kaabahTinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan meninggalkan bulan Syawal. Bagi kebanyakan orang Melayu, bulan Syawal dikenali sebagai bulan Raya. Selepas itu, akan masuknya bulan Zulqaedah dan seterusnya bulan haji, Zulhijjah.

Dalam masa yang sama, di negara Eropah, kita akan diberikan cuti musim sejuk yang panjang bermula daripada Krismas sehinggalah seminggu selepas sambutan tahun baru. Kebiasaannya, masa cuti panjang tersebut digunakan oleh ramai rakyat Malaysia untuk melancong dan berjalan sama ada di dalam atau di luar negara.

Amalan berjalan di muka bumi ini adalah satu perkara yang amat dituntut di dalam Islam. Di dalam al-Quran, beberapa kali Allah berfirman di dalam tempat yang berbeza:

قل سيروا في الارض فانظروا

Katakanlah (Wahai Muhammad), berjalanlah kamu di atas muka bumi, dan lihatlah (analisalah)…

Allah mencadangkan kepada kita ‘melancong sambil belajar’.  Belajar yang dimaksudkan ialah dengan menganalisa apa sahaja yang kita lihat sepanjang perjalanan kita, sama ada melihat tanda kebesaran Allah, kesan kehebatan Muslim berdakwah menakluk dunia, kesan kemunkaran yang dilakukan oleh umat terdahulu serta balasan yang Allah turunkan kepada mereka. Justeru, ada macam-macam tujuan berjalan yang seolah-olah menjadi syarat kepada kita untuk pergi melancong.

Dengan berjalan, kita akan dapat melihat betapa cantiknya ciptaan Allah. Sekiranya anda berjalan di Scottish Highland, atau barangkali di Snowdonia di utara Wales, hati anda sudah pastu akan tersentuh dengan keindahan pemandangan semulajadi. Bagi mereka yang menganalisa, mereka bukan semata-mana nampak ciptaan, tetapi turut melihat Maha Pencipta, lantas iman mereka meningkat.

Dengan berjalan, kita akan dapat melihat hebatnya Muslim terdahulu berdakwah dan membebaskan dunia daripada cengkaman jahiliyyah. Dengan berjalan di Liverpool Maritime Museum, kita akan dapat lihat sejarah pedagang-pedagang Arab yang masuk ke UK seterusnya membuka masjid pertama di sana, iaitu Masjid Rahmah walaupun berhadapan dengan penentangan daripada orang tempatan.

Meriam Orban
Meriam Orban

Kita juga akan dapat menyaksikan meriam Dardanelles ciptaan Orban daripada Hungary, yang digunakan oleh Sultan Muhammad al-Fateh membuka kota Constantinople pada tahun 1453, yang kini menjadi bahan pameran British Royal Armouries di Fort Nelson, Portsmouth. Sekiranya berjalan di Dublin, singgahlah ke Dublin Castle di mana terletaknya Chester Beatty Library, muzium yang menyimpan ribuan buku lama khazanah ilmu cendiakawan Muslim dari seluruh dunia Islam. Antara yang menjadi daya tarikan di situ ialah sebuah kitab mengenai seni peperangan dan juga seni menunggang kuda yang ditulis ratusan tahun dahulu. Kalau berjalan di Gibraltar, kita akan melihat bagaimana semangat juang yang ditunjukkan oleh Tariq bin Ziyad meluaskan Islam ke benua Eropah, sehingga nama tempat itu diberikan

Patung kanan sekali: Pejuang Othmaniyyah yang digeruni
Patung kanan sekali: Pejuang Othmaniyyah yang digeruni

berdasarkan nama beliau (Gibraltar-Jabal Tariq-Bukit Tariq). Kalau berjalan di Cordova, kita akan melihat bagaimana hebatnya Muslim Moorish mengembangkan tamadun Islam sehingga mempengaruhi budaya tempatan. Sekiranya berjalan di Prague, kita akan melihat betapa Kerajaan Othmaniyyah digeruni oleh penduduk tempatan sehingga terpahat ketakutan mereka di Prague Astronomical Clock Tower.

Dengan berjalan juga, kita akan dapat melihat  kehancuran umat terdahulu akibat kemunkaran yang mereka lakukan. Sekiranya berjalan di negara tamadun lama seperti di sekitar Mesir, kita akan dapat melihat peninggalan suku-sakat Firaun daripada piramid, mummy serta kuil ibadat yang pelbagai. Kita juga akan dapat melihat beberapa bukti kemunkaran Bani Israel yang tidak habis-habis mempermainkan Musa dan juga arahan Allah. Berjalan di semenanjung Arab dan lembah Sham juga akan mempertemukan kita dengan kesan kaum ‘Ad dan Thamud.

Dengan banyak berjalan juga, kita akan dapat melihat kepelbagaian budaya, adat resam serta ragam manusia, sama ada yang Muslim atau pun non-Muslim, sama ada yang boleh diambil tauladan tau dijadikan sempadan. Dengan berjalan juga kita akan dapat melapangkan fikiran serta menggembiran hati.

Itu semua adalah jenis-jenis berjalan yang dianjurkan Islam.

Walau bagaimanapun, bukannya semua jenis ‘berjalan’ dibenarkan di dalam Islam.

Sekiranya berjalan menuju ke tempat maksiat, maka ianya terkutuk dan terlarang.

Begitu juga sekiranya berjalan, tetapi syariat seperti solat dan larangan percampuran lelaki dan wanita diabaikan, makan ianya terlarang. Bagi wanita yang tiada mahram, anda perlu mengetahui hukum-hakam wanita bermusafir, kerana secara asasnya ianya adalah sesuatu yang terlarang melainkan dalam keadaan-keadaan tertentu. Justeru ilmu mengenai hukumnya perlu dipelajari terlebih dahulu.

