Erti Hari Lahir

Sejak minggu lepas lagi, beberapa orang rakan telah mula mengucapkan selamat hari jadi kepada saya. Semalam semasa membeli barangan keperluan di ASDA pun, ada orang mengucapkan ucapan yang sama kepada saya.

Balik di rumah, anak-anak dan isteri tercinta rupa-rupanya membuat kejutan kepada saya. Siap dengan hadiah dan kek (yang saya sendiri ambil), tiadalah yang dapat menggambarkan betapa terharu dan gembiranya hati saya dengan sambutan ini semua. Terima kasih kepada isteri saya kerana sudi menjadi suri sepanjang 5 tahun kita bersama. Dan kepada anak-anak Baba yang sama-sama mengharungi hidup ini dalam penuh cabaran dan ujian. Ya Allah, jadikanlah zuriatku ini imam orang-orang yang bertaqwa.

Saya pernah ditanya mengenai hukum menyambut hari lahir miladi. Seingat saya, jawapan standard saya ialah hukumnya khilaf. Mengikut Dr Abdul Karim Zaidan di dalam kitab al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, beliau berpandangan hukumnya adalah haram. Ini adalah kerana budaya ini adalah budaya agama lain atau barangkali merupakan budaya masyarakat yang tidak beragama.

Ada juga sebahagian ulamak yang mengharuskannya, selagi mana tidak mengamalkan cara sambutan agama lain.

Apa pun, biasanya ucapan selamat hari jadi di kalangan masyarakat Muslim diiringi dengan doa. Mendoakan rakan adalah satu amalan yang mulia. Nabi sendiri sehingga ke saat ajalnya, masih teringat dan mendoakan umatnya. Allah akan memaqbulkan doa kita untuk rakan, dengan cara mengurniakan kandungan doa tersebut kepada kita sebagai yang berdoa terlebih dahulu sebelum dikurniakan kepada yang didoakan. Siapa yang tidak mahu diri mereka didoakan semasa hari jadi?

Setahun tuanya usia kita, bermakna setahun bertambahnya kecerdikan kita, dan setahun dekatnya kita kembali kepada Allah SWT. Sewajarnya sambutan hari jadi perlu dijadikan peringatan buat diri kita, betapa semakin beratnya kita perlu menggalas amanah ilmu dan dakwah, kerana temujanji kita bertemu dengan Allah semakin dekat.

Apa pun, bagi saya, tiadalah erti hari lahir buat diri saya, melainkan perlu dikembalikan kepada orang yang melahirkan saya, iaitulah emak tercinta. Terima kasih emak, kerana 31 tahun yang lepas, emak bersabung nyawa melahirkan saya, dalam keadaan songsang. Emak jugalah orang pertama yang mengucapkan selamat hari lahir untuk saya. Ketahuilah emak, bahawa bukannya saya sebagai yang dilahirkan perlu diraikan, tetapi emaklah yang patut diraikan kerana melahirkan saya. Daripada rahim emak, lahirnya empat orang putera puteri pewaris perjuangan nabi. Dengan berkat pengorbanan emak dan arwah abah, alhamdulillah kami semua telah berjaya. Dan tiadalah hadiah hari lahir yang paling bermakna buat diri saya, melainkan kesudian emak menziarahi kami sekeluarga di sini. Terima kasih emak. Moga ada banyak peluang untuk saya membalas budi emak selagi hayat kita dikandung badan…

Erti hari lahir saya, ialah kepada yang melahirkan, dan yang mengurniakan kelahiran. Alhamdulillah, dan terima kasih emak.

Advertisements

4 thoughts on “Erti Hari Lahir

Terima kasih atas komen dan pandangan balas anda

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s