gerhana bulan julai 2018
Semasa gerhana maksimum nanti nanti, marikh duduk berhampiran. Jangan lepaskan peluang ini..

Waktu solat gerhana bulan, bermula apabila masuknya fasa gerhana bulan separa hingga tamat gerhana bulan separa. Dalam konteks gerhana pada 15 Zulqaedah 1439H bersamaan 28 Julai 2018, sebahagian mungkin tertanya-tanya, bolehkah solat selepas didirikan solat Subuh. Berikut merupakan penjelasan ringkas, berdasarkan maklumat fasa gerhana bulan tempatan di bandar Kuantan. 

Maklumat Fasa Gerhana Bulan (Kuantan)

1:14 pagi Sabtu 28 Julai: Gerhana penumbra bermula (belum masuk waktu Solat Sunat Gerhana)

2:24 pagi Sabtu 28 Julai: Gerhana bulan separa bermula (boleh mula Solat Sunat Gerhana)

3:30 pagi Sabtu 28 Julai: Gerhana bulan penuh bermula

4:21 pagi Sabtu 28 Julai: Fasa maksimum gerhana bulan 

5:13 pagi Sabtu 28 Julai: Gerhana bulan penuh tamat

*5:46 pagi Sabtu 28 Julai: Waktu solat subuh

6:19 pagi Sabtu 28 Julai: Gerhana bulan separa tamat (waktu tamat Solat Sunat Gerhana)

*7:05 pagi Sabtu 28 Julai: Waktu syuruq

7:13 pagi Sabtu 28 Julai: Bulan terbenam (gerhana sudah tidak kelihatan)

7:28 pagi Sabtu 28 Julai: Gerhana penumbra tamat (tidak kelihatan)

Dalam mazhab Shafi’i, ada perbahasan mengenai maksud hadith yang mengharamkan solat sunat, antaranya, pada dua masa & keadaan:

  1. Selepas ditunaikan solat Subuh sehingga terbit matahari pada kadar segalah (atas sebab selepas solat)
  2. Selepas terbit matahari, hingga matahari tinggi segalah (atas sebab waktu)

Mengikut qaul mu’tamad dalam mazhab al-Shafi’i:

  • Hukum mendirikan solat sunat pada keadaan (1) di atas, adalah makruh tanzih.
  • Sementara mendirikan solat sunat pada keadaan (2) di atas, adalah makruh tahrim. 

Beza antara makruh tahrim dan tanzih, ialah makruh tahrim boleh membawa kepada dosa. 

Pun demikian, pengecualian diberikan kepada solat gerhana (dan beberapa kategori solat yang lain), kerana termasuk dalam kategori solat sunat bersebab yang tidak boleh ditangguhkan. 

Oleh yang demikian, tiada masalah bagi umat Islam mendirikan solat sunat gerhana selepas waktu Subuh, sehingga jam 6:19 pagi 28 Julai. Ini bagi meraikan mereka yang mungkin tidak sempat untuk bangun pada awal pagi, dan ingin mendirikannya selepas solat subuh. Perlu diingatkan, waktu tamat solat sunat gerhana bulan ialah pada jam 6:19 pagi.

Allahua’lam bissawab. 

Rujukan: al-Zuhaili, Wahbah. al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuhu (Damshiq: Dar al-Fikr, 2012), 579-584. 

al-Faqir ila afwi Rabbihi

Irfan

Pensyarah UMP & AJK Falak Negeri Pahang

Advertisement