Ada satu genre penulisan yang belum pernah saya cuba, iaitu kritik filem (movie review), tetapi entah kenapa hari ini membuak-buak hati saya untuk menukilkan perkongsian ini. Saya perlu memberikan kredit kepada Tuan Zabidi Mohamed kerana telah menginspirasikan kritik filem saya ini, berdasarkan perkongsian di dalam FB beliau.
Rudy Habibie, itulah nama filem yang saya tonton hari ini. Boleh sahaja saya menangguhkan kritik saya ini pada masa lain, sehingga filem itu boleh ditonton berulang secara percuma di alam maya. Tetapi, saya membuat keputusan untuk terus menulis, berdasarkan kepada tontonan pertama kali saya terhadap filem Indonesia ini.
Filem Rudy Habibie, terbitan Manoj Punjabi dan hasil karya inspirasi Bapak Habibie adalah merupakan sekuel kedua filem Habibie & Ainun. Di awal montaj, dipaparkan nama lain bagi filem ini, iaitu Habibie & Ainun 2. Bagi yang tidak pernah menonton Habibie & Ainun, filem Rudy Habibie ini masih boleh difahami dengan baik, kerana kurang ada koneksi dengan siri pertama. Filem ini lebih menceritakan kehidupan awal Bapak Habibie, sementara watak Ainun hanya dipaparkan beberapa detik sahaja.
Saya ingin memberikan amaran, kritik saya ini mungkin boleh dianggap sebagai ‘movie spoiler’ kepada sebahagian pembaca. Justeru, sekiranya tidak berminat, hentikan bacaan anda sekarang, tonton dahulu filem ini, kemudian baca semula kritik saya.
Tuan Zabidi Mohamed amat beruntung kerana beliau menonton filem tersebut bersama dengan enam orang yang lain. Tetapi saya lebih beruntung lagi, kerana hanya SAYA SEORANG sahaja yang menonton filem ini di Berjaya Megamall Kuantan.
Sekali lagi diperingatkan, penulisan saya ini hanyalah semata-mata berdasarkan ingatan memori saya sahaja. Justeru, mungkin ada fakta yang tersilap.
Filem ini bermula dengan babak pesawat tempur Jepun yang melakukan serangan di kawasan perkampungan Rudy Habibie. Rudy bersama adiknya Fanny, dibesarkan di dalam keluarga campuran Jawa dan Bugis, suatu praktis yang pada zamannya (1920-an) menyebabkan mereka disisihkan daripada keluarga besar kerana semangat provinsi dan suku yang tebal. Serangan pesawat Jepun telah menghancurkan kampung Rudy. Rudy ketika itu sedang bermain-main bersama Fanny dan rakan-rakan kampung mereka. Ibunya bersama-sama dengan adik-beradik yang lain (2 orang perempuan) melarikan diri terlebih dahulu. Rudy dan Fanny sepatutnya menyelamatkan diri, tetapi kembali ke rumah walaupun dilarang oleh ibunya, semata-mata kerana ingin menyelamatkan buku asas kejuruteraan aeronautik, selain permainan pesawat mini MECCANO kesayangannya.
DIDIK ANAK DENGAN MAINAN BERMANFAAT
Hasil serangan pesawat tempur Jepun tersebut, Rudy yang masih kanak-kanak kelihatan sedikit membenci teknologi kapal terbang, kerana digunakan untuk membunuh manusia. Tetapi bapanya yang banyak memainkan peranan penting di dalam kehidupan Rudy, berjaya menimbulkan bahkan menggalakkan kembali minat beliau di dalam bidang tersebut.

Bapanya berkata, negara Indonesia adalah negara kepulauan. Justeru, perlu ada industri pesawat yang bagus bagi menghubungkan satu pulau dengan pulau yang lain. Di sinilah minat Rudy terhadap kejuruteraan aeronotik semakin menebal. Beliau bertekad untuk membina pesawat untuk ibu dan bapanya.
