Assalamualaikum.

Alhamdulillah selepas seminggu saya diuji dengan flu symptom, Allah kembalikan semua nikmat kesihatan kepada saya. Tak pernah rasanya sepanjang di UK ini saya kena flu atau demam seteruk ini. Sekarang, yang masih menunggu giliran sembuh daripada flu yang mungkin saya pembawanya di teratak buruk kami, ialah isteri dan anak-anak saya. Isteri dah mula kebah, Hakim sedang berada di peringkat suhu badan yang amat panas dan terbaring sahaja, sementara Raed dan Atif baru nak mula kepanasan. Syukur, Allah tidak menguji kami serentak. Cuma kesal juga kerana terpaksa membatalkan kuliah, usrah, mesyuarat, serta tidak dapat memenuhi jemputan rumah terbuka. Maaf daripada kami.

Doakan kesejahteraan anak-anak saya melawan flu
Doakan kesejahteraan anak-anak saya melawan flu

Bekerja dengan massa di perpustakaan universiti, menyebabkan saya terdedah dengan risiko yang tinggi dengan jangkitan.  Apatah lagi dengan status pandemiknya, musim sejuk kian menjelma,  selain gelombang ke seterusnya virus H1N1  yang mungkin sudah bermutasi dalam bentuk baru, asalkan ada tanda-tanda flu sahaja sudah tentu kita akan rasa bimbang.

Apa yang menariknya, sampai hari ini kami sendiri tidak tahu apakah jenis flu yang sedang kami hadapi. Minta-mintalah yang ‘mukhaffafah‘ sahaja. Memang awal-awal lagi saya tidak mahu menelefon GP/NHS24, kerana sudah tahu apa jawapannya, iaitu paracetamoldrink a lot of water dan have a rest. Akan tetapi apabila flu saya agak teruk, sehingga sukar bernafas, chest pain dan rasa nak pengsan, saya bercakap juga dengan doktor melalui telefon. Seperti yang dijangka, jawapannya sama. Hampa. Bukan sekadar itu, saya juga tidak dibenarkan untuk pergi ke klinik, kecualilah sekiranya saya mengadapi kesukaran bernafas dan chest pain yang lebih kronik.

Di musim sejuk ini, elok juga kalau kita tahu membezakan sakit flu, cold dan alergik. Anda boleh dapatkan penerangan di sini. Selain itu, penyakit yang sinonim dengan musim sejuk juga ialah Seasonal Affective Disorder (SAD) atau winter blues, akan tetapi saya yakin muslim yang sentiasa patuh dengan waktu solat mereka tidak akan terjejas dengan SAD.

Walaupun vaksin H1N1 telah mula sampai di UK sejak bulan September lagi, akan tetapi ianya masih belum melalui ujian rutin kepada penduduk tempatan. Ujian ini mungkin mengambil masa sebulan sebelum kerajaan UK memutuskan untuk menjalankan program vaksinisasi kepada semua penduduk atau sebaliknya. Tidak kurang juga yang memandang pesimis teradap vaksin tersebut. Kalau tidak semua pun, mungkin majoriti kita tahu mengenai teori konspirasi yang virus ini dicipta di makmal untuk memenuhi haloba kapitalis penjual ubat, senjata biologi dan lain-lain. Saya tidak mempunyai ilmu untuk membenar atau mendustakannya, tetapi saya cenderung untuk menerima penjelasan Mohammed Yahia editor Islamonline.net di capaian ini.

Setelah merasai sendiri pengalaman kena flu, saya ingin berkongsi mengenai apa ertinya kita diuji dengan sakit.

A. Apa erti diuji dengan flu.

1.  Manusia tidak lepas daripada ujian. Antara ujiannya ialah dengan mendatangkan sakit. Manusia perlu memahami yang apabila diuji, Allah sebenarnya membuka peluang kepada kita untuk mendapat pahala. Kalau kita sabar dengan ujian sakit, kita akan dapat pahala.

2. Sakit juga boleh menjadi kaffarah atau penghapus dosa kita. Justeru, kesabaran dalam menghadapi penyakit amat dituntut.

3. Terutamanya di waktu ‘kemuncak’ flu ini, badan dan akal kita memang tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya mampu terbaring menahan kesakitan seluruh badan, sesak nafas dan rasa tidak selesa. Ketika inilah sebenarnya, Allah memberikan peluang kepada kita untuk melatih diri kita untuk menghadapi sakaratul maut nanti. Adakah ketika itu kita ingat dan mengharap kepada Allah, atau kita hanya sekadar mengaduh kosong, atau marahkan keluarga atau rakan kerana tiada siapa yang membantu bawa ubat atau menziarah. Sakarat bermaksud mabuk, kerana ketika malaikat ingin mencabut nyawa, memang kita secara teknikalnya mabuk. Akan tetapi sekiranya hati kita sudah terlatih untuk mengingati Allah dan mengharapkan bantuan mutlaq daripadanya semasa sakit kemuncak tersebut, maka insyaAllah terbiasalah anggota badan kita untuk mengulanginya di saat sakaratul maut nanti.

