberapa hari bersama anjing yang setia dengan tuannya, kemudian baru ditemui oleh orang lain. Ada juga yang mewasiatkan hartanya kepada anjing. Pertubuhan menjaga kebajikan anjing juga tidak kurang banyaknya.
Bagi Muslim yang berasal dari Malaysia, kebanyakan kita agak fobia apabila melihat anjing ini. Ini kerana jarang kita berjumpa dengan anjing yang jinak di tanah air. Kebanyakannya adalah anjing liar. Saya pernah hidup berjiran dengan rakan berbangsa India yang membela anjing. Di depan rumahnya, ditampal papan tanda besar “Awas Anjing” dengan imej anjing yang ganas. Natijahnya, saya jadi takut dengan anjing.
Takut dengan anjing itu terbawa-bawa sampailah ke UK. Semasa awal permukiman saya di sini, punyalah seksa kalau berjumpa dengan anjing. Terutamanya di taman, atau di kaki lima di bandar, atau di car boot sale, asal jumpa anjing mesti ada antara orang Melayu yang lari ketakutan. Padahal anjing di sini semuanya jinak-jinak belaka. Kalau ada yang menerkam, itu tandanya anjing itu sedang teruja atau amat excited dengan kita. Anjing di sini suka mengenali kawan tuannya, dan cara anjing mengenali kita ialah dengan menghidu tangan kita.
Oleh kerana anjing di sini terlatih, jarang kita dengar kes serangan anjing. Kalau ada pun, ianya membabitkan spesis yang bahaya, terlarang, dan dipelihara tanpa kebenaran. Anjing yang menyerang manusia biasakan akan terus dihukum ‘tidur’.
Akan tetapi, tahukah anda yang sebenarnya ada juga orang Islam yang memelihara anjing, termasuklah golongan ulamak. Kawan saya yang mengaji pondok di Pattani menyatakan yang tok guru pondoknya memelihara anjing untuk tujuan keselamatan. Saya juga pernah menziarahi rumah rakan karib saya di sebuah kampung tradisional Melayu di Tumpat, Kelantan. Rumah di situ dibina tinggi, kerana lokasinya di tebing sungai. Kawan saya memaklumkan yang zaman dahulu, ramai yang memelihara anjing di bawah rumah masing-masing untuk tujuan keselamatan. Kebetulan rakan saya ini adalah berketurunan tok guru dan mufti diraja Kelantan, maka beliau menunjukkan beberapa keping gambar lama pegawai istana termasuklah Mufti dan Sultan. Ada antara gambar tersebut menunjukkan seorang berimej tok guru sedang memegang anjing (dengan tali) bergambar bersama kerabat diraja. Dan jangan terkejut, ada juga orang Melayu yang bersungguh-sungguh membela anjing, khususnya anjing yang terbiar atau dizalimi manusia di Malaysia, seperti di capaian ini dan juga ini. Saya harap anda tidak bersangka jahat dengan pemilik website tersebut.
Saya cuba untuk meringkaskan beberapa persoalan fiqh mengenai anjing seperti berikut:
Hukum Memelihara Anjing
Sebahagian ustaz menggunakan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud di bawah untuk mengharamkan Muslim memelihara anjing di dalam rumah seperti di bawah:
لا تدخل الملائكة بيتاً فيه صورة ولا كلب
Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang mempunyai gambar dan anjing.
Hadith di atas termasuk di dalam hadith dho’if. Imam al-Bukhari dan Syeikh al-Albani adalah antara sebahagian ulama’ hadith yang mendho’ifkan hadith ini.
Akan tetapi, di sana terdapat sepotong hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim yang menyentuh mengenai hukum memelihara anjing di rumah, iaitu:
من اقتنى كلباً إلا كلب ماشية أو كلب صيد نقص من عمله كل يوم قيراط
Barangsiapa yang memelihara anjing, kecuali anjing berjalan (untuk tujuan menjaga ternakan atau keselamatan) dan anjing perburuan, maka berkuranganlah (pahala) amalannya setiap hari sebesar qirat (ukuran yang amat besar).
Berdasarkan metodologi fuqaha’ dalam memahami nas ini, adalah jelas bahawa haram hukumnya bagi Muslim memelihara anjing di dalam rumah melainkan untuk tujuan keselamatan dan juga perburuan. Ini kerana setiap sesuatu yang mengurangkan pahala itu adalah antara petunjuk kepada hukum haram.
Dan ada juga hadith sahih riwayat Muslim yang boleh menjadi penguat kepada hadith Abu Daud di atas, iaitu:
وعن عائشة رضي الله عنها أنها قالت : ( واعد رسول الله صلى الله عليه وسلم جبريل عليه السلام في ساعة يأتيه فيها فجاءت تلك الساعة ولم يأته وفي يده عصا فألقاها من يده وقال : ما يخلف الله وعده ولا رسله . ثم التفت فإذا جرو كلب تحت سريره ، فقال : يا عائشة متى دخل هذا الكلب ههنا ؟ فقالت : والله ما دريت فأمر به فأخرج فجاء جبريل ، فقال رسول اله صلى الله عليه وسلم : واعدتني فجلست لك فلم تأت . فقال : منعني الكلب الذي كان في بيتك إنا لا ندخل بيتاً فيه كلب ولا صورة ) رواه مسلم
Daripada Aisyah r.a beliau berkata: “Telah berjanji Jibril dengan Rasulullah akan datang dalam suatu waktu, pada ketika janji itu telah tiba waktunya, Jibril tidak datang. Di tangan Nabi ada sebatang tongkat, maka baginda buang tongkat itu sambil berkata: “Tuhan dan RasulNya tidak akan menyalahi janji”. Kemudian Nabi melihat ke sebelahnya, maka baginda melihat ada anak anjing di bawah tempat tidurnya. Maka baginda bertanya: “Bila masuknya anjing ini?” Siti Aisyah menjawab: “Saya tidak tahu”. Lalu disuruh usir keluar anjing itu. Setelah anjing itu keluar datanglah Jibril dan Nabi terus bertanya: “Engkau berjanji denganku akan datang dan aku menunggu tetapi engkau tidak datang”. Jawab Jibril: “anjing yang berada di rumahmu yg menghalangi aku, kerana Kami (Malaikat) tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan gambar (patung)”.