Dikenali oleh kawan-kawan sekampung sebagai budak cerdik nombor 1 di dalam kelas, semua kata-katanya dituruti oleh rakan sebaya. Ketika beliau diajar mengenai belon yang boleh terapung dan terbang, kawan-kawannya telah mencari belon di sekitar kawasan kampung. Akhirnya salah seorang mereka, terjumpa satu objek seperti belon, di kawasan pelacuran. Diserahkan kepada Rudy di rumah, beliau terus meniup belon tersebut, tetapi sedikit pelik kerana bentuknya tidak serupa belon. Apabila ditanya kepada ibu dan bapanya, terus merah air muka mereka kerana malu. Ini kerana objek tersebut bukanlah belon, tetapi KONDOM. Bagi saya, sekiranya ingin ditanya babak yang perlu dikawal tontonannya daripada anak-anak kecil kita, mungkin inilah bahagiannya, selain daripada romantika Rudy dengan seorang wanita di pertengahan filem nanti.
MENGIMBAU ADAT DAN BUDAYA LAMA
Ayah Rudy berbangsa Bugis, sementara ibunya pula adalah Jawa. Walaupun disisih oleh keluarga induk kerana berkahwin campur, serangan Jepun telah menyatukan semua mereka dengan keluarga besar. Rudy diberikan didikan agama dan budaya bangsa sendiri. Beliau diajar dengan al-Quran, solat, selain dipakaikan busana tradisional orang tempatan.
Filem ini juga memaparan satu babak yang menarik, iaitu Rudy dikhatankan secara tradisional. Rudy dibawa berarak dalam majlis berkatan, didudukkan di atas batang pisang. Bapanya di sebelah, memujuk kononnya tidak sakit. Tok mudin yang berwajah garang, mula-mula menyepit hujung si anu dengan sepit tradisional. Kemudian dikeluarkan pisau yang kelihatan sedikit ‘rastik’, lalu dikhatankan Rudy, sebagai simbolik kepada kematangan beliau.
KEPEMIMPINAN TERSERLAH MELALUI SOLAT BERJAMAAH
Antara babak yang betul-betul meruntun hati saya semasa bersendirian di pawagam, ialah di saat solat berjemaah terakhir bapa Rudy dengan keluarganya. Abang Rudy diminta untuk iqamah. Rudy duduk di belakang bapanya, bersama ibu dan adik-beradik yang lain. Sebelum solat, bapanya merenung wajah setiap orang ahli keluarganya. Pandangan yang penuh dengan doa dan harapan. Seolah-oleh dapat merasakan solat itu merupakan solat berjemaah beliau terakhir bersama keluarga, satu amalan yang menjadi tradisi keluarganya.
Semasa sujud yang terakhir, bapanya tidak bangkit-bangkit. Ditegur subhanallah beberapa kali. Rudy bangkit sedikit melihat bapanya yang sudah jatuh. Air mata menitik, tetapi beliau tabah. Rudi mengesot ke depan, kembali sujud di sejadah bapanya di saat roh bapanya telah dicabut oleh Izrail, lalu bertakbir untuk duduk tahiyyat. Disempurnakan solat walaupun masing-masing sudah menangis melihat tubuh bapa mereka terbujur kaku. Sesudah salam, masing-masing menangis dan memeluk ketua keluarga mereka yang sudah pergi itu.
Benarlah, kepempinan seseorang itu boleh dididik melalui solat. Kehebatan jiwa seseorang juga boleh diukur menerusi pengurusan dirinya terhadap solat. Hebat jiwa Rudy dipaparkan dalam babak ini.
RUDY – PELAJAR PASSPORT HIJAU YANG KUAT AGAMA; BERSAHABAT DENGAN NEJMETTIN ERBAKAN
Rudy mendapat asas pendidikan di sebuah Universiti di Jogjakarta. Kemudian beliau menyambung pengajian di RWTH Aachen University, Jerman, di dalam bidang kejuruteraan kapal terbang. Beliau ditampilkan sebagai seorang pelajar yang amat pintar, melompat kelas beberapa kali.
