Dalam minggu ini, banyak soalan diajukan kepada saya mengenai unsur perjudian di dalam pertandingan dan cabutan bertuah.

Secara ringkas, sekiranya diteliti semua perbahasan ulama’ dalam kitab fiqh, perjudian itu berlaku sekiranya terhimpun SEMUA elemen berikut:

  1. Membabitkan perujian atau pertandingan ilmu, kemahiran atau nasib.
  2. SEMUA peserta perujian atau pertandingan perlu membayar yuran tertentu.
  3. Hadiah kepada pemenang dibeli atau diserahkan, dengan hasil SEBAHAGIAN ATAU SEMUA yuran peserta.
  4. Yang kalah pertandingan, akan kehilangan SEBAHAGIAN ATAU KESELURUHAN yuran yang dibayar.

Ada dua bentuk pertandingan / cabutan bertuah yang diajukan kepada saya baru-baru ini.

1. Satu syarikat pelaburan akan membuat cabutan bertuah. Syaratnya, peserta yang berminat perlu membeli surat khabar yang di dalamnya mengandungi borang cabutan bertuah tersebut.

J: Khilaf ulama’:

a. Ia haram kerana mempunyai unsur judi, yang wujud apabila pembeli surat khabar tadi bertujuan untuk mendapatkan hadiah, sedangkan surat khabar itu langsung tidak dibaca atau dimanfaatkan. Haram atas kaedah sad al-zara’i (Fatawa Ulama’ al-Balad al-Haram, 636-637).

b. Ramai ulama’ moden menyatakan ia harus, walaupun tujuan membeli surat khabar itu ialah untuk masuk dalam cabutan bertuah. Unsur perjudian tidak berlaku kerana hadiah diperolehi oleh sumber lain. Surat khabar itu masih dijual dengan harga yang sama walaupun tanpa kupon cabutan bertuah. Pembeli dengan niat untuk menang, walaupun tidak memenangi cabutan bertuah, masih mendapat manfaat berbentuk surat khabar itu sendiri. Selain itu, tiada pihak yang rugi dalam cabutan bertuah seperti ini. Maka ia diharuskan kerana tiada unsur perjudian.

Profesor Dr Muhammad Othman Shabir dari Universiti Qatar mentarjihkan pandangan kedua yang menyatakan ia adalah harus. (Ahkam al-Musabaqat al-Mu’asiroh, 2003:26-28, rujuk topik Qur’ah dan Pertandingan Dengan Pembelian Tertentu).

$$$$$$$$$$$

2. Pertandingan sukan seperti futsal, memancing dan memanah. Semua peserta dikenakan yuran.

J:

Sekiranya hadiah dibeli menggunakan bajet pihak ketiga, seperti sponsor, atau disediakan dengan bajet penganjur, maka ia diharuskan tanpa khilaf.

Sekiranya hadiah dibeli menggunakan wang peserta, maka ada beberapa perbahasan yang perlu diperhalusi.

Secara umum, pertandingan di dalam bahasa Arab mempunyai beberapa istilah, seperti al-sabq, al-musabaqah dan al-munadolah.

Dari sudut bahasa, pertandingan bermaksud berusaha mendapatkan sesuatu terlebih dahulu berbanding orang lain.

Dalam fiqh, sebahagian ulama’ membezakan antara al-Musabaqah dan al-Munadolah. Al-Musabaqah/al-Sabq biasa digunakan untuk pertandingan lumba kuda.

Sementara al-Munadolah digunakan untuk pertandingan seperti memanah, melontar lembing, serta seni lontaran tepat yang lain, dan ini termasuklah menembak.

Secara realiti, ramai ulama’ yang menggunakan kedua-dua istilah itu secara umum dalam mana-mana pertandingan. Kata Ibnu Qudamah, “diharuskan membuat pertandingan (musabaqah) atas haiwan tunggangan (seperti keldai, lembu etc), berlumba lari/jalan kaki, memanah, pertandingan perang, belayar dan lain-lain” (Al-Kafi, 2:332). Keharusan bertanding disebut dalam banyak isyarat dalam al-Quran dan al-Hadith.

Kebanyakan galakan dan keharusan pertandingan, adalah dibuat dalam mode latihan persiapan untuk berjihad dan mempertahankan tanah air. Wajib bagi seorang invidivu mempunyai kekuatan tersendiri untuk tujuan keselamatan diri, tanah air apatah lagi agama. Kata al-Qurtubi, “tiada khilaf keharusan berlumba kuda, dan haiwan tunggangan lain, dan juga belumba lari, serta melontar dengan anak panah, atau menggunakan istilah sebagai latihan seseorang untuk kecergasan diri” (Dilaporkan oleh Shaukani dalam Nail al-Autor, 1655.

Ada beberapa indikator syarat diadakan pertandingan, diringkaskan seperti berikut (Sheikh Profesor Dr Muhammad Othman Shabir dari Universiti Qatar, Ahkam al-Musabaqat al-Mu’asiroh, 2003:9):

  1. Peserta diasingkan mengikut kategori berat badan, umur, jantina, kemampuan dan yang seumpamanya. Dilarang membuat pertandingan yang terlalu umum kategori penyertaannya, sehingga menatijahkan persaingan yang tidak adil dan tidak sihat.
  1. Alat-alat yang digunakan perlu dikategorikan pada kumpulan yang setanding. Contohnya, kuda yang setanding. Akan tetapi, ia tidak disyaratkan dalam pertandingan memanah, kerana tujuan utama ialah untuk lontaran tepat. Sekiranya pihak penganjur ingin membuat kategori berasaskan jenis busur, maka itu diharuskan walau pun tidak disyaratkan.
  1. Jarak pertandingan, termasuk titik mula dan titik penamat (atau target) perlu ditentukan.
  1. Hadiah berbentuk wang atau pemberian barang yang telah ditentukan dan boleh diserahkan selepas pertandingan.
  1. Hadiah tidak membabitkan unsur perjudian.
  1. Semua peralatan pertandingan adalah dalam bentuk yang selamat digunakan, tidak membahayakan peserta dan penonton.
  1. Perjalanan pertandingan perlu ikut syariah secara umumnya. Tidak boleh berlaku pendedahan aurat, percampuran maksiat lelaki dan perempuan, mengambil arak, unsur sihir dan perbomohan. Kewajiban agama seperti solat dan puasa perlu dijaga. Permusuhan perlu dielakkan.

