Racism/Kebencian Atas Dasar Perkauman: Amalan Jahiliyyah Silam dan Moden

racism1Bagi sebahagian perantau ke UK, dokumentari Panorama: Hate on the Doorstep yang disiarkan di BBC malam semalam mungkin merupakan pembuka mata terhadap realiti kebencian atas dasar perkauman (racism) di negara ini. Bagi sebahagian pula, dokumentari tersebut mungkin akan menyebabkan mereka fobia ketika bertemu dengan kanak-kanak dan orang muda berkulit putih. Tidak kurang juga bagi sebahagian rakyat Malaysia di sini, mereka sudah biasa menjadi mangsa racism. Ada kawan saya pernah dibaling telur, sampah dan botol arak di beberapa ‘kawasan gelap’ di UK ini.

Dokumentari Hate on the Doorstep memaparkan dua orang wartawan BBC, Tamanna Rahman (berketurunan Bangladesh) dan dan Amil Khan (berketurunan Pakistan) menyamar untuk menyiasat sejauh manakah kebenaran dakwaan kebanyakan media bahawa rasicm was a thing of a past. Mereka tinggal selama enam minggu di sebuah kejiranan majoriti orang berkulit putih di Bristol. Agak mengejutkan, apabila sejak hari pertama mereka tinggal di situ lagi mereka telah menjadi mangsa racism. Diejek PAKI dan pelbagai kata nesta, dihalau pulang ke negara asal, dibaling dengan botol, ditumbuk di muka tanpa sebab dan yang paling mengejutkan, diserang oleh kanak-kanak berumur 11 tahun. Bagi yang berada di UK, anda boleh melihat dan memuat turun dokumentari menarik ini di capaian ini. Saya yakin dalam masa beberapa hari lagi, dokumentari ini akan boleh ditonton di Youtube.

racism2Di peringkat kerajaan UK, mereka bersungguh-sungguh memerangi racism melalui penubuhan The Equality and Human Right Commission (EHRC). Menurut ketua EHRC, Trevor Philips, berjiran dengan orang bukan kulit putih bukan lagi satu isu besar di UK. Beliau turut mendakwa yang UK adalah merupakan negara Eropah terbaik bagi orang bukan berkulit putih untuk menetap. UK suatu masa dahulu amat dikenali sebagai negara racist. Mereka sangat mengutamakan orang English, dan pernah menjadi pusat perdagangan hamba. Namun perubahan zaman menyebabkan racism itu semakin berkurangan. Pada tahun 2007, Ken Livingstone, bekas datuk bandar London pernah menangis memohon maaf atas peranan London di dalam perdagangan hamba suatu masa dahulu.

Usaha untuk memerangi permusuhan atas dasar perkauman ini turut menyebabkan tertubuhnya beberapa pertubuhan kebajikan untuk menaungi mangsa-mangsa racism, seperti SARI di Bristol. SARI pernah memohon untuk mendapatkan geran bantuan daripada ERHC, walau bagaimanapun permohonan itu ditolak.

Dokumentari ini kebetulan difilemkan ketika buat kali pertama dalam sejarah Britain, 2 orang pemimpin kanan British National Party (BNp), parti berhaluan kanan di sini memenangi kerusi di dalam Parlimen Eropah di Yorkshire dan Humber. BNP terkenal sebagai parti perkauman yang memperjuangkan nasib orang putih tempatan, white supremacy, serta berusaha mengurangkan pendatang ke UK termasuklah yang telah menetap dan mendapat kewarganegaraan British. Pemimpin pergerakan itu, Nick Griffin dalam satu sidang media pada Mei 2009 pernah terus terang menyatakan yang partinya akan mengenakan undang-undang yang keras terhadap pembinaan rumah ibadat selain Kristian di UK, sama seperti polisi Arab Saudi terhadap pembinaan rumah ibadat selain Islam di situ. Pengikut-pengikut parti ini kebanyakan terdiri daripada orang putih tempatan, yang berdasarkan muka dan penampilan mereka kita akan ketahui bahawa mereka ini adalah hardcore racist Englishman, kaki minum dan bertatoo besar.