Saya belajar di Mesir ketika zaman ekonomi dunia merudum. Di Mesir, alhamdulillah saya hidup dengan duit zakat tajaan Zakat Selangor, selain ditanggung oleh keluarga serta sumbangan daripada penduduk Mesir yang pemurah. Di Universiti al-Azhar ketika itu ramai syeikh yang menyalurkan bantuan kepada rakyat Malaysia, dengan syarat kami tidak dibenarkan berjalan ke tempat-tempat pelancongan seperti di Dahab dan seumpamanya. Mereka tidak izinkan pelajar yang ditaja atau diberi sumbangan oleh mereka, membuat perkara yang sama seperti yang dibuat oleh orang-orang berada, apatah lagi pergi ke tempat yang agak sinonim dengan hedonisme.

Selain itu, berjalan juga perlu ikut prioriti. Kerana di dalam Islam, ada beberapa jenis ‘berjalan’ yang hukumnya wajib dan perlu diberikan keutamaan.

Bersabda nabi Muhammad SAW di dalam sepotong hadith:

وعن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال:   لا تشد الرحال إلا إلى ثلاثة مساجد: المسجد الحرام، والمسجد الأقصى، ومسجدي   متفق عليه، واللفظ للبخاري

Daripada Abi Sa’id al-Khudri R.A. Rasulullah SAW dilaporkan berkata: Janganlah bersungguh-sungguh/bersusah-payah pergi berjalan melainkan ke tiga masjid, al-Masjid al-Haram (Makkah), al-Masjid al-Aqsa (Al-Quds) dan Masjidku (Masjid Nabi di Madinah) – Muttafaqun alaihi dengan lafaz daripada Bukhari.

Menurut Syeikh Abdul Muhsin bin Abdullah al-Zamil di dalam siri pengajiannya ketika mensyarahkan hadith ini daripada kitab Bulugh al-Maram, ulamak telah berbeza pendapat di dalam memahami hadith ini, seperti berikut:

1. Janganlah kamu bersungguh-sungguh berjalan jauh ke pelbagai masjid lain (melainkan masjid kariah kamu), melainkan tiga masjid berkenaan.
2. Janganlah kamu bersusah-payah pergi berjalan ke mana-mana tempat, melainkan ke tiga masjid berkenaan.
3. Janganlah kamu bersusah-payah pergi berjalan ke mana-mana tempat untuk tujuan memuliakan atau pelancongan, melainkan ke tiga masjid berkenaan.

Apa pun perbezaan pandangan di kalangan ulamak seperti yang diringkaskan di atas, yang pasti semua mereka bersetuju bahawa kesungguhan di dalam berjalan atau melancong itu perlulah berdasarkan keutamaan pergi ke tiga-tiga masjid berkenaan.

Apatah lagi pergi ke al-Masjid al-Haram di Makkah untuk menunaikan haji adalah salah satu daripada rukun Islam. Mengapa perlu dilengah-lengahkan sekiranya mampu di usia muda?

Sekali-sekala kita perlu fikir, mengapa aku mampu di usia muda ini untuk berjalan ke seluruh Eropah dan dunia, tetapi langsung tidak pernah merancang untuk pergi menunaikan haji. Saya tidak menyatakan haram pergi berjalan ke Eropah atau ke mana-mana tempat di seluruh dunia ini, tetapi sekiranya ajal datang awal, sediakanlah jawapan di kubur nanti apabila dalam keadaan mampu, anda lebih bersungguh-sungguh merancang, sebagai contoh ke Rome atau Vatican City – kota suci agama Kristian, berbanding merancang untuk pergi ke Makkah, kota suci kita.

Di Malaysia, berdasarkan maklumat rakan dan saudara saya yang bekerja dengan Lembaga Tabung Haji, anda boleh mendaftar untuk pergi haji sekiranya wang simpanan anda di Tabung Haji mencecah RM1,000, dan giliran paling awal untuk menunaikannya ialah pada tahun 2027! Kiralah umur anda pada waktu tersebut. Sekurang-kurangnya, sekiranya ajal datang awal, anda ada jawapan untuk diberikan nanti, iaitu sudah memasang niat untuk pergi ke Makkah. Bagaimana agaknya kalau niat pun belum dipasang lagi, semata-mata dengan alasan masih belum bersedia, tiada ilmu nak buat haji atau sibuk dengan urusan kerja dan keluarga?

Di UK, ada yang berpandangan menunaikan haji dari sini agak mudah, kerana prosesnya hanya memakan masa dalam sekitar 2 minggu sahaja berbanding sehingga 40 hari bagi pakej Tabung Haji. Bayarannya pun amat berpatutan berbanding dengan nilai gaji yang diperolehi di sini. Sekiranya ada kemampuan dan kelapangan, yang mana itulah merupakan pra-syarat utama menunaikan haji, maka janganlah ditangguhkan. Dalam masa yang sama, jangan pula memerah idea untuk mencari alasan  mengkategorikan diri sebagai orang yang kurang mampu, tetapi dalam keadaan anda masih belum berkeluarga, mempunyai gaji yang besar, cuti tahunan yang banyak dan seumpamanya. Di kubur dan akhirat nanti, bukan lidah kita yang bercakap, tetapi saksi-saksi yang terdiri daripada tangan dan kaki kita akan memberikan persaksian.

Justeru, marilah kita berjalan-jalan, ikut keutamaan.

Advertisement