Di dalam membahaskan hadiah dalam pertandingan, ada beberapa istilah yang perlu difahami.

  1. Al-Qimar – perjudian, di mana pemenang akan mengambil harta yang kalah.
  2. Al-Maisir – perjudian juga, tetapi lebih merujuk kepada amalan Arab Jahiliyah dalam untung nasib – amalan orang arab yang membuat cabutan
  3. Al-Rihan – pertaruhan – boleh jadi dalam bentuk perjudian
  4. Al-Ja’izah – hadiah yang diberikan kepada pemenang tanpa membabitkan wang peserta yang kalah.

Unsur perjudian berlaku apabila wujudnya empat elemen dalam mana-mana pertandingan:

  1. Membabitkan perujian atau pertandingan ilmu, kemahiran atau nasib.
  2. SEMUA peserta perujian atau pertandingan perlu membayar yuran tertentu.
  3. Hadiah kepada pemenang dibeli atau diserahkan, dengan hasil SEBAHAGIAN ATAU SEMUA yuran peserta.
  4. Yang kalah pertandingan, akan kehilangan SEBAHAGIAN ATAU KESELURUHAN yuran yang dibayar.

Al-Bajuri & Ibnu Qudamah menyatakan pertandingan dengan unsur perjudian itu berlaku apabila:

هو كل لعب تردد بين غرم وغنم

“Iaitu setiap permainan, peraduan, pertandingan yang tidak pasti akan kerugian atau untung” ( Hasyiah Al-Bajuri, 2/521)

 إذا كانت الجوائز من المتسابقين فإنها تعد حراماً لانها من باب القمار ولأن كل واحد من المتسابقين لا يخلو إما أن يغنم أو يغرم , ولا يخفى من أكل أموال الناس بالباطل وإيقاع العداوة والبغضاء

Ertinya : Dan jika hadiah pertandingan atau permainan itu datang dari yuran peserta, maka ia adalah haram kerana ia tergolong dalam bab judi nasib “qimar”, dan kerana setiap peserta tidak sunyi dari peluang untuk meraih untung atau menanggung rugi, justeru amat jelas ia dari kategori memakan harta orang lain secara salah, membenihkan permusuhan dan pergaduhan” (Al-Mughni, Ibn Qudamah)

Untuk memastikan pertandingan itu halal dari sudut hadiahnya, pastikan:

  1. Hadiah dibeli menggunakan peruntukan pihak ketiga, seperti penaja.
  2. Sekiranya tiada bajet, boleh menggunakan sebahagian wang penyertaan peserta, serta memilih seorang ‘muhallil’ sebagai batu loncatan untuk mengeluarkan konsep pertandingan itu daripada unsur perjudian, dengan pemakluman dan persetujuan peserta.

Muhallil bukan perkara baru dalam fiqh. Imam al-Shafi’i mengulas isu Muhallil dalam kitab al-Umm jilid 2 ms 244. Dalam kitab Majmu’, ia disebut dalam jilid 15 ms 150. Dalam Kitab Mughi al-Muhtaj, jilid 6 ms 169.

Pemilihan muhallil itu, perlu terdiri daripada mereka yang sama kategori, sama kemampuan, tiada peluang yang terlalu ketara untuk menang atau kalah. Muhallil wajib sekufu. Ini berdasarkan hadith Abu Hurairah yang menyatakan nabi pernah bersabda:

مَنْ أَدْخَلَ فَرَسًا بَيْنَ فَرَسَيْنِ ‏”‏ ‏.‏ يَعْنِي وَهُوَ لاَ يُؤْمَنُ أَنْ يُسْبَقَ ‏”‏ فَلَيْسَ بِقِمَارٍ وَمَنْ أَدْخَلَ فَرَسًا بَيْنَ فَرَسَيْنِ وَقَدْ أَمِنَ أَنْ يُسْبَقَ فَهُوَ قِمَارٌ

Barangsiapa yang mempertandingkan kuda (ketiga) antara dua kuda dalam keadaan dia tidak tahu sama ada kuda itu boleh dikalahkan, maka itu bukan perjudian. Barangsiapa mempertandingkan kuda (ketiga) antara dua kuda dalam keadaan dia tahu kuda itu pasti menang (tidak boleh dikalahkan), maka itu adalah perjudian.  (Sunan Abi Daud, Kitab al-Jihad, Bab fi al-Muhallil, Hadith 2579).

Daripada hadith inilah, timbul perbahasan kepentingan untuk membuat pusingan saringan terlebih dahulu dalam pertandingan yang membabitkan banyak peserta. Peserta yang lepas saringan tertentu, barulah boleh dipilih muhallil dalam kalangan mereka yang sama kemampuan.

Perbahasan mengenai muhallil ini sebenarkan agak panjang dan tidak terlepas daripada khilaf dalam kalangan ulama’. Sekiranya ada masa, saya akan kongsi sebahagian perbahasannya dalam entri akan datang.

Advertisement