Dalam tempoh dua tiga tahun ini, saya dan isteri teringin sangat untuk pergi melawat ke negara Turki. Rasa cemburu juga melihat gambar kawan-kawan yang berbulan madu atau melancong ke situ. Negara tersebut amat istimewa, kerana pernah menjadi pusat pemerintahan Islam Uthmaniyyah dan sebelumnya pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Byznatine.
Apabila menyebut Istanbul di Turki, maka biasanya orang akan mengenang jasa Sultan Muhammad al-Fateh yang membuka kota tersebut daripada pemerintahan Byzantine. Sultan Muhammad al-Fateh memang benar seorang pemerintah yang berwibawa dan berjaya memimpin ketumbukan tentera yang soleh untuk membuka Constantinople. Akan tetapi bukan beliau yang memulakan itu.
Yang memulakannya ialah Rasulullah SAW. Dilaporkan selepas selesai menggali parit di dalam perang Khandaq, Rasulullah bersabda seperti yang diriwayatkan di dalam Musnad Imam Ahmad:
لتفتحن القسطنطينية فلنعم الأمير أميرها ولنعم الجيش ذلك الجيش
Kamu akan membuka kota Constantinople, (di tangan) sebaik-baik pemerintah itulah pemerintah pada waktu tersebut, dan juga sebaik-baik tentera ialah tentera pada waktu tersebut (yang membebaskan Constantinople).
Sahabat nabi yang sudah tentu kenaifan tercengang apabila mendengar sabda nabi Muhammad tersebut. Bagaimana mungkin tentera Islam dari kawasan kering kontang tanpa tamadun di Semenanjung Tanah Arab, mampu untuk menawan kuasa besar dunia ketika itu iaitu kerajaan Byzantine? Sungguh besar visi atau janji yang dilancarkan oleh nabi Muhammad SAW.
Lalu ramailah pewaris nabi yang cuba untuk melaksanakan visi atau menagih janji tadi. Antaranya ialah Abu Ayyub al-Ansari yang cuba membebaskannya semasa pemerintahan Bani Umayyah. Beliau merupakan seorang sahabat yang amat mencintai nabi dan tegar berjihad. Menurut riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud, ketika Abu Ayyub memimpin tentera Muslimin mengepung Kota Constantinople yang gagah perkasa, mereka berhadapan dengan kesukaran untuk menembusi kubu kota tersebut. Lalu seorang tentera Muslimin telah meminta supaya dirinya dicampak ke dalam kubu tersebut untuk mengucar-kacirkan tentera musuh. Atau dengan erti kata lain dalam bahasa moden sekarang ini, ialah seakan-akan serangan berani mati.
Tindakan beliau telah disahut oleh tentera yang lain dengan menyatakan adakah beliau ingin mencampakkan dirinya ke dalam kebinasanaan? Mereka menukilkan firman Allah daripada ayat 195 Surah al-Baqarah:
…ولا تلقوا بأيديكم إلى التهلكة…
…Dan janganlan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan…
Mendengar jawapan tentera-tentera Muslimin ketika itu, Abu Ayyub al-Ansari berasa sedikit marah dan terkilan. Beliau berkata:
لا هذه نزلت فينا معشر الأنصار، حينما نصر الله الإسلام وأظهر دينه، قلنا نعود إلى أموالنا فنستثمرها ونصلحها، فأنزل الله هذه الآية يقول: (وأنفقوا في سبيل الله ولا تلقوا بأيديكم إلى التهلكة وأحسنوا..)، فالإلقاء باليد قال إنكم تتركوا الجهاد وتتفرغوا لأموالكم
Tidak, ayat ini sebenarnya diturunkan kepada kami kaum Ansar, ketika Allah telah memenangkan Islam dan menzahirkan Din-Nya, lalu kami berkata yang kami akan kembali kepada harta-benda kami, akan memperbanyak dan meningkatkannya. Lalu Allah turunkan ayat 195 Surah Al-Baqarah yang bermaksud, “Dan berinfaqlah kamu ke jalan Allah, dan jangan campakkan diri kamu ke dalam kebinasanaan, dan berbuat baiklah…”. Yang dimaksudkan dengan mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan ialah kamu meninggalkan jihad, dan mengutamakan kerja mengumpul harga kamu.
Inilah dia mutiara kata Abu Ayyub al-Ansari. Beliau menegur kesilapan tentera Islam dalam memahami nas al-Quran. Kata-kata beliau merupakan satu endorsement kepada tentera beliau yang ingin melakukan ‘serangan berani mati’ tersebut. Mereka sepakat membenarkannya, kerana masing-masing telah mencium bau syurga. Mengapa perlu dihalang orang yang ingin segera masyuk syurga setelah dapat mencium baunya? Itu bukan kebinasaan. Itu satu kemewahan, mutlak milik orang Islam.
Sebaliknya kebinasaan itu, ialah ketika meninggalkan jihad untuk mengumpul harta.
Abu Ayyub al-Ansari turut mencium bau syurga sebelum serangan tersebut. Beliau telah berpesan supaya jangan dikembalikan jasadnya sekiranya beliau gugur di medan, akan tetapi kuburkan sahaja jasad beliau di pinggiran Constantinople. Beliau ingin mendengar derupan tapak kaki pemerintah yang baik, bersama tentera yang baik, yang bakal membebaskan Constantinople. Akhirnya, beliau juga turut syahid di dalam pertempuran tersebut. Jasad beliau dikebumikan di sebuah kawasan dipanggil Eyüp, berhampiran Istanbul.
Syahid beliau menjadi penganjak semangat kepada generasi kemudian. Setelah 800 tahun nabi Muhammad melancarkan visi membebaskan Istanbul, akhirnya kota tersebut berjaya dibebaskan oleh Sultan Muhammad al-Fateh. Yang menanam benih, ialah nabi Muhammad, yang memugarkannya ialah Abu Ayyub al-Ansari serta pejuang yang lain, yang memetik buahnya ialah Sultan Muhammad al-Fateh.
Semua mereka ini punya satu kesamaan, iaitulah mengelak diri daripada kebinasaan. Binasa mengumpul harta dan meninggalkan jihad, ditinggalkan oleh mereka, lantas melayakkan mereka mengecap nikmat kesenangan di sisi Tuhan.