Bagaimana pula dengan sebagai pemelihara anjing Muslim yang berhujah antaranya pemuda Ashabul Kahfi memelihara anjing? Di sana ada dua jawapan:
1. Memang benar, antara sumber hukum di dalam Islam ialah syariat umat sebelum Muhammad (syar’ man qablana). Akan tetapi, syariat umat terdahulu adalah tertakluk kepada syariat baru setiap kali diutuskan nabi baru dan wahyu baru. Hadith sahih di atas secara jelas mengharamkan Muslim memelihara anjing di dalam rumah.
2. Pemuda Ashabul Kahfi tersebut memelihara anjing untuk tujuan keselamatan. Selain itu, tiada petunjuk yang menyatakan kisah itu memberi sesuatu nilai dari aspek fiqh mengenai kenajisan anjing.
Mengulas isu ini, Syeikh Ahmad Kutty, pensyarah kanan Pengajian Islam di Islamic Institute of Toronto, Canada berkata bahawa adalah haram untuk memelihara anjing di rumah, melainkan untuk tujuan berikut:
1. Perburuan. Ini dijelaskan di dalam surah al-Ma’idah ayat 4 dan juga dalam beberapa potong hadith yang lain, dan perkara ini juga termasuk di dalam amr ta’abbudiy (sila rujuk penjelasannya di bawah).
2. Untuk dijadikan anjing pemandu jalan seperti untuk orang buta sekiranya memerlukan.
3. Untuk tujuan keselamatan pihak berkuasa seperti polis dan kastam.
4. Untuk mengawal keselamatan di sekitar rumah.
5. Untuk membantu penternakan haiwan.
Adakah Anjing Itu Najis?
Untuk menjawab persoalan ini, satu-satunya hujjah yang paling kuat digunakan sebagai rujukan ialah sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
طُهُور إناء أحدكم إذا ولَغ فيه الكلب أن يغسله سبْع مرات إحداهن بالتراب، أو أُولاهن بالتراب، أو عفِّرُوه الثامنة بالتراب
(Cara) menyucikan bekas kamu sekiranya dijilat anjing ialah dengan membasuhkan sebanyak tujuh kali, salah satunya dengan tanah, atau dimulakan dengan tanah, atau basuhan kelapan dengan tanah.
Hadith ini sebenarnya memberikan maksud yang anjing itu adalah najis. Ini kerana perkatan tuhur di awal hadith berkenaan iaitu yang bermaksud ‘cara menyucikan’ menunjukkan sifatnya yang bernajis, kerana penyucian itu hanyalah diperlukan untuk zat yang bernajis sahaja. Najisnya dianggap sebagai berat (mughalazah) kerana cara penyuciannya yang membabitkan proses samak.
Pun demikian, masih wujud khilaf ulamak dalam kenajisan anjing. Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah meringkaskan khilaf itu seperti berikut:
1. Anjing itu tidak najis keseluruhannya sama ada bulu kulit atau cecair badannya (kecuali najisnya yang dianggap mutawassitah). Ini adalah pendapat mazhab Maliki. Akan tetapi sekiranya anjing itu menjilat sesuatu, maka ianya perlu disamak. Syeikh Yusuf al-Qaradawi cenderung kepada pendapat ini.
2. Anjing itu najis termasuklah bulu dan cecair badannya (seperti peluh dan air liur). Ini adalah pendapat mazhab Shafie, dan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad bin Hanbal.
3. Anjing itu najis pada cecair badannya sahaja, bukan pada bulu kulit badannya ketika kering. Ini adalah pendapat mazhab Hanafi dan pendapat kedua di dalam mazhab Hanbali.
Imam Ibn Taimiyyah lebih cenderung kepada pendapat yang ketiga. Pendapat ini selari dengan keharusan membela anjing di dalam rumah untuk tujuan di atas. Sekiranya ia najis keseluruhan, bagaimana mungkin ianya dibenarkan untuk dipelihara dalam keadaan tertentu? Justeru, najis anjing menurut Ibn Taimiyyah ialah pada cecair badannya sahaja.
Dengan penuh penghormatan, saya secara peribadi tidak dapat menerima pendapat Imam Malik kerana zahir nas hadith di atas, dan juga kerana metodologi ulamak fiqh dan ulamak usul di dalam memahaminya. Imam Malik dilihat menggunakan metodologi yang agak mudah, memahami dan mengeluarkan hukum secara zahir daripada hadith di atas.
Bagi orang awam, memahami hadith tidak boleh dilakukan tanpa kepakaran ilmu alat seperti ilmu bahasa arab, ilmu hadith dan seumpamanya, justeru urusan seumpama ini perlu diserahkan kepada mujtahid. Perbezaan pandangan ulamak mazhab adalah disebabkan perbezaan metodologi yang mereka gunakan di dalam mengeluarkan hukum daripada nas. Justeru sekiranya anda tiada ilmu alat, janganlah sampai tahap mencerca ulamak mazhab lain seperti yang saya dapati wujud dalam beberapa komuniti yang bersungguh-sungguh ingin membela anjing. Ada antaranya yang menyatakan pendapat ‘Ustaz Shafie’ adalah pendapat yang tidak selari dengan nas, sedangkan mereka tiada ilmu alat yang setanding dengan al-Imam al-Shafie r.a.
Saya hanya menyatakan khilaf hukum ini secara ringkas sahaja. Perbahasan setiap mazhab dalam menentukan kenajisan anjing sebenarnya adalah agak panjang.
Seperkara lagi, saya juga cenderung untuk menyatakan yang kenajisan anjing, dan juga cara mencucinya adalah amr ta’abbudiy atau perkara ibadah yang perlu kita tunduk kepada arahannya tanpa berfikir alasan logiknya secara melampau. Saya tidak nafikan ada kajian saintifik untuk menyokong kenajisan anjing seperti kandungan kumannya, tabiat kotornya atau tabiat pemakanannya, akan tetapi kandungan kuman juga mungkin terdapat dalam haiwan peliharaan yang halal dijaga kita di dalam rumah. Dan ada juga anjing terlatih atau yang dibiakkan menjadi bersih secara lahirnya. Justeru, persoalan kenajisan anjing ini tidak wajar terlalu dikaitkan dengan logik akal, akan tetapi anggaplah ianya sebagai amr ta’abbudiy.
