Jiwa mati

Anda mengaku Allah itu sebagai Tuhan yang Maha Agung. Akan tetapi anda berjalan di muka bumi ini dalam keadaan bongkak seolah-olah tidak bertuhan. Tiada langsung rasa diperhatikan. Membuat apa sahaja sesuka hati. Tidak pernah rasa bergetar jiwa apabila menyebut nama Allah.

Anda mengaku Muhammad itu sebagai Rasulullah. Akan tetapi tiada langsung keinginan untuk mematuhi sunnah murni baginda. Tiada langsung usaha untuk berselawat kepada baginda. Tiada langsung rasa rindu untuk bertemu baginda bagi mendapatkan syafa’at di hari Akhirat kelak.

Anda mengaku al-Quran sebagai kitab panduan wahyu Ilahi. Akan tetapi anda tidak pernah berusaha untuk melazimi bacaannya. Seminggu sekali pun agak payah. Al-Quran, terjemahan serta aplikasi al-Quran dalam komputer, laptop dan smart phone jarang dibuka. Apatah lagi untuk menghayati maknanya. Apatah lagi untuk merasai kemanisan membacanya. Kemuncaknya ialah anda menjadikannya sebagai hiasan sahaja. Tiada langsung keinginan untuk melaksanakan undang-undang yang termaktub di dalamnya.

Anda mengaku Islam sebagai agama. Akan tetapi anda tidak pernah menjadikannya sistem hidup. Tidak pula menjadikannya sebagai dasar dan kayu neraca membuat keputusan di dalam diri anda. Walaupun mengaku Islam, dan tidak memeluk agama lain, tetapi lebih selesa dengan cara hidup penganut Kristian, Yahudi atau masyarakat tanpa agama.

Anda mengaku umat Islam yang lain sebagai saudaramu. Akan tetapi kamu selalu menzalimi mereka. Sedang anda tidur lena, dibiarkan sahaja saudaramu yang di dalam kesusahan. Sedang saudaramu pergi berjuang, anda membiarkan sahaja mereka keseorangan, bahkan membuat kerja yang menyusahkan mereka. Hidup di dalam kebencian dan permusuhan. Suka sangat mencari kesalahan orang.

Itu semua merupakan sebahagian tanda yang jiwa kita yang sudah mati.

Ibarat badan manusia, matinya kerana terpisah antara roh dengan jasad. Roh itulah merupakan sebab mengapa manusia itu bernyawa. Tanpa roh, manusia itu mati. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hijr ayat 29, ketika mencerita penggabungan roh dan jasad:

فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِن رُّوحِي فَقَعُواْ لَهُ سَاجِدِي

Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaanku) maka hendaklah kamu sujud kepadanya.

Dalam surah al-Waqi’ah ayat 83, Allah menceritakan mengenai kematian, iaitulah ketika roh terpisah daripada jasad.

فَلَوْلاَ إِذَا بَلَغَتِ ٱلْحُلْقُومَ

Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya.

Manusia sekiranya mati, maka perginya takkan kembali. Apa yang mampu ialah menunggu saat untuk dikembalikan nanti.

Akan tetapi jiwa, sekiranya mati, matinya bukan kekal. Matinya sementara. Kerana roh manusia itu boleh dibangunkan kembali, walau seteruk mana ‘kematian’ yang dialami.

Mencari roh jiwa tidak memerlukan anda untuk duduk bertapa di gua. Tidak memerlukan anda untuk meninggalkan kerja dunia.

Ini kerana roh jiwa itu ada di sisi anda. Roh jiwa itu sebenarnya, ialah al-Quran. Dengan mendekati al-Quran, jiwa yang mati akan dihidupkan semula. Yang gelap akan kembali terang. Yang pudar akan kembali sinar. Yang muram akan kembali tertawa.

