Anak air di Aviemore
Anak air di Aviemore

Pada musim panas pertama saya selepas bermukim sementara di UK buat kali kedua, saya telah melancong ke sekitar Inverness-shire, Isle of Mull dan pekan paling utara di UK, John o’ Groats. Perancangan untuk melancong ke kawasan tersebut telah dimulakan sejak awal tahun 2007 lagi bersama-sama dengan keluarga ustaz Burhan dan abang Haniz. Saya perlu memberikan kredit kepada ustaz Burhan kerana beliaulah yang merancang perjalanan kami ke sana berdasarkan pengalaman beliau. Keluarga saya dan abang Haniz, pertama kali pergi ke tanah tinggi Scotland. Sementara gambar-gambar pula kebanyakannya diambil oleh abang Haniz dengan SLR canggihnya itu.

Perancangan awal kami ialah untuk menginap di Inverness selama dua malam sahaja. Kebetulan Travelodge Inverness membuat promosi diskaun, kami pun membuat tempahan awal. Akan tetapi atas sebab kepenatan dan kesuntukan masa ketika tiba di John o’ Groats, kami terpaksa menginap satu malam di situ.

Hari Pertama

Kami memulakan perjalanan ke Inverness melalui tourist route A93 bagi membolehkan kami singgah ke beberapa tempat menarik sepanjang perjalanan termasuklah Aviemore. Sebenarnya, jalan paling selesa untuk ke sana ialah melalui A96. Jalannya lurus dan agak selesa. Berbanding A93, jalannya agak sempit, bersimpang siur, berbukit, banyak melalui pekan kecil serta banyak kawasan yang mempunyai had laju 30-40 mph. Kelebihan melalui jalan ini ialah anda dapat melihat pemandangan semulajadi yang cantik, pekan-pekan lama Scottish Highland dengan karakter bangunan yang unik, serta banyak tempat pelancongan untuk disinggah. Antara tarikan pelancong di sepanjang A93 ialah Drum Castle dan Crathes Castle. Apabila sampai ke pekan Ballater, anda boleh melawat Old Royal Station, stesyen keretapi yang dahulunya digunakan oleh keluarga diraja Britain untuk pergi ke istana hinggap mereka di Balmoral. Dengan sebab itulah jalan A93 turut dikenali sebagai Royal Deeside route, kerana ianya adalah laluan diraja.

Di Ballater, anda boleh berhenti untuk berehat. Ada banyak tempat rehat dan rawat di situ. Pemandangan sekeliling pekan diraja ini juga amat cantik kerana dikelilingi gunung dan juga hutan simpan. Banyak pelancong suka menginap di sini untuk aktiviti berjalan kaki. Justeru banyak kemudahan menginap disediakan, termasuklah yang berprestij seperti Hotel Hilton.

Daripada Ballater, tidak sampai beberapa minit memandu, anda akan sampai ke Balmoral Castle. Saya pernah masuk ke Istana Singgah Diraja Britain ini dalam lawatan yang lain. Kawasan istana ini amat luas. Tidak mustahil saya katakan sekiranya saya katakan yang anda boleh menghabiskan masa sehari untuk berjalan di sekitar kawasan istana ini. Di sini, banyak pameran mengenai kehidupan diraja Britain. Ianya dibuka semasa musim panas sahaja. Pada musim sejuk, dikatakan ramai kerabat Istana Britain yang tinggal di sini.

Perjalanan kami diteruskan ke Aviemore. Aviemore adalah pusat pelancongan khususnya pada musim sejuk. Banyak kemudahan penginapan dan pasaraya di pekan ini. Di sinilah tempat letaknya pusat ski terbaik di UK, iaitu di Gunung Cairngorm. Salji mulai melitupi bukit tersebut seawal hujung Oktober lagi bergantung kepada keadaan cuaca. Biasanya pengunjung akan menaiki keretapi funicular untuk ke puncak gunung tersebut. Ketika salji turun dengan lebat, anda tidak perlu naik ke puncak untuk bermain salji sekiranya mempunyai bajet yang terhad, sebaliknya cukup bermain salji di sekitar kawasan parkir kereta di lembah gunung tersebut.