Cara Samak
Cara samak telah diterangkan secara terang di dalam hadith di atas, iaitu membuang najis itu terlebih dahulu, diikut dengan mencuci anggota yang terkena anjing (tertakluk kepada mazhab pegangan anda) sebanyak 7 kali dengan air mutlaq, salah satunya dicampur dengan tanah.
Di Malaysia, ada dijual produk sabun ‘Taharah’ yang dikatakan memenuhi tuntutan sebahagian air basuhan yang dicampur dengan tanah tersebut.
Adakah Ada Alternatif Tanah Seperti Sabun Untuk Samak?
Ulamak berselisih pendapat di dalam isu ini, yang saya ringkaskan seperti berikut:
1. Pendapat terkuat di dalam mazhab Shafie menyatakan yang tiada alternatif dibenarkan untuk tanah dalam samak. Ini kerana cara cucian tersebut telah diterangkan secara jelas di dalam nas hadith.
2. Pandangan jumhur di dalam mazhab Hanbali menyatakan yang boleh digunakan sabun sebagai ganti kepada tanah dalam semua keadaan. Syeikh Muhammad Shaltut, bekas Syeikhul Azhar cenderung menerima pendapat ini. Ini dikiaskan dengan keharusan menggunakan sebarang bahan kesat termasuklah tisu ketika istinja’ walaupun nas hadith secara jelas menyatakan batu sahaja. Selain itu, menurut Syeikh Shaltut, tanah itu adalah simbolik kepada bahan penguat kepada air yang mencuci najis tersebut. Itu adalah bahan yang ada semasa zaman nabi. Sabun menurut beliau lebih kuat sifat mencucinya berbanding tanah, justeru diharuskan untuk menggunakannya sebagai ganti tanah.
3. Ada yang menyatakan boleh sekiranya sukar atau ada halangan untuk mendapatkan tanah.
Hukum Membunuh Anjing.
Menurut Syeikh ‘Atiyyah Saqar, bekas pengerusi Majlis Fatwa Universiti al-Azhar, berdasarkan beberapa hadith yang sahih merujuk kepada arahan nabi kepada para sahabat membunuh anjing dan membiarkannya pada hadith yang lain, hukum membunuh anjing boleh disimpulkan seperti berikut:
1. Tidak boleh membunuh anjing yang telah terlatih untuk tujuan-tujuan yang dibenarkan manusia memeliharanya seperti keselamatan, penternakan, jurupandu dan lain-lain.
2. Adapun anjing yang tiada manfaatnya, sekiranya ianya berbahaya seperti buas mengancam kanak-kanak atau manusia umumnya, atau membawa penyakit dan kekotoran, atau menganggu kejiranan dan lain-lain, maka diharuskan untuk membunuhnya untuk tujuan kawalan.
3. Adapun anjing yang tiada manfaat dan tidak pula membawa mudarat, maka ulamak berselisih pendapat sama ada dibolehkan atau diharamkan membunuhnya.
Kesimpulan
1. Adalah amat penting kita mengetahui sekurang-kurangnya secara ringkas hukum mengenai anjing ini, bagi memudahkan kita merasai nikmat keluasan fiqh di dalam Islam.
2. Ianya juga penting untuk mengubah sikap dan persepsi kita terhadap anjing. Islam menyuruh kita mempunyai hubungan yang baik terhadap semua makhluk termasuklah haiwan. Fobia dan imej anjing pada masyarakat Melayu sebenarnya tiada kaitan dengan agama, tetapi lebih kerana faktor persekitaran budaya kebanyakan masyarakat kita sahaja.
3. Ini juga penting bagi memulihkan imej umat Islam di mata non-Muslim. Tahun lepas, timbul isu yang menyatakan Islam sebagai agama yang anti anjing di UK setelah kerajaan memperluaskan lagi penggunaan anjing untuk tujuan sekuriti, dan cadangan ini mendapat bantahan membuta tuli daripada sebahagian komuniti Muslim. Bantahan ini tiada kaitan dengan Islam, tetapi sebaliknya dipengaruhi oleh faktor budaya hidup mereka sahaja.
4. Walaupun ada perbezaan pandangan ulamak mengenai kadar kenajisan anjing, akan tetapi jumhur berpandangan yang haram bagi Muslim memeliharanya di dalam rumah. Sekiranya ada keperluan untuk memelihara anjing untuk tujuan-tujuan seperti di atas, maka anjing itu perlu diasingkan daripada kediaman bagi membolehkan malaikat rahmat memasuki rumah kita.
Allahu a’lam bissawab.
thank u ust for the explaination….very informative…
your welcome. rindu anjing kat car boot sale ke 😉 ?
kami selamatkan anak anjing sebanyak 6 ekor dari dalam tong sampah. Tidak sampai hati melihat anak anjing tersebut dibuang dalam keadaan baru lahir. Mendengar anjing orang geli tapi haiwan juga ada hak untuk hidup di bumi tuhan seperti manusia. Kami berniat membelanya dengan tujuan keselamatan dan agar di dewasa dan mampu berdikari sendiri…..adakah salah niat kami?
salam, tahniah kerana ada sifat perikemanusiaan yang tinggi terhadap makhluk Allah yang lain. seperti dalam tulisan saya, dibenarkan membela anjing di luar rumah untuk tujuan keselamatan tuannya. elakkan membelanya di dalam rumah berdasarkan hadith sahih di atas. dalam fiqh, mengelak terjebak dalam perkara khilaf adalah lebih utama. tindakan menyelamatkan anjing tersebut adalah usaha yang mulia sekiranya tuan/puan ada kepakaran membesarkan mereka. sekiranya tidak, bolehlah diserahkan kepada pihak berautoriti. Allahu ta’ala a’lam.
