Assalamualaikum wbt.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa di kalangan rakan-rakan Syi’ah, mereka menjadikan Jumaat terakhir di dalam bulan Ramadhan sebagai Hari Al-Quds Sedunia. Ianya mula diraikan setiap tahun selepas diumumkan oleh Imam Khomeini setelah Revolusi Shi’ah Iran pada tahun 1979. Biasanya pada hari ini, rakan-rakan Syi’ah akan keluar berdemonstrasi, menyatakan bantahan dan kemarahan terhadap kebiadaban Zionisme meratah bumi al-Aqsa.

Demonstrasi, membantah dan marah terhadap kemungkaran adalah tanda iman. Atau kalau ingin diperincikan lagi, itu adalah tanda SELEMAH-LEMAH iman. Bagi kita golongan sunnah, sepatutnya setiap hari adalah hari memperingati al-Quds.

Mungkin bagi sebahagian daripada masyarakat kita pada hari ini (Jumaat 28 Ramadhan/18 September) adalah hari untuk bermujahadah di atas lebuh raya pulang ke kampung, lalu mengumil jalan sesak dengan kereta. Atau sebahagian lagi rasa kurang puas hati kerana terpaksa bekerja shift semasa hari raya, lalu hati pun jadi tidak keruan. Atau sebahagian lagi mula rungsing kerana persiapan membeli barangan untuk rumah terbuka masih belum sempurna, lalu dipasanglah niat untuk keluar di saat-saat akhir membeli-belah. Atau ada antara kita yang barangkali mula risau apabila rumah ditinggalkan selama seminggu ketika pulang ke kampung, lalu mulalah menelefon polis atau jiran supaya tolong tengok-tengokkan rumah. Atau ada yang mula risau kerana masih belum buat rebonding rambut, masih belum buat facial, manicure padicure dan seumpamanya, lalu berbondong-bondonglah di saat akhir membuat temujanji di saloon.

Itu hanya sangkaan buruk saya sahaja terhadap segelintir kecil masyarakat Melayu (hendaknya). Tidaklah pula saya menyatakan yang itu semua salah. Tipulah saya kalau saya menyatakan yang saya pun tidak memikirkan perkara-perkara di atas. Ini adalah ‘wirid’ raya kita…

Bagaimana pula dengan ‘wirid raya’ rakan-rakan di Al-Quds? Mereka meraikan Ramadhan, dengan pengumuman kerajaan haram Zionis mengenai kelulusan pembinaan baru petempatan haram di sekitar Tebing Barat, lalu akan semakin banyaklah rumah, tanah dan ladang zaitun yang akan dicuri oleh Zionis. Mereka meraikan Ramadhan dan kedatangan Syawal dengan krisis air yang makin meruncing dan juga kekurangan bahan makanan, lantaran sekatan Israel dibantu kenaifan Mesir menutup sempadan Gaza kerana ’subsidi’ bermilion dolar daripada Amerika proksi Israel. Mereka menyambut hari raya dengan sekatan tembok pemisah, lalu terpaksalah mereka mencuba untuk menziarah rumah saudara yang letaknya beberapa meter sahaja dengan berjalan berpuluh-puluh kilometer untuk menyeberang tembok tersebut, itu pun tiada jaminan boleh menyeberang. Mereka merayakan Eidul Fitri dengan pelbagai sekatan dan kepungan tentera, lalu terpaksalah mereka keluar awal-awal pagi bagi membolehkan mereka melepasi sekatan untuk ke masjid, bagi yang lambat pula terpaksa bersujud di kaki dan machine gun tentera Zionis.

Tidak hairanlah Rasulullah meramalkan yang anak-anak al-Quds adalah bangsa ribat bangsa pejuang. Kita pula bagaimana? Bangsa bersenang-lenang? Anak-anak al-Quds adalah manusia yang kuat bersemangat kerana rasa bertanggungjawab sebagai benteng terakhir Masjid al-Aqsa. Kita pula bagaimana? Masih lembik dengan nostalgia dan kesedihan Syawal?

Amat menusuk hati apabila 2 minggu lepas, seorang rakan saya, orang Melayu Malaysia yang baru sahaja grad daripada UIAM, memaklumkan yang rakan sepengajian beliau dari Palestin telah gugur syahid ditembak tentera Zionis. Al-Syahid, Ubaida M.A. Al-Qudsi baru sahaja menghadiri konvo di UIAM baru-baru ini. Di kampus, beliau adalah antara penggerak al-Aqsa Friends Society. Beliau dan sahabat-sahabatnya amat aktif memberikan kesedaran dan semangat terhadap kepentingan memperjuang al-Aqsa. Langsung tidak hanyut dengan kesenangan dan kemewahan di Malaysia, hati mereka ini tidak pernah lekang dengan semangat, apabila kembali nanti aku akan bersama-sama berjuang menentang kezaliman menegakkan keadilan. Di kampus, kumpulan mereka ini melazimi halaqah ilmu. Dikhabarkan yang sepanjang 10 malam Ramadhan terakhir, masing-masing akan memegang walkie-talkie supaya saling kejut-mengejutkan dan ingat-memperingatkan, bagi menghidupkan Ramadhan dengan ibadah. Mereka inilah yang bersama-sama dengan gerakan HAMAS, kumpulan yang pemimpinnya juga terdiri daripada orang yang soleh. Cukuplah saya memberikan contoh, bagaimana bekas Imam al-Aqsa dan Rektor Universiti al-Ghazzah, Dr Syeikh Muhammad Mahmud Siyam yang mengadakan lawatan ke Malaysia baru-baru ini. Dalam perjalanan beliau daripada Kuala Lumpur ke Rusila, beliau telah mengkhatamkan 8 juzuk al-Quran. Tercengang kawan-kawan saya yang mengiringi beliau. Al-Quran merahnya kusam, kerana sering dibelek, walaupun beliau adalah seorang hafiz.

Al-Syahid Ubaidah adalah idola yang sepatutnya dicontohi, khususnya golongan mahasiswa. Berada di tanah orang untuk melunaskan amanah belajar, menjadi pakar, dan tafaqquh fi al-din, tetapi hati tidak pernah lekang dengan semangat untuk kembali berjuang ke tanah air tercinta.

Mereka orang Palestin, tidaklah hairanlah mereka mempertahankan tanah air mereka. Tapi jangan lupa kita orang Islam, dan di situ letaknya masjid suci ketiga bagi kita semua. Walaupun kita warga Malaysia, jangan lupa tanggungjawab mempertahankan kesucian al-Aqsa. Teruskan berdoa, membenci Zionis, nyatakan kemarahan, berikan sumbangan, dan gandakan usaha boikot (sakit juga mata memandang PEPSI dihidangkan semasa iftar di Masjid Aberdeen).

Di mahkamah akhirat kelak, sekurang-kurangnya al-Syahid Ubaidah akan mempamerkan darahnya di hadapan Allah sebagai bukti kebenaran perjuangannya. Tanyalah diri kita, apakah yang kita ada untuk dipersembahkan ke hadapan Allah nanti. Allah …. malunya diriku ini..

Sama-sama kita doakan, agar TAHUN HADAPAN KITA AKAN BERAYA DI AL-QUDS.

Wassalam

Jadikan wajah al-Syahid Ubaidah ini sebagai idola generasi mahasiswa teknokrat berkualiti tinggi….
Advertisement