Islam dan Racism

Islam datang ketika dunia sedang mengamalkan racism di kemuncaknya. Di Semenanjung Tanah Arab, perperangan antara kabilah adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Orang berkulit hitam dijadikan hamba dan dihina oleh orang Arab. Pertempuran antara kerajaan Byzantine dan kerajaan Babylon di bahagian utara juga antara lain disebabkan racism.

Kedatangan nabi Muhammad membawa mesej Islam yang antara lain menghapuskan racism ini. Dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Muslim, al-Nasa’ie dan Ahmad, nabi Muhammad SAW dilaporkan bersabda:

من قاتل تحت راية عمية يغضب لعصبة أو يدعو إلى عصبة أو ينصر عصبة , فقتل , فقتلتة جاهلية

Barangsiapa yang berperang di bawah bendera kebutaan, dan menyeru kepada racism (asabiyyah) atau marah kerana racism (asabiyyah), atau menyeru kepada racism atau membantu atas dasar racism, dan terbunuh, maka matinya adalah mati jahiliyyah.

Hadith di atas secara jelas menolak semangat kebencian atas dasar perkauman dan juga sebab membuta tuli. Yang dimaksudkan dengan rayah ‘immiyyah di dalam hadith di atas ialah menyokong tanpa asal tujuan, atau tanpa mengenali yang hak dan batil.

Atas prinsip inilah nabi telah mengangkat status Bilal bin Rabah, daripada seorang bekas hamba abdi kepada seorang muazzin atau tok bilal semasa zaman awal Islam. Perlantikan ini memberikan satu signifikan besar kepada bangsa bukan Arab yang berkulit hitam, sedangkan ketika itu ramai lagi sahabat-sahabat kanan nabi berbangsa Arab yang boleh mendapat penghormatan tersebut. Siapa tidak kenal nama-nama bukan Arab (ajam) seperti Salman al-Farisi dan Suhaib al-Rumi, serta peranan mereka semasa zaman Rasulullah? Siapa yang tidak ingat peristiwa persaudaraan antara Aus dan Khazraj ketika hijraturRasul ke Madinah al-Munawwarah, sedangkan sejarah membuktikan betapa kedua-dua kabilah ini telah bersengketa sejak ratusan tahun lamanya.

Hak persamaam (equality right) dan juga propaganda anti-racism bukanlah slogan baru yang diperkenalkan di zaman moden ini, bahkan hakikatnya telah diperkenalkan Islam lebih 1400 tahun yang lalu. Ianya telah diwartakan di dalam khutbah nabi ketika Hajjatul Wada’. Dalam sepotong hadith riwayat Ahmad, Nabi dilaporkan bersabda di dalam khutbahnya yang panjang itu:

لا فضل لعربي على عجمي … إلا بالتقوى

Tiadalah kelebihan Arab ke atas Ajam (bukan Arab)….. melainkan taqwa.

Para al-Khulafa’ al-Rasyidun meneruskan agenda anti-racism ini tanpa lelah. Dalam menyebarkan dakwah Islam ke luar semenanjung Tanah Arab, mereka benar-benar menjaga niat mereka supaya perjuangan mereka atas dasar Islam itu tidak tersasar kepada perjuangan atas dasar bangsa Arab. Bahkan semasa peperangan sekali pun, Islam melarang tenteranya untuk membunuh wanita, kanak-kanak, warga tua atau orang awam, serta dilarang membakar rumah ibadat milik penduduk tempatan.