Agak malang kerana ketika kami sampai, hujan turun dengan lebat. Kami makan tengahari di situ, dan dalam keadaan teragak-agak, akhirnya membuat keputusan untuk naik keretapi funicular beramai-ramai dengan harga diskaun berkumpulan. Tiada apa sangat yang menarik di situ pada musim bunga, kerana salji pun tiada. Hujan pun turun tanpa henti sepanjang kami di sana. Akan tetapi, sekurang-kurangnya anda akan dapat melihat bagaimanakah sebenarnya permukaan yang pada musim sejuk dilitupi dengan salji lebat, dan dijadikan trek ski. Ianya dipenuhi dengan batu batan gunung yang keras!

Inilah permukaan sebenar trek ski semasa musim sejuk di Cairngorm, Aviemore
Inilah permukaan sebenar trek ski semasa musim sejuk di Cairngorm, Aviemore

Selepas puas bermain salji, akhirnya kami pun bertolak ke Inverness dan berehat di Travelodge Fairway di bandar tersebut. Travelodge ini letaknya berhampiran dengan pasaraya besar, justeru memudahkan anda untuk membeli bekalan.

Hari Kedua

Selepas sarapan, kami bergerak menyusuri Loch Ness. Agak malang, cuaca agak mendung sepanjang perjalanan. Secara umumnya, antara keunikan dan keindahan Scotland ialah mempunyai banyak tasik (loch) dan pergunungan, dan Loch Ness adalah tasik terpanjang, dan terkenal dengan lagenda Nessi monster.

Menjejak Nessie di Loch Ness
Menjejak Nessie di Loch Ness

Banyak daya tarikan di sepanjang perjalanan A82 menyusuri Loch Ness. Antara tempat singgahan kami ialah di Loch Ness Monster Visitor Centre di bandar Drumnadrochit, di mana anda boleh berehat dan membeli cenderahati Nessie.

Kami juga berhenti di beberapa tempat parkir di tepi A82 untuk mengambil gambar Loch Ness. Destinasi seterusnya ialah ke Uruquhart Castle. Istana roboh ini amat cantik kerana lokasinya di tepi tasik. Ada antara pelancong yang melawat ke istana ini melalui pakej feri daripada utara Loch Ness hinggalah ke jeti istana berkenaan. Oleh kerana bayaran yuran masuk ke dalamnya agak mahal, kami membuat keputusan untuk sekadar bergambar sahaja.

Uruquhart Castle
Uruquhart Castle

Destinasi seterusnya ialah Fort Augustus. Fort Augustus terletak di tengah Loch Ness. Di sini, anda akan dapat melihat hebatnya kejuruteraan simple manusia membuat kunci air di Caledonian Canel yang panjangnya 100 kilometer yang menghubungkan antara Loch Dochfour, Loch Ness, Loch Oich dan Loch Lochy. Anda akan dapat melihat bagaimana sistem kunci air tersebut dalam membolehkan bot-bot kecil melintasi Loch Ness ke Caledonian Canel. Pemandangan dan suasananya memang menarik.

Kunci air bertingkat
Kunci air bertingkat
Meratakan level air di kunci air
Meratakan level air di kunci air
Setelah sama rata, kunci air pun dibuka
Setelah sama rata, kunci air pun dibuka
Selepas kunci air dibuka, bot kecil ini pun ditunda untuk ke kunci air seterusnya. 5 tingkat kalau tak silap saya.
Selepas kunci air dibuka, bot kecil ini pun ditunda untuk ke kunci air seterusnya. 5 tingkat kalau tak silap saya.

Seterusnya kami meneruskan perjalanan menuju ke Oban. Ianya dianggap sebagai bandar besar tercantik di persisiran pantai barat Scotland. Kami tidak dapat meluangkan masa berjalan-jalan di bandar ini kerana perlu mengejar feri menuju ke Isle of Mull.

Mengapa kami pergi ke Isle of Mull? Satu-satunya tujuan paling utama kami pergi ke sini, selain daripada ingin melihat keindahan alam semulajadi di kepulauan Scotland, ialah untuk melihat sebuah pekan Tobermory, tempat penggambaran siri kanak-kanak terkenal di UK di saluran CBeeBies, iaitu siri Balamory.

Feri dari Oban akan sampai ke Pelabuhan Craignure, Isle of Mull tidak sampai sejam perjalanan. Dari Craignure, anda perlu memandu hampir 40 minit untuk sampai ke Tobermory. Jalan ke sana agak berselekoh, sempit (untuk laluan satu kereta sahaja dengan beberapa tempat memotong ketika berselisih) dan berbukit. Walaupun demikian, ianya amat berbaloi apabila anda sampai ke Tobermory, di mana anda akan dapat melihat sendiri bangunan berwarna-warna di tepi pelabuhan ‘Balamory’ ini. Kanak-kanak yang ‘membesar dengan CBeeBies’ pasti teruja melihat bangunan-bangunan tersebut di hadapan mata sendiri.