Kedatangan beliau ke Jerman adalah di atas biaya sendiri. Pemerintah Indonesia pada waktu itu mengeluarkan passport berwarna hijau ke atas pelajar yang biaya sendiri. Sementara pelajar yang mendapat biasiswa kerajaan, diberikan passport biru. Pemegang passport biru ini mempunyai kelas kedudukan yang tersendiri dalam kalangan masyarakat Indonesia di Eropah. Ini termasuklah 3 orang watak antagonis dalam filem ini yang merupakan bekas tentera Indonesia, lalu ditawarkan biasiswa untuk belajar di Jerman.
Rudy seorang mahasiswa yang kuat beragama. Beliau solat di bawah tangga di universiti. Dalam filem ini, Rudy dipaparkan menerangkan kepada rakan-rakan non-Muslimnya mengenai solat. Beliau dibantu oleh rakannya Necmettin Erbakan (PM Turki 1996-1997) untuk menyampaikan mesej Islam kepada rakan-rakan. Beliau juga membawa al-Quran walaupun duduk di rumah keluarga angkatnya, yang terletak agak jauh dari kampus.
RUDY PELAJAR MISKIN; BELAJAR DI NEGARA MAJORITI KRISTIAN YANG BAIK; GEREJA DAN QIBLAT
Pada awal kedatangan Rudy ke Jerman, beliau disambut oleh seorang Pastor tempatan. Tanggungjawab pastor tempatan pada waktu itu, ialah mencari kediaman pelajar di rumah keluarga angkat. Dipaparkan bahawa rakyat Jerman merupakan rakyat yang meraikan talen dan bakat rakyatnya, walaupun hanya sekadar menjual hotdog (yang secara tidak diketahui, dimakan oleh Rudy) dan penyanyi jalanan. Pastor mengharapkan agar bakat Rudy akan dimanfaatkan oleh warga Jerman.
Walaupun sukar mencari pada awalnya, akhirnya Rudy bertemu dengan keluarga angkat yang sudi menerimanya. Itu pun sesudah Rudy membantu untuk membaiki pemanas rumah keluarga berkenaan. Akan tetapi, rumah keluarga angkatnya jauh, sejam setengah perjalanan ke kampus.
Kadang-kadang, Rudy keputusan wang. Beliau berlapar hingga mengikat perut. Dalam satu babak, setelah menelefon ibunya di kampung, Rudi berasa amat sedih kerana tiada wang untuk membeli makanan. Rudi mencari masjid untuk bertawajjuh kepada Tuhan, tetapi tiada di kawasannya. Lalu Rudi memasuki gereja, dalam keadaan memohon maaf kepada Allah, kerana beliau ingin berdoa di tempat ibadah yang selesa. Beliau duduk di atas bangku gereja, tetapi dipesongkan badannya sedikit ke arah kiri gereja. Saya merasakan beliau ingin mengadap ke arah qiblat. Tetapi sebenarnya, dari negara Jerman, arah qiblat adalah ke arah kanan orientasi gereja, kerana kedudukan Qiblat yang letaknya di arah Tenggara dari benua Eropah.
Dalam menahan kelaparan, Rudy amat beruntung kerana bersahabat dengan teman-teman yang baik. Ini termasuklah seorang Indonesia berbangsa Cina bernama Lim Keng Kie yang banyak menolong Rudy sepanjang filem ini. Bagus penampilan Cina Indonesia di dalam filem ini, sebagai simbolik kepada kepentingan perpaduan dalam masyarakat berbilang bangsa.
RUDY DAN CINTA WANITA
Di dalam filem ini, terdapat empat orang wanita yang dianggap heroin utama. Pertama, sudah tentulah ibunya. Ibunya seorang wanita Jawa yang tabah dan lembut hati. Ketika Rudy diuji sakit, ibunya sanggup datang jauh untuk memberikan semangat agar beliau pulih kembali. Ibunya juga banyak memberikan nasihat sama ada dalam perihal memilih cinta, semangat kebangsaan dan juga kepemimpinan.