Firman Allah di dalam surah al-Syura ayat 52:

وَكَذَلِكَ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ رُوحاً مِّنْ أَمْرِنَا
Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami)


Begitulah hebatnya al-Quran itu sehingga dianggap sebagai roh. Roh yang menghidupkan jiwa. Mengapakah demikian? Jawapannya mudah sahaja, siapa yang tidak mahu berlafaz dengan kalam Allah. Kalam Allah, iaitulah kata-kata Allah. Ayat yang dilafazkan oleh Tuhan yang menciptakan kita. Sudah tentu kesannya hebat sekali. Bahkan yang menjadi pengantara al-Quran antara Allah dengan nabi Muhammad pun turut dipanggil sebagai roh al-Amin, roh yang amanah. Firman Allah SWT dalam surah al-Syu’ara’ ayat 193:

نَزَلَ بِهِ ٱلرُّوحُ ٱلأَمين

Ia dibawa turun oleh Roh al-Amin (malaikat Jibril yang amanah)

Justeru, aduhai jiwa yang tenat. Kembalikanlah dirimu mendekati al-Quran. Baca, fahami, dan hayatilah isi kandungannya. Moga jiwa yang mati akan hidup kembali, dengna penuh ketenangan, dalam mendamba rahmat-Nya.

Racism/Kebencian Atas Dasar Perkauman: Amalan Jahiliyyah Silam dan Moden

racism1Bagi sebahagian perantau ke UK, dokumentari Panorama: Hate on the Doorstep yang disiarkan di BBC malam semalam mungkin merupakan pembuka mata terhadap realiti kebencian atas dasar perkauman (racism) di negara ini. Bagi sebahagian pula, dokumentari tersebut mungkin akan menyebabkan mereka fobia ketika bertemu dengan kanak-kanak dan orang muda berkulit putih. Tidak kurang juga bagi sebahagian rakyat Malaysia di sini, mereka sudah biasa menjadi mangsa racism. Ada kawan saya pernah dibaling telur, sampah dan botol arak di beberapa ‘kawasan gelap’ di UK ini.

Dokumentari Hate on the Doorstep memaparkan dua orang wartawan BBC, Tamanna Rahman (berketurunan Bangladesh) dan dan Amil Khan (berketurunan Pakistan) menyamar untuk menyiasat sejauh manakah kebenaran dakwaan kebanyakan media bahawa rasicm was a thing of a past. Mereka tinggal selama enam minggu di sebuah kejiranan majoriti orang berkulit putih di Bristol. Agak mengejutkan, apabila sejak hari pertama mereka tinggal di situ lagi mereka telah menjadi mangsa racism. Diejek PAKI dan pelbagai kata nesta, dihalau pulang ke negara asal, dibaling dengan botol, ditumbuk di muka tanpa sebab dan yang paling mengejutkan, diserang oleh kanak-kanak berumur 11 tahun. Bagi yang berada di UK, anda boleh melihat dan memuat turun dokumentari menarik ini di capaian ini. Saya yakin dalam masa beberapa hari lagi, dokumentari ini akan boleh ditonton di Youtube.

Continue reading “Racism/Kebencian Atas Dasar Perkauman: Amalan Jahiliyyah Silam dan Moden”

Moga tahun hadapan kita beraya di al-Quds

Assalamualaikum wbt.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa di kalangan rakan-rakan Syi’ah, mereka menjadikan Jumaat terakhir di dalam bulan Ramadhan sebagai Hari Al-Quds Sedunia. Ianya mula diraikan setiap tahun selepas diumumkan oleh Imam Khomeini setelah Revolusi Shi’ah Iran pada tahun 1979. Biasanya pada hari ini, rakan-rakan Syi’ah akan keluar berdemonstrasi, menyatakan bantahan dan kemarahan terhadap kebiadaban Zionisme meratah bumi al-Aqsa.

Demonstrasi, membantah dan marah terhadap kemungkaran adalah tanda iman. Atau kalau ingin diperincikan lagi, itu adalah tanda SELEMAH-LEMAH iman. Bagi kita golongan sunnah, sepatutnya setiap hari adalah hari memperingati al-Quds.

Mungkin bagi sebahagian daripada masyarakat kita pada hari ini (Jumaat 28 Ramadhan/18 September) adalah hari untuk bermujahadah di atas lebuh raya pulang ke kampung, lalu mengumil jalan sesak dengan kereta. Atau sebahagian lagi rasa kurang puas hati kerana terpaksa bekerja shift semasa hari raya, lalu hati pun jadi tidak keruan. Atau sebahagian lagi mula rungsing kerana persiapan membeli barangan untuk rumah terbuka masih belum sempurna, lalu dipasanglah niat untuk keluar di saat-saat akhir membeli-belah. Atau ada antara kita yang barangkali mula risau apabila rumah ditinggalkan selama seminggu ketika pulang ke kampung, lalu mulalah menelefon polis atau jiran supaya tolong tengok-tengokkan rumah. Atau ada yang mula risau kerana masih belum buat rebonding rambut, masih belum buat facial, manicure padicure dan seumpamanya, lalu berbondong-bondonglah di saat akhir membuat temujanji di saloon.

