Baru-baru ini saya terbaca satu pos di laman sosial, yang menyatakan orang lelaki tidak boleh berkahwin sehingga khatam kitab X, sementara orang perempuan tidak boleh berkahwin sehingga khatam kitab Muhimmah.

Pos ringkas populis seumpama ini, seperti kebiasaannya, menghasilkan pelbagai perbahasan. Ada yang setuju, ada yang membangkang. Apa istimewa sangat kitab Muhimmah ini sehingga dicadangkan khatam bagi perempuan yang ingin berkahwin, sehinggakan ianya kerap dipetik sebagai rujukan ceramah ustaz-ustaz selebriti seperti Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Kasim Elias?

IMG_6377
Kulit hadapan kitab. Tertera di bawah sekali, penggunaan Kalendar Buddhist Era (B / BE) yang dibaca sebagai 21 Mithunaa-yon  2550 B

Tertera Pada Kulit Depan Sebagai Muqaddimah Kitab:

Inilah kitab yang dinamakandia Muhimmah pada ilmu hadith nabi (SAW) pada bicarakan kelebihan dan kepujian atas perbuatan isteri bagi suaminya dan bicarakan segala kecelaan pada meninggalkannya dan derhakanya karangan Sheikh Abdullah bin Abdul Rahim Fatani …. Ghafara Allahu wa li al-Muslimin Amin.

Kitab ini mengingatkan keindahan zaman menuntut ilmu di Kelantan (semasa belajar di Pusat Bahasa Arab Nilam Puri, batch terakhir Kursus Bahasa Arab sementara menunggu keputusan SPM 1995), dan semasa menuntut di Mesir (moga Allah merahmati tuan-tuan guru jawi talaqqi saya, terutamanya Ustaz Saleh, dua orang baba Patani yang saya sudah lupa namanya di Damanhur, Ustaz Fauzi, Ustaz Aziz Che Man dan lain-lain).

Kitab Muhimmah bagi saya menggambarkan kehebatan sistem pondok pada zamannya. Sistem pengajian pondok, bukan sahaja membicarakan persoalan aqidah dan fiqh, tetapi turut mempersiapkan para murid untuk berhadapan dengan realiti hidup berpasangan. Kerana dalam Islam, hidup berpasangan adalah ibadah dan saluran ke syurga. Sedangkan saya memerhatikan sistem pendidikan pada zaman yang sama dan juga zaman moden, mengharapkan subjek ini dipelajari oleh murid di luar institusi pendidikan formal mereka. Hebat bukan sistem pondok?

Wanita pada zaman moden perlu kembali menyorot akan kandungan kitab Muhimmah. Kehidupan yang serba serbi pantas dalam era globalisasi memungkinkan berlakukan pengabaian tanggungjawab isteri ke atas suami. Realiti zaman sekarang, kedua-dua pasangan seolah-olah perlu bekerja, maka natijahnya isteri juga penat untuk melayan suami. Tuntutan batin suami diabaikan. Keluar masuk rumah pun tidak memerlukan izin suami. Semua yang terlarang ini dilanggar, tanpa rasa bersalah.

IMG_6373
Pada awal lagi, kitab ini mencadangkan bahawa pati kebahagian rumah tangga, ialah hubungan kelamin. Maka isteri perlu berhati-hati membantu si suami menjaga keperluan batinnya. Disebut dalam kitab ini (i’lam) ertinya ketahui olehmu bahawa sesungguhnya derhaka perempuan akan suaminya itu memberi fatwa oleh beberapa ulama’ iaitulah setengah daripada dosa yang amat besar jadi derhakalah ia sebab menegahkan akan suaminya daripada mengambil kesukaan sama ada diwa’tie atau lainnya seperti menegah ia akan suaminya daripada menjamah dan menyentuh pada barang tempat daripada badannya. 
IMG_6374
Satu lagi bentuk kederhakaan yang disebut pada mukasurat pertama kitab, selepas enggan melayan nafsu suami, iaitu keluar rumah tanpa keizinan suami. Dibenarkan keluar, sekiranya suami tidak ‘alim, dan isteri perlu belajar fardu ‘ain. Suami yang ‘alim juga diminta untuk mengajar isterinya akan fardhu ‘ain.

