27 September 2009, Haram al-Quds – Sedang umat Islam di seluruh dunia sedang bergembira menyambut hari raya, kesucian al-Masjid al-Aqsa cuba dicemari lagi oleh pelampau Zionist. Ahad lalu, berpuluh-puluh umat Islam yang sedang berada di dalam pagar al-Aqsa cedera ketika cuba menghalang pencerobohan sekumpulan pelampau Yahudi ke dalam al-Aqsa melalui Pintu al-Majlis di Pagar Barat al-Aqsa. Kumpulan pelampau itu, yang pada awalnya menyamar sebagai pelancong, telah dilindungi oleh 70 orang polis negara haram Israel. Apabila berjaya masuk ke dalam pagar al-Aqsa, mereka telah melaungkan mentera seruan dirobohkan al-Aqsa, sebelum dihalau keluar oleh sekumpulan Muslim yang berada di situ.

Ketika pelampau Zionist itu berundur, tiba-tiba polis Israel telah melepaskan tembakan membuta-tuli serta melemparkan gas pemedih mata. Seorang warga tua berusia 70 tahun dilaporkan cedera parah di mata akibat ditembak dengan peluru getah, sementara seorang pemuda berumur 22 tahun turut dilaporkan cedera parah.

Cubaan pencerobohan itu adalah sebagai ritual mereka menyambut salah satu upacara suci di dalam agama Yahudi. Ianya serentak dengan sambutan hari Youm Kippor, dan selang sehari ulang tahun ke-9 Ariel Sharon menceroboh masuk ke dalam al-Aqsa pada tahun 2000 yang telah mencetuskan intifadhah buat kesekian kalinya.

Syeikh Ikrimah Sabri berkata tanggungjawab membela al-Aqsa adalah tanggungjawab semua Muslim
Syeikh Ikrimah Sabri berkata tanggungjawab membela al-Aqsa adalah tanggungjawab semua Muslim

Sejurus selepas kejadian itu, Dr Syeikh Ikrimah Sabri, Imam dan Mufti al-Aqsa telah menyeru kepada semua penduduk tempatan untuk datang beramai-ramai mengawal sempadan pagar al-Aqsa. Beliau, yang telah dihalang bersama dengan beberapa orang pemimpin kanan gerakan Islam Palestin daripada memasuki al-Aqsa, turut menyeru umat Islam yang berada di dalam masjid suci ketiga umat Islam itu supaya kekal di dalam kawasan masjid. Agensi berita melaporkan beberapa orang tempatan yang cuba masuk bagi mengawal al-Aqsa di dalam kawasan sempadan hijau telah ditahan oleh tentera haram Zionist.

Mengulas kejadian itu, Dr Mahmoud Ezzat pemimpin kanan gerakan Ikhwan Muslimun di Mesir telah mengutuk tindakan zalim pihak berkuasa Israel, dan menyeru kepada semua muslim di seluruh dunia untuk menyatakan bantahan terhadap serangan tersebut.

Antara beberapa perkara yang boleh kita lakuikan bagi menyatakan solidariti kita dengan pembela al-Aqsa, ialah sama-sama kita tunaikan puasa sunat hajat pada esok hari (Khamis 1 Oktober), serta bermunajat memohon kepada Allah supaya kesucian al-Aqsa terus terpelihara, serta dikembalikan semua keadilan di bumi barakah tersebut. Selain itu, jangan lupa untuk meneruskan boikot kita dengan produk yang membantu zionism, serta menyalurkan bantuan kepada penduduk Palestin menerusi pertubuhan kebajikan yang berkredibiliti – AbidFana

sumber: sini dan sini

Advertisement