Dalam sebuah majlis kenduri doa selamat minggu lepas, saya ditanya mengenai hukum menyapu muka selepas berdoa. Saya rasa yang bertanya kepada saya itu mungkin mengajukan soalan tersebut kepada saya selepas melihat saya menyapu muka saya dan juga memegang tangan anak saya lalu menyapukannya ke mukanya selepas doa.
Jawapan saya hanya ringkas, iaitu ianya termasuk dalam perkara khilaf. Kebetulan saya sendiri tidaklah ingat semua dalilnya, maklumlah manusia akhir zaman, mudah lupa. Ada juga memberi jawapan, tetapi jawapannya itu merujuk kepada persoalan menyapu muka selepas solat. Selepas solat, terserahlah kepada kita nak sapu di mana-mana pun kerana ianya di luar solat. Ada pandangan dalam mazhab Shafie turut menyatakan sunat menyapu di dahi dengan menggunakan tangan kanan (seperti dalam hadith Anas di dalam kitab al-Azkar), dan tidak dinafikan kebanyakan riwayat tidak melaporkan apa yang nabi buat sejurus selepas salam.
Berbalik kepada persoalan hukum menyapu muka selepas berdoa, perkara ini menjadi khilaf rentetan hadith Saidina Umar yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi:
أنَّ النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا رَفَعَ يديه لا يردُّهما حتى يمسح بهما وجهَهُ
Sesungguhnya nabi SAW sekiranya mengangkat tangannya (untuk berdoa), baginda tidak akan meletakkan tangannya ke bawah kembali melainkan selepas disapu mukanya.
Menurut Syeikh ‘Uthaimin dan Syeikh al-Albani, hadith ini adalah da’if dan juga hadith-hadith penguat lain kepada hadith ini juga adalah da’if. Justeru, Ibn Taimiyyah menyatakan yang tidak perlu menyapu muka selepas berdoa, kerana berdoa itu ialah ibadah, dan ibadah memerlukan dalil yang sahih.
Akan tetapi, Ibn Hajar di dalam kitab Bulugh al-Maram dan juga Imam al-Son’ani di dalam Subul al-Salam menyatakan yang hadith ini diterima sebagai hadith hasan kerana banyak hadith-hadith saksi penguat yang lain, seperti hadith riwayat Ibn Abbas di dalam Sunan Abu Daud dan juga beberapa kitab hadith yang lain. Justeru, disunatkan untuk menyapu muka selepas berdoa.
Kesimpulannya bagi muslim, anda boleh memilih mana-mana pandangan sama ada menyapu muka atau tidak menyapu muka selepas berdoa, kerana perkara ini termasuk di dalam khilaf ulama’.
JazakAllah Ustaz…. 🙂
Assalamualaikum.. ustaz..
jazakallahu khairan..
pertama sekali, ana ucapkan terima kasih atas artikel yang diberi… ringkas n padat..
ana tertanya tentang kata-kata ini :
“… kerana perkara ini termasuk di dalam khilaf ulama’…”
adakah setiap perkara yg ada khilaf, kita bleh ikut nak pilih mana2?
sbb takut nanti pilih hukum ikut hawa nafsu jek…
mohon ustaz beri penerangan…
syukran…
w’salam. sebagai orang awam yang tidak mempunyai ilmu alat dan metodologi terbaik untuk memahami nas, adalah lebih baik ittiba’ (mengikuti) pandangan mazhab masing2. ini lebih dalam bab beradab dgn ilmu. sekiranya keadaan menyukarkan untuk mengikuti mazhab, maka tiada masalah untuk menerima pandangan ulamak lain, spt yang diamalkan di malaysia dalam bab zakat fitrah, among others. cuma kayu ukur ikut mazhab lain itu bukanlah kerana hawa nafsu, tetapi sebab2 lain spt hujjah yang lebih kuat, faktor kesukaran suasana etc. dalam kitab i’anah al-tolibin, imam ibn hajar menyatakan sekiranya ingin mengikut pandangan mazhab lain dalam sesuatu urusan ibadah, maka fahamilah nasnya, dan secara beradabnya ikutlah juga pandangan2 mazhab itu dalam bab ibadah yang beliau ikut tersebut. contohnya kalau ikut pandangan hanafi dalam bab bacaan al-fatihah semasa solat, maka rukun2 solat yang lain, perkara yang membatalkan solat dan semua yang berkaitan solat kena ikut hanafi juga.
allahua’lam