Saya pernah berkongsi fakta ini semasa mengulas isu pembakaran gereja dan penggunaan kalimah Allah dalam artikel ini.
Bila membincangkan persoalan kunci rumah ibadat, kebiasannya kunci akan dipegang oleh penganut agama yang sama. Dalam budaya Muslim Melayu, pemegang kunci kadang-kadang merupakan tugasan Tok Siak dan Tok Bilal.
Cuma ada satu rumah ibadat yang agak menarik dalam persoalan kunci pintu utama mereka. Antaranya, Holy Sepulchre, yang merupakan gereja paling suci dalam kepercayaan penganut Kristian Ortodox terutamanya. Terletak hanya beberapa blok dari al-Masjid al-Aqsa, gereja ini merakamkan banyak sejarah hubungan Islam dan Kristian. Kunci utama Holy Sepulchre, sejak zaman Salahuddin al-Ayyubi sehingga zaman sekarang, dipegang oleh keluarga Muslim Arab.

Akrabnya hubungan Islam dan Kristian seperti yang dianjur dan ditunjukkan sendiri oleh Nabi Muhammad menjadi inspirasi kepada pelapis baginda. Di zaman Saidina Umar, empayar Islam telah semakin meluas menjangkaui Semenanjung Tanah Arab. Antara yang berjaya dibuka oleh Saidina Umar ialah Jerusalem, yang ketika itu lebih dikenali sebagai Aeliya’. The Old City of Jerusalem adalah merupakan pusat pemerintahan kerajaan Rom Timur ketika itu. Di situlah letaknya tapak al-Masjid al-Aqsa, dan situ jugalah terletaknya gereja suci Holy Sepulchre. Holy Sepulchere adalah merupakan gereja paling suci di dalam agama Kristian. Di situlah mereka percaya terletaknya ‘kubur’ Jesus, dan di situ jugalah mereka percaya yang Jesus akan dibangkitkan kelak.
Semasa Umar membebaskan The Old City of Jerusalem, Holy Sepulchre turut menjadi istana pemerintahan kerajaan Kristian ketika itu. Yang menjadi pemerintah ketika pembebasan Jerusalem ialah Patriarch Sophronious.
Kita mengetahui dalam beberapa akaun sejarah yang Patriarch Sophronious, sama seperti Muslim, cuba untuk mengelakkan berlakunya pertumpahan darah di dalam Jerusalem. Menghidu awal kekalahan Rom Timur, Patriach Sophronious mengibarkan bendera putih menyerah kalah, akan tetapi dengan syarat bahawa beliau hanya menyerahkan kunci kota lama itu kepada Saidina Umar. Ada laporan sejarah menyatakan bahawa pembebasan Jerusalem di tangan Saidina Umar memang telah diramalkan dan termasuk di dalam prophecy Kristian ketika itu.
Penyerahan Jerusalem kepada Muslim dilakukan dalam suasana penuh persaudaraan. Umar dipelawa untuk bersembahyang Asar di dalam Holy Sepulchre. Akan tetapi beliau menolak, kerana khuatir akan ada kelompok Muslim akan datang yang zalim akan merampas gereja suci tersebut, kerana kononnya Umar pernah solat Asar di situ. Lalu Umar bersembahyang di luar Holy Sepulchre, dan di tapak beliau solat itu sekarang didirikan Masjid Umari yang masih berdiri teguh sekarang. Masjid Umari itu didirikan bersebelahan dengan Holy Sepulchre.
Ini adalah keadilan dan toleransi Islam untuk agama lain. Dalam suasana berperang, kita dilarang merampas rumah ibadat orang lain. Apatah lagi di dalam konteks hubungan baik dengan agama Kristian, Umar sejak dari awal menutup pintu yang memungkinkan kelompok Muslim akan datang yang jahil dengan agama sendiri, daripada bertindak zalim terhadap hak agama lain di dalam negara Islam.
Tidak cukup dengan itu, walaupun lama berperang dengan tentera Muslim, akan tetapi tentera dan penduduk asal Kristian di Jerusalem semasa zaman Rom Timur diberikan jaminan oleh Umar untuk tidak dihalau. Bahkan hak kerakyatan mereka dikekalkan, dan mereka diberikan kebebasan menikmati apa yang mereka lakukan semasa pemerintahan Rom Timur dengan syarat yang adil.

