Puasa Ramadan difardukan pada tahun ke 2 Hijrah. Ini bermakna sepanjang hayat nabi, baginda hanya sempat berpuasa Ramadan sebanyak 8 kali sahaja.

Bulan dalam kalendar Islam ialah sama ada 29 hari atau 30 hari. Dalam 8 kali baginda berpuasa, kebanyakannya adalah sebanyak 29 hari, berbanding 30 hari.

Ini berdasarkan hadith sahih Riwayat Abu Daud:

2322 – حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مَنِيعٍ، عَنِ ابْنِ أَبِي زَائِدَةَ، عَنْ عِيسَى بْنِ دِينَارٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَمْرِو بْنِ الْحَارِثِ بْنِ أَبِي ضِرَارٍ، عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ، قَالَ: «لَمَا صُمْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تِسْعًا وَعِشْرِينَ أَكْثَرَ مِمَّا صُمْنَا مَعَهُ ثَلَاثِينَ»

 

….daripada Ibn Mas’ud: Kami berpuasa bersama-sama dengan nabi, 29 hari lebih banyak daripada 30 hari (Sunan Abi Daud. jilid 2 ms297, hadith nombor 2322)

Berdasarkan riwayat ini, kita boleh membuat kesimpulan andaian bahawa langit malam di Madinah dan semenanjung Tanah Arab semasa zaman nabi, adalah amat cantik (gelap, kurang berawan dan tiada pencemaran cahaya) dan memudahkan proses cerapan anak bulan dengan mata kasar, kerana terlalu kerap berpuasa 29 hari sahaja.

Di tempat dan masa yang berbeza, cerapan langit adalah agak sukar. Sebagai contoh, di Malaysia. Ini disebabkan faktor langit yang berawan, serta pencemaran cahaya yang amat teruk terutama di kawasan bandar.

Maka para malim falak telah menganalisis data yang banyak, bagi membolehkan mereka menghasilkan syarat kebolehnampakan anak bulan. Ia bukan semata-mata hisab/kiraan sahaja, tetapi lebih berbentuk formula kebolehnampakan berdasarkan analisis data saintifik yang amat banyak.

Sama seperti masuknya waktu solat. Contohnya solat Isha’, nabi menyatakan solat Isha’ masuk waktunya apabila hilang cahaya shafaq ahmar. Berapa ramai kita yang mencerap langit untuk mengetahui masuk waktu Isha’? Kalau mencerap pun, akan berhadapan dengan kesukaran kerana pencemaran cahaya lampu jalan. Lalu, solusinya ialah malim astronomi membuat formula atau syarat hilangnya shafaq ahmar tersebut.

Sama sahaja kesnya dengan rukyah anak bulan.

Advertisement