Bangunan berwarna-warni Balamory
Bangunan berwarna-warni Balamory
Gloomy Tobermory / Balamory
Gloomy Tobermory / Balamory

Selepas berehat, membeli barang cenderahati ‘Balamory’ dan bersiar-siar selama hampir 3 jam, kami pun pulang ke Inverness semula. Kali ini kami tidak melalui feri ke Oban, sebaliknya kami mengambil perjalanan lain melalui 2 perkhidmatan feri kecil dari Fishnish ke Lochaline, dan yang kedua ialah Corran Ferry.

Hari Ketiga

Selepas bersarapan, kami memulakan perjalanan yang amat dinantikan, iaitu ke pekan paling utara di tanah besar UK, John o’ Groats. Bagi saya, adalah menjadi satu kemestian bagi kami untuk pergi ke situ, dan kami juga berazam pada suatu hari nanti untuk pergi ke tempat yang paling selatan di UK, iaitu di Land’s End.

Dalam perjalanan, ada beberapa destinasi persinggahan kami. Antaranya ialah di Fall of Shin. Air terjun ini menjadi tarikan pelancong kerana aktiviti salmon leaping. Biasanya, semasa musim luruh dan musim bunga, ketika air sungai naik selepas hujan lebat, ikan salmon akan bertelur. Mereka akan melawan arus, daripada laut ke hulu sungai, tempat mereka ‘dilahirkan’ untuk bertelur, dan seterusnya mati di situ. Dikatakan antara faktor ikan salmon suka bertelur melalui sungai ini ialah kerana terdapat minyak semulajadi di tebing sepanjang batu di tebing sungai yang menjadikan air sungai ini kelihatan berwarna perang. Ketika kami sampai, musim salmon leaping baru sahaja selesai. Justeru, yang dapat kami lihat di situ ialah sungai Shin yang deras airnya. Anda perlu menuruni anak tangga yang agak curam untuk sampai ke pelantar tempat melihat ikan salmon. Oleh kerana air sungainya yang deras, pelancong tidak dibenarkan untuk pergi ke tebing sungai.

Selain itu, kami turut singgah ke Dornoch. Ianya merupakan sebuah pekan kecil yang mendapat gelaran Bandar Pemandangan Tanah Tinggi di UK. Antara keunikan Dornoch ialah karakter bangunannya dan pemandangan di sekelilingnya. Bandar ini turut menjadi tumpuan pemain-pemain golf, dan kerana itulah ada yang melihat kesamaan antara bandar ini dengan St Andrews.

Rumah lama di Dornoch
Rumah lama di Dornoch

Perjalanan kami ke John o’ Groats sepatutnya mengambil masa tidak sampai 3 jam sahaja. Akan tetapi oleh kerana kami banyak mengambil masa untuk singgah di beberapa lokasi menarik sepanjang perjalanan, kami sampai agak lewat petang ke John o’ Groats. Perjalanan ke sana memang amat menarik, kerana kita dapat melihat pemandangan di persisiran pantai dan juga tanah tinggi. Agak malang sepanjang perjalanan, cuaca agak berkabus.

Adalah menjadi suatu kepuasan bagi kami setelah berjaya menakluk tempat paling utara di UK ini. John o’ Groats hanyalah sebuah pekan yang kecil dengan komuniti yang sederhana. Banyak rumah penginapan disediakan di sini. Pasaraya Tesco juga ada dalam 20 minit perjalanan kereta ke selatan. Bagi saya, daya tarikan utama ke sini ialah kerana lokasinya yang paling utara sahaja, selain pemandangan semulajadinya. Itu pun kalau diteliti dengan peta, anda akan dapat melihat ada lagi kawasan lain lebih utara daripada John o’ Groats dan lebih selatan daripada Land’s End. Banyak kelab sosial penduduk tempatan yang kerap menganjurkan kembara antara kedua-dua bandar ini.

Keutamaan kami ketika sampai ke sini ialah mencari rumah penginapan. Setelah mencari dari satu rumah ke rumah, akhirnya kami dapat menginap di sebuah Bed and Breakfast yang letaknya betul-betul di tepi pantai. Agak malang, saya tiada rekod alamat dan nama BnB tersebut. Kalau ada, saya amat menggalakkan anda untuk menginap di sini kerana lokasi rumahnya serta harga yang berpatutan. Anak-anak kami amat suka bermain di halaman rumah BnB ini. Dari situ, kita boleh melihat anjing laut bermain di pantai.