Continue reading “Moga tahun hadapan kita beraya di al-Quds”

Apa bestnya raya?

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah raya tahun ini merupakan raya tahun kesembilan saya di perantauan; sepertiga usia saya. Selama sembilan tahun di perantauan inilah saya menimba ilmu dan pengalaman, berkongsi dan melihat bagaimana suasana beraya di tempat orang, baik di negara majoriti Muslim atau minoriti Muslim. Sepanjang sembilan tahun inilah perasaan gembira bercampur perasaan sedih kerana tidak dapat beraya bersama-sama dengan keluarga tersayang, apatah lagi ada antaranya yang pergi menemui Ilahi, seperti ayah saya yang kembali ke rahmatullah pada suasana raya semasa saya sedang menyiapkan thesis Master saya.

Allah mengurniakan kepada diri manusia hidayah yang paling utama sebagai petunjuk hidup di bumi-Nya, iaitu hidayah al-Quran. Selain itu, terdapat juga beberapa hidayah sokongan yang turut dipinjamkan Allah kepada manusia, antaranya ialah hidayah al-syu’ur atau petunjuk perasaan. Allah memberikan rasa gembira, sedih, marah, geram, kecewa pelbagai lagi perasaan, supaya manusia menggunakan perasaan itu tepat pada masa dan keadaannya.

Melewati usia 30 tahun, dengan berstatus bapa kepada 3 orang anak dan dikurniakan isteri yang amat dicintai, serta berjauhan dengan orang tua yang kesunyian menghabiskan usia tua, kadang-kadang saya tertanya juga apa bestnya raya. Saya lihat ramai juga kawan-kawan yang mengajukan soalan yang sama, walaupun berada di tanah air.

Islam mempunyai falsafah tersendiri terhadap sambutan hari raya. Ianya jelas termaktub di dalam surah Al-Baqarah ayat 185:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (١٨٥)

185. (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Continue reading “Apa bestnya raya?”

Tazkirah di ambang Ramadhan #3

Hitung Undur: 8 hari lagi

Salam taqwa.

Semalam, kita telah menghayati yang Ramadhan adalah pusat latihan menggilap ketaqwaan seorang Muslim. Seseorang yang melepasi piawaian pusat latihan Ramadhan adalah individu yang mempunyai perisai diri yang ampuh menangkis serangan musuh dalaman dan luaran manusia. Sabda Nabi Muhammad SAW

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الصِّيَامُ جُنَّةٌ وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلاَ يَرْفُثْ يَوْمَئِذٍ وَلاَ يَسْخَبْ فَإِنْ سَابَهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ

Ertinya:

“Daripada Abi Hurairah R.A., Nabi SAW bersabda: “Puasa adalah perisai. Sekiranya seseorang dari kamu sedang berpuasa pada suatu hari, maka janganlah bercakap kotor dan janganlah menengking. Jika seseorang mencela atau ingin bergaduh dengannya, katakanlah: “Sesungguhnya aku berpuasa.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebahagian ulamak menafsirkan perkataan junnah di dalam hadith di atas sebagai pelindung daripada api neraka. Ada juga yang menafsirkan junnah sebagai perisai diri. Di dalam Bahasa Arab, banyak perkataan yang huruf asasnya terdiri daripada jim dan nun, memberi maksud sesuatu yang kita tidak nampak. Sebagai contoh:

a. Jannah – syurga – destinasi yang kita tidak nampak lagi.
b. Jin – makhluk halus yang kita tidak boleh nampak dengan mata kasar.
c. Janin – bayi dalam kandungan, yang tidak tidak nampak lagi.
d. Majnun – gila. Tak nampak untuk membezakan yang baik dan jahat.
e. Junnah – perisai. Dengan ada perisai, musuh luar tidak nampak kita, dan sukar untuk menyerang kita.