Atas prinsip inilah Islam boleh diterima hampir ke seluruh pelusuk dunia. Di al-Quds sebagai contohnya, semasa pembebasannya kali pertama di tangan Khalifah Umar al-Khattab, beliau telah mengizinkan penduduk tempatan beragama Kristian untuk terus kekal berada di dalam bandar suci itu dan mengekalkan gereja-gereja lama mereka. Bahkan mengikut beberapa laporan, Umar al-Khattab memanggil kembali orang Yahudi yang dihalau keluar oleh kerajaan Rom dan Parsi yang bersilih ganti menguasa al-Quds sebelum Islam untuk tinggal semula di situ. Inilah sunnah yang turut diikuti oleh Salahuddin al-Ayyubi – bukan berbangsa Arab – semasa membebaskan al-Quds kali kedua pada tahun 1187M.

Sejarah juga telah membuktikan apabila pemimpin atau orang Islam mengamalkan racism, ketika itulah akan tibanya saat kehancuran. Kejatuhan Islam di al-Quds di tangan tentera Salib antara lainnya ialah berpunca daripada sikap racism yang diamalkan oleh khalifah al-Hakim bi amrillah, raja kerajaan Fatimiyyah yang turut menguasai al-Quds ketika itu. Ada laporan sejarah yang menyatakan beliau telah mengarahkan gereja dibakar, serta mengenakan kod pakaian kepada orang Yahudi dan Kristian. Dan atas semangat racism jugalah, menyebabkan khilafah Uthmaniyyah jatuh pada tahun 1920-an. Ketika itu, ketua-ketua kabilah Arab tidak lagi menerima kepemimpinan bukan Arab, merujuk kepada orang Turki, ke atas negara mereka, bahkan menganggap mereka sebagai penjajah. Akhirnya, mereka sanggup menjadi tali barut penjajah barat, bekerjasama dengan pertubuhuan Zionist sedunia dan menatijahkan kejatuhkan empayar terakhir umat Islam.

Racism: Terkawal Tetapi Perlu Dikawal

Di UK, racism pada pandangan kerdil saya masih terkawal di kebanyakan tempat. Adalah tidak adil dengan melihat dokumentari 30 minit itu, kita terus melabelkan UK ini secara keseluruhannya adalah racism. Kebencian tanpa sebab atau dalam istilah hadith rayah ‘immiyyah itu adalah sesuatu yang wujud di mana-mana. Sebagai contoh di Ireland Utara, sudah berpuluh tahun wujudnya konflik antara protestan dan katolik sehingga menumpahkan darah. Banyak kali serangan bom dan bersenjata berlaku di situ. Sengketa protestan dan katolik juga melarat ke tempat lain di seluruh UK. Yang tidak pernah pergi ke gereja pun kadang-kadang tidak dapat menyembunyikan kebencian mereka kepada mazhab katolik. Di Glasgow, perlawanan old firm antara Celtic (katolik) dan Glasgow Rangers (protestan) biasanya berakhir dengan pergaduhan. Ini ialah realiti secara umum di UK antara orang tempatan berkulit putih.

Bayangkan, apatah lagi sekiranya mereka berhadapan dengan bukan berkulit putih. Sudah tentu kebencian tanpa sebab itu akan wujud. Khususnya bagi orang kulit putih yang susah, tidak pernah bercampur dengan bangsa lain, malas bekerja dan mengharap kepada bantuan kerajaan, kaki botol dan tinggal di rumah city council, mereka inilah yang menjuarai racism di UK.

Saya tinggal di kawasan perumahan city council yang mempunyai nama buruk di Aberdeen. Alhamdulillah di sini, kami sekeluarga tidak pernah menjadi mangsa racism. Saya biasa juga berjubah dan berkopiah keluar dari rumah. Tetapi ada jiran kami yang berkulit hitam dan berbangsa Polish pernah dirosakkan kereta mereka.

