Ramai tidak kenal hari tarwiyah yang jatuh pada 8 Zulhijjah, sehari sebelum hari wuquf. Ada yang kenal, tetapi sebutannya pula salah. Disebut tarwiyyyyyyah seperti semangat menyebut tarbiyyyyyah, sedangkan ya’ pada kalimat tersebut tiada tanda shaddah. Hanya memadai sebut tarwiyah (التَّرْوِيَةِ) sahaja, sama memadai kita sebut tarbiah.
KENAPA DINAMAKAN TARWIYAH
Tarwiyah berasal daripada perkataam rowwa yurowwi (روَّى/ يُروِّي) yang mendatangkan maksud-maksud: memikirkan, menyirami dengan air, memberi minum dan lain-lain.
Dalam pelbagai kitab, dicadangkan sebab kenapa hari 8 Zulhijjah ini dinamakan sebagai hari tarwiyah, ringkasnya seperti berikut:
- Hari kelapan, para jemaah haji akan menyiapkan bekalan air sebagai persiapan manasik haji pada hari-hari mendatang.
- Merujuk kepada sirah nabi Ibrahim, yang sedang bertafakkur dan berfikir secara mendalam makna perintah Allah untuk menyembelih anaknya nabi Ismail. Mimpi arahan itu berlaku pada 8 Zulhijjah.
Oleh kerana hari tarwiyah termasuk dalam hari-hari yang mulia pada 10 hari pertama Zulhijjah, maka digalakkan untuk kita yang tidak berada di Makkah, memperbanyakkan ibadat khasnya pada waktu siang, seperti puasa sunat, bertakbir (takbir mutlak/mursal), berzikir, mempelajari sirah pengorbanan nabi-nabi terdahulu, membaca al-Quran, dan lain-lain.
Sementara bagi jemaah haji pula, pada hari tarwiyah inilah mereka akan perlahan-lahan bergerak ke Mina sebagai mengikuti sunnah manasik haji nabi Muhammad SAW. Semoga semuanya mendapat haji yang mabrur.