Moratorium operasi perlombongan bauksit di Kuantan mempunyai seribu satu hikmah yang perlu direnung oleh semua yang terlibat dalam industri ini. Tempoh 3 bulan ini perlu dilihat sebagai tempoh bertenang, bagi meninjau kembali polisi pengendalian terbaik terhadap perlombongan bauksit.

Agama Islam mengharuskan sebarang usaha untuk mencari rezeki yang halal, termasuklah hasil mahsul yang berada di darat dan lautan. Allah menyatakan di dalam al-Quran, “Dan Dia (Allah) menciptakan kamu daripada (bahan) bumi, dan meminta kamu untuk membuat pembangunannya di atasnya (Hud, 11:61).”

Sebelum Adam dicipta dan diturunkan ke muka bumi lagi, Allah telah menyediakan bumi ini sebagai tempat tinggal bagi manusia. Tidaklah dicipta lautan, hutan, gunung-ganang, sungai dan semua yang ada di daratan itu secara sia-sia, melainkan semuanya itu ada fungsinya di dalam teologi dan ekologi manusia.

Alam sekitar merupakan salah satu daripada tanda-tanda kebesaran Allah (ayat Allah yang dicerap – ayatullah al-manzurah). Justeru tidak pelik apabila kita perhatikan bicara Allah di dalam al-Quran terlalu kerap mengulangi kalimah langit, bumi, gunung-ganang, jasad samawi dan ciptaan alam yang lain, bagi membolehkan manusia melihat kebesaran Maha Pencipta menerusi kehebatan ciptaanNya, khas bagi mereka yang berfikir dalam penglihatan.

Nabi Ibrahim mencapai kemuncak di dalam proses mengenali Allah sebagai Tuhan dengan merenung jasad samawi. Justeru, proses pemeliharaan alam adalah amat penting bagi memastikan wasilah hubungan antara makhluk dan al-Khaliq, kekal lestari.

Perlombongan bauksit, sedikit sebanyak merencatkan perkara ini. Dengan melombong beberapa kawasan, termasuklah sebelum ini kawasan hutan yang menghijau, sebagai paru-paru kepada warga Kuantan, keindahan alam ciptaan Allah sedikit tercemar. Sekiranya sebelum ini ramai yang sejuk mata dan hati sambil memandu melihat kehijauan pokok dan bukit, tetapi sejak aktiviti perlombongan ini, kegagalan untuk menguatkuasa kaedah operasi yang tepat menyebabkan keindahan alam tidak dapat lagi dinikmati. Lalu, warga Kuantan rata-rata ‘serabut mata’ melihat kemerahan mengganti kehijauan.

Tidak dinafikan, Islam mengiktiraf hak untuk mengeluarkan hasil-mahsul daripada bumi. Bahkan ianya adalah salah satu hikmah kejadian alam kepada manusia. Bukan sekadar dibenarkan, tetapi pemilik tanah digalakkan mengusahakan tanah mereka, bagi tujuan pemilikan harta peribadi dan keluarga mereka.

Akan tetapi jangan dilupakan, bahawa di luar sana terdapat juga harta awam milik bersama. Pengusaha bauksit tidak boleh merosakkan harta awam pemilikan bersama seperti jalan raya, keindahan hutan menghijau, dan udara segar, semata-mata untuk mengaut harta bagi pemilikan peribadi. Ini termasuklah juga hak untuk memandu dengan selamat (kebanyakan lori bauksit memandu laju dan berbahaya demi mengejar penggiliran), sehingga menjejaskan keselamatan. Andai Nabi sendiri menyatakan bahawa antara petunjuk selemah-lemah iman itu ialah membuang duri halangan dari jalan, bagaimana pula dengan mereka yang mengotorkan jalan? Pihak berkuasa dan pemegang taruh industri ini perlu memikirkan sesuatu dalam tempoh moratorium ini bagi mengelakkan perkara ini berulang kembali.

Selain itu, sifat rakus manusia di dalam mengejar harta juga mengundang kepada perlanggaran adab manusiawi dan peraturan konvensional. Dalam sepotong hadith sahih, Abu Hurairah melaporkan yang nabi bersabda, “Qiamat tidak akan berlaku sehinggalah Sungai Furat mengeluarkan gunung emas, sehingga manusia berebut dan sanggup berbunuh-bunuhan untuk mendapatkannya (Sahih Muslim: 5152)”.  Walaupun hadith ini menceritakan ramalan di Sungai Furat, Iraq, akan tetapi ulamak turut memahami bahawa akhir zaman nanti, manusia akan berlumba-lumba mengejar kekayaan hasil daripada perut bumi sehingga sanggup melanggar peraturan.

Justeru, benarlah firman Allah yang memberikan amaran kepada manusia, “Telah timbul kerosakan di darat dan lautan dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia sendiri, kerana Allah hendak membiarkan manusia merasai sedikit kesan daripada perbuatan buruk yang mereka lakukan, mudah-mudahan mereka kembali insaf (Al-Rum, 31:41)”. Pencemaran yang berlaku kesan bauksit hanya sedikit sahaja yang terzahir dengan izin Allah. Allah masih memberi peluang untuk kita insaf.

Tiada halangan untuk mengejar kekayaan, tetapi kajilah semula kaedah operasi perlombongan ini, supaya kelestarian alam sekitar yang mempunyai fungsi besar dalam sistem teologi dan ekologi tidak tercemar.

IMG_8001
Artikel ini merupakan sebahagian daripada isi wawancara saya dengan Wartawan TV3, Fadly, yang disiarkan di dalam Buletin TV3 15 Januari 2016. Saya dipanggil untuk diwawancara atas arahan daripada Pejabat NC UMP dan permintaan TV3 sendiri, walaupun saya pada awalnya menolak kerana tidak berada di kampus dan berpakaian kurang sesuai, kerana sedang membuat penyelidikan di perpustakaan UIA Kuantan. 
Advertisement