Kebiasaan orang yang pergi menunaikan umrah atau haji, mempunyai sasaran untuk membeli cenderahati kenang-kenangan. Pilihannya, pada zaman sekarang, adalah semakin terhad, berkisar antara jubah, serban, kopiah, attar, tasbih dan sejadah.
Bersempena musim umrah Ramadan akan datang, saya suka mempromosi, terutamanya kepada golongan asatizah, untuk menukar tabiat menempah/membeli hadiah dari Tanah Suci Haram, dengan membeli kitab Ensiklopedia Hadith Kutub Sittah, bertajuk Mausū’ah al-Ḥadīth al-Sharīf al-Kutub al-Sittah, karya Fadilah al-Sheikh Ṣālih ‘Abd al-‘Azīz bin Muḥammad bin Ibrāhīm Ālī Shaikh, terbitan Dār al-Salām li al-Nashr wa al-Tauzī‘.

Kenapa kitab ini perlu dimiliki?
Kerana kitab ini menghimpunkan 6 kitab utama hadith dalam Islam, bermula dengan Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Daud, Sunan al-Tirmizi, Sunan al-Nasa’i dan Sunan Ibn Majah.
Hadith merupakan sumber rujukan kedua umat Islam. Antara perbezaan yang ketara antara al-Hadith dengan al-Quran ialah daripada aspek pemeliharaan. Al-Quran dijamin oleh Allah keasliannya daripada kepalsuan dan tokok tambah. Tetapi al-Hadith, memerlukan proses takhrij dan tahqiq sebelum boleh diamalkan, kerana terdedah kepada kepalsuan. Ramai ulama’ telah berjasa mengeluar dan menghimpukan hadith-hadith nabi dengan martabat yang pelbagai, antara yang termasyhur, seperti yang diusahakan oleh Imam-imam Hadith yang enam itu.
Seperti kata-kata al-Tirmizi, barang siapa yang menyimpan kitab hadith di dalam rumahnya, seolah-olah terdapat nabi yang sedang berbicara di kediamannya.
Antara keistimewaan kitab ini ialah
- Menghimpunkan semua hadith dalam kutub sittah di dalam satu jilid.
- Cetakannya amat baik dan terang.
- Sheikh Ali Sheikh, yang mengetuai projek pengumpulan kitab ini, menggunakan metodologi Sheikh Muhammad Fuad Abdul Baqi, terutama dalam bab tarqim (nombor hadith) dan tabwib (bab hadith). Oleh itu, nombor hadith dalam ensiklopedia ini dianggap yang paling muktabar. Bagi yang mempelajari hadith, perkara ini amat penting bagi tujuan takhrij hadith. Bagi pelajar hadith di Universiti, takhrij dengan kitab ini adalah satu kemestian, kerana kekuatan sumbernya.
- Beliau juga membuat perbandingan nuskhah-nuskhah yang pelbagai, seperti yang terdapat di negara Arab, Turki, dan India, bagi setiap kitab hadith yang enam. Contohnya dalam Sahih Bukhari, selain salinan yang ditulis oleh anak murid al-Bukhari, Sheikh Ali Sheikh turut membandingkannya dengan nuskhah al-Yunini yang dianggap terbaik berbanding nuskhah Sahih Bukhari yang lain.
Belilah kitab ini di Tanah Haram. Kerana harganya agak murah berbanding di tempat lain, sekitar RS225. Di Malaysia semasa Pesta Buku Antarabangsa, harga terbaik yang saya perolehi ialah RM600. Di Mesir pula, sekitar RM450.

Kitab ini juga telah mula didigitalkan, pada sumber yang kebiasaannya telah diwaqafkan. Karya digital, boleh dimuat turun di link ini [klik].