Old City of Jerusalem, 9 Oktober – Umat Islam diseru untuk mendesak pemimpin negara Arab dan Islam untuk membantu al-Aqsa. Dalam khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi di Masjid Umar al-Khattab di Douha, pemimpin Kesatuan Ulamak Muslimin Sedunia ini menyatakan adalah tidak wajar bagi umat Islam membiarkan sahaja bumi tersebut terus diceroboh dan dijajah, serta melihat sahaja tindakan Zionis tanpa berbuat apa-apa.
Beliau yang juga merupakan Ketua Yayasan Quds Antarabangsa turut menyeru umat Islam supaya berperanan di dalam mempertahankan al-Aqsa yang merupakan simbol suci umat Islam dan negara Palestin, sama ada dengan mengangkat senjata atau sekadar memberikan sumbangan kewangan.
Al-Qaradawi turut mendesak kepada semua umat Islam supaya menghidupkan malam terutamanya malam Jumaat dengan solat qiyam serta mengkhususkan doa bantuan kepada pejuang-pejuang al-Aqsa. Gesaan khusus turut disampaikan beliau kepada media Muslim supaya menyebarkan isu ini kepada seluruh Muslim supaya mereka sedar kewajiban yang perlu dilakukan oleh mereka terhadap al-Aqsa.
Gesaan-gesaan ini dilakukan beberapa hari selepas cubaan menceroboh kawasan Masjid al-Aqsa oleh pelampau Yahudi. Ianya telah mencetuskan ketegangan di Jerusalem, apabila berpuluh-puluh umat Islam cedera akibat tindakan melampau polis Zionis sementara ribuan yang lain telah dihalang daripada memasuki Masjid al-Aqsa.
Ketegangan semakin meningkat semalam apabila ribuan penduduk tempatan dilarang memasuki al-Aqsa bagi menunaikan solat Jumaat. Tentera dan polis Zionis telah melepaskan tembakan dan gas pemedih mata bagi menghalang kemaraan rakyat Palestin yang berdemonstrasi membantah sekatan tersebut. Di Ras al-Amud, Wadi Joz dan kem pelarian Sha’fit, umat Islam terpaksa berhadapan dengan kumpulan tentera Zionis yang menyekat laluan mereka ke Old City of Jerusalem. Berpuluh orang dilaporkan cedera, sementara lebih seratus lagi ditahan.
Demonstrasi bantahan turut dilaporkan berlaku di seluruh kawasan Palestin di Tebing Barat dan di Gaza. Ianya dilakukan sebagai menyahut seruan menjadikan hari Jumaat sebagai hari mempertahankan al-Aqsa.
Penduduk beragama Kristian turut menyertai bantahan ini. Di Gereja Holy of Sepulchre, pemimpin Kristian menyeru supaya penganut agama mereka menunjukkan solidariti kepada perjuangan umat Islam Palestin. Mereka menyeru kepada semua pengunjung gereja utama Kristian tersebut supaya mendoakan keamanan di al-Aqsa – AbidFana