Vaksin H1N1 (Swine Flu/Selsema Babi): Halal atau Haram?

swine1Sejak bulan lepas, program vaksin virus H1N1 telah dimulakan di kebanyakan tempat di seluruh dunia. Di United Kingdom, progam vaksin tersebut telah dimulakan sejak 21 Oktober 2009 dengan keutamaan diberikan kepada pekerja-pekerja barisan hadapan hospital seperti doktor, jururawat, pemandu ambulans, paramedik dan lain-lain. Selain itu, kumpulan berisiko tinggi seperti perempuan yang sedang mengandung juga telah dihubungi oleh GP tertentu untuk ditawarkan dengan program tersebut. Tidak ditinggalkan, pelajar perubatan.

Di UK, dua syarikat farmasi telah mendapat kontrak untuk membekalkan vaksin tersebut, iaitu Glaxo Smith Kline (GSK) dan Baxter. Panduan NHS menyatakan yang vaksin ini selamat setelah diuji kepada ribuan sukarelawan termasuklah warga emas dan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, oleh kerana sifat virus ini yang boleh bermutasi, mereka sentiasa memantau perkembangannya.

Ada beberapa isu di sebalik vaksin H1N1 ini yang perlu diberikan perhatian oleh Muslim. Saya sebenarnya lebih mengharapkan ribuan doktor Muslim di UK dan Ireland untuk membangkitkan isu ini. Anggaplah pandangan ringkas saya ini sebagai garis panduan permulaan sahaja yang mungkin silap, dan diperbetulkan oleh mereka yang bekerja di dalam industri kesihatan.

swine2Daripada maklumat yang diberikan oleh isteri saya, vaksin yang dibuat oleh GSK (Pandemrix) disediakan menerusi medium telur ayam, sama seperti vaksin flu yang lain. Sementara vaksin yang dihasilkan oleh Baxter pula (Celvapan) dihasilkan daripada virus yang dikembangkan di dalam kultur tisu membabitkan babi (porcine) di dalam prosesnya. Cuma dikatakan yang kita tidak akan menemui kesan babi di dalam produk akhirnya.

Justeru, adalah menjadi keutamaan Muslim bagi mengutamakan ubat-ubatan yang halal. Sekiranya ditawarkan dengan program vaksin ini, maka mintalah produk GSK yang dikenali dengan Pandemrix. Ini sejajar dengan sabda Nabi Muhammad SAW:

إن الله أنزل الداء والدواء، وجعل لكل داء دواء، فتداووا ولا تداووا بحرام

Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat, dan menjadikan setiap penyakit dengan ubat, maka berubatlah, dan janganlah berubat dengan yang haram. (Riwayat Abu Daud)

Dan juga athar Abu Hurairah:

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن الدواء الخبيث

Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang mengambil ubat yang keji/haram. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud dan al-Tirmizi)

Kes yang sama turut perlu diberikan perhatian kepada program vaksin MMR bayi. Terutamanya kepada ibu bapa muda, atau yang baru datang ke UK, anda perlu memaklumkan kepada health visitor yang anda adalah Muslim dan perlu minta vaksin MMR yang tidak membabitkan porcine.

Dalam isu vaksin H1N1 tadi, timbul isu sekiranya seseorang itu alergik dengan telur, maka adakah dibenarkan mengambil vaksin Celvapan yang dihasilkan oleh Baxter membabitkan porcine?

Isu ubat-ubatan yang mengandungi babi sebenarnya telah dibincangkan oleh ulamak dan pengamal perubatan pada tahun 2001 lagi. Anda boleh membaca kenyataan bersama World Health Organization dan Islamic Organization for Medical Science di capaian ini.

Secara ringkasnya, walaupun ada kebenaran untuk mengambil ubat-ubatan yang pada proses penghasilannya membabitkan unsur najis seperti porcine tetapi produk akhirnya tiada kesan najis tersebut, akan tetapi sekiranya ada alternatif yang lebih suci, maka Muslim perlu mengutamakannya.

Ada riwayat yang menyatakan Ibn Qayyim melarang terus pengambilan ubat yang mengandungi unsur najis atau perkara yang haram, termasuklah di dalam proses penghasilannya. Ini adalah berdasarkan kepada hadith-hadith di atas yang secara jelas melarangnya.

Dalam masa yang sama, ramai ulamak membenarkannya dalam keadaan terpaksa. Sebagai contohnya, Imam al-Nawawi, seperti yang ditulis oleh beliau di dalam kitab al-Majmu’:

إذا اضطر إلى شرب الدم أو البول أو غيرهما من النجاسات المائعة غير المسكر، جاز شربه بلا خلاف… إلى أن قال: وإنما يجوز التداوي بالنجاسة إذا لم يجد طاهراً يقوم مقامها، فإن وجده حرمت النجاسة بلا خلاف، وعليه يحمل حديث ” إن الله لم يجعل شفاءكم فيما حرم عليكم” فهو حرام عند وجود غيره، وليس حراماً إذا لم يجد غيره

Sekiranya seseorang terpaksa meminum darah atau air kencing atau selainnya daripada najis yang tidak memabukkan, maka ianya dibenarkan tanpa khilaf ……. Sesungguhnya dibenarkan berubat dengan unsur najis sekiranya tiada ubat yang suci sebagai pengantinya. Sekiranya ada ubat suci sebagai pengganti, maka ubat najis tadi menjadi haram tanpa khilaf, dan inilah yang dimaksudkan dalam hadith yang bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan ubat-ubat daripada perkara yang diharamkan ke atas kamu”, iaitu haram sekiranya wujud ubat yang suci. Akan tetapi tidak haram sekiranya tiada pilihan lain.