Kedua, ialah Ayu, seorang puteri Sultan Solo. Beliau cantik dan ayu, lahir dalam keluarga berada. Bahkan beliau mempunyai pembantu peribadi sepanjang pengajian di Aachen. Dalam filem ini, Ayu cuba untuk menambat hati Rudy. Tetapi Rudy hanya sekadar berkawan sahaja dengan Ayu. Ada seorang watak lucu dalam filem ini, Poltak, cuba untuk menawan hati Ayu.
Ketiga, ialah Illona. Seorang gadis cantik dari Poland, pelajar perubatan di universiti yang sama. Rudy mempunyai satu kaedah tersendiri apabila disindir oleh orang tempatan mengenai status negaranya, dan mengapa beliau amat fasih berbahasa Jerman. Rudy akan menjawab, kerana keluarganya adalah kanibal yang suka makan orang Jerman, lalu anak-anaknya semua fasih bertutur Jerman. Ada satu ketika, dalam satu majlis tarian, ketika Rudy diaju soalan yang sama, tiba-tiba lllona mencelah, mengapa pula kamu tidak boleh bertutur dalam bahasa Polish. Rudy tercengang. Maka jawab Illony dalam keadaan bergurau, kerana bapa kamu, walaupun kanibal dan telah makan seorang bapa saudaranya berbangsa Polish, tetapi bapa saudaranya itu bisu dan pekak. Maka dengan sebab itu, Rudy tidak boleh berbahasa Polish kerana bapanya makan warga Poland yang bisu dan pekak. Hasil gurauan manja itu, maka terjalinlah hubungan intim antara Rudy dan Illona. Illona amat memahami budaya orang Indonesia. Maka beliau dalam banyak keadaan, menjadi penyokong kuat kepada perjuangan Rudy. Sehinggalah akhirnya mereka berdua berada dalam dilema, antara cinta negara dengan cinta pasangan…
Keempat, ialah Ainun Besari. Watak Ainun hanya dipaparkan beberapa detik sahaja dalam filem ini. Antaranya ialah di saat Ainun menziarahi ibu Rudy di Bandong, sehingga ibu Rudy amat berkenan untuk mengahwinkan Rudy dengan Ainun.
KEPEMIPINAN RUDY MELALUI AKTIVITI MAHASISWA
Antara plot utama dalam filem ini ialah usaha Rudy untuk menubuhkan Pertubuhan Pelajar Indonesia (PPI) di Aachen dan seluruh Eropah. Walau pun pada awalnya, Rudy hanya mementingkan pelajaran ketika rakan-rakan Indonesia yang lain sibuk berpersatuan. Bukan disengajakan, tetapi kerana beliau komited dengan tugasan akademik menyiapkan model pesawat. Beliau mengutamakan penyelesaian masalah untuk menghasilkan model pesawat yang selamat, sebelum terlibat menyelesaikan masalah untuk menubuhkan PPI.
Setelah tugasan akademiknya diselesaikan dengan baik, barulah Rudy terlibat di dalam penubuhan PPI. Bahkan beliau menjadi presiden yang pertama.
Filem ini banyak memaparkan konflik yang dialami Rudy dalam menggerakkan aktiviti mahasiswanya, seperti dilema antara program sosial hiburan dengan kempen mendapatkan fasiliti masjid di kampus, kempen membangunkan negara Indonesia dan lain-lain. Tetapi beliau berhadapan dengan pelbagai tentangan, khasnya daripada alumni tentera pemegang passport biru yang mendapat biasiswa kerajaan Indonesia untuk belajar di Jerman. Rudy dibuli, bahkan dipukul. Sehinggakan usahanya untuk menjayakan Seminar Pembangunan PPI ditentang, termasuklah oleh penyokong kuat pemerintah yang menggelar kumpulan mereka sebagai Front Nasional (diterjemah dalam sub-title sebagai Barisan Nasional). Ayu sendiri, setelah cemburu melihat cinta Rudy dengan Illona, menentang usaha PPI tersebut.