Semasa tinggal di Liverpool, kami pernah menjadi mangsa serangan racism secara lisan. Ketika menunggu bas di Manchester untuk pulang ke Liverpool, seorang English yang sedang mabuk datang mendekati kami dan mengejek kami di dalam slanga Scousie. Kami faham sikit sahaja apa yang dikatakan, akan tetapi ada seorang rakan Muslim dari Pakistan yang berhampiran yang faham slanga Scousie naik angin mendengar apa yang dikatakan oleh orang mabuk tadi. Dia meminta kami duduk di tempat lain. Saya perhatikan di sekitar saya, ada beberapa orang putih tempatan lain yang senyum. Saya kurang pasti adakah senyuman mereka itu menghina, atau kelakar dengan gelagat si mabuk tadi. Akan tetapi insiden itu berakhir apabila polis datang menangkap orang mabuk tadi.

Contoh di atas mungkin mewakili rakyat British kelas bawahan. Bagaimana pula dengan penduduk tempatan kelas menengah dan atasan? Saya percaya yang racism itu ada juga di kalangan mereka. Rakan-rakan sekerja saya kadang-kadang terdengar juga mereka mengumpat Muslim atau orang berkulit hitam di universiti tempat saya bekerja. Di peringkat atasan, cukuplah saya sebutkan pada awal tadi bagaimana pemimpin BNP telah mula diterima sebagai pemimpin masyarakat. Ini mewakili rakyat kelas atasan. Bagi yang sedang di dalam pengajian post-grad, ada juga laporan racism yang diterima. Kadang-kadang kekurangan daripada sudut akademik dikaitkan dengan sikap bangsa dan agama oleh supervisor. Ini bukan cerita zaman 50-an atau 60-an, tetapi cerita yang berlaku pada zaman moden ini.

Saya juga berpengalaman tinggal beberapa tahun di Damanhur, Mesir. Damanhur ialah kampung kecil di mana al-Syahid Hasan al-Banna dilahir dan dibesarkan. Saya dan rakan-rakan sering menjadi mangsa ejekan, kerana di situ kami ialah antara generasi pelajar asing terawal yang dihantar belajar ke universiti al-Azhar cawangan luar Kaherah. Kalau kami berjalan, kanak-kanak sering datang mengejek dan bertanya soalan mengarut. Saya kurang pasti adakah ini salah satu bentuk racism atau kerana sikap jakun Arab kampung. Ada juga yang menjadi mangsa rompakan kerana mereka mengandaikan kami banyak duit. Itu cerita di kampung Arab, akan tetapi kalau berada di Kaherah pun, kami sering diejek oleh belia dan juga kanak-kanak Arab. Kes pukau dan rompakan memang selalu kedengaran. Di sebalik mengejek, mereka juga menunjukkan kebodohan diri mereka sendiri. Ada yang mengejek kami dengan menyatakan kami ini orang Jepun atau Korea. Aduhai Arab Mesir… maksud saya sebahagian Arab Mesir. Dan katanya, itulah realiti yang sama dirasai oleh perantau asing di kebanyakan negara Arab lain.

Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah racism itu sebenarnya adalah jahiliyyah. Adalah amat tepat sabda Nabi Muhammad mengenai gelaran jahiliyyah kepada orang yang mengamalkan racism dan kebencian tanpa sebab. Dalam kebanyakan contoh yang saya nyatakan di atas, saya yakin anda bersetuju bahawa semua orang yang mengamalkan racism adalah orang yang jahil, tidak tahu mengenai perkembangan dunia, sombong dan bodoh. Tidak kiralah sama ada mereka itu atheist, beragama Islam atau non-Muslim, racism ini wujud di mana-mana selagi mana jahiliyyah itu terpasak di dalam masyarakat.

Apa yang pasti, masih ramai lagi di sana insan-insan yang baik hati yang boleh bersahabat dengan kita. Mereka ini kadang-kadang lebih disenangi dan lebih jujur berbanding dengan rakan seagama kita. Sekurang-kurangnya di UK, Muslim masih boleh mengamalkan ritual ibadat kita. Kita bebas mendirikan masjid, menunaikan solat berjemaah, memakai pakaian tradisi kita, membeli gereja dan bangunan lama mereka untuk didirikan masjid, dilantik sebagai pemimpin termasuklah di peringkat kerajaan pusat, diberikan pelbagai bantuan keistimewaan dan juga menikmati kebebasan bersuara. Adakah kebebasan ini dinikmati oleh non-Muslim di negara umat Islam?