Pelajar perempuan sejak Tingkatan 1 telah duduk berjauhan dari rumah sekiranya masuk ke asrama. Makanan disediakan di dewan makan. Kemahiran memasak semakin berkurangan. Walaupun tanggungjawab memasak ini boleh dibahaskan, sama ada tugasan isteri atau suami, tetapi janganlah menolak realiti bahawa suami dan anak-anak perlu makan makanan basuhan tangan seorang ibu.

Zaman kanak-kanak kita dahulu, sesibuk bagaimana pun seorang ibu, tetapi akan tetap mengambil masa untuk memasak untuk anak-anaknya. Sekurang-kurangnya, pada hujung minggu. Supaya memori anak-anaknya melekat dengan basuhan tangan ibu, masakan yang dicampakkan dengan kasih sayang, bukannya melekat dengan memori basuhan tangan orang Thai di kedai makan patani, atau basuhan tangan Pak Arab celup dengan nasi mandi, atau mee goreng mamak semata-mata. Supaya dapat dirasai sentuhan kasih sayang, dan keikhlasan yang terzahir daripada masakan si ibu, bukannya memasak kerana disuruh dan dipaksa, tetapi kerana cinta.

Kitab ini turut menceritakan bab petua memilih perempuan. Maka didatangkan riwayat ciri-ciri wanita yang perlu si lelaki berhati-hati apabila mencari pasangan.

IMG_6376
Diriwayatkan mengenai 6 kriteria wanita yang perlu dielakkan: iaitu 1- Al-Annanah (banyak mengeluh dan merungut) 2- Al-Mannanah (suka mengungkit) 3- Al-Hannanah (banyak bercerita dan suka lelaki lain) 4- Al-Haddaqah (suka meminta suami membeli sesuatu yang agak sukar dipenuhi) 5- Al-Barraqah (suka berhias demi dipandang oleh orang lain) 6 – Al-Salaqah (Suka berleter)

Daripada perspektif ilmu hadith, karya Sheikh Abdullah bin Abdul Rahim Fatani ini juga merupakan salah satu daripada kitab hadith tematik yang awal bagi orang Jawi. Cara kitab ini ditulis ialah berdasarkan himpunan hadith nabi serta kata-kata orang yang soleh, semuanya menjurus mengenai tanggungjawab serta kelebihan isteri dan juga peranan suami. Adalah lebih baik sekiranya ada penyelidikan lain yang dilakukan bagi mentahqiq hadith-hadith yang diriwayatkan di dalam kitab Muhimmah ini. Tidak akan berkurangan jasa dan kelebihan Sheikh Musonnif kitab sekiranya kitab beliau ditahqiq, bahkan akan mengangkat lagi karya beliau ke satu maqam.

IMG_6375
Memang tidak dapat dinafikan, berjima’ akan memberikan perlindungan agama kepada suami dan isteri. Justeru mengapa sukar untuk melakukan keseronokan ini? Cuma beberapa riwayat seperti di atas, mungkin perlu ditahqiq. Seperti riwayat yang disandarkan kepada Imam al-Ghazali, bahawa Abdullah bin Umar berbuka puasa dengan berjima’ dengan isterinya sebelum makan dan minum serta sebelum solat maghrib, bagi mengelakkan gangguan nafsu semasa ibadah. Begitu juga kata-kata Sheikh Junaid al-Baghdadi bahawa beliau menginginkan jima’ sama seperti beliau menginginkan makan. 
IMG_6382
Musonnif turut mendatangkan beberapa riwayat mengenai panduan menamakan anak. Ada antaranya datang daripada hadith sahih, sementara ada pula yang perlu ditahqiq semula. 
IMG_6378
Sungguh besar jasa Sheikh Abdullah bin Abdul Rahim Fattani dalam mengarang kitab hadith tematik mengenai rahsia kebahagian hidup berpasangan ini. Ya Allah, moga diampuni akan dosanya, dan dilimpahkan pahala yang terus mengalir lantaran bahtera ilmunya yang amat bermanfaat. Amin. 
Advertisement