Tahun ini, buat kali pertama dalam sejarah pengurusan jemaah haji, pelepasan jemaah haji dilakukan di Kompleks Tabung Haji Sepang. Terdapat satu binaan falak yang amat menarik di kompleks berkenaan, dikenali sebagai Mizwalah TaHa. Mizwalah bermaksud jam matahari / sun dial. Projek kerjasama Persatuan Falak Syarie Malaysia dan Tabung Haji ini boleh dilihat menerusi laman rasmi mereka di sini [klik].

Dahulu, mizwalah merupakan instrumen asas penentuan waktu solat di masjid-masjid utama, termasuklah al-Masjid al-Haram di Makkah. Terdapat satu rakaman Muazzin utama al-Masjid al-Haram Makkah, Sheikh ‘Ali Mulla mengenai sejarah mizwalah di tempat tawaf, boleh ditonton di video ini:

Dalam sejarah, semasa zaman pemerintahan orang Turki dan keturunan Sharif di Makkah, Mizwalah (kadang-kadang disebut sebagai muzwalah, seperti dalam video Sheikh ‘Ali pada minit pertama) dibina berhampiran dengan ‘Maqam Shafi’i’. Pentadbir masjid melantik seorang al-Muwaqqit (penjaga waktu) untuk memerhatikan mizwalah bagi menentukan masuknya waktu solat, sebelum memaklumkan kepada Muazzin untuk melaungkan azan.

Maqam Shafi’i bukan bermaksud kubur Imam al-Shafi’i. Tetapi merujuk kepada musolla bagi pengikut mazhab Shafi’i. Dalam sejarah, sebelum pemodenan al-Masjid al-Haram, terdapat empat musolla berasingan di tempat tawaf sekitar Ka’bah. Jemaah mendirikan solat mengikut imam mazhab masing-masing. Akan tetapi pada tahun 1377H, kesemua maqam atau musolla mazhab tersebut mula dirobohkan, bagi menyatupadukan umat Islam dalam urusan ibadah.

mak_79420793
Binaan besar di pinggir Ka’bah itu adalah tempat minum air zamzam. Maqam Shafi’i, yang merupakan musolla terakhir yang dirobohkan, kelihatan di sebelahnya. Di situlah lokasi Mizwalah.
e6dae6051f
Mengikut rekod sejarah, inilah Mizwalah al-Haram yang diletak berhampiran dengan Maqam Shafi’i dan telaga Zamzam, sekitar tahun 1023H / 1614M.

Selain itu, mizwalah juga terdapat di al-Masjid al-Aqsa, di satu pagar arca antara Masjid Qubbah dan Masjid Qibli, seperti dalam gambar berikut:

441
Di Atas Tiang Paling Tengah, kelihatan Mizwalah al-Aqsa. (البائكة الجنوبية)
fba009bf-1850-4730-9e33-d0c379a3f6dc-2
Mizwalah al-Aqsa

Menurut sejarah, kemungkinan besar mizwalah ini dibuat pada tahun 1927M. Dengan ketinggian sekitar 8 meter dan saiz sekitar 1m x 1.5m, ia dibina oleh Muhandis (IR) Rushdi, Ketua Majlis Tertinggi Agama Islam al-Aqsa pada waktu berkenaan, sebagai panduan kepada muazzin untuk melaungkan azan apabila masuk waktu.

Inilah kepentingan ilmu falak dalam urusan ibadah seharian. Orang yang mencerap jasad samawi untuk tujuan zikrullah seperti solat, mempunyai kedudukan yang besar di sisi Allah SWT. Benarlah sabda nabi Muhammad SAW dalam sepotong hadith (rujuk al-Naisābūrī, al-Hākim Muḥammad bin ‘Abdullāh, al-Mustadrak ‘alā al-Ṣaḥīḥain (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1990), 1:115. Turut diriwayatkan dalam Sunan al-Kubrā li al-Baihāqī (Ḥadīth 1781) dan Sharh al-Sunnah li al-Baghawī):

عَنِ ابْنِ أَبِي أَوْفَى قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ – : ” إِنَّ خِيَارَ عِبَادِ اللَّهِ الَّذِينَ يُرَاعُونَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ وَالنُّجُومَ وَالْأَظِلَّةَ لِذِكْرِ اللَّه

Terjemahan: Daripada Ibnu Abī Aufā, Rasulullah telah bersabda: Sesungguhnya hamba-hamba Allah yang baik adalah mereka yang selalu mencerap matahari, bulan dan bayang-bayang (jasad samawi) untuk mengingati Allah

 

Advertisement