4. Sekiranya badan sakit ketika flu, itu menunjukkan yang fungsi melawan penyakit di dalam badan kita masih elok. Sakit itu tanda sistem sedang berfungsi. Ketika inilah sebagai hamba Allah, kita akan berasa betapa hebatnya Allah mencipta kita, kerana siap dipasang dengan sistem pertahanan diri, ilmu kebal, antivirus dan seumpamanya. Subhanallah. Pelajar perubatan yang belajar mengenai sistem pertahanan diri sepatutnya perlu menjadi mereka yang paling hampir dengan Allah kerana takjub dengan kehebatan sistem ciptaannya.

B. Apa yang perlu dibuat ketika diuji dengan penyakit.

1. Bersegera berusaha mendapatkan rawatan. Tiada satu penyakit pun yang Allah tinggalkan di dunia kepada anak Adam melainkan padanya ada ikhtiar rawatan. Tawakkal kepada Allah adalah antara kayu ukur kualiti Muslim. Tawakkal perlu diiringi dengan usaha. Sekiranya sakit, tetapi tiada usaha untuk mendapatkan rawatan, maka kuranglah tawakkal kita yang sebenarnya, serta terjejaslah kualiti Islam kita. Sepanjang flu, selain demam panas, otot serta sendi juga akan rasa lenguh. Badan cepat rasa menggigil kesejukan. Dada mudah rasa sakit. Kadang-kadang mengalami kesukaran bernafas. Ini ditambah lagi dengan hidung tersumbat akibat selsema dan seumpamanya. Penyebabnya adalah virus flu. Cara terbaik untuk melawan penyakit tersebut ialah dengan makan banyak vitamin C, dan sebaik-baik sumber vitamin C ialah buahan dan sayuran segara. Memang sengaja Allah lambakkan buah limau dan oren semasa musim sejuk, kerana khasiat di dalamnya diperlukan untuk melawan penyakit musim sejuk seperti flu. Selain itu, selain paracetamol untuk mengawal suhu badan, saya juga mencadangkan agar pesakit mengambil ubat mudah larut cold and flu beecham atau jenama lain kerana kandungannya yang meliputi penawar kepada simptom flu yang pelbagai.

2. Bantu untuk mengurangkan penyebaran wabak tersebut. Ini termasuklah kuarantin serta menjaga kebersihan diri. Nabi Muhammad dikatakan sebagai manusia pertama di dunia yang menggagaskan sifat berjangkitnya sesebuah penyakit, serta bagaimana ianya boleh dikawal. Dengan sebab itulah bersabda:

“Jika kamu mendengarnya (taun) di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar lari daripadanya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Nabi juga bersabda dalam sepotong hadith lain:

“Janganlah orang yang sakit bercampur dengan orang yang sihat” (Riwayat Muslim).

C. Beberapa kesilapan besar Muslim ketika diuji dengan sakit.

1. Hanya menyandarkan penyembuhan menerusi ubatan sahaja, tetapi tidak pernah berdoa kepada Allah. Bukankah berdoa itu senjata orang Mukmin?  Bergantung kepada kekuatan diri, kekuatan ubat dan rawatan semata-mata akan menjadikan kita sama sahaja dengan non-Muslim ketika diuji sakit.

2. Bersangka buruk dengan menyalahkan orang lain yang membebabkan kita rasa sakit. Ini juga adalah sikap yang salah, apatah lagi ketika penyakit flu sudah diisytiharkan oleh WHO sebagai pandemik.

3. Meninggalkan ibadah wajib dan sunat. Terutamanya solat fardhu, para ulamak telah menyatakan yang ianya wajib ditunaikan walaupun ketika sakit dengan kaifiat tertentu. Beribadah ketika sakit akan menjadikan kita hampir dengan Tuhan, sekaligus merealisasikan yang Tuhan itu ialah al-Somad (tempat memohon) dan al-Shafi (yang Maha Penyembuh).

Terima kasih kepada rakan-rakan yang mengutus SMS dan email seumpamanya bagi mendoakan kesihatan saya, moga Allah membalas jasa kalian. Tolonglah doakan kesejahteraan isteri dan anak-anak  saya pula. Kasihan tengok anak-anak kena flu, terutamanya yang paling kecil tu…

Advertisement