Walaupun tidak dapat sokongan pemerintah, Rudy bekerja keras untuk mendapatkan dana luar bagi menjayakan seminar yang bakal mencorakkan masa depan Indonesia. Akhirnya beliau berjaya, bahkan Duta Besar Indonesia ke Jerman menyokong usaha beliau. Rudy jatuh sakit, dan berhadapan dengan pelbagai lagi rintangan. Sehinggakan diancam untuk digugurkan kerakyatan. Adakah perancangan beliau berjaya? Saksikanlah kemuncak filem ini.
RUDY YANG GENIUS; PERFECTIONIST YANG SUKAR MENERIMA KEKURANGAN
Lakonan Rudy amat berkesan pada mata saya sebagai penonton. Beliau dipaparkan sebagai seorang yang genius. Berdasarkan memek muka pelakon, Rudy digambarkan sebagai seorang yang beremosi.
Rudy pernah dibuli untuk menghafal menu makanan yang ditempah oleh seniornya. Rudy berjaya, dan dihormati oleh rakan-rakan sekampus. Rudy juga pernah membantu profesornya menyelesaikan masalah kapal selam Jerman yang tidak boleh tenggelam melebihi paras 300 meter. Dengan hanya inspirasi bentuk sosej yang direbus, Rudy berjaya menghasilkan design kapal selam yang tahan tekanan.
Tetapi Rudy bukanlah manusia sempurna. Ketidaksempurnaan beliau, dipaparkan menerusi sikap perfectionist beliau. Pernah sekali beliau amat kecewa bahkan mahu pulang ke kampung halaman, setelah melihat namanya tidak kelihatan di dalam keputusan peperiksaan di universiti. Beliau amat kecewa. Tetapi setelah kawannya meneliti, rupa-rupanya Rudy mendapat tempat kedua keseluruhan, satu pencapaian yang mengejutkan dan membanggakan rakyat Indonesia di Jerman.
Dengan kekurangan beliau inilah, plot filem ini berterusan. Beliau terperangkap antara apa yang dia mahukan daripada negara, dengan apa yang negarakan mahukan daripada dirinya. Dengan beridolakan pesanan Bapak Soekarno yang melawat Jerman pada awal pengajiannya, yang diperdengarkan mungkin berdasarkan rakaman asli, ucapan berapi-api memberikan semangat kepada warga Indonesia di Jerman. Dengan beberapa kali flash back pesanan ayahnya supaya menjadi mata air yang bersih. Kerana apabila bersih mata air, maka bersihlah yang lain. Dengan berbekalkan peringatan daripada seorang paderi berbangsa Indonesia, yang menyatakan bahawa mata air hanya terhasil daripada bumi yang berkocak. Maka saksikan, bagaimana Rudy berjaya mengatasi kekurangan dirinya, demi membangunkan Indonesia.
KESIMPULAN
Filem ini amat sempurna sekali di mata saya. Ianya mengajar erti kepemimpinan, patriotik, cinta, setiakawan dan semangat juang yang tinggi, dengan sedikit terapan nilai Islam (kecuali pada bab tertentu). Filem ini memaparkan sinematografi yang amat berkesan, dengan memanfaatkan teknologi CGI, kesan kamera yang cantik seperti bokeh, set up studio yang menepati masa awal kehidupan Rudy, lalu menambahkan lagi kesan yang boleh memberkas di jiwa seorang yang cintakan agama dan negara. Tahniah kepada semua pelakon dan penerbit filem ini. Benar-benar mampu mencetuskan sesuatu di dalam hati penonton. Mudah-mudahan filem seumpama ini dapat dihasilkan di Malaysia.