Sepanjang pemerintahan Islam, hubungan Kristian dan Muslim amat rapat di dalam Jerusalem. Mereka turut dilantik menjadi menteri di dalam kabinet ketika itu. Bahkan, percayanya penganut Kristian kepada keadilan Islam terbukti apabila mereka menyerahkan kunci utama Holy Sepulchre untuk dipegang oleh Muslim. Dan tradisi itu diteruskan sehinggalah ke zaman sekarang. Kunci gereja suci itu masih dipegang oleh keluarga Muslim sekarang, diketuai oleh Wajeeh Nusaibah.
Tradisi hubungan baik Kristian-Islam diteruskan sehinggalah ke zaman Khalifah al-Hakim bi Amrillah, salah pemerintah keenam Kerajaan Fatimiyyah. Walaupun dilaporkan yang ibunya adalah seorang penganut Kristian, akan tetapi beliau bersikap zalim terhadap penganut Kristian khususnya di dalam Jerusalem. Antaranya ialah memperkenalkan kod warna pakaian tertentu kepada penganut Kristian, dan kemuncaknya ialah beliau telah memusnahkan Holy Sepulchre sekitar tahun 1009-10 CE (Rujuk kitab Khitat karangan al-Maqrizi).
Kezaliman al-Hakim dijadikan alasan oleh penganut Kristian dari Eropah untuk melancarkan peperangan Salib. Akhirnya Pope Urban II, setelah didesak oleh Alexious I salah seorang pemerintah Rom Timur telah memberikan ucapan/khutbah di Council of Clermont, Perancis kepada penganut Kristian menghalalkan mereka untuk berperang bagi menawan Jerusalem. Tujuannya ialah untuk menyatupadukan penganut Kristian setelah rumah suci mereka dicemari oleh pemerintah Muslim. Perlu dinotakan di sini, baik daripada sumber Kristian atau pun sumber Islam, semua menyatakan yang kebanyakan tentera salib yang menyertai kempen pertama peperangan tersebut terdiri daripada orang susah, terbiar dan tidak berpelajaran.
Sebahagian penganalisa sejarah berpandangan, kempen pertama perang Salib itu diibaratkan seperti orang bodoh yang memerangi orang bodoh. Orang bodoh pertama yang dimaksudkan, ialah tentera salib pada kempen pertama peperangan tersebut. Sementara orang bodoh kedua yang dimaksudkan ialah pemerintahan zalim al-Hakim bi Amrillah. Saya hampir bersetuju dengan pandangan ini. Memang menjadi norma alam, baik dari zaman dahulu sehingga ke zaman sekarang, bahawa ketika bertembungnya dua jenis kebodohan, maka ia akan diiringi dengan peperangan yang menyeksakan.
Bermula daripada episod itulah, lahirnya pejuang-pejuang yang berusaha untuk mengembalikan al-Masjid al-Aqsa ke pangkuan Islam yang adil. Bermula dengan kepemimpinan Imad al-Din Zinki, diteruskan oleh anaknya Nur al-Din Zinki, akhirnya kemenangan membebaskan the Old City of Jerusalem, berjaya dicapai semasa zaman Salahuddin al-Ayyubi.
Orang Kristian tempatan (bukan dari Eropah) yang mengenali dan menyaksikan sendiri keadilan Islam menerusi kepemimpinan Salahuddin al-Ayyubi, telah mengikat perjanjian supaya menyerahkan kunci Holy Sepulchre kepada keluarga Arab Muslim. Selain percaya kepada keadilan Muslim, ia juga bertujuan bagi menjaga status neutral Holy Sepulchre, yang menjadi perebutan antara mazhab dalam Kristian, membabitkan Armenian Orthodox, Greek Orthodox, Franciscans dan banyak lagi.
Legasi itu diteruskan sehinga ke zaman sekarang, oleh dua keluarga besar Muslim tempatan, diketuai oleh Wajeeh Nusaibah dan dibantu oleh Adeeb Joudeh.