Semua kehidupan d dunia adalah ciptaan yang berkuasa..jadi tiadalah haramnya…kita boleh belanya..anjing paling dekat manusia.peliharalah anjing itu baik2 k….
Terima kasih ustaz di atas imformasi anda yang berguna.Saya sendiri ada membela seekor anjing German Shepherd untuk menjaga lembu2 saya.
Saya amati budaya membela anjing ini menjadi ketakutan pada orang melayu sahaja.Pada hal hal didalam islam ada hadis dan nas yang membolehkan kita membela anjing.
Islam adalah agama yang mudah di anuti.Teetapi orang melayu tidak mahu belajar hukum2 tuhan dengan betul.Pernah ada dizaman rasullullah,se orang sahabat mempunyai sehingga 200 ekor anjing untuk menjaga ternakan nya.
Wahai orang2 Melayu diluar sana,dalami hukum tuhan dan jangan hanya mengatakan anjing itu haram dibela tetapi adakah hasil pendapatan kita seharian itu tidak dari sumber yang haram.Tidak haram kah isteri dan anak dara kita keluar dengan tidak menutup aurat?
Fikir fikirkan lah sendiri.
Wasallam
Assalamu’alaikum
Tahniah! Alhamdulillah dikurniakanNYA insan yang berani tampil berkongsi ilmu yang mungkin (insyaAllah) dapat membuka minda dan seterusnya memberi kesedaran kpd golongan yang agak ‘tertutup’ minda mereka terhadap beberapa perkara.
Dengan berpegang pada hadith dan al-quran seperti yang Irfan lakukan sekarang adalah jalan terbaik bagi memahami dan menyelesaikan sesuatu perkara, daripada bertindak mengikut hati atau ‘adat’ yang most of the time membawa kepada mudhorat atau musibah negatif.
Contoh yang paling mudah ialah persoalan anjing. Pendapat Ustaz yang Kak Intan belajar juga sama seperti Irfan. Kenapa? Sebab Ustaz tu juga berlandaskan hadith saheh, dhoif etc. Malah dalam alquran sendiri tidak pernah memperkatakan tentang anjing seperti mana khinzir yang terang2 disebut di dalam alquran.
Keep up your good work! Semoga akan muncul lebih ramai yang berjiwa seperti Irfan. Amin
P/s By the way, we were also in Scotland from 1996-1999. Sempat juga makan angin ke Aberdeeen. Semoga dimurahkan rezki dan dipanjangkan umur untuk ke sana lagi. Dulu tu ke sana sebab hubby dapat scholarship.
Beberapa kawan2 saya di US, some are new muslims, bela anjing. Anjing tu tak masuk dalam rumah, cuma di dog house saja.
Di US, new muslims biasanya lebih memahami Islam (of course more than I do), dan mereka lebih liberal dalam hal bela anjing. Sesetengah mereka cuma basuh tangan sahaja kalau pegang anjing. Tak samak pun. Saya pun tak nasihat supaya samak, sebab saya pun tak berapa pasti dan tak mahu beri nasihat yang salah.
Di Jakarta saya selalu berkunjung ke rumah teman yang bela anjing. Saya buat yang sama, pegang anjing dan cuma basuh tangan sahaja. Adakah saya buat benda yang betul?
Sekarang saya cuba lebih mendalami Islam. Jeans saya di cium anjing. Memang anjing friendly dan suka melompat ke atas seluar. Bolehkah saya gunakan jeans itu untuk solat?
Sesiapa yang lebih arif. Nasihat anda amat dihargai. Terima kasih. God bless you.
1. Pelihara anjing di dalam rumah selain utk tujuan yang dibenarkan spt artikel di atas, adalah dilarang. Bagi new Muslim, gunakanlah pendekatan berhikmah dan beransur-ansur dalam menerangkan isu ini kepada mereka.
2. Apabila tangan/pakaian terkena anjing, maka hukumnya kembali kepada khilaf ulama’ spt di atas juga. Pendapat yang paling kuat ialah sebarang cecair daripada anjing menjadi najis apabila disentuh. Sekiranya menyentuh bulu/kulit yang kering, maka hukumnya suci, berdasarkan pandangan yang paling kuat. Allahua’lam.
3. Sekiranya memilih untuk samak, maka sebahagian ulamak mengharuskan penggunaan sabun moden sebagai ganti kepada tanah semasa samak.
Allahua’lam.
diharuskan membunuh anjing atas sebab kemudaratan..bagaimanakah cara utk membunuh?
diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan adalah pilihan yang terbaik supaya tidak berlaku kezaliman serta boleh mengelakkan jangkitan penyakit dan seumpamanya.
di UK, anjing bermasalah biasanya akan disuntik sehingga mati.
Penerangan yg amat baik brlandaskan kupasan secara brilmu drpd Quran dn Hadis. Mmg budaya org Melayu ni semcm brlebih2 tpi tnpa ada sandaran ilmu. Anjing dn babi sringkali dimangsakan haram sampai diseksa dn tnpa dihormati hak mrka. Tapi arak, judi dn perempuan (samada brfoya2 atau tidak brtanggugjawab pd isteri) tidak pulak dijadikan isu oleh org2 kita. Tk
salam, apa kah hukumnya membunoh anak anjing dengan meracunnya sehingga mati , apa pandangan islam mengenai perkara tersebut
Sekiranya anjing itu harus utk dihapuskan, sebaiknya kurangkan seksaan semasa proses tersebut. Minta bantuan pihak berkuasa tempatan utk membantu.
Salam ya Ustaz,
Bagaimana kita nak jawab persoalan – malaikat tidak akan masuk rumah yang ada anjing dan gambar – seperti yang dipermain-mainkan oleh sesetengah pihak (dalam youtube) . Seolah-olah malaikat takutkan anjing. Adakah boleh kita jelaskan bahawa hal ini juga bersangkutan dengan kenajisan anjing itu.
