Antara kesilapan besar di dalam proses pengajaran dan pembelajaran sirah nabi, ialah betapa nabi itu ditonjolkan semata-mata pakar di dalam peperangan sahaja. Seolah-olah Islam itu menang di zaman nabi kerana mata pedang.
Tetapi apabila kita telusuri sirah peristiwa hijrah, fathu Makkah, dan proklamasi tanah haram dalam peristiwa haji akbar pada tahun ke-9 hijrah, antara keistimewaan dan kemahiran nabi, yang jarang dibincangkan, ialah kemahiran membuat ‘RUNDINGAN DAN PERJANJIAN’.
Banyak kajian ilmiah ditulis mengenai topik ini, tetapi tabiat kecenderungan manusia lebih berminat untuk mengkaji mengenai peperangan. Inilah antara perkara pokok yang difokuskan oleh al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz semasa mentafsirkan awal surah al-Taubah.
Nabi pakar selok belok untuk membuat terma perjanjian, di saat Islam lemah dan di saat Islam itu kuat. Nabi mahir batasan untuk bertoleransi di dalam perjanjian, walaupun dilihat tidak berpihak kepada Islam. Nabi mahir untuk membuat tindakan sekiranya perjanjian dikhianati. Nabi mahir untuk membuat keputusan bilakah perjanjian perlu ditamatkan, demi memenangkan Islam mengikut acuan sebenar.
Antara perkara yang perlu umat Islam berhati-hati, apabila membuat perjanjian dengan pihak musyrikin, ialah seperti yang Allah nyatakan di dalam ayat ke-8 Surah al-Taubah:
كَيْفَ وَإِن يَظْهَرُوا عَلَيْكُمْ لَا يَرْقُبُوا فِيكُمْ إِلًّا وَلَا ذِمَّةً ۚ يُرْضُونَكُم بِأَفْوَاهِهِمْ وَتَأْبَىٰ قُلُوبُهُمْ وَأَكْثَرُهُمْ فَاسِقُونَBagaimana (boleh dikekalkan perjanjian kaum kafir musyrik itu) padahal kalau mereka dapat mengalahkan kamu, mereka tidak akan menghormati perhubungan kerabat terhadap kamu, dan tidak akan menghormati perjanjian setianya. Mereka menjadikan kamu bersenang hati hanya dengan mulut mereka, sedang hati mereka menolaknya; dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.
Sekali lagi amaran itu Allah ulangi dalam ayat ke-10:
لَا يَرْقُبُونَ فِي مُؤْمِنٍ إِلًّا وَلَا ذِمَّةً ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُعْتَدُونَ
Mereka tidak menghormati lagi (sesudah mereka kuat) pertalian keluarga serta perjanjian terhadap orang-orang yang beriman, dan merekalah orang-orang yang melampaui batas.
Ayat ini ditujukan kepada umat Islam supaya berhati-hati dengan musyrikin yang memusuhi Islam. Antara tanda-tanda mereka ialah, apabila mereka lemah, mereka akan berbaik-baik bahkan sudi membuat perjanjian dan hubungan baik dengan nabi.
Tetapi apabila mereka mula kuat, mereka tidak akan mempedulikan kebajikan masyarakat Islam, membiarkan keperluan asas, bahkan akan bersikap tidak menghormati perjanjian terdahulu.
Pada zaman nabi, namanya perjanjian (al-‘ahd). Pada zaman sekarang, perjanjian termetrai melalui pelbagai cara. Antaranya ialah manifesto dalan pilihanraya. Semasa lemah, musuh Islam akan berbaik-baik dengan kita, menjanjikan pelbagai kesenangan. Tetapi semasa mereka kuat, mereka akan menginjak-injak kebajikan masyarakat Islam.
Moga celik mata kita….