Kesarjanaan al-Imam al-Shafi’iy (meninggal 820M) memang tidak dapat dinafikan dalam sejarah keilmuan Islam. Sejarah telah mengadili beliau sebagai pengasas kepada ilmu usul al-fiqh dan juga pengasas kepada mazhab yang tersendiri, selepas wujudnya mazhab Imam Abu Hanifah dan guru beliau Imam Malik.
Tetapi tahukah anda, selain kesarjanaan al-Imam al-Shafi’iy di dalam fiqh dan usul, beliau juga mempunyai kemahiran yang lain?
Disebut oleh Imam Fakhr al-Din al-Razi (meninggal 1209M), di dalam kitab Manaqib (biografi) al-Imam al-Shafi’iy (cetakan Maktabah al-Kulliyat al-Azhariyyah tahun 1986M) bahawa antara kepakaran lain yang dimiliki oleh al-Imam al-Shafi’iy ialah:
- ilmu rawatan kerohanian
- ilmu nujum
- ilmu memanah
- ilmu firasat

Imam al-Razi meriwayatkan kata-kata al-Imam al-Shafi’iy:
Firman Allah (وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ) “Dan sediakanlah kekuatan untuk menentang musuh” (8:60). Berkata sebahagian ulama’, bahawa kekuatan (di dalam ayat) bermaksud al-Ramyu (memanah dan semua seni lontaran tepat). Berkata al-Imam al-Shafi’iy bahawa sesungguhnya hobi kepuasanku (nahmah) semasa usiaku masih muda ada dua, pertama memanah, kedua menuntut ilmu. Aku amat berjaya dalam memanah, sehingga sekiranya 10 kali aku melepaskan anak panah, kesemuanya akan mengenai sasaran. Tetapi tidak pula al-Imam al-Shafi’iy menyebut kecemerlangannya dalam menuntut ilmu (kerana tawadu’). Berkata sebahagian ulama’, sesungguhnya engkau wahai al-Imam al-Shafi’iy lebih cemerlang di dalam menuntut ilmu berbanding memanah (wabillahi al-taufiq, wallahu a’lam).

Mudah-mudahan, Allah mengurniakan kepada kita, sekelumit kehebatan dan kemahiran yang Allah kurniakan kepada al-Imam al-Shafi’iy di dalam memanah dan menuntut ilmu pengetahuan.
Kepada rakan-rakan pemanah di luar sana, insaflah bahawa memanah bukan segala-galanya dalam agama. Apa gunanya mendabik dada cinta kepada sunnah memanah, tetapi banyak lagi amalan sunnah yang diabaikan? Apa gunanya memanah, tetapi masih bergaduh sesama sendiri, menyindir, tidak menghormati yang tua bahkan yang muda?
Kalau anda memanah, tetapi tidak solat, maka ini satu masalah.
Alang-alang memanah, jadikanlah ia sebagai ibadah. Dan berusahalah juga untuk meningkatkan ilmu agama yang lain selain memanah, seperti mana hebatnya al-Imam al-Shafi’iy.