Inilah dia junnah yang perlu kita cari sepanjang madrasah Ramadhan…. agar diri kita terlindung dan kuat menghadapi musuh dalaman dan luaran untuk 11 bulan selepasnya.

********************************************

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dan Ramadhan

Imam al-Ghazali di dalam kitab Ihya’ Ulumiddin, berijtihad mencadangkan tips untuk memaksimumkan kecemerlangan seseorang Muslim yang berpuasa, dengan membahagi puasa itu kepada tiga jenis tingkatan, iaitu:

1. Puasa umum, iaitu tingkatan yang paling rendah dengan menahan diri daripada makan, minum dan jima’. Ini ialah puasa majoriti manusia. Puasa begini memungkinkan mereka ini tidak mendapat apa-apa sepanjang Ramadhan, melainkan lapar dan dahaga sahaja.

2. Puasa khusus, iaitu menahan makan, minum dan jima’, serta memelihara seluruh anggota tubuh dari perbuatan maksiat atau tercela. Ini ialah sasaran minimum yang perlu diletakkan oleh kita untuk mendapat puasa yang cemerlang.

3. Puasa khusus al- khusus, iaitu puasa hati dari segala kehendak hina dan segala tarikan duniawi serta mencegahnya memikirkan apa-apa yang selain Allah. Sebaiknya kita perlu berusaha menjadikan puasa pada tingkatan ini, sama seperti puasa para nabi dan juga orang-orang muqarrabin, yang amat hampir dengan Allah.

Dalam usaha mencapai sekurang-kurangnya puasa khusus, Imam Al Ghazali mencadangkan enam tips penting, iaitu:

1. Menahan pandangan dari segala hal yang dicela dan dimakruhkan serta dari tiap-tiap yang membimbangkan dan melalaikan dari mengingat Allah. Telah bersabda Rasulullah, ” Barang siapa meninggalkan pandangan kerana takut kepada Allah, nescaya Allah akan menganugerahkan padanya keimanan yang mendatangkan kemanisan dalam hatinya”.

2. Menjaga lidah dari perkataan yang sia-sia, berdusta, mengumpat, berkata keji, serta melazimi sikap berdiam diri, menggunakan waktu untuk berzikir kepada Allah serta membaca Al-Quran.

3. Menjaga pendengaran dari mendengar kata-kata yang tidak baik. Tiap-tiap yang haram diucapkan maka haram pula mendengarnya. Ramai manusia boleh mengelakkan diri daripada mengata orang lain, tetapi agak sukar untuk mengelak daripada mendengar umpatan atau gosip jahat daripada pihak ketiga. Sama ada yang mengumpat atau yang mendengar, mereka berkongsi dosa.

4. Mencegah anggota-anggota tubuh yang lain dari perbuatan dosa. Seperti mencegah tangan dan kaki dari berbuat maksiat dan mungkar, mencegah perut dari memakan yang syubhat dan haram.

5. Tidak berlebih-lebihan dalam berbuka sampai perutnya penuh makanan. Orang yang berbuka secara berlebihan tentu tidak akan dapat memetik manfaat dan hikmah puasa. Bagaimana dia berusaha mengalahkan musuh Allah dan mengendalikan hawa nafsunya, jika saat berbuka dia memanjakan nafsunya dengan makanan yang banyak.

6. Hatinya sentiasa ada perasaan cemas (khauf) dan harap (raja’), kerana tidak diketahui apakah puasanya diterima atau tidak oleh Allah. Rasa cemas diperlukan untuk meningkatkan kualiti puasa yang telah dilakukan, sedangkan penuh harap berperanan dalam menumbuhkan optimisme dan bersangka baik dengan rahmat Allah.

**************************************************|

FAQ Siyam

Q: Apakah ureterscopy yang digunakan untuk mendapat imej di dalam saluran kencing hingga ke buah pinggang membatalkan puasa?
A: Tidak

Q: Menerima suntikan atau injection sama ada di otot, sendi atau salur darah, adakah merosakkan puasa?
A: Tidak, kecuali sekiranya diberikan IV feeding atau menyuntik bahan yang menggantikan makanan ke saluran darah.

Allahua’lam