Tidak dinafikan, cendekiawan silam berbeza pandangan mengenai bentuk planet bumi, bersesuaian dengan perkembangan dan keterbatasan teknologi pada zaman mereka. Ada yang menyatakan bahawa bumi ini mendatar dengan 4 bahagian (utara selatan timur dan barat). Ada pula yang menyatakan ianya memiliki sifat seperti pergerakan gear (الترس), berbentuk dulang hidangan, tabla/gendang, separa sfera seperti kubah yang berada di atas menara.

Aristotle (أَرِسْطُو) dianggap sebagai sarjana terawal yang merekodkan sifat bumi ini sebagai sfera. Begitu juga ahli falsafah Greek yang lain, seperti Ptolemy (بَطْلُمْيوس). Catatan sarjana astronomi pula mendapati bahawa saintis Arab Muslim sejak kebangkitan perkembangan ilmu sains dan teknologi khasnya pada hujung kurun kedua hijriy telah bersepakat menyatakan bahawa bumi ini sifatnya sfera, berdasarkan kepada tafsiran kepada ayat-ayat al-Quran berkaitan dan juga cerapan (Ali Hasan Musa, 2001:54).
Ada satu kumpulan elit pemikir dan cendekiawan Muslim yang hidup di Basrah antara kurun ke 8 hingga kurun ke 10 M, dikenali sebagai Ikhwan al-Sofa (Brethren of Purity). Keahlian organisasi mereka ini terlalu misteri, tetapi sumbangan kesarjanaan mereka tidak dapat dinafikan dalam dunia akademik. Di dalam ensiklopedia agung mereka, dinyatakan bahawa, “Bumi ada satu jisim sfera seperti bola, ianya terapung di angkasa. Setiap penjuru di langitnya dari segenap arah adalah sama lurus (Timur dan Barat, Utara dan Selatan) (Risalah Ikhwan al-Sofa, jilid 1, 4/160).

Ahmad bin Rustah al-Asfahani yang merupakan seorang sarjana geografi dan pengembara Muslim pada kurun ke-10 M turut menyatakan, “Telah bersepakat (ijma’) para ulama’ bahawa bumi ini, dengan setiap elemennya di daratan dan lautan, adalah berbentuk sfera. Buktinya dapat dilihat apabila matahari, bulan dan segala bintang/planet tidak akan terbit dan tenggelam di semua tempat di muka bumi pada waktu yang sama …..” (Al-A’laq Al-Nafisah, 13-14).

Sementara itu, telah berkata Shihabuddin Abu Abdullah yang lebih dikenali sebagai Yaqut al-Hamawi (m. 1225 M) bahawa pendapat yang paling tepat dan mendalam, ialah seperti yang disebut oleh Muhammad bin Ahmad al-Khwarizme, katanya “sesungguhnya bumi ini keseluruhannya adalah sfera (مدور بالكلية), walaupun terdapat beberapa bahagian bumi yang keras berbatu terbentang, seperti gunung-ganang yang besar dan lembah yang terbentang luas, tetapi itu tidak menjadikannya sebagai objek yang bukan sfera, kerana hakikatnya pada skala yang lebih luas, gunung-ganang dan lembah itu hanya kecil sahaja berbanding keseluruhan bumi ini” (Mu’jam al-Buldan, 17).
Banyak lagi pandangan ulama’ dan saintis Muslim silam mengenai sifat bumi ini sfera, seperti yang direkodkan oleh Abu al-Fida’, Sheikh al-Rabwah dan lain-lain, sebagai penambahan kepada apa yang telah saya kongsikan dalam artikel lama saya ini [klik] dan juga koleksi tafsir al-Quran para ulama’ terpilih mengenai isu ini [klik].
Dengan sifat bumi ini sfera, maka banyak permasalahan fiqh yang berhubung kait dengan persoalan arah seperti arah qiblat, waktu solat, mula Ramadan dan seumpamanya, diselesaikan dengan kaedah hitungan trigonometri, berasaskan sifat bumi ini sfera. Maka diciptalah beberapa peralatan mengukur dan menghitung, seperti rubu’ al-Mujayyab, berasaskan kepada sifat sfera bumi ciptaan Allah ini. Di Tanah Jawi, antara tok guru yang menggunakan teori sfera bumi ini sebagai asas pengiraan arah qiblat dan waktu solat menggunakan rubu’ mujayyab, adalah insan hebat seperti Sheikh Tahir Jalaluddin, Sheikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif al-Minangkabawi, Sheikh Haji Umar bin Nurrudin al-Kelantani dari Sungai Keladi, Sheikh Muhammad Yusuf al-Khayyat dan ramai lagi.

Akan tetapi pada zaman sekarang, sekiranya ada mana-mana individu yang mendakwa bahawa teori bumi itu sfera sebagai salah, dan mendakwa bumi ini rata dan mendatar, hujjah mereka hanya akan saya baca setelah mereka mendatangkan juga kaedah hitungan dan formula untuk mengira waktu solat, mencari azimuth qiblat, mencari koordinat setempat, menghitung kebolehnampakan ru’yah hilal Ramadan, Syawal dan Zulhijjah serta beberapa masalah fiqh yang lain. Kalau tidak, mereka hanyalah saya angap sebagai orang yang hanya suka menimbulkan kegemparan, suka mendapat like dan share di media sosial, menjatuhkan imej Islam dan melakukan kerja yang sia-sia. Ini kerana kita belajar ilmu falak dan astronomi, bukannya untuk populariti, tetapi adalah untuk MENYELESAIKAN MASALAH.