Siang ketika ini agak panjang. Justeru ketika anak-anak sedang berehat kerana kepenatan perjalanan panjang, saya dan abang Haniz berjalan di sekitar tebing laut berhampiran. Ada sebuah rumah api di situ. Sekelilingnya dipenuhi dengan padang menghijau. Kambing biri-biri dan lembu tanah tinggi Scotland banyak yang meragut rumput di situ. Hijau rumput di Scotland agak berbeza dengan hijau pokok di tanah air. Ianya lebih menyerlah, mungkin kerana refleksi cahaya matahari. Abang Haniz seperti biasa mengambil beberapa keping gambar di sekitar kawasan itu. Selepas beberapa ketika, kami pun pulang ke BnB untuk berehat.

Hari Keempat

Setelah masing-masing menelefon supervisor untuk memohon cuti, bersarapan dengan masakan tuan rumah BnB serta chech out, kami pun mengambil kesempatan untuk berjalan di sekitar John o’ Groats. Oleh kerana pekannya yang kecil, anda tidak perlu mengambil masa yang lama di sini. Destinasi wajib ialah papan tanda John o’ Groats. Papan tanda yang sama ada di Land’s End. Untuk mengambil gambar di sini, anda perlu membayar kepada seorang jurukamera yang bertugas di situ. Selepas mengambil gambar dengan kameranya, barulah anda dibenarkan mengambil gambar dengan kamera sendiri. Anda juga boleh meletakkan sebarang petunjuk jarak destinasi pilihan anda. Sudah tentu, kami memilih Malaysia!

Gambar wajib di John o' Groats
Gambar wajib di John o' Groats

Di sini juga terdapat pelabuhan untuk mereka yang ingin mengambil feri ke Pulau Orkney. Oleh kerana masa yang kurang mengizinkan, saya hanya menanam azam yang suatu hari nanti, saya akan sampai juga ke Orkney, dan mungkin Shetland. Dari Aberdeen, ada perkhidmatan feri ke Orkney. Perjalanannya mengambil masa 6 jam, sementara ke Shetland pula 12 jam.

Kami tidak memilih jalan terus ke selatan untuk pulang ke Aberdeen, sebaliknya memilih jalan yang agak mencabar menyusuri A836. Jalan di sini amat berliku, sempit, berbukit-bukau dan berselekoh. Anda perlu memastikan yang kereta anda berada dalam keadaan yang baik, kerana yang ada di keliling anda ialah kawasan berbukit, dan tebing laut yang indah. Sekali-sekala sahaja anda akan melalui beberapa pekan kecil tempat pengunjung menginap. Walaupun jalannya begini, akan tetapi kami berasa puas melihat keindahan alam semulajadi ciptaan Allah. Laluan di sini akan menemukan kita dengan tanah dara yang tidak pernah disentuh manusia…. Subhanallah.  Banyak kali kami berhenti di laluan ini, untuk meregangkan badan dan menghilangkan mengantuk selain mengambil gambar di destinasi yang jarang dikunjungi manusia ini.

Subhanallah
Subhanallah
Subhanallah
Subhanallah
Subhanallah
Subhanallah

Kos lepas melalui jalan ini ialah anda perlu mengambil masa yang agak lama untuk sampai ke belah barat sana. Destinasi kami seterusnya ialah ke Ullapol. Bila sampai ke pekan Ullapol, kami menarik nafas lega kerana tidak perlu lagi melalui jalan yang mencabar seperti sebelumnya. Ullapol adalah satu bandar di tepi pantai. Pemandangannya amat cantik. Banyak khidmat kapal layar untuk pengunjung ke sini. Pelancong juga amat ramai menginap di pekan romantik ini.

Pemandangan di Ullapol
Pemandangan di Ullapol

Setelah berehat beberapa ketika di situ, akhirnya kami pun pulang ke Aberdeen melalui Inverness. Perjalanan selama empat hari ini banyak mengajar kami erti bagaimana menghargai alam semulajadi, dan mendidik diri kami untuk melihat kebesaran Allah melalui ciptaanNya. Kami amat bersyukur kerana Allah mengurniakan kami kekuatan dan keselamatan untuk menakluk seluruh tanah tinggi Scotland, dari selatan ke utara, dan dari barat ke timurnya. Segala puja dan puji serta keindahan, hanyalah milik Allah.

Advertisement