Ulamak juga berhujjah dengan hadith sohih kebenaran yang diberikan oleh nabi Muhammad kepada Zubair al-Awwam untuk memakai sutera kerana beliau alergi dengan tekstil yang lain, serta kebenaran yang diberikan baginda kepada kabilah ‘Ukl dan ‘Uraynah untuk meminum air kencing unta sebagai ubat. Kedua-dua hadith ini termaktub di dalam sahih Muslim.

Apa yang pasti, tiada kebenaran diberikan untuk ubat-ubatan yang mengandungi unsur yang memabukkan, berdasarkan hadith nabi Muhammad SAW:

ليس بدواء، ولكنه داء

Sesungguhnya (khamar) itu bukannya ubat, akan tetapi penyakit. (Riwayat Muslim)

KESIMPULAN

1. Adalah menjadi keutamaan Muslim untuk mengutamakan ubat yang suci berbanding yang mengandungi najis sekiranya ada pilihan.

2. Sekiranya tiada pilihan atau terpaksa (darurat), maka dibenarkan mengambil ubat yang mengandungi najis. Dalam situasi darurat, menjaga nyawa perlu diberikan keutamaan. Selain itu, ianya juga selari dengan firman Allah SWT di dalam surah al-An’am ayat 119:

وَقَدْ فَصَّلَ لَكُمْ مَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلَّا مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ

Dan telah dijelaskan kepada kamu apa yang diharamkan ke atas kamu melainkan apa-apa yang terpaksa kamu mengambilnya.

Allahua’lam bissawab.

Advertisements

13 thoughts on “Vaksin H1N1 (Swine Flu/Selsema Babi): Halal atau Haram?

  1. JazakAllah Khair Ustaz…. terima kasih for the detail explanations… Semoga Allah membalas yang terbaik buat Ustaz dan keluarga ustaz, AMIN

  2. salam ustaz,trima kasih atas info di ats..cuma saya ada satu soalan..berkenaan air kencing unta yg dicampur dgn susu,adakh hnya dibnarkan apbla darurat shj? krn sya prnah menonton film jejak rasul yg memaparkan krew2 jejak rasul dipelawa meminum minuman tsebut yg seakan2 sudah mnjadi minuman ruji msyrkat arab disitu,salah seorg arab itu mndakwa ia adlh sunnah nabi S.A.W..mohon penjelasan,tQ

    1. Dalam sepotong hadith sahih riwayat Muslim, memang benar Nabi pernah memberikan tips perubatan kepada kaum Uraynah yang baru memeluk Islam di Madinah dengan meminta mereka tinggal di pinggir Madinah dan minum air kencing unta. Semasa di madinah, kaum Uraynah tersebut sakit perut. Selepas mereka ikut tips Nabi, mereka sembuh. Akan tetapi ianya tidaklah termasuk di dalam sunnah yang dituntut. Sesiapa yang ingin buat, dipersilakan. Berdasarkan bacaan, memang air kencing unta ni banyak khasiatnya untuk melebatkan rambut, sakit hati, perut, etc. Bahkan Ibn Sina turut menyentuh kelebihan air kencing unta di dalam al-Qanun-nya.

      Allahua’lam.

  3. assalamualaikum ustaz,

    ana nak minta izin copy posting ni untuk information umum di cork ni sebab dah makin ramai ambik vaccine .. boleh ke ustaz?

  4. askum ustaz…

    daripada keterangan ustaz diatas. maka kesimpulannya adakah vaksin h1n1 yang dibekalkan oleh kerajaan malaysia adalah halal? sekian, wassalam

    1. w’salam. saya hanya maklum yang vaksin h1n1 di malaysia dibekalkan oleh syarikat dari UK, tapi tak tahu syarikat yang mana satu. biasanya KKM aware dengan status halal/haram ubat ni. boleh tanya pihak farmasi, atau tengok di botol vaksin itu syarikat mana yang bekalkan.

  5. terima kasih untuk keterangan ini ustaz.saya baru mengam,bil vaksin ini dari kementerian kesihatn.tp tidak maklum mengenai vaksin ini secara keseluruhannya.cuma dimaklumkan ia daripada telur.tidak pula saya tengok botolnya.apa pandangan ustaz?

  6. saya amat tertarik dengan entry, saya nak panjangkaan info ustaz ni ke dalam blog saya..boleh ke? saya amat tertarik dan mencari info tentang vaksin ni kerana sekolah saya akan menganjurkan satu program untuk pengambilan vaksin ni secara beramai-ramai hari jumaat ni, agaknya apa pandangan ustaz..takut pun ada..

    1. Dipersilakan. Rujuk link hak cipta terpelihara seperti di atas.

      Sekiranya halal dan utk kebaikan staf/murid sekolah, insyaallah ada barakahnya 🙂

Terima kasih atas komen dan pandangan balas anda

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s