Antara nikmat Allah yang amat berguna kepada manusia ialah diberikan pelbagai rezeki makanan yang halal. Terlalu banyak jika ingin dikira rezeki halal yang berada di sekeliling kita, sama ada ketika tinggal di negara orang Islam atau di negara bukan Islam. Firman Allah SWT di dalam surah Luqman:

أَلَمْ تَرَوْا أَنَّ اللَّهَ سَخَّرَ لَكُمْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ وَأَسْبَغَ عَلَيْكُمْ نِعَمَهُ ظَاهِرَةً وَبَاطِنَةً وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُجَادِلُ فِي اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَلا هُدًى وَلا كِتَابٍ مُنِيرٍ (٢٠)

20. Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran.

Di dalam hal ehwal makanan, Allah memerintah kita bukannya semata-mata mencari yang halal sahaja, tetapi turut menganjurkan kita mencari yang berkualiti (konsep halal+toyyib). Kriteria halal telah lama dibincangkan oleh para ulamak. Begitu juga dengan pelbagai isu kandungan baru bahan makanan yang tidak diketahui status halal haramnya, kini telah banyak pihak berkuasa agama yang meletakkan garis panduan berdasarkan fatwa yang diberikan ulamak semasa. Permintaan tinggi terhadap status halal telah menjadikan industri halal sebagai anak dara sunti sama ada di pihak industri atau pun di dalam dunia akademik sendiri. Banyak seminar telah diadakan untuk membangunkan industri halal di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa. Bahkan dikhabarkan kebanyakan ‘pemain utama’ di dalam indsutri halal sekarang ini ialah rakan-rakan non-Muslim sendiri. Maklumlah, bilangan orang Islam memang amat ramai dan bertebaran di seluruh dunia. Sudah tentu permintaannya tinggi.

Akan tetapi, terdapat satu perkembangan kurang sihat yang agak menyedihkan berkaitan dengan industri pemakanan di Malaysia. Bab menipu status halal, itu memang saya geram dan bantah sejak dari awal lagi. Bagi penggiat industri pemakanan yang tidak beretika dan hanya mementingkan keuntungan, mereka akan mengambil kesempatan untuk mencampuradukkan antara yang halal dan haram di dalam kandungan produk makanan mereka. Itu namanya menghalalkan yang haram. Fenomena ini memang di mana-mana pun berlaku.

Perkembangan yang saya maksudkan, ialah fenomena mengharamkan yang halal. Yang lebih menyedihkan, saya dapati kebanyakan yang terlibat di dalam fenomena ini ialah terdiri daripada golongan ustaz, khususnya yang kuat berceramah di masjid sambil menjadi agen MLM/produk tertentu. Contoh yang berlaku ialah kepada emak saya sendiri. Sampai sekarang sudah tidak mahu makan kari walaupun untuk cicah roti canai. Katanya seorang ustaz penceramah masjid mendedahkan yang serbuk kari Babas itu mempunyai kandungan najis lembu, sebagai bahan yang dipuja oleh penganut agama Hindu. Saya rasa geram dengan dakwaan seperti ini. Contoh kedua, ialah email daripada seorang rakan baik saya juga. Kini aktif memasarkan produk MLM Muslim. Emailnya saya salin bulat-bulat seperti di bawah entri ini. Mula-mula membaca, saya rasa sedih dan menyampah. Itu belum dikira lagi pelbagai tuduhan-tuduhan lain yang belum pernah dibuktikan kesalahan mereka.

Tindakan mengharamkan yang halal adalah satu dosa besar kerana ianya merupakan fitnah dan boleh menzalimi hasil rezeki orang lain. Firman Allah SWT di dalam surah al-A’raf:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ (٣٢)قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالإثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَنْ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لا تَعْلَمُونَ (٣٣)

32. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?” katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat”. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui. 33. katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.

