Balik mencerap hilal Zulhijjah malam tadi, saya tidak boleh tidur. Lalu, saya memilih kitab Al-Majmu’ untuk melayan insomnia saya. Bila tengok kandungan, saya memilih jilid ke-15, yang membicarakan persoalan hukum pertandingan dan memanah.
Semasa mula-mula belajar memanah lebih setahun yang lalu, saya sering mendengar dakwaan yang Imam al-Shafi’iy juga adalah pemanah. Kebetulan saya teringat satu sya’ir Imam al-Shafi’iy yang membuat analogi dengan anak panah, saya rasa dakwaan itu mungkin benar, dan mungkin juga melampau.
Ada dakwaan kononnya Imam al-Shafi’iy pernah menyatakan “kalaulah aku tidak menjadi ulama’, nescaya aku akan menjadi pemanah”. Saya cuba untuk mencari kata-kata ini dalam manaqib Imam al-Shafi’iy, tetapi tidak menemuinya. Lalu saya yakin ianya dakwaan yang palsu. Ini kerana semasa zaman Imam al-Shafi’iy, rata-rata semua lelaki Muslim berada di dalam situasi peperangan, lalu memerlukan mereka mempunyai kemahiran memanah. Tiada pula pernah terdengar karier ‘pemanah sepenuh masa’.
Akan tetapi, ini tidak menafikan secara mutlak hubungan Imam al-Shafi’iy dengan aktiviti memanah ini.
Apabila saya membaca kitab Majmu’, saya yakin ianya benar. Imam al-Shafi’iy, bahkan ramai ulama’ al-Shafi’iyyah yang lain, terlibat dalam aktiviti memanah.
Imam al-Shirazi dan Imam al-Nawawi, serta sohib takmilah versi kitab yang saya baca (Sheikh Muhammad Aiman al-Shubrawi) menceritakan secara khusus mengenai hukum pertandingan dan memanah, serta menaqalkan banyak kata-kata Imam al-Shafie mengenai memanah, khasnya daripada kitab al-Um.
63 mukasurat untuk bab hukum fiqh pertandingan dan memanah
15 mukasurat kaedah dah undang-undang dalam pertandingan memanah.
total: 78 mukasurat!
Amat menarik sekali ulama’ al-Shafi’iyyah membicarakan hukum bertanding dan kaedah mengadakan pertandingan/peraduan/perujian memanah, dengan begitu mendalam sekali.
Diceritakan mengenai galakan bertanding sukan-sukan tertentu, bagi tujuan mempersiapkan kekuatan pertahanan umat Islam…
Diceritakan juga mengenai beberapa kaedah menawarkan hadiah dalam pertandingan, serta isu yuran penyertaan…
Diceritakan juga mengenai jenis target butt, target face. Bilangan anak panah yang dilepaskan. Fast shooting, target based shooting.
Diceritakan juga undang-undang perujian, seperti andai busur patah semasa memanah, dan anak panah kena target. Kalau anak panah patah, dan masih kena target. Kalau ada gangguan angin semasa perujian, maka apakah cara pengadilannya… dan macam-macam lagi.
Diceritakan juga mengenai bentuk sasaran seperti khaziq, khasiq, qarai’, khasil dan lain-lain.
Diceritakan juga syarat untuk membuat pertandingan, serta kontrak yang perlu dipenuhi.
Membaca kitab Fiqh, seperti membaca buku undang-undang sukan!
Kalau ada masa, saya akan kongsi dengan lebih detail, dan mungkin sesiapa yang berkenaan boleh bekerjasama bagi membuat pertandingan memanah mengikut versi undang-undang al-Shafi’iyyah.
Pun demikian, perlulah berhati-hati, terutamanya rakan-rakan pemanah sekalian, daripada menjadikan undang-undang perujian memanah yang disebut di dalam kitab Majmu’ itu sebagai satu hukum yang wajib diikuti di dalam menganjurkan sebarang pertandingan. Perlu mengaji dengan orang yang lebih alim, agar kita mengetahui di manakah perkara yang bersifat hukum yang pasti (thawabit) dan di manakah pula perkara-perkara yang membabitkan contoh perlaksanaan (termasuk di dalam mutaghayyirat), seperti bentuk pertandingan, undang-undang anak panah, bentuk target dan lain-lain.
Memanahlah dengah penuh sifat ‘ubudiyyah dan kebanggaan, kerana nabi, para sahabat, dan ulama’ al-Shafi’iyyah juga memanah.