Kesimpulannya, racism dan kebencian tanpa sebab adalah fenomena jahiliyyah yang berlaku sejak zaman dahulu sehingga zaman sekarang. Ianya boleh diatasi sekiranya masyarakat kembali kepada Islam dan mengelak daripada terjebak dengan jahiliyyah. Racism di dalam masyarakat non-Muslim adalah sesuatu yang perlu dijangka akan berlaku. Akan tetapi sebagai Muslim, kita perlu lebih berhati-hati daripada terlibat di dalam semangat perkauman, racism dan kebencian tanpa sebab, sama ada secara sedar atau tidak.

Advertisements

5 thoughts on “Racism/Kebencian Atas Dasar Perkauman: Amalan Jahiliyyah Silam dan Moden

  1. Salam Irfan,

    Pandangan Ustaz tu memang tepat. Cerita Racism nie tak ada penghabisan. Ini lah yang di amalkan semua bangsa termasuk bangsa melayu juga, sangat duka cita kan. That is the reality. Hendak kah Ustaz lihat Malaysia tu di pimpin oleh bangsa lain. Perdana Menteri Malaysia tu Tun Leong Ah Choy atau Tan Sri Sami Valu…..apa perasaan Ustaz. Mesti timbul benda yang kita tak di ingini kan….Racism. Sebab itu 13 mei 1069 timbul…..Ini cerita di Malaysia.

    Tentang masaalah bangsa kita pulak macam mana ….panjang lebar cerita kita nanti.

    Ok, kita cerita Racism di UK.

    Masaalah nie orang yang kena balasah macam ustaz lah di Lierpool dengan kata2 yang bukan2 tempa sebab…..mana tahan kan. Nasib baik Ustaz tak di pukul oleh mereka. Masuk hospital pulak tempa sebab. Sebab ituah generasi muda2 nie di UK (2nd Gereration black, Asian, etc) dah mula melawan compare dengan generai emak bapak mereka. Ada kah itu salah? menyebabkan mereka berbuat sedemikian.

    Apa pandangan Ustaz?

    Ini cuma pandangan Abg Taib aje.

    wasalam……

    1. salam.

      betul gak tu abg taib.

      cuma bagi saya, oleh kerana nama pun seni mempertahankan diri, as long as tujuannya untuk mempertahankan diri then it should be fine.

      tapi kalau dah memulakan serangan, atau membalas serangan dengan serangan, itu namanya melawan jahiliyyah dengan cara jahiliyyah juga.

      sedangkan Allah berfirman, (dan orang beriman itu) sekiranya dikata (nesta) oleh orang jahil, maka mereka berkata salam… peace.

      allahua’lam.

  2. Salam Irfan,

    Betul tu. Itu yang kita hendakkan…Peace sesama manusia. In reality Boleh kah kita dapat Peace Allah sahaja yang tahu. Selagi ujud nya manusia dengan hina menghina, kutok mengutok, tindas menindas, iri hati dsb di bumi Allah ini aku rasa susah.
    Ilmu mepertahan kan diri ini untuk menjaga diri kita sendiri. Bukan kita nak lawan dia. Kita gunakan untuk self protection aje kalau mereka nak pukul kita kan.

    Kalau Ustaz ada ilmu tu turun2 kan pada adik2 kita di Aberdeen.

    wasalam…..

  3. betullah di eropah boleh terima obama kenapa kita tidak?
    jawapan bla bla bala….
    rupanya kita bodoh…. sebenarnya Agama mendahului racis
    di Malaysia Tan Cheng lock pun ta’pa asalkan beragama Islam

Terima kasih atas komen dan pandangan balas anda

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s