Apabila mengetahui tuduhan terhadap serbuk kari Babas, saya melihat pakej bungkusannya. Tertera jelas cop Halal JAKIM. Sebagai syarikat berjenama terkemuka, saya yakin mereka sentiasa menjaga kualiti dan piawaian halal seperti yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama, sama juga keyakinan saya terhadap JAKIM yang sudah tentu memberikan prioriti pengawalan halal terhadap syarikat berprofil tinggi bahkan yang terpalit dengan pelbagai tuduhan.

Perangai mengharamkan yang halal ini bukannya satu perkara yang kecil. Ini perkara besar yang memalukan Islam dan penganutnya sendiri. Ini juga adalah perangai orang Yahudi yang amat suka berlebih-lebihan di dalam kehidupan beragama sehingga mengharamkan yang halal. Kata nak boikot dan anti Zionis, tetapi mengapa tiru perangai mereka?

Tindakan menuduh sewenang-wenangnya ini biasanya didorong untuk tujuan tertentu. Antaranya ialah sebagai bahan perencah di dalam ceramah mereka. Maklumlah, pendengar lebih suka mendengar ceramah dengan elemen sensasi. Kalau nak bercerita bab gosip artis, kurang kena, kerana di masjid. Lalu digunakanlah tuduhan-tuduhan fitnah yang kelihatan Islamik kononnya untuk memelihara pengguna Islam. Malangnya, itu semua hanya tuduhan semata-mata. Fitnah, manipulasi dan penipuan.

Ada juga yang berbuat demikian kerana tujuan pemasaran produk mereka. Maklumlah, sudah menjadi agen besar syarikat MLM. Untuk memastikan pengguna membeli produk mereka, strategi utama mereka ialah dengan mengugut dan menakut-nakutkan pengguna, kononnya produk A adalah haram. Menuduh perlu didatangkan dengan bukti. Kalau tiada bukti, itu namanya fitnah. Cerita-cerita di meja gerai kopi tanpa bukti, adalah fitnah. Masing-masing sudah belajar fiqh dan qawa’id fiqhiyyah, tetapi mengapa tidak mahu diaplikasikan di dalam kehidupan berniaga? Itu belum cerita lagi status syarikat MLM mereka sama ada mesra syariah atau sebaliknya.

Sebagai peniaga Muslim, sepatutnya kita perlu bertanggungjawab dengan produk yang kita bawa. Utamakanlah penjelasan mengenai kelebihan produk kita berbanding menyerang secara memfitnah produk lain. Ini etika perniagaan Islam yang sebenarnya. Membenarkan persaingan walaupun kepada syarikat bukan Muslim adalah digalakkan di dalam Islam. Tujuannya ialah untuk meningkatkan kualiti demi kebaikan pengguna.

Tiada masalah fiqh pun sekiranya orang bukan Islam memasarkan produk makanan halal di dalam masyarakat. Mungkin yang boleh dijadikan perbahasan di dalam konteks dunia orang Islam ialah sejauh mana keberkatannya. Akan tetapi sekiranya produk mereka menepati piawaian halal, serta lebih bersih dan berkualiti tinggi, saya sendiri akan membeli produk non-Muslim. Anda yang menjadi agen MLM biasanya akan mendapat bonus melancong ke luar negara. Sepatutnya anda terdedah dengan pasaran makanan halal yang ada di luar sana, walau pun tidak mendapat sijil halal JAKIM. Mengapa menjadikan Islam itu kelihatan sulit dan sukar? Sedangkan ramai orang Islam sudah bermukim di negara luar, antaranya untuk tujuan berdakwah, dan boleh hidup dengan kewujudan makanan-makanan yang sedia halal yang merupakan produk orang tempatan non-Muslim.

