Membaca status rakan-rakan di Facebook sejak dua hari lepas agak memualkan. Begitu juga dengan media elektronik dan cetak yang lain. Saya bukan mahu bicara politik kepartian di sini. Tapi yang saya ingin bicarakan ialah politik kendiri. Politik sahsiah dan harga diri.

Saya bersyukur kerana anak-anak saya masih kecil dan belum membaca laju lagi. Ketika inilah saya teringat kawalan ketat arwah abah kepada kami adik-beradik semasa kecil. Setiap hari Ahad, biasanya ada surat khabar sisipan berunsur hiburan. Arwah abah akan sorok awal-awal lagi supaya kami tidak terdedah dengan gambar artis dan berita gosip kurang bermoral.
Akan tetapi sekarang, bayangkan yang kisah dan adegan hangat itu boleh dibaca di muka surat hadapan akhbar utama. Tidak perlu membeli tabloid murahan, anak-anak kita sudah didedahkan dengan pelbagai istilah dewasa. Gambar di kamar tidur pun didedahkan. Apalah agaknya yang digambarkan oleh anak-anak nanti bila melihat bilik tidur ibu bapa mereka. Semuanya ini kerana gara-gara dakwaan seorang pemuda yang tidak mampu melawan permintaan meliwat seorang yang berumur lebih 60 tahun di sebuah kondominium.
Cukuplah mereka-mereka di sana berpolitik kepartian dengan cara yang agak keji sekarang ini. Sekiranya anda ingin berpolitik kepartian, silakan, akan tetapi janganlah sampai menjejaskan politik sahsiah kami sebagai rakyat marhaen untuk menjaga peribadi anak-anak kami. Sampai bila budaya ini ingin diteruskan di Malaysia. Saya tidak akan redha sama sekali sekiranya kamu semua, politikus dan pengamal media yang tidak beretika, mencemari politik sahsiah kami. Kalau ada saham dan sumbangan anda merosakkan anak-anak saya, tunggulah nanti perbicaraan di hari akhirat.
Memang manusia akhir zaman semakin tipis rasa malu mereka. Di manakah harga kehidupan mereka? Nampak gaya, media perdana di Malaysia perlu diklasifikasikan sebagai 18sx sekarang.