Di dalam sejarah ilmu hadith, antara tokoh yang paling dikagumi ialah Imām al-Bukhārī. Beliau dilahirkan 194 H di Bukhara, dan meninggal dunia pada tahun 256 H di Samarkhand.

Di dalam buku yang menceritakan biografi kehidupannya, Imām al-Bukhārī bukan sahaja seorang anak muda yang rajin dan tekun belajar semasa kecilnya, akan tetapi beliau juga minat serta mahir memanah dan berkuda.

a1

a2

Dalam satu tesis Master yang ditulis oleh Ahmad Hadi Sheikh Ali dari Universiti Islam Madinah di bawah selian Dr Ahmad bin Abdullah al-Zahrani pada tahun 1415H bertajuk “Riwayat-riwayat Tafsir Imām Bukhārī Mengenai di Luar Kitab Sahihnya”, pengkaji telah menulis beberapa sumber yang menyokong dakwaan bahawa Imām al-Bukhārī sebagai seorang pemanah.

Menurut kajian tersebut, sebab utama mengapa Imām al-Bukhārī minat dan mahir di dalam sukan memanah serta berkuda, adalah kerana menepati arahan Allah yang turut dipandu oleh tafsiran sarjana salaf, terhadap ayat al-Qur’ān:

وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu..

Oleh kerana nabi pernah menyatakan secara literal bahawa kekuatan di dalam ayat di atas bermaksud memanah, maka, walaupun pada zaman Imām Bukhārī teknologi persenjataan jarak jauh telah berkembang, dengan terciptanya menjanit dan meriam, akan tetapi seni memanah tetap tidak ditinggalkan.

Pengkaji mengkagumi kesungguhan Imām al-Bukhārī, bukan semata-mata pandai berteori dengan ilmu, tetapi terus mengaplikasi dan beramal dengan ilmu yang ada. Apatah lagi pada zaman tersebut, umat Islam amat memerlukan penganutnya yang kuat dan mahir bersenjata demi mempertahankan kesucian Islam.

Telah berkata salah seorang anak murid yang juga kerani kepada Imām al-Bukhārī:

“Imām al-Bukhārī kerap menunggang kuda untuk berlatih memanah. Sepanjang aku mendampinginya, aku hanya ingat bahawa panahan beliau hanya pernah tersasar sebanyak dua kali sahaja, sementara yang lain akan mengenai sasaran” (Muqaddimah al-Fath, m/s 480).

Mudah-mudahan, Allah memberkati pemanah-pemanah yang memilih sukan ini, kerana Sunnah. Dan mudah-mudahan, mereka tidak dilalaikan dengan memanah, sebaliknya menjaga solat, batas pergaulan, serta menjadi seperti Imām al-Shafi’I dan Imām al-Bukhārī, pandai memanah tetapi rajin juga membaca kitab.

a3
Di dalam rehlahku menuntut ilmu, doakan sukan memanah ini dapat menajamkan fokusku. Dan doakan agar ianya tidak menjadi satu perkara yang melalaikan…
Advertisement