Justeru, dengan penuh rendah diri saya ingin membuat teguran kepada rakan-rakan Muslim terutamanya golongan ustaz penceramah supaya menghentikan gejala memfitnah syarikat makanan non-Muslim yang betul-betul diiktiraf pihak berkuasa agama. Jangan tipu dan mempengaruhi jemaah surau yang datang untuk beribadah dan mendapat pahala. Aplikasikan ilmu fiqh yang ada di dalam dada masing-masing. Jaga etika dan nama baik agama kita. Jangan sama sekali mengambil kesempatan di atas nama agama dan produk berjenama Muslim. Hasilnya, produk yang ada hanya dibeli kerana faktor ugutan, diletakkan harga yang tinggi lantas menzalimi saudara segama sendiri, serta kualiti entah ke mana.

_____________________________

Salinan email sahabat saya… (maaf kepada yang berkenaan)

Jab. —– —– pernah  buat serbuan di kilang memproses ikan sardine.Apa yg di jumpai amatlah memeranjatkan. Kalau kenkawan bau kuah sardin tu hanyir n lagi satu sedap kan…nak tahu apa recipenyer…kalau x percaya terpulang lah…..tau kenapa org cina suka mkn katak??? So agak2 kenkawan dapat x jawapannya….kilang tu telah mencampurkan daging katak sebagai perasa untuk menyedapkan lagi rasa kuah sardin tue..huhuhu. .itulah yg —- jumpa tapi amat sadis kenkawan bila pegawai yg bertugas hantar report…report tu telah di ‘zip’ oleh pihak tertentu atas sebab akan merugikan pihak ‘besar’. ..kenkawan tau sardin jenama apa??? ..yg paling mahal n glamer…’   
AYAM BRAND’…itulah hakikatnya…abg ipar kawan saya pun x mampu untuk buat2 apa kalau report telah di zip..apa yg mampu diheboh mulut ke mulut untuk menjaga ummah semua…..   
 
N lagi satu serbuan telah dibuat di syarikat membuat makanan yg ternama….kankawan tahu apa yg dijumpai…agak2 pernah x rasa daging cacing?????. ..mesti kenkawan selalu minum milo kan…..yes. .daging cacing telah di campur dengan serbuk milo…..kalau ada bau hanyir itulah dia…kalau kenkawan nak lgi confirm try buat macam nie….milo + gula sahaja lepas tu tengok ada x minyak/lemak kat milo tu…kalau ada confirm…ini apa yg diberitahu oleh abg ipar kwn saya jer…   
Tp saya x tahu tahun bila mereka buat serbuan…???.. dan adakah pihak yg bertanggung jawab telah mengambil tindakan yg sewajarnya untuk mengikut garis panduan halal yg telah ditetapkan oleh jab. Agama Islam m’sia… wallahhualam…   
 
n lagi satu kod no yg ada di emailkan tu jadikan lah panduan masa nak beli makanan kat pasaraya..kalau ada kod E110 ker n yg tersenarai jgn lah beli…that is confirm ada benda ‘alah’ tu…print lah kecik   then laminated simpan dalam purse…memg leceh tp kalau nak amalan diterima, makanan kita lah salah satu nya jaminan…kalau dah haram..hukum nya tetap haram..x kisah walau disentetikkan pun..tetap haram……saya hanya menyampaikan perkara ni kepada kenkawan islam saya sahaja..samaada nak percaya atau tidak terpulang lah…kalau kenkawan rasa cerita ni x sahih, proceed lah makan cam biasa ek…kalau kenkawan memang penggemar ikan sardin..keluaran org melayu kita ada buat sardine ni ..dari terengganu tp saya x perasan lagi kat Shopping complex..kawan saya kata rasanya memg kurang sedap tp yg penting halal…kalau nak sedap ltaklah daging katak..huhuhu. .   
 
milo org melayu pun  dah ada kat pasaran tapi x sesedap dan seenak milo yg sedia ada sekarang….   
 
Untuk makluman kenkawan Islam semua,  article ini bukanlah article rasmi ataupun cuba menghasut tp lebih lepada peringatan..… terpulang kepada kenkawan untuk menerima atau tidak…   
Saya hanya menyampaikan amanah sahaja…tepuk dada tanya iman….