Ramai orang yang bersemangat, mahu menjadikan Makkah sebagai titik tengah rujukan longitud bumi. Semangat mereka adalah berteraskan kepercayaan terhadap kesucian Ka’bah dan kepusatannya bagi masyarakat Islam sehingga dijadikan Qiblat.
Pada zaman sekarang, titik rujukan tengah yang membahagikan bumi antara Timur dan Barat, terletak di Greenwich, UK. Semasa bermukim di Scotland, saya pernah berkunjung ke sana. Bangganya, kerana berjaya meletakkan sebelah kaki di barat bumi, sementara sebelah lagi di timur bumi.

Menurut guru falak saya, PM Dr Baharrudin Zainal, dan seperti yang direkodkan oleh Sheikh Tahir, Greenwich dijadikan rujukan longitud selepas satu konvensyen antarabangsa oleh ahli-ahli pelayaran dan geografi Eropah, bermula tahun 1884. Bermula daripada tahun itu, ahli astronomi termasuklah ahli falak mengambil titik rujukan longitud itu, termasuklah dalam hal membuat hitungan azimuth qiblat dan juga waktu.
Sebelum daripada itu, ulama’ falak dalam dunia Islam menjadikan satu kawasan dikenali sebagai Jazā’ir al-Khālidāt (جزائر الخالدات) sebagai titik tengah bumi. Di manakah letaknya Jazā’ir al-Khālidāt tersebut? Ianya terletak ke barat daripada pantai Maghribi.
Setelah membuat rujukan, sebenarnya Jazā’ir al-Khālidāt itu pada peta moden sekarang, ialah Canary Islands, yang merupakan kawasan autonomi di bawah pemerintahan negara Sepanyol. Ianya terletak lebih kurang 100km daripada sempadan barat Pantai Selatan Maghribi. Ianya juga dikenali sebagai OMR (outer most region) iaitu tanah di bawah EU yang paling jauh. Sekarang, majoriti penduduk beragama Katolik. Minoriti beragama Islam, dan komuniti mereka agak kuat di sana. Dahulu, MUNGKIN pulau ini pernah didiami oleh sarjana falak Muslim, lalu dijadikan sebagai titik rujukan longitud bumi. Perlu bacaan dan kajian lanjut.

Artikel ini hanya ingin memperkenalkan titik rujukan longitud umat Islam sebelum Greenwich. Ianya masih belum menjawab status Makkah sebagai pusat bumi. Apa-apapun, Makkah akan kekal sebagai qiblat bagi umat Islam.