Assalamualaikum,
mohon untuk ambil artikel ni paste kat blog saya.
tq
hukum memegang anjing ni kalau kita tengok/search dlm lain2 blog..Hujah yg paling kuat adalah dari mazhab maliki.Saudara abidfana menyatakan pendapat dari mazhab malik dilihat menggunakan metodologi yang agak mudah,memahami dan mengeluarkan hukum secara zahir.Saudara lebih cenderung kepada pendapat dari mazhab Syafie(kerana saudara adalah fanatik mazhab syafie)Apa2 hujah pun walaupun lemah saudara tetap berpegang kepada pendapat imam syafie.Bahawasa Islam itu mudah..Kalau masalah seperti anjing ini disempitkan/dipayahkan..sememangnya susah utk orang islam pergi menuntut ilmu diluar negara..sebab itu negara barat bilangan orang yg memeluk islam ramai berbanding dinegara kita malaysia sebab bab anjing dan babi sangat sempit dlm mazhab syafieDimalaysia ramai kaum cina,india dan bumiputera sarawak/sabah..ramai yg beranggapan bab anjing dan babi adalah salah satu yg menyukarkan dioarang memeluk islam.sebab kalau mereka memeluk islam..apabila mereka hendak berjumpa keluarga dan sahabat dikampung amat susah contohnya bekas makan/minum(bab hukum babi)..dan pasti nya anjing banyak dipelihara oleh mereka..takkan nak kena samak setiap masa..(takkan kita kata Islam dibarat tak betul??)Kalau kita lihat majoriti mazhab paling ramai dianuti didunia adalah dari mazhab Hanafi kedua mazhab maliki dan ketiga barulah mazhab syafie dan kemudian hambali..Hadith cuma menyatakan “jilatan dan bekas”Ada hadith dari hadis Ibnu Umar radiallahu ‘anhuma mengenai anjing yang keluar-masuk masjid dan kencing di sana, namun dibiarkan begitu saja tanpa disiram atau direnjis dengan air. Beliau berkata “Beberapa ekor anjing sering kencing dan keluar-masuk masjid pada zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam. Namun mereka (Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabatnya) tidak memercikkan air/membasuh kencing anjing tersebut.”[29]Dalil yg lain adalah apabila Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman” Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya. [al-Maidah 5:04]Jadi disini kalau kita lihat bagaimana anjing yg berburu tersebut menangkap/manggangkat hasil buruan mereka..pastilah dgn mulut..jadi bagaimana hukum binatang yg berada didlm mulut anjing itu??Perlukah disamak dgn tanah??Dan Dia (Allah) memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripada-Nya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaan-Nya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti. [al-Jatsiyah 45:13]
Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-nikmatNya yang zahir dan yang batin? [Luqman 31:20]
Islam itu mudah..kalau agama islam itu payah bagaimana para sahabat Rasulullah boleh menerima ISlam dizaman rAsullullah dahulu…Kebanyakannya baru masuk islam…Dan Anjing semamangnya sudah hidup lama sejak dari dulu lagi…dan pastinya dlm kehidupan rasulullah dari kecil sehingga dewasa anjing sememangnya banyak…kita boleh katakan bahawasanya rasullullah nampak anjing menjilat bekas(samaada bekas minuman atau makanan(pinggan contohnya))..bila melihat begitu rasullullah menasihati sahabat supaya membasuh bekas itu dgn air termasuk dgn air dari tanah(zaman itu ada sabun ka?)Kalau ada sabun pastinya rasullullah suruh guna sabun…kita boleh katakan anjing pada waktu itu kotor(anjing liar)makan bangkai/najis dll..samalah dgn anjing liar yg ada sekarang ini…Kalau di Barat pun anjing liar akan ditangkap dan di”tidurkan”…sebab itulah dibarat ramai orang bukan islam memeluk islam kerana Islam itu mudah…ramai yg bermazhab hanafi/maliki atau salafi…jadi kita kena luas kan dan cari dalil yg dekat dgn al-quran dan sunnah…
terima xfugitive. saya cadang saudara baca berulang kali artikel saya di atas.
1. di dalam memahami hukum, saya tidak menjadikan blog/google sebagai sumber hukum utama. akan tetapi saya merujuk kepada al-quran dan al-hadith, selain daripada kitab-kitab mu’tabar, alhamdulillah dengan ilmu alat yang seadanya berkat pengajian sebelum ini.
2. saya tidak malu mengaku bermazhab shafie, akan tetapi kalau tuan baca artikel saya yang lain, banyak juga pandangan mazhab lain yang saya terima kerana penghujjahan yang lebih kuat.
3. artikel saya sama sekali tidak bermaksud untuk menyempitkan pemahaman feqah terhadap isu anjing, akan tetapi lebih bertujuan untuk meluaskannya, dan memperbetulkan antara pandangan agama dan persepsi budaya Melayu di Malaysia.
4. segala hujjah dan dalil yang tuan berikan, adalah benar. ianya selari dengan artikel saya. dan hujjah2 tersebut sama sekali tidak memberikan hukum yang berbeza dengan apa yang saya tulis. saya harap tuan mempunyai ilmu alat yang cukup untuk mengeluarkan hukum daripada nass.
5. alhamdulillah, saya pernah tinggal lama di negara Arab dan juga di Eropah. saya juga terlibat di dalam gerakan dakwah dan mengIslam beberapa orang tempatan di UK. mereka tidak pernah rasa bermasalah dengan isu kenajisan anjing/babi, atau pun persepsi budaya/peribadi terhadap anjing, kerana itu hak peribadi. di negara barat, rama juga orang tempatan yang tidak menerima anjing atas persepsi budaya atau citarasa peribadi.
6. menjadi salafi hanafi/maliki tidak sama sekali membawa maksud kerana orang menerima Islam kerana kesalafian/kemalikian/kehanafian seseorang, serta tidak ada orang yang menolak Islam kerana keshafiean Islam.
7. sekali lagi, artikel saya adalah untuk memurni, menjernih dan memperbetul fahaman orang Melayu terhadap isu anjing. saya datangkan pelbagai pendapat supaya mereka nampak keluasan fiqh Islam. saya berharap bangsa kita membezakan antara tuntutan agama, dengan sekatan mental budaya/peribadi, sekaigus menghormati makhluk Allah yang dinamakan anjing ini 🙂
abidfana… terima kasih dan mohon maaf sekiranya tersinggung dan salah kata..sebab saya tak baca keseluruhan artikel diatas…Sememangnya keluasan dlm bab anjing/babi adalah perlu bagi umat islam dimalaysia ini supaya bukan saja orang melayu(islam) memahami bab ini tetapi orang bukan islam juga..supaya perkara ini tak memayahkan orang ramai..saudara abidfana kata tak setuju dgn pendapat imam Malik tentang bab najis anjing ini..(Anjing itu tidak najis keseluruhannya sama ada bulu kulit atau cecair badan)dan pendapat ini disokong oleh Syeikh Yusuf al-Qaradawi dan secara peribadi saya sendiri menyokong pendapat ini..Terus terang saya kata kan saya seorang muallaf(dekat sepuluh tahun masuk islam..masih muallaf ka?).Saya dulu pernah memelihara seekor anjing(sebelum memeluk islam)..dan anjing yg saya pelihara ni anjing biasa jer..makanan pun makan nasi berlauk ikan jer…nak beli makanan anjing kat supermarket tu mahal..dan biasa ler anjing tu bermain..kadang menggigit manja..menjilat muka dll lagi…Kalau tak silap saya badan anjing tak perpeluh tapi peluh keluar melalui mulut(air liur)sebab itu kalau anjing letih(aktif)lidah anjing terjelir keluar…Dan saya perhatikan tak ada apa yg kotor/najis tentang anjing ni…kalau anjing jilat bekas(cawan/pinggan)maka cuci biasa jerlah dgn air/sabun.Ini yg anjing biasa ni(anjing kampung)..kalau yg makan makanan berkhasiat dan dijaga rapi saya ingat lagi bersih…Memang anjing liar(yg berkeliaran kat luar)tu kotor..kadang2 najis manusia pun dia makan…Sebab itu lah rasulullah suruh basuh dgn 7 kali air dan 1 dari tanah.(masa tu mana ada sabun(chemical)Kalau kita tengok hadis nabi tentang anjing ini..cuma kata “jilatan”dia tak kata sentuhan,geselan dll..dia kata “jilat”..jadi “jilat bekas”…bekas tu mungkin/semestinya bekas minuman atau makanan.Sebab anjing tak menjilat sesuka hati kecuali kalau benda/tempat yg dia nak jilat tu ada makanan/minuman yg dia suka..(saya dulu ada anjing saya tahulah)Jadi pendapat imam malik adalah yg paling tepat bagi saya dlm bab ini.Tak ada yg memudaratkan tentang anjing ini..Selalunya Allah tak bagi kita buat sesuatu atau makan sesuatu yg boleh memudaratkan kita..Dlm bab anjing ni tak ada yg memudaratkan..kecuali kotoran dari jilatan anjing tu saja.Jadi memadai dicuci dgn air/sabun..itupun kalau anjing jilat “bekas”..pinggan/cawan sebab kita nanti nak guna balik…Benda lain yg Allah tak bagi kita makan/buat sebab kemungkinan memudaratkan kita..tak boleh makan daging babi..sebab apa??.memang ada cacing yg halus2 dlm daging tu..Arak kenapa tak bagi minum..sebab mabuk..memudaratkan diri kita..semua ni contoh jer la..Kita sebagai orang awam..memang tak ada ilmu..tapi bab2 hukum ini bukan benda baru tapi dari zaman dulu lagi..semua para ulama2(mungkin beribu2 alim/ulama) dari kalangan 4 mazhab sudah menilai bab2 ini semua..Jadi kita tak payah lah nak megkaji dan menghukum bab ini balik..jadi kita kena berilmu ke nak nilai balik??Semua dah terbentang dan ada tertulis dlm kitab2..kita cuma menilai hujah2 dari mazhab mana yg paling hampir dgn hadis nabi…dan dgn logik akal kita tentang anjing..semua perkara kena pakai logik akal sama.Allah berikan kita akal utk berfikir dan bukannya hanya mengikut saja…Satu lagi bab Khinzir..kenapa dlm mazhab shafie khinzir disamakan dgn anjing kena samak??.Sedangkan dlm Al-quran kata “diharamkan bagimu(memakan)bangkai,khinzir,darah dan daging haiwan yg tak disembelih..”Persoalan nya kenapa tak disamak sekali kalau menyentuh bangkai dan darah..kenapa khinzir saja??.Dalam bab ini pun pendapat dari mazhab hanafi dan maliki yg paling adil…Al-quran kata tak boleh MAKAN bukan nya sentuh..kenapa samakan dgn anjing?Hadis berkenaan dgn anjing lain dan hadis berkenaan dgn khinzir lain…Kalau kita sebagai orang awam terlalu taksub dgn satu2 mazhab sangat susah(mungkin ada yg sudah biasa)tapi kalau dimalaysia ini bermasyarakat majmuk..berbilang bangsa..dan utk menarik lebih ramai non-muslim memeluk agama yg suci ini..bab2 anjing/khinzir ini hendaklah diluaskan..guna pendapat yg kuat..dan adil dan yg hampir dgn hadis…Sebab pengalaman saya sendiri mula2 dulu sewaktu memeluk islam..amat payah apabila balik kekampung halaman(disarawak)…bab anjing dan khinzir ini susah dan masalah kena samak dll.Orang tua saya,saudara mara..semua ada anjing dan mereka makan khinzir..kalau dahulu sewaktu saya balik kekampung…saya selalu menolak hidangan makanan diaorang walaupun ayam/daging lembu saya beli dari peniaga melayu(muslim)dan dimasak oleh ibu saya…saya kata tak pa..kenyang..tapi sebaliknya saya keluar makan diluar..ADIL kah itu..Dari kecil sehingga dewasa saya makan masakan ibu saya..tetapi apabila sudah memeluk islam saya tak berpeluang menjamah lauk masakan ibu saya..masalahnya disini..saya segan/malu kalau nak “samak”pinggan/mangkok…Kalaulah begini agama Islam yg kita bawa kepada orang bukan islam..mungkin tak ramai yg berminat memeluk islam.Dulu bab2 hukum ni tak luas..nak tanya kat siapa??Ustaz2…masalahnya kebanyakan Ustaz2 dimalaysia bermazhab shafie..hukumnya sama..iaitu haram2 dan samak…tetapi..dgn ada nya teknologi internet baru saya dapat melihat keluasan didlm hukum2 ini..dan kita ikut yg mana pendapat yg kuat..dan bukan yg lemah…Kalau tengok hukum dari mazhab shafie dlm bab anjing/khnizir…memang jauh dari hadis nabi..yg paling hampir adalah mazhab maliki..yaa..sekarang saya gembira kerana telah mengetahui banyak perkara dlm keluasan agama ini…apabila balik kekampung halaman.tak menjadi masalah..dan saya terangkan kepada kaum keluarga tentang masalah2 mazhab ni…ya moga2 suatu hari nanti terbuka hati diaorang memeluk islam..insyallah…Dulu saya hampir2 kecewa dgn agama islam ini..dan hampir2 saya kembali keagama asal…tetapi..ada seorang “insan”yg menceritakan tentang keluasan agama ini dan tentang mudahnya agama islam ini..(kalau payah siapa pun tak nak memeluk islam)dan sejak itu..alhamdullillah..syukur..saya kembali ke jalan yg benar..Islam itu mudah..Yaa..bagi orang melayu(yg sejak lahir memang islam)..no choice..suka tak suka kena jadi muslim..tapi bagi yg non muslim..kalau agama itu payah..mereka tak akan memeluk islam…sebab itu kita lihat orang yg baru masuk islam ramai yg murtad..malah orang melayu sendiri ramai yg murtad…mungkin ada sedikit sebanyak disebabkan faktor2 diatas tadi..yg payah dan sempit..takpa setakat ini lah dulu komen saya harap maaf kalau ada silap dan salah…
Salaam
Betul kata saudara, siapalah kita kalau nak dibandingkan dgn Imam Syafie.
Soalan saya, siapalah saudara kalau hendak dibangdingkan dgn Imam Maliki guru Imam Syafie. Pergi belajar adab, sebelum mengkritik imam muktabar.
Saya berpegang pada pendapat Imam Maliki, anjing binatang suci, hadith menyuruh cuci 7 kali tidak terdapat lafaz najis, maka anjing tidak najis keseluruhannya, mencuci 7 kali adalah ubudiyyah.
Sama juga, terbatal wuduk kerana kentut … adakah saudara cuci pada dubur ???? Tidakkan ???
Manaf Al Ansari.
Assalamualaikum,
Kereta saya mempunyai bekas kencing anjing,adakah perlu disamak kereta dan tangan.Mohon penjelasan cara cuci najis anjing(tahi/kencing) adakah perlu disamak atau setakat air dan sabun?
Terima kasih
Salam, syabas atas isi yang bernas dalam bahasa yang santun dan tidak mudah melatah. Semoga kombinasi ini dikekalkan sepanjang perjuangan.
Sekira nya Malaikat Jibril a.s. enggan memasoki rumah rasulullah s.a.w. hanya kerana terdapat nya se ekor anak anjing ( apa lagi jika emak atau bapak anjing ) menandakan anjing itu kotor berkuman dan najis nya sama seperti babi dengan cucian samak dan mesti dengan satu daripada cucian di campor dengan tanah! Jangan ber prasangka buruk akan kehidupan di zaman Rasul s.a.w.yang konon nya sabun belum wujud ! Jika pun ada sabun yang termodern pon di zaman rasul s.a.w, cucian mesti di campor juga dengan air tanah untuk menyamak buat cucian babi atau anjing kerana ini adalah perintah dari yang mencipta tanah dan pencipta Nya maha mengetahui apa yang baik dan tidak nya.Bukan lah rasul s.a.w. sengaja memandai mandai itu dan ini,tetapi baginda di wahyukan sedemikian melalui Malaikat agong Jibril a.s.Sebagai muslim,bersolat semesti nya bersih dari segala najis untuk bersujud kepada Allah Taala dan sekira nya badan kamu terhambor najis anjing samada di jilat atau sebagai nya,jika tidak di samak dengan air tanah,Allah Taala tidak akan menerima solat kamu dan kamu hanya membuang masa bersolat tetapi fatamorgana dan di akhirat nanti,amal solat kamu akan di humbankan ke muka kamu ibarat bungkusan burok yang tidak berharga walau pou satu sen ! Dengan itu,perkara sebegini tidak seharus nya di anggap remeh dan perkara yang termudah jauhkan diri dari anjing dan babi sekira nya ada jiran walaupon islam tetapi ada memelihara anjing,jangan sekali ke rumah mereka kerana si anjing pasti akan mendekatkan diri nya ke arah si pengunjung ( nanti kena pula mandi dengan air tanah kerana takot jika solat tidak sah)
Kajian sains terkini telah membuktikan tanah mengandongi bahan kimia yang terunik sekali untuk menghapuskan berbagai jenis kotoran dan kuman dan amat sesuai untuk cucian menghapuskan kuman babi dan anjing kerana dua bakteria ini tidak akan bersih di cuci walaupon jika menggunakan beribu jenis sabun ! Harap maklom.
Tak perlu beremosi tuan :). Terima kasih atas kunjungan. Saya menaqalkan pendapat Syeikh Muhammad Syaltut dalam himpunan fatwanya, dengan nota bahawa ianya perkara khilaf. Tidak timbul juga isu bersangka buruk dengan Nabi dan wahyu. Apabila tuan berdakwah dan bermuamalah dengan non Muslim, pernah tinggal di negara Muslim minoriti dan menerima sifat fiqh yang luas, maka pendapat seumpama ini perlu diambil kira.
Sudi2lah juga berkongsi journal saintifik yg membuat kajian mengenai tanah tersebut. Saya percaya sifatnya tohir mutahhir. Allahua’lam.
salam, saya terfikir bahawa jibril bukan menjauhi anjing kerana kotoran zahir tetapi juga kotoran maknawi yang Allah sahaja yang maha tahu, kerana dinyatakan bahawa dia juga tidak memasuki rumah yang ada gambar/patung. Ternyata banyak rumah tidak akan dimasuki Jibril kerana banyak orang suka gantung gambar terima ijazah, famili beraya dan simpan patung beruang mr bean.
soal kehadirannya bukanlah perkara utama kerana yang penting hati dan dekat dengan Allahlebih penting, kerana kita mendoakan orang bukan islam menerima hidayah dari Allah bukan melalui perantaraan jibrail. kudusnya malaikat kerana suci ia dari menyekutu Allah dan kotoran zahir seperti kencing anak anjing tersebut. Semestinya nabi tidak akan menyamak rumahnya kerana anak anjing tersebut.
tentang sabun semestinya belum ada zaman itu. sifat kekenyalan tanah dan elastiknya membantu membersihkan lagi bekas yang dijilat bukan atas nama tanah semata tetapi sebagai tool/ medium pembersih yang bukan sahaja membersihkan bekas itu semata bahkanmenghilangkan rasa geli pada pemakai bekas itu berbanding hanya siram air. rasanya tak salah guna sabun sebagai medium baru. siraman 7 kali juga sukar nak dihitung kalau guna pili. pemahaman saya siraman air itu perlu banyak kali supaya syarat bersih meliputi bebas bau, wrna dan rasa. wallahualam.
ustaz,assalamualaikum.
saya nak tanya sumthing.Saya sedang belajar di jepun.Dan kebanyakan orang jepun memang suka sangat bawa anjing n main dengan anjing. Dan macam ustaz tahu kat jepun ni pengangkutan utama is the train. kalau dah naik train tu, dengan ramai nye orang, ada orang yg mmg bju die penuh dengan bulu anjing. Saya pula tangan selalu je basah! Apa yang saya nak tahu, kalau saya nak berpegang dengan mazhab lain(maliki or hanafi) sebab saya rasa memang susah kalau berpegang pada mazhab shafie bab thaharah anjing ni, boleh ke tak ya? takpe ke dalam hal ni saya amik jalan yang mudah bagi saya after i’ve read hujah2 setiap mazhab dan saya yakin dengan jalan yang mudah tu?
oh, satu lagi, kat atas ustaz tulis macam berlainan dari yg saya baca..Dan saya nak reconfirmkan balik boleh.Dalam Mazhab hanafi, bulu anjing yang basah pon kena sertu ke?
Jazakallah khayr..
Yoroshiku^^
mcm mne plak kalau anjing yg suke kejar…5kali sy hmpir tbabas ke longkang gara2 anjing….apa yg patot sy buat dgn anjing tu??
Salam Ustaz..
Alhamdulillah…tkasih atas penerangan yang baik dan penjelasan kpd rakan2 melayu kita…pada saya masalah anjing ini hanya kuat pada orang2 melayu sahaja. ini kerana kurangnya pendedahan dan pengetahuan berkenaan bab thoharah pada anjing. satu lagi saya lihat ramai rakan2 melayu islam y membela anjing mereka tidak dapat menerangkan dengan baik dan cepat beremosi apabila ada rakan melayu y lain bertanyakan ttg anjing. Spt saudara Manaf Al Ansari diatas. sptutnya anda menghormati pendapat y dikemukakan oleh ustaz dgn menegur dgn cara y lebih mencerminkan seorang muslim…bukan spt seorang samseng…anda melihatkan seperti islam itu dalam perbincangan spt mahu bergaduh…saya seorang muallaf dari singapura…dan dari segi hukum spt anjing ini saya lebih sukakan ambil satu pendapat y bersesuaian dan kemudia berlapang dada…Jika anda Maliki, anda patut berlapang dada, manakala jika anda syafie / hanafi…amalkan dan terus berlapang dada…jgn biarkan perasaan was2 terus bermain dalam fikiran kita…kerana apa y kita was2kan ini hanyalah bab kebersihan / kesucian pada anjing..takut2 kemudian was2 kita pada Allah pula…Nau’zubillah…wallahualam
Assalamualaikum
Saya kerap sekali berselisih dengan lori babi tetapi walaupun tidak bersentuhan saya terasa badan saya kotor dan saya rasa was-was sama ada terkena air atau pun cecair dari babi..Apakah hukumnya? Adakah perlu disamak atau setakat air dan sabun?
Assalamualaikum
Zack, saya harap response saya dapat membantu kamu kerana saya juga mengalami situasi yang sama – was-was. Kadang-kadang bendanya tidak nampak tapi was-wasnya bukan main.
Kalau kamu kata hanya berselisih dan tidak bersentuhan dengan lori tersebut, pada pendapat saya tidak perlu samak.
Kalau terpercik di salah satu anggota badan yang terdedah dan secara logiknya, kita mesti dapat merasai percikan tersebut. Kalau jelas memang nampak terkena tempias air dari lori tersebut ke mana-mana bahagian bdan maka samaklah.
Tapi kalau tidak rasa maka tiadalah tu. Sbb kalau dilayan perasaan was-was ini memang x habis.
Terima kasih.
Wassalam.
Saya ingin bertanya..saya telah dijilat anjing kecil dengan tidak sengaja..adakah saya perlu samak
Assalammualaikum,
Seluar saya terpercik air liur anjing ketika dalam perjalanan pulang kerumah..saya.dah pun samak(sertu) seluar saya..akan tetapi sebelum saya samak seluar tersebut..beg tangan saya terkena bahagian seluar yang terkena najis itu..saya perlu samak juga ke tidak beg tangan saya?? Atau memadai lap dgn kain basah sahaja??
Saya risau tentang masalah yang saya hadapi ini..sila bantu..
Ada seekor anjing tak bertuan yang datang dihalaman rumah kami, kerana kasihan kami sentiasa bagi dia makan, tapi dia tak pernah masuk dalam rumah.. ada 1 hari waktu hujan lebat sangat, saya kasihan saya bukak pagar bagi dia masuk berteduh.. persoalannya perlukah saya samak halaman rumah saya kerana kadang kala kami tak berselipar dihalaman rumah.. boleh ke cume guna pencuci baju untuk